Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives December 19, 2023

Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama Kelab dan Persatuan Bola Sepak

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah hadir ke Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama Kelab dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Negara bertempat di Bukit Jalil pada Selasa.

Perbincangan ini merupakan satu inisiatif YB Menteri untuk mendengar cadangan serta penambahbaikan daripada pemegang-pemegang taruh bola sepak bagi menjadikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) lebih efisien dan efektif.

Turut hadir sama, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN.

Kejohanan Junior Cycling Malaysia

KANGAR, 19 DISEMBER 2023 – Kejohanan Junior Cycling Malaysia Ujian Masa Perseorangan Siri 4-2023 Perlis telah bermula dan tamat di Hadapan Taman Ular, Sg Batu Pahat.

Seramai 50 orang pelumba bersaing dalam mewakili 17 pasukan dengan jarak perlumbaan sejauh 19.8km pada selasa.

Dekwan, Ammar akan dibantu layak ke Paralimpik Paris

Kuala Lumpur: Persatuan Olahraga Para Malaysia (MPAA) akan membantu dua atlet para olahraga negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presiden MPAA, Mohd Zarrawi Abdullah berkata, kedua-dua atlet itu akan dihantar menyertai kejohanan penting tahun depan dalam usaha memastikan mereka layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu.

Jelasnya, mereka bakal menyertai Kejohanan Grand Prix di Fazza ke-15 Dubai pada 15 Februari depan dalam usaha memburu kelayakan ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 yang dijadual berlangsung di Kobe, Jepun tiga bulan kemudian.

“Kita letak harapan tinggi kepada Dekwan (Ridzuan) dan Ammar ke Paris 2024 namun mereka perlu bekerja keras bagi memastikan prestasi sentiasa terbaik.

“Yang pertama sekali, mereka perlu mendapatkan kedudukan 10 terbaik di UAE dan selepas itu perlu meraih pingat emas atau perak di Jepun untuk melayakkan diri secara merit ke Paris 2024. Ini pilihan terakhir buat atlet negara sekiranya ingin melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Untuk rekod, setakat ini hanya dua atlet para olahraga sudah melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Latif menempat slot secara merit ke Paris selepas meraih emas dalam kategori T20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Julai lalu manakala Ziyad pula membawa pulang perak dalam acara lontar peluru kategori F20 di kejohanan sama.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia