Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet boling padang negara terima ‘durian runtuh’

Kuala Lumpur: Empat atlet boling padang negara menerima insentif berjumlah RM50,000 daripada syarikat korporat SD Guthrie Berhad atas kejayaan meraih satu pingat emas dan tiga gangsa pada Piala Dunia Boling Padang 2025 baru-baru ini.

Majlis penyampaian insentif kepada Emma Firyana Saroji, Nurul Alyani Jamil, Izzat Shameer Dzulkeple dan Jariah Zakaria disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Lebih bermakna apabila majlis itu turut mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Penaung Diraja Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, yang menyaksikan upacara itu berlangsung di Istana Terengganu, Kuala Lumpur hari ini.

Emma, yang merangkul pingat emas perseorangan wanita berkata, insentif itu menjadi dorongan untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan buat negara.

“Tahun depan kita ada Sukan Komanwel di Glasgow, jadi ini macam dorongan untuk kami dan saya bertekad akan buat lebih baik pada temasya itu,” katanya.

Pada aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara, 8 November lalu, ratu boling padang negara itu menewaskan wakil England Katherine Rednall 5-5, 6-5 untuk meraih emas, sekali gus membantu Malaysia bergelar juara keseluruhan pada edisi sulung Piala Dunia itu.

Tiga lagi pingat gangsa negara disumbangkan Nurul Alyani (Perseorangan Wanita), Izzat Shameer (Perseorangan Lelaki) dan Jariah (Perseorangan Para Wanita).

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, kejayaan pasukan negara merangkul gelaran juara keseluruhan adalah di luar jangkaan, memandangkan sasaran awal hanyalah untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik.

“Semangat juang pemain menjadi kunci kejayaan dan kerja keras serta pengorbanan mereka wajar di balas dengan insentif,” katanya.

Beliau berkata, Piala Dunia untuk boling padang masih baharu dan belum berdaftar dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), namun untuk menghargai kejayaan atlet, usaha dilakukan bagi mendapatkan sokongan dan SD Guthrie tampil membantu.

Syarikat korporat itu juga adalah penaja kejohanan yang berlangsung pada 3 hingga 8 November lalu.

Young Tigress sasar sejarah baharu di Piala Dunia Remaja

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara optimis mampu menampilkan persembahan cemerlang untuk memburu kedudukan terbaik pada Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita (JWC) 2025 yang akan berlangsung di Santiago, Chile bermula 1 hingga 13 Disember ini.

Pengurus pasukan wanita negara, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samat berkata, beliau menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan pemain yang kini semakin matang hasil persiapan rapi serta pengalaman menentang kelab Jiangsu dari China baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek motivasi menjadi keutamaan dalam memastikan moral pemain berada pada tahap terbaik sepanjang kempen Piala Dunia itu.

“Saya berharap pemain-pemain dapat bermain dengan baik setelah sekian lama berlatih. Baru-baru ini mereka didedahkan dengan pengalaman bermain bersama kelab Jiangsu China.

“Jadi ia adalah bekalan yang sedikit sebanyak boleh membantu mereka di Santiago nanti. Saya juga berharap pasukan dapat ke pusingan kedua dan seterusnya. Melihat kepada semangat yang dipamerkan, saya percaya mereka boleh berbuat demikian.

“Saya juga sudah beritahu mereka agar buktikan sesuatu dan cipta sejarah di JWC ini kerana selama ini tiada siapa yang memberi harapan kepada pasukan ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih, Lailin Abu Hassan mengakui cabaran di Kumpulan A bukan tugas mudah apabila berdepan tiga pasukan gergasi dunia seperti Chile, Jepun dan Belanda.

“Jika dilihat secara realistik pada kumpulan kita di JWC ini, ada Belanda juara bertahan, Chile tuan rumah dan Jepun tempat ketujuh pada edisi lepas. Jadi memang sangat sukar untuk kita lepasi peringkat kumpulan.

“Memandangkan pasukan kita kurang pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, saya mensasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik di JWC 2025,” katanya.

Young Tigress bakal membuka kempen sulung mereka dengan pertembungan mencabar menentang Jepun pada 2 Disember, jam 2.45 pagi waktu Malaysia.

