Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 17, 2024

Kayuhan Afif Darwysh sumbang tiga emas kepada Zon Tengah

SIBU, 17 Jan: Kayuhan bertenaga dipamerkan Arif Darwysh Mohamad Nazir dalam acara ujian masa perseorangan berjaya membutirkan pingat emas kepada Zon Tengah pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023 di sini.

Anak kelahiran Kuching itu mencatatkan 00:33:59 saat untuk menggungguli acara berkenaan.

Afif Darwysh turut cemerlang meraih emas acara kriterium.

Ditemui TVS, atlet berusia 16 tahun itu berharap agar pencapaian itu akan mencerahkan peluangnya untuk terpilih mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di tempat sendiri Ogos ini.

Mengenai kejayaan emasnya hari ini, Afif Darwysh berkata, ini merupakan hasil daripada kerja keras selama ini serta sikap tidak mudah berputus asa.

“Perasaan saya memenangi tiga emas sudah tentu gembira dan teruja untuk perlumbaan seterusnya,” katanya.

Afif Darwysh turut mendedikasikan kejayaan emas pada penampilan pertamanya di pentas SUKSAR kepada ibu bapanya yang sentiasa memberi sokongan padu.

Semenatara itu jurulatih berbasikal Zon Tengah, Mohd. Khairi Ibrahim berkata, dia berpuas hati dengan prestasi anak buahnya apabila mereka berjaya meraih empat emas dan dua perak setakat ini.

Katanya, terdapat beberapa pelumba zon itu yang berpotensi untuk mewakili Sarawak pada SUKMA akan datang.

“Namun mereka perlu memperbaiki beberapa aspek untuk memantapkan kayuhan,” katanya.

Zon Tengah turut meraih emas acara ujian masa berpasukan menerusi trio Muhammad Danial Hakim Zulkaisi, Faris Daniel Muhammad Rahmatullah dan Ong Wei Jie.

Christopher Hii Jin Ming pula mengungguli emas acara lebuh raya lepas beramai – ramai. -TVS

Zon Selatan akur terlepas gangsa bola tampar wanita

SIBU, 17 Jan: Pasukan wanita Zon Selatan berputih mata apabila gagal dalam perebutan pingat gangsa acara bola tampar Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023 hari ini.

Dalam perlawanan di Dewan Bola Tampar Rejang Park Sibu di sini, mereka akur apabila tewas 12 -25, 21 – 25 dan 17 -25 kepada Zon Utara.

Kaptennya, Liew Siu Ling berkata, perlawanan kali ini lebih mencabar berbanding SUKSAR sebelum ini malah menyedari lawan mereka merupakan pasukan yang kuat.

“Jika kami berusaha lebih lagi, kemungkinan pasukan boleh mendapat pingat gangsa kali ini,” katanya kepada TVS selepas perlawanan.

Ditanya mengenai pengalaman sebelum ini,  Siu Ling berkata, pada SUKSAR II 2019, mereka juga menamatkan cabaran di tempat keempat.

Sementara itu, gadis berusia 21 tahun itu memberitahu, dia mula terlibat dengan bola tampar sejak berumur 12 tahun dan masih aktif walaupun sudah bekerja.

Sementara itu, emas acara berkenaan dimenangi oleh tuan rumah, Zon Tengah yang menewaskan Zon Barat. – TVS.

Great Britain benam Speedy Tigers di Oman

KUALA LUMPUR: Peluang skuad hoki lelaki negara menamatkan kemarau 24 tahun layak ke pentas Olimpik masih samar selepas tewas 4-1 di tangan Great Britain pada saingan peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman awal pagi tadi.

Ia kekalahan kedua berturut-turut anak buah Arul Selvaraj di Stadium Hoki Oman itu selepas tewas 3-2 kepada China pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A, Isnin lalu.

Turun dengan misi sukar menentang Great Britain di ranking keempat dunia, skuad negara yang menghuni ranking ke-14 terpaksa akur dengan keampuhan jentera serangan pihak lawan yang terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Will Calnan pada minit ke-19.

Tidak mahu membiarkan Great Britain terus tersenyum, skuad hoki negara tetap memberikan tentangan apabila berhasil menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-26.

Great Britain meraih gol kedua menerusi Sam Ward yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum Zachary Wallace meledak gol ketiga pasukan selang tujuh minit kemudian.

Bagaimanapun, Ward memastikan Great Britain sukar digugat apabila beliau menjaringkan gol keempat pasukan yang juga gol keduanya pada perlawanan itu pada minit ke-58.

Keputusan dicatat pada perlawanan awal pagi tadi itu sekali gus menyaksikan Great Britain mengungguli kedudukan kumpulan dengan enam mata, manakala China di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Pakistan di tempat ketiga, manakala Malaysia di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun, China, Pakistan dan skuad negara masing-masing berkongsi jumlah jaringan yang sama (tiga).

Speedy Tigers tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menumpaskan Pakistan dengan jaringan besar serta mengharapkan Great Britain menumpaskan China pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat ini, sekali gus berada di dua kedudukan teratas kumpulan bagi melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024, di Muscat merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya terbesar dunia itu. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia