Majlis Sukan Negara Malaysia
SESI “POST MORTEM” SUKAN OLIMPIK DAN PARALIMPIK PARIS 2024

Sesi Post Mortem bagi prestasi Kontinjen Malaysia ini telah dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Sesi ini juga telah disertai oleh panel-panel dari Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan wakil Nippon Sports Science University.

Kontinjen Negara telah memperoleh 2 pingat gangsa pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik meraih 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa.

Turut hadir sama YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.

MSN TERIMA ANUGERAH CITRA BAHASA 2024

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Citra Bahasa 2024 dalam Kategori Institusi, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada Majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP.

YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), MSN hadir untuk menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh YYBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Anugerah ini merupakan penghargaan DBP kepada individu, organisasi, atau karya yang memberikan sumbangan besar kepada perkembangan bahasa, sastera, dan budaya Melayu.

MSN dipilih sebagai salah satu institusi yang mencapai Tahap 5 Anugerah Citra DBP, tahap pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada individu atau organisasi yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dan konsisten dalam menyumbang kepada bidang bahasa dan sastera Melayu, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

PROGRAM BICARA INTEGRITI – TATATERTIB; PERANAN KETUA JABATAN

Program Bicara Integriti – Tatatertib; Peranan Ketua Jabatan merupakan salah satu Program Pengukuhan Integriti yg diadakan sempena sambutan Bulan Integriti Nasional 2024.

Program ini juga bertujuan untuk berkongsi dan memberi input khususnya kepada pegawai kanan, pengurus dan penyelia yang mempunyai anggota seliaan mengenai tanggungjawab dan peranan sebagai Ketua Jabatan dalam memastikan kawalan disiplin dan tatatertib anggota masing-masing.

Selain itu, sesi perkongsian ini juga menekankan berkenaan peraturan-peraturan semasa yang berkuatkuasa di samping isu-isu yang sering berlaku berkaitan masalah tatatertib di kalangan penjawat awam.

Ceramah telah disampaikan oleh En. Nor Zahidi Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan, Unit Laporan Ketua Audit Negara dan Operasi Khas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Turut hadir, Ketua Pengarah MSN, YBrs. En. Abdul Rashid Yaakub.

SIDANG MEDIA KBS MASTERS GAMES 2024

Buat julung kalinya Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara akan menganjurkan KBS Masters Games 2024 yang akan diadakan pada 21 hingga 24 November 2024.

Acara sukan bagi golongan 40 tahun dan ke atas ini akan mempertandingkan 12 jenis sukan iaitu renang, badminton, berbasikal, petanque, catur, e-sukan, lawn bowls, memanah, olahraga, pickleball, ping pong dan sepak takraw.

Sebanyak 51 jumlah acara, 36 kategori umur dan 998 pingat ditawarkan untuk edisi sulung ini.

Sidang media disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan, En.Jefri Ngadirin.

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UNIVERSITI UTARA MALAYSIA, MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA, DAN MAJLIS SUKAN NEGERI KEDAH

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM), Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), dan Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) berlangsung pada 6 November 2024, bertempat di Balai Tamu, Bangunan Sultan Sallehuddin Canselori, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Tujuan utama MoU ini adalah sebagai langkah berterusan dalam mencapai objektif MSN melalui program “Malaysian Athlete’s Career and Education” (MACE) dengan konsep “One State, One University, One Centre”. Program ini bertujuan menyediakan laluan kerjaya dan pendidikan yang bersepadu bagi atlet Malaysia, memastikan sokongan holistik dalam pembangunan diri dan kerjaya mereka.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh YBrs. En. Abdul Rashid bin Yaakub, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia; Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Bbn Sakdan, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia; dan YBrs. En. Zulzuraidy Bin Othman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah.