Dua hari kemudian, skuad remaja wanita negara dijadualkan bertemu tuan rumah, Chile pada jam 7.15 pagi, sebelum menutup saingan kumpulan menentang juara bertahan, Belanda pada 6 Disember (2.45 pagi).

Atlet negara ke Songkhla naik bas, MSN jamin perjalanan lebih tersusun

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan atlet negara yang akan bersaing di Songkhla pada Sukan Sea Thailand bulan depan akan bergerak menggunakan jalan darat iaitu menaiki bas.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, setiap atlet akan bergerak secara berperingkat berdasarkan tarikh pertandingan sukan masing-masing dan bagi mengelakkan keletihan, mereka akan bergerak tiga hari lebih awal dari Kuala Lumpur.

Tambah Jefri, bagi memastikan perjalanan atlet berjalan lancar tanpa sebarang masalah, MSN mengambil beberapa langkah seperti mengadakan pertemuan dengan pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), konsulat Malaysia di Songkhla dan pihak Imigresen Malaysia.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah masa perjalanan dan keperluan untuk tempoh rehat yang lebih panjang.

“Jadi, bagi Songkhla, memandangkan ia berhampiran sempadan, kami telah mengadakan perbincangan dengan konsulat di Thailand, UUM dan juga Imigresen bagi memudahkan proses berkenaan.

“Mereka akan bermalam satu malam di UUM sebelum bergerak ke Songkhla dalam keadaan yang lebih segar berbanding laluan biasa yang mungkin mengambil masa lebih lama.

“Itulah sebabnya kami menggunakan perjalanan darat hanya untuk Songkhla. Perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam dari sini dan dari sempadan, ia kira-kira satu jam setengah,” katanya.

Antara sukan yang akan berlangsung di Songkhla ialah catur, judo, karate, muay thai, pencak silat, gusti, wushu, bola sepak dan futsal.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan sasaran pingat pada Sukan Sea Thailand kekal seperti temasya sebelum ini iaitu sasaran tanpa warna kerana ia dapat mengurangkan tekanan tinggi kepada atlet yang bertanding.

Menurut Hannah, beliau lebih mengambil pandangan daripada pakar di Nippon Sport Science University (NSSU) di Jepun kerana mereka menghasilkan 40 pingat emas Olimpik.

“Kami menggunakan formula ini ketika Sukan Asia 2022 di Hangzhou dan ia diterima baik oleh semua atlet yang bertanding kerana sebelum ini, mereka merasakan hanya mereka yang membawa pulang pingat emas diraikan oleh kerajaan.

“Namun, dengan sasaran pingat keseluruhan, atlet yang membawa pulang pingat gangsa juga merasakan mereka adalah penyumbang kepada usaha pasukan,” katanya.

Latihan bersama RTG–BAM dijangka lonjakkan badminton negara

Kuala Lumpur: Program Road To Gold (RTG) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini berada pada fasa akhir perbincangan untuk mewujudkan latihan bersama bagi memastikan prestasi atlet di bawah jagaan BAM dan pemain profesional benar-benar berada pada tahap tertinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau mahu semua atlet badminton yang berada dalam RTG dapat memberikan persembahan cemerlang di setiap kejohanan yang disertai dan sebab itu latihan bersama dilihat sebagai salah satu cara membantu mereka.

Katanya, untuk merealisasikan perkara itu, RTG dan BAM perlu mencari tarikh yang sesuai kerana pemain badminton sentiasa terikat dengan kejohanan di luar negara hampir setiap minggu.

“Saya mahu RTG memastikan atlet profesional, bebas dan atlet BAM mempunyai masa untuk berlatih bersama dan sekiranya tidak, saya rasa daya saing menurun.

“Jadi, kita minta sesi latihan bersama dibuat. Sebelum Paris (Sukan Olimpik), kita luluskan rakan sepelatih RTG tetapi sebenarnya rakan sepelatih itu sudah ada dalam negara sekiranya atlet profesional dan BAM bekerjasama.

“RTG sedang menyediakan ekosistem itu dan sedang berbincang dengan BAM,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian penajaan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Corporate Hero Century Sdn Bhd (PACE).

Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.

Selain itu, Hannah menjelaskan hanya atlet yang berada dalam RTG sahaja akan memperoleh manfaat berkenaan kerana beliau mahu mereka menggunakan peluang itu untuk mendapatkan rakan sepelatih yang sama kuat.

