Zon Selatan akur terlepas gangsa bola tampar wanita

SIBU, 17 Jan: Pasukan wanita Zon Selatan berputih mata apabila gagal dalam perebutan pingat gangsa acara bola tampar Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023 hari ini.

Dalam perlawanan di Dewan Bola Tampar Rejang Park Sibu di sini, mereka akur apabila tewas 12 -25, 21 – 25 dan 17 -25 kepada Zon Utara.

Kaptennya, Liew Siu Ling berkata, perlawanan kali ini lebih mencabar berbanding SUKSAR sebelum ini malah menyedari lawan mereka merupakan pasukan yang kuat.

“Jika kami berusaha lebih lagi, kemungkinan pasukan boleh mendapat pingat gangsa kali ini,” katanya kepada TVS selepas perlawanan.

Ditanya mengenai pengalaman sebelum ini,  Siu Ling berkata, pada SUKSAR II 2019, mereka juga menamatkan cabaran di tempat keempat.

Sementara itu, gadis berusia 21 tahun itu memberitahu, dia mula terlibat dengan bola tampar sejak berumur 12 tahun dan masih aktif walaupun sudah bekerja.

Sementara itu, emas acara berkenaan dimenangi oleh tuan rumah, Zon Tengah yang menewaskan Zon Barat. – TVS.