Majlis Sukan Negara Malaysia
BENGKEL PERCAMBAHAN MINDA BERSAMA AARON ALSOP

Bengkel Kesejahteraan atau Wellbeing anjuran Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) telah berlangsung pada 15 hingga17 Mei 2025. Bengkel ini dihadiri oleh semua pegawai MACE daripada cawangan Kerjaya, Kebajikan dan Pendidikan, dengan objektif untuk mendalami pendekatan dalam membantu atlet melalui penekanan kepada aspek kesejahteraan secara menyeluruh.

Sesi ini dikendalikan oleh Aaron Alsop, merupakan pakar dalam pengurusan sukan dan jurulatih berprestasi tinggi yang berpengalaman luas di Samoa, Papua New Guinea, dan Kepulauan Solomon.

Antara topik utama yang dibincangkan ialah peranan penting Pegawai Kesejahteraan (Wellbeing Officer) dalam menyokong atlet sepanjang kejohanan dan temasya utama.

Antara lain yang turut dibincangkan adalah kepentingan beberapa domain utama dalam kehidupan seseorang seperti kesihatan, persekitaran, kebudayaan, kewangan, kepercayaan dan kerohanian yang memainkan peranan dalam membentuk kehidupan yang sejahtera serta impak negatif sekiranya aspek-aspek ini diabaikan.

Aaron turut berkongsi pengalamannya dalam pengurusan sukan untuk membantu MACE membentuk sebuah Athlete Centre yang menyokong keperluan psikologi dan fisiologi atlet secara menyeluruh, demi meningkatkan prestasi dan kesejahteraan mereka secara holistik.

KURSUS LATIHAN PEGAWAI PELINDUNG SUKAN 2025 (SINGAPURA)

Tarikh: 21–22 April 2025

Tempat: Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura

Dalam usaha mengukuhkan lagi pemahaman dan penggunaan Kod Sukan Selamat, Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Bahagian Atlet dan Bahagian Para telah menghadiri Safeguarding Officer Training Course 2025 anjuran Safe Sport Singapore di Singapura.

Tujuh wakil telah menyertai kursus 2 hari ini iaitu Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin (Lembaga Pengurus MSN), YBhg. Datuk Shalin Zulkifli (Ketua Sekretariat MACE), En. Mohd Zaim Yusof (Ketua Cawangan Podium Bahagian Para), En. Akmal Ahmad Zainudin (Ketua Cawangan Podium Bahagian Atlet), dan 3 wakil dari MACE, Pn. Khairunnisa Suboh, Pn. Shashasuhaida Tarmuzi dan En.Muhammad Arif Zakwan Mohd Zaki.

Kursus ini terdiri daripada tiga (3) komponen utama, iaitu:

1. Pembelajaran E-Learning – Dijalankan secara dalam talian seminggu sebelum tarikh kursus, peserta perlu melengkapkan modul E-Learning dan menjawab ujian secara kendiri.

2. Pembelajaran Kelas Atas Talian (Online Class Learning) – Dilaksanakan selama empat (4) jam dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Sesi ini memberi tumpuan kepada teori dan protokol berkaitan perlindungan sukan. Para pegawai dari MSN telah menjalankan modul ini secara berkumpulan di National Youth Sport Institute Singapore (NYSI), yang turut menjadi pusat operasi Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura.

3. Pembelajaran Fizikal (Physical Learning) – Modul ini mengambil masa selama enam (6) jam, dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang, yang menekankan aspek praktikal seperti teknik temu ramah mangsa, pengurusan kes aduan, tindak balas trauma (trauma response) dan juga cara mengawal tekanan emosi dari mangsa.

Para peserta turut dibawa melawat kemudahan Athlete Centre berdekatan Kallang Wave Mall oleh wakil Sport Singapore (SportSG) dan Safe Sport Singapore.

