Bagus untuk Malaysia – Hamidin

PETALING JAYA – Kejayaan Faisal Halim memenangi jaringan terbaik Piala Asia 2023 jadi satu pengiktirafan positif dan wajar dibanggakan oleh semua pihak dalam industri bola sepak di Malaysia.

Walaupun tidak mampu melepasi aksi Kumpulan E, kemenangan Faisal ini secara tidak langsung akan beri publisiti meluas kepada arena bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa khususnya di benua Asia.

“Kalau dia menang baguslah untuk rakyat Malaysia,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jaringan Mickey itu terhasil selepas bintang Selangor itu pamer ketenangan untuk memperdaya bintang Korea Selatan dan Bayern Munich, Kim Min-jae sekaligus menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan E, 25 Januari lalu berakhir seri 3-3.

Mickey mencatatkan undian 85 peratus diikuti penyerang Jordan, Mousa Al Tamari yang merekodkan sembilan peratus, Son Heug-min (Korea Selatan) tiga peratus manakala Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran) meraih satu peratus.

Tiga lagi pemain iaitu Abdulrahman Ghareeb dari Arab Saudi, Keito Nakamura (Jepun), Hassan Al Haydos (Qatar) tidak mendapat sebarang markah. – KOSMO! ONLINE