Bekas jurulatih ragbi rebah ketika joging

HULU SELANGOR: Seorang bekas jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) meninggal dunia selepas rebah ketika berjoging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, hari ini.

Sebelum kejadian, lelaki warga emas berusia 75 tahun itu dikatakan bersenam bersama komuniti taman jam 7 pagi.

Kemudian mangsa berjalan di trek di kawasan kejadian lalu rebah dan tidak sedarkan diri jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata pada jam 9 pagi lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan hospital yang datang memberi bantuan kecemasan.

“Mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan darah tinggi (20 tahun),” katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Berita Harian