Memanah Pahang sasar tiga emas

Kuantan: Pasukan memanah Pahang mensasarkan untuk membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.

Jurulatihnya Mohd Rizaini Pandak Mohd, berkata seramai 16 atlet membabitkan masing-masing lapan lelaki dan wanita membawa cabaran pasukan memanah bertanding dalam acara individu dan berpasukan.

Menurutnya, pada Sukma 2022 Kuala Lumpur, Pahang membawa pulang satu emas (Recurve Men Team), satu perak (Compound Women Team) dan tiga gangsa namun untuk saingan kali ini, pasukannya dijangka berdepan tentangan sengit daripada Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Sasaran emas kita sandarkan dalam acara berpasukan recurve lelaki dan wanita serta berpasukan lelaki Qualification Round. Kelibat atlet kebangsaan, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi diharap dapat membantu misi meraih kilauan emas.

“Walaupun sasaran kita hanya tiga emas, satu perak dan tiga gangsa, tidak mustahil kejayaan lebih membanggakan dapat dicapai,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Mohd Rizaini berkata, dua sirkit kejohanan memanah kebangsaan pada Mac dan Mei depan menjadi pemanas badan buat anak buahnya dalam usaha memburu kejayaan diharapkan dipentas Sukma.

“Semangat tinggi selain persediaan sepanjang tahun diharapkan menjadi kelebihan kepada atlet memanah Pahang untuk menyerlah pada Sukma 2024 Sarawak, September depan,” katanya.-Harian Metro