“Hanya atlet RTG sahaja kerana kita tahu ranking mereka hampir sama, dan kita mahu mereka menggunakan peluang ini untuk berlatih bersama-sama agar dapat meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, atlet BAM yang berada dalam RTG ketika ini ialah beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, Man Wei Chong–Tee Kai Wun (lima dunia), beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah (dua dunia) dan beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei (empat dunia).

Sementara itu, atlet profesional pula termasuk beregu lelaki, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani (empat dunia) dan beregu campuran yang juga suami isteri, Goh Soon Huat–Shevon Lai (sembilan dunia).

Kepulangan Faizal perkembangan positif skuad kebangsaan, THT – PHT

Kuala Terengganu: Kepulangan bekas penyerang prolifik, Faizal Saari ke dalam skuad hoki kebangsaan bagaikan memberi nafas baharu buat kem The Speedy Tigers.

Malah kehadiran semula pemain berusia 34 tahun itu disifatkan perkembangan yang positif bukan sahaja dalam skuad kebangsaan malah juga kelabnya, Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun berkata, kepulangan penjaring terbanyak THT musim ini tepat pada masanya kerana prestasinya masih berada pada tahap terbaik biarpun hampir sembilan bulan bersara daripada skuad kebangsaan.

“Kepulangan penyerang prolifik negara itu ke dalam skuad kebangsaan boleh disifatkan perkembangan yang amat positif dan menggembirakan seluruh peminat hoki Malaysia termasuk penyokong Terengganu.

“Kehadirannya membawa makna besar kepada masa depan hoki Malaysia, khususnya dalam memperkukuhkan jentera serangan negara menjelang kejohanan utama yang bakal dihadapi.

“Pada masa sama ia turut memberi keyakinan baharu kepada pasukan negara kerana pengalaman luas, kemampuan menjaringkan gol yang tinggi serta keupayaannya mengubah rentak permainan pada saat penting,” kata Mohd Fikri kepada NSTP.

Mengulas lanjut, Mohd Fikri berkata, kehadiran Faizal juga akan membantu meningkatkan daya saing dan intensiti latihan dalam skuad kebangsaan sekali gus memberi impak langsung kepada pembangunan keseluruhan hoki Malaysia.

“Pasukan negara memerlukan pemain yang mempunyai kematangan, ketenangan dan rekod prestasi yang terbukti terbaik, Faizal memenuhi ciri itu.

“Dengan adanya pemain itu, pasti struktur serangan pasukan kebangsaan akan menjadi lebih mantap dan berbahaya dan pada ada masa yang sama, perkembangan ini juga memberi manfaat kepada kelab THT kerana Faizal akan kembali dengan tahap kecergasan, disiplin dan keyakinan yang lebih tinggi selepas berlatih di peringkat antarabangsa.

“Ini berita baik untuk hoki Malaysia, dan juga satu suntikan semangat kepada THT. Kami percaya Faizal akan terus menunjukkan komitmen tinggi untuk negara dan negeri,” katanya.

Pearly-Thinaah enggan dabik dada

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah enggan berada di ‘kayangan’ selepas memperoleh gelaran ketiga musim ini kerana masih ada beberapa aspek perlu dibaiki.

Bagi Thinaah, kemenangan di Masters Jepun semalam memberi mereka motivasi untuk menghadapi kejohanan akan datang namun mengakui perlu bekerja lebih keras lagi untuk meraih lebih banyak kejayaan.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi masih banyak perkara perlu kami pelajari dan perbaiki,” katanya.

Namun begitu, selepas berhempas pulas, beregu nombor dua dunia itu ingin menggunakan masa yang ada ini untuk meraikan kejayaan diperoleh tetapi tetap akan memberi fokus dalam latihan.

“Buat masa ini, kami akan meraikan detik ini, kekal berpijak di bumi nyata dan terus fokus untuk aksi seterusnya.”

Untuk makluman, anak didik Rosman Razak menunjukkan prestasi membanggakan musim ini apabila berjaya meraih beberapa gelaran termasuk ke pentas akhir.

Selain Masters Jepun, mereka juga berjaya muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland selain muncul naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun termasuk di Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Ogos lalu.

