‘Tak guna juara di sini, tapi kalah di Paris’

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria enggan menekan butang panik susulan prestasi tidak memberangsangkan skuad negara dalam saingan Terbuka Malaysia 2024 yang menutup tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Ini kerana beliau mahu para pemain mencapai kemuncak pada Sukan Olimpik Paris Julai depan yang menjadi misi sebenar Malaysia untuk meraih podium.

Malah beliau juga mengakui ada dalam kalangan pemain yang kurang bersedia untuk mengharungi kejohanan berstatus Super 1000 tersebut.

“Kita mahu semua pemain capai kemuncak pada Olimpik. Tak guna hari ini kita lihat mereka juara tapi lepas jadi juara di sini, mereka tak jadi juara di sana (Paris).

“Saya fikir semua pemain faham. Ini baru awal tahun, tentu saja baru balik cuti, mungkin ada antara mereka kurang persediaan,” katanya ketika meninjau pusat media di Axiata Arena pada Ahad.

Perjalanan para pemain negara hanya bertahan pada peringkat suku akhir setelah beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae 16-21, 21-18, 21-13.

Nasib sama turut menimpa beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terkandas setelah tewas kepada pilihan ketujuh, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-15, 21-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut meluahkan kekecewaan di atas kegagalan para pemain negara untuk sekurang-kurang mara ke pentas separuh akhir.

“Sambutan peminat sangat memberangsangkan. Kita lihat setiap hari stadium penuh. Namun agak mengecewakan dan bukan sahaja kesedihan kita tapi peminat bahawa kita masih lagi untuk dua tahun tiada wakil di separuh akhir dan final,” katanya.

Beliau turut menjelaskan prestasi sebahagian pemain negara yang masih memerlukan sokongan sains sukan, persediaan yang lebih rapi, tahap stamina dan kekuatan fizikal.

Malah tambahnya, perkara tersebut sudah dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Manaiky.

“Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) baru sahaja kembali daripada kecederaan, namun mereka telah beri saingan sengit kepada beregu China yang jadi juara hari ini (Ahad).

“Aaron-Wooi Yik pula kita berpuas hati. Saya tak bimbang, kita beri mereka masa. Mereka berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Bila-bila masa dalam kalangan lima terbaik ini boleh kalahkan sesama mereka.

“Kita lihat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Mereka belum sampai peringkat kematangan, masih lagi terbelenggu dengan rasa gementar dan kurang fokus. Kualiti mereka 10 terbaik dunia.

“Ng Tze Yong pula kita tak sangka mengalami sakit bahagian belakang. Secara keseluruhan sebagai tuan rumah kita berasa kecewa, tapi daripada segi pencapaian mereka perlu terus diberi sokongan,” katanya.

Para emain negara kini mengalih fokus kepada Terbuka India di New Delhi yang bermula Selasa hingga hujung minggu ini.-Sinar