Persiapan atlet Sukma 2024 tidak terhenti

ISKANDAR PUTERI – Persiapan atlet untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak tidak terhenti walaupun terdapat ancaman Monsun Timur Laut yang diramal melanda negeri ini sehingga Mac tahun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd. Ekmaludin Ishak berkata, keadaan hujan lebat yang berlarutan pada waktu petang memberi kesan kepada latihan di luar khususnya membabitkan sukan berbasikal dan olahraga.

Sehubungan itu, katanya, MSNJ mengambil pendekatan berbeza dengan melakukan latihan secara tertutup di beberapa venue sukan di negeri ini.

“Saya lihat persiapan untuk menghadapi Sukma Sarawak tidak terkesan dengan keadaan cuaca ketika ini.

“Memandangkan latihan secara ‘outdoor’ tidak dapat dilakukan disebabkan faktor cuaca, jadi latihan dibuat di venue sukan yang ada, lagipun kita ada strategi tersendiri dan sasaran kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif kepada atlet Johor mewakili negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Sea Kemboja 2023 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada majlis itu, MSNJ menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM219,000 daripada kerajaan negeri kepada seramai 100 atlet sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan SEA Ke-32, Kemboja 2023. – KOSMO! ONLINE