Ketika ini, Pearly-Thinaah akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk Sukan Sea di Thailand (7-14 Disember) dan ke Jelajah Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember.

Umaira dinobat Raja Pecut Kejohanan Olahraga Sea

Kuala Lumpur: Pelari remaja negara, Muhammad Umaira Subri muncul raja pecut selepas memenangi perlumbaan 100 meter (m) lelaki Bawah 20 Tahun (B-20) pada Kejohanan Olahraga Sea B-18 & B-20 2025 yang berlangsung di Indonesia.

Umaira berjaya melakukan catatan 10.32 saat (s) untuk menjadi pelari pertama melepasi garisan penamat mengalahkan rakan senegara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang meraih perak dengan catatan 10.38s.

Pelari tuan rumah, Ariel pula dilihat sukar mengejar dua wakil negara dan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 10.54s.

Sementara itu, atlet lompat tinggi negara, Muhammad Raziq Muqri Ramadhan turut menampilkan lompatan terbaik dengan ketinggian 2.00m dalam kategori B-18 sekali gus membolehkan dirinya menyumbang pingat emas buat kontinjen negara.

Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim berkata, kejayaan yang diraih Raziq Muqri adalah satu pencapaian sangat bagus dan menunjukkan masa depan lebih cerah untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam acara lompat tinggi.

“Dia baru umur 16 tahun tapi berjaya melakukan lompatan 2.00m. Ini adalah atlet masa depan kita. Saya rasa bangga dengan pencapaian yang dilakukan. Saya juga ucapkan terima kasih kepada jurulatihnya, Noriah Abdullah (SMK Gerik).

“Hasil usaha dan latihannya sendiri, dia akan dapat penajaan dari segi kelengkapan seperti pakaian dan barangan lain. Kita berikan ini atas pencapaian yang dilakukan apatah lagi usianya baru 16 tahun,” katanya.

Pada masa sama, atlet lompat kijang, Muhammad Imran Abdullah turut berjaya meraih pingat emas lelaki B-20 dengan lompatan sejauh 14.64m.

790 atlet Melaka disenarai dalam persiapan awal SUKMA 2026

MELAKA: Seramai 790 atlet didaftarkan dalam senarai awal kontinjen Melaka bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor tahun depan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam berkata, pendaftaran awal itu bertujuan memastikan atlet berbakat kelahiran Melaka diberikan peluang dan sokongan penuh untuk mewakili negeri sendiri.

“Nama-nama atlet yang didaftarkan dalam senarai panjang ini memberi kelebihan kepada Melaka untuk menilai potensi mereka dan memilih yang terbaik dalam senarai pendek kelak.

“Jika mereka tidak disenaraikan, ada kemungkinan mereka akan mewakili negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 di sini hari ini.

Shanmugam berkata, setakat ini Melaka aktif mengadakan pelbagai pertandingan dan sesi latihan bagi mencungkil bakat baharu serta menilai prestasi atlet sedia ada dalam 37 jenis sukan yang bakal dipertandingkan.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri turut menempatkan jurulatih sepenuh masa, separuh masa dan sambilan bagi memperkukuh persiapan pasukan.

Katanya, Melaka menyasarkan untuk membaiki pencapaian terdahulu iaitu 17 pingat emas, 23 perak dan 30 gangsa pada SUKMA Sarawak 2024.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM1.4 juta untuk penyelenggaraan dan baik pulih fasiliti sukan di seluruh negeri, dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima RM50,000.

“Fasiliti seperti gelanggang futsal dan sepak takraw sedia ada kebanyakannya dibina pada 2009 dan usaha baik pulih ini penting agar kemudahan yang digunakan kekal selamat serta dalam keadaan baik,” katanya.

Aaron, Cheong Min dinobat Olahragawan, Olahragawati Melaka

Melaka: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima Anugerah Khas Ikon Tokoh Lestari Sukan Negeri Melaka sempena Anugerah Sukan Melaka kali ke-39, hari ini.

Anugerah berkenaan dinobatkan kepada Ab Rauf di atas sumbanganya kepada pembangunan, kemajuan dan pelbagai program sukan di bawah pentadbirannya di negeri berkenaan.