KURSUS PENGURUSAN SUKAN KEBANGSAAN (KPSK) TAHAP 1 BERSAMA SUKAN WANITA SIRI 2/2024

Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 bersama Sukan Wanita Siri 2/2024 telah diadakan pada 5 hingga 7 November 2024 di The Pearl Kuala Lumpur.

48 orang peserta terdiri daripada Persatuan Sukan dan Bahagian Pendidikan Khas, KPM telah menyertai kursus 3 hari ini.

Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Encik Shukri Harun, Ketua Cawangan Program Khas Bahagian Bakat & Pembangunan Wanita, Majlis Sukan Negara.

BENGKEL PERANCANGAN RANCANGAN MALAYSIA KE-13 (RMK13) MSN

Bengkel Perancangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) MSN diadakan bertujuan membincangkan dan menetapkan senarai projek dan program MSN yang dipohon bagi RMK13.

Bengkel dua hari ini dihadiri Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Arrifin Mohd Ghani; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan, Jefri Ngadirin, Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua Sekretariat serta Ketua-Ketua Cawangan.

Promosi Makanan bertemakan perayaan Deepavali

Promosi Makanan bertemakan perayaan Deepavali diadakan 30 Oktober 2024 bertempat di Kafeteria Atlet Time Out, Bukit Jalil dan juga Kafeteria Atlet, Kompleks MSN Nilai sempena Perayaan Deepavali yang akan disambut pada 31 Oktober 2024.

Pelbagai sajian tradisi India telah disediakan oleh chef eksekutif.

Antara menu yang disediakan adalah Awadhi Lamb Briyani Rice, Butter Garlic Paratha with Aloo Palak & Chana Masala, Samosa with Mango Chutney, Gulab Jamun, Saggubiyam Payasam, Mohabbat Ka Sharbat dan banyak lagi.

Atlet-atlet yang hadir amat gembira dengan penyediaan promosi makanan kali ini.

Selamat Menyambut Perayaan Deepavali kepada semua warga sukan yang menyambutnya.

HUAWEI SERAH JAM TANGAN KEPADA OLIMPIAN DAN PARALIMPIAN PARIS 2024

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, hadir menyaksikan majlis penyerahan simbolik jam tangan Huawei kepada Olimpian dan Paralimpian negara bertempat di Hotel Dorsett Grand, Subang pada Jumaat.

Jam tangan ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas pencapaian luar biasa atlet negara yang mewakili Malaysia di Paris 2024.

PEMENANG PINGAT SUKAN OLIMPIK DAN PARALIMPIK PARIS 2024 TERIMA INSENTIF

Seramai lapan atlet terdiri daripada 3 Olimpian dan 5 Paralimpian telah menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) masing-masing, dengan jumlah keseluruhan RM3.6 juta diperuntukkan. Jurulatih yang terlibat turut menerima insentif sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.

Majlis penyerahan insentif ini telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, bertempat di Hotel Dorsett Grand, Subang pada Jumaat. Turut hadir sama, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBhg. Datuk Stuart Ramalingan, Penyelaras Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

SENARAI PENERIMA SHAKAM SUKAN OLIMPIK PARIS 2024:

1. Lee Zii Jia (Badminton – Perseorangan Lelaki) – RM 100,000

2. Aaron Chia & Soh Wooi Yik (Badminton – Beregu Lelaki) – RM 200,000

SENARAI PENERIMA SHAKAM SUKAN PARALIMPIK PARIS 2024:

1. Cheah Liek Hou (Para Badminton – Perseorangan Lelaki SU5) – RM 1,000,000

2. Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting – 72kg) – RM 1,020,000 (Tambahan RM20,000 untuk rekod baru)

3. Muhammad Ziyad Zolkefli (Para Olahraga – Lontar Peluru F20) – RM 300,000

4. Datuk Abdul Latif Romly (Para Olahraga – Lompat Jauh T20) – RM 300,000

5. Eddy Bernard (Para Olahraga – 100m T44) – RM 100,000

Majlis Sukan Negara Malaysia