Dr. Yatela juga berpeluang mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Sukan Selamat Singapura dan Lembaga Sport Singapore (Madam Chan Yen San) yang turut dihadiri YBhg. Datuk Shalin Zulkifli (Ketua Sekretariat MACE), En. Azhar (Ketua Bahagian Pendidikan Kejurulatihan) dan Pn. Wang Shao In (Ketua Bahagian Safe Sport Taskforce).

KARNIVAL PENDIDIKAN ATLET 5.0 BERSAMA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM)

Karnival Pendidikan Atlet 5.0 kembali lagi bermula 14 hingga 25 April 2025 dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) diberi penghargaan untuk membuka tirai karnival yang menawarkan pelbagai keistimewaan kepada atlet untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Bagi sesi ini, wakil daripada UiTM iaitu En. Mohd Yazli Yahya dan Dr. Maisarah Shari telah berkongsi maklumat berkenaan kemasukan atlet ke institusi pengajian UiTM. Antara perkara yang dikongsikan adalah:

Keistimewaan UiTM untuk atlet:

  • Yuran pengajian rendah
  • Pelbagai program mengikut minat atlet
  • Setiap fakulti mempunyai pencapaian cemerlang
  • Sistem akademik yang teratur

UiTM dikenali sebagai “Lions”, dan atletnya digelar “Lions Athletes”.
Tiga objektif utama untuk atlet UiTM:

  • Melahirkan atlet yang cemerlang dalam akademik dan sukan (“Thinking Athletes”)
  • Memberi peluang bersaing di peringkat kebangsaan
  • Menjaga kebajikan atlet sepanjang pengajian

Dua program khas untuk atlet negara:

  • Sains Sukan
  • Pengurusan Sukan

Kaedah pengajian di Fakulti Sains Sukan & Rekreasi:

  • Bersemuka
  • Open Distance Learning (ODL)
  • Track Atlet (fleksibel untuk atlet)
  • Sepenuh masa

Syarat minimum kemasukan:

  • 3 kepujian dalam sebarang subjek
  • Lulus Bahasa Melayu & Sejarah

Sokongan untuk pelajar atlet:

  • Perkhidmatan kaunseling
  • Bimbingan kerjaya
  • Khidmat tutor akademik

TAKLIMAT PROGRAM MACE KEPADA PENGURUS SUKAN MSN

Taklimat mengenai fungsi dan tanggungjawab Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) telah diberikan kepada pengurus sukan Majlis Sukan Negara pada 20 Feb 2025.

Taklimat ini turut membentangkan cadangan pelaksanaan program-program bagi tahun 2025 untuk elemen pendidikan, kerjaya dan juga kebajikan agar program yang dirancang tidak bertindih dengan pelaksanaan program-program lain.

Selain itu, Puan Ang Li Peng yang merupakan “Safe Guarding Officer” bertauliah dari International Olympic Council (IOC), peguam dan bekas pemain badminton negara turut hadir bagi memberi taklimat mengenai Sukan Selamat sebagai panduan untuk memastikan persekitaran sukan yang bebas dari sebarang bentuk penderaan, gangguan, keganasan, dan ancaman keselamatan.

Seramai 24 pengurus sukan daripada Bahagian Atlet dan Bahagian Paralimpik telah hadir ke taklimat tersebut.

KEMASUKAN ATLET MURID KE SEKOLAH

Seramai 25 atlet murid di bawah program latihan Majlis Sukan Negara telah memulakan sesi persekolahan baharu bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 pada 17 Februari 2025.

Daripada jumlah tersebut, seramai 21 orang atlet daripada sukan karate, akuatik renang dan terjun, gimnastik artistik, sepak takraw dan wushu telah ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Manakala 4 orang atlet sukan berbasikal dan memanah yang menjalani latihan di Kompleks Sukan MSN Nilai, Negeri Sembilan pula ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan.

MSN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membentuk keseimbangan antara kecemerlangan sukan dan akademik, selaras dengan usaha melahirkan atlet pelajar yang berdaya saing serta melahirkan lebih ramai thinking athlete.

Majlis Sukan Negara Malaysia