Dalam masa sama bekas pemain bola sepak Olimpik 1980, Ramli Junit menerima Anugerah Khas pada majlis dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Sementara itu pemain badminton beregu negara, Aaron Chia dan atlet wushu, Tan Cheong Min dianugerah sebagai Olahragawan dan Olahragawati dan Lee Ronn (wushu) dan Nurul Syasya Khairina Samsur meraih gelaran olahragawan dan olahragawati harapan.

Ab Rauf berkata, majlis berkenaan bukan sekadar penghargaan, tetapi pentas pengiktirafan terhadap keberanian, kesungguhan dan kecekalan pahlawan sukan Melaka yang meletakkan arena sukan sebagai medan perjuangan sebenar.

“Sepanjang 2023-2024 menyaksikan momentum positif perkembangan sukan Melaka mencatatkan lebih 794 atlet aktif dalam Program Pembangunan Pelapis Negeri, Bakat dan Bakat Olimpik di bawah Majlis Sukan Negeri Melaka.

“Kutipan pingat di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) turut melonjak 37.3 peratus, iaitu daripada 51 pingat pada SUKMA 2022 kepada 70 pingat pada SUKMA 2024.

“Dalam pada itu, beberapa sukan seperti wushu, silat, berbasikal termasuk badminton di peringkat Olimpik turut disertai oleh anak watan Melaka yang  mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian yang membanggakan sekali gus menggambarkan satu petanda jelas negeri terbabit berada landasan yang tepat untuk lebih cemerlang,”katanya.

Jelasnya,  Kerajaan Negeri Melaka turut memperuntukkan sebanyak RM213,000 bagi lapan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka kendalian Majlis Sukan Negeri (MSN) berkenaan termasuk hadiah insentif kemenangan atlet pada majlis terbabit.

Rauf berkata, antara pencapaian yang membanggakan termasuk beregu campuran negara, Toh Ee Wei negara yang menjuarai gelaran sulung Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris selain Kejohanan Wushu Dunia, Brazilia, menerusi tiga atlet membabitkan Tan Cheong Min, Si Shing Peng dan Ti Kai Jie, yang berjaya meraih empat  emas, satu perak dan dua gangsa.

Malah silat olahraga, menerusi Muhammad Raqib Darwisy Muhammad yang meraih gangsa di Temasya Sukan Remaja Asia (Asian Youth Games) 2025 di Bahrain selain atlet berbasikal Hafiq Mohd Jafri membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Trek Germany 2025.

Aaron tumpu persiapan ke Sukan SEA

MELAKA: Jaguh beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia kini menumpukan sepenuh perhatian bagi persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand bulan depan selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Melaka pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 Tahun 2023/2024 di sini hari ini.

Atlet kelahiran Batu Berendam berusia 28 tahun itu berkata, beliau kini dalam tempoh persediaan bagi menghadapi temasya dwitahunan berkenaan dengan memfokuskan sepenuhnya latihan sepanjang bulan ini tanpa menyertai sebarang pertandingan, susulan jadual padat di Eropah bulan lepas.

“Anugerah ini sememangnya memberi semangat tambahan dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka yang sentiasa memberikan sokongan. Fokus utama saya sekarang menumpukan latihan bagi menyumbangkan pingat untuk kontinjen negara di Sukan SEA Thailand,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, atlet berkenaan menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, dan membawa pulang trofi, piala pusingan serta wang tunai berjumlah RM3,000.

Aaron berkata, beliau berkemungkinan bergandingan dengan pemain lain dalam acara beregu lelaki sebagai percubaan gandingan baharu, namun sebarang keputusan akan ditentukan oleh jurulatih.

Bagaimanapun, beliau yakin tidak menghadapi masalah sekiranya bergandingan dengan Man Wei Chong atau Tee Kai Wun, yang juga atlet kelahiran Melaka.

Selepas Sukan SEA, Aaron dan rakannya, Soh Woi Yik dijadualkan bergandingan semula untuk menghadapi Kejohanan Jelajah Dunia di Hangzhou, China, pada Disember depan.

Aaron meraih gelaran itu buat kali kedua berturut-turut selepas menampilkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa, termasuk memenangi pingat gangsa acara beregu lelaki pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, dan Sukan Olimpik 2024 di Paris, selain muncul naib juara Kejohanan Seluruh England 2024 di Birmingham.