Perjuangan belum berakhir, pemain perlu segera bangkit – Pan-gon

Doha: Permulaan buruk skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia selepas tumbang 0-4 kepada Jordan, awal pagi tadi, bukan penamat kepada perjalanan pasukan negara.

Sebaliknya pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon masih percaya anak didiknya mampu melepasi peringkat Kumpulan E itu dengan menyeru pemain agar bangkit segera.

Jelasnya, peluang masih ada, namun segala kelemahan dilakukan ketika aksi dengan Jordan perlu diatasi segera sebelum menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, Sabtu ini.

“Sudah tentu Bahrain dan Korea Selatan berada tahap berbeza, tapi peluang masih ada.

“Kita perlu memperbaiki beberapa kelemahan dan belajar (dari kekalahan di tangan Jordan) dan mempersiapkan pasukan untuk perlawanan kedua.

“Perlawanan terbabit penting buat dua pasukan itu, sama seperti kita. Namun kita mahu buktikan sesuatu kepada semua terutama kepada penyokong,” katanya pada sidang media selepas aksi dengan Jordan itu.

Skuad Harimau Malaya yang kembali tampil di pentas Piala Asia selepas kali terakhir beraksi atas tiket tuan rumah bersama pada 2007 nyata gagal memberi tentangan bermakna kepada Jordan terutama pada 45 minit babak pertama.

Lawan yang diberi jolokan ‘The Chivalrous Ones’ itu mendahului tiga gol pada separuh masa pertama menerusi bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al-Mardi di minit ke-12 yang melepaskan sepakan lencong menarik buat ‘melemaskan’ Syihan Hazmi.

Penyerang utama Jordan, Mousa Al-Taamari yang beraksi bersama Montpellier HSC dalam saingan utama Ligue 1 di Perancis menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-18 sebelum Al-Mardi menambah gol ketiga di hujung babak pertama.

Al-Taamari menambah duka kem negara menerusi satu suntikan cantik lima minit sebelum aksi berakhir untuk menoktahkan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Ujar Pan-gon, beliau agak kecewa dengan keputusan perlawanan dan akan cuba memperbaiki untuk aksi berikutnya.

“Tahniah kepada pasukan Jordan dan persembahan malam ini. Kita mesti melihat ke hadapan.

“Kita sudah melakukan apa yang terbaik dalam permainan, tetapi tidak dapat menghalang mereka. Kita perlu membetulkan sesuatu dengan cepat,” kata pengendali dari Korea Selatan.

Kekalahan ini menyebabkan Malaysia terperosok di tangga tercorot Kumpulan E, dengan Jordan berada di tempat pertama manakala Korea Selatan di kedudukan kedua selepas membenam Bahrain 3-1 pada satu lagi aksi, semalam.-Harian Metro