Jurulatih, atlet SUKMA Pahang terima tambahan elaun

KUANTAN: Kerajaan Pahang menetapkan gaji minimum jurulatih sepenuh masa dinaikkan kepada RM2,000 sebulan bermula Mac tahun lalu berbanding RM1,500 sebulan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, inisiatif berkenaan mampu menaikkan moral dan semangat jurulatih untuk menjalankan tugas dengan penuh semangat, menerap mentaliti juara dan dedikasi tinggi.

Katanya, turut mendapat imbuhan ialah atlet Tok Gajah yang layak bersaing pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, mereka menerima elaun minimum sebanyak RM200 sebulan.

Menurutnya, elaun yang disediakan kepada altet itu diharap menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berlatih seterusnya berusaha melakar kejayaan

“Bagi atlet Tok Gajah yang memenangi pingat pada SUKMA sebelum ini, mereka akan menerima sehingga RM500 sebulan bermula bulan ini.

“Imbuhan itu ialah pengiktirafan dan dorongan serta pemangkin semangat buat setiap atlet untuk berjuang bagi menaikkan nama Pahang di pentas kebangsaan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih fasiliti sukan termasuk Stadium Darul Makmur (SDM) sebanyak RM1.3 juta yang kini sudah selesai sepenuhnya.

Fadzli berkata, kini pihak SDM memberi peluang kepada rakyat untuk turut menggunakan kemudahan trek di stadium berkenaan yang kini menjangkau usia 50 tahun, kemudahan disediakan secara percuma pada Isnin hingga Khamis.

“Selain stadium, kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf lapang sasar menembak di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), pembinaan baharu litar skateboard dan pusat latihan Muay Thai Pahang di Jerantut,” katanya.

Pahang menyasarkan lima kedudukan terbaik pada temasya SUKMA Sarawak. -Berita Harian