Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang ke suku akhir cerah

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ternyata boleh menarik nafas lega dan gembira apabila skuad negara tidak diundi dalam kumpulan maut bagi saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang bermula 13 hingga 18 Februari depan.

Menurut Rexy, berdasarkan undian dijalankan secara atas talian hari ini, ia sudah pasti membuka peluang cerah buat skuad lelaki mara ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei.

“Sudah pasti kita akan ke suku akhir berdasarkan undian sebentar tadi. Ia akan membolehkan penganjur menjual tiket mereka dan penonton harus datang beramai-ramai memberi sokongan serta menyaksikan kejohanan menarik ini,” kata bekas pemain beregu lelaki Indonesia itu.

Ujarnya, beliau sudah memberitahu pemain supaya fokus kepada kejohanan ini dengan memberikan keputusan membanggakan serta berjuang habis-habisan selepas aksi buruk di Terbuka Malaysia.

“Berikan kegembiraan dan banggakan negara. Semua pemain sudah mempersiapkan diri dengan baik sekali walaupun kita dihimpit masalah kecederaan apabila perseorangan lelaki Justin Hao terpaksa diketepikan dan digantikan dengan Leong Jun Hao.

“Kita membariskan barisan terkuat dengan kehadiran perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Jun Hao, Ng Tze Yong dan pemain sedang meningkat naik, Eugen Owe.

“Beregu pula akan dibarisi gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri,” katanya.

Bagi saingan wanita, Rexy juga yakin srikandi negara mampu melayakkan diri ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Skuad wanita diundi bersama Thailand dan UAE juga saya rasa kita akan ke suku akhir. Cuma kita harus realistik dalam perseorangan kerana ia sukar, sekurang-kurangnya seorang harus menang.

“Bagi beregu saya rasa 50-50 dengan Pearly Tan-Thinaah selalu berdepan pasangan nombor satu Thailand. Beregu kedua pula lebih menarik untuk dilihat, apa pun kita perlu menang untuk berada di tangga teratas kumpulan seterusnya mengelak bertemu China dan Jepun di suku akhir,” katanya.

Bagi skuad wanita pula empat pemain perseorangan dipertaruhkan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching, manakala beregu dibarisi Pearly-Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Tambah Rexy, kejohanan itu akan menjadi lebih menarik kerana menawarkan mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris.

“Saya sudah pasti China tidak menghantar skuad utama tetapi pemain lain mereka tetap perlu mencari mata untuk ke Olimpik. Mereka akan terus menggunakan ‘gear enam’ seawal saingan apabila bakal bertemu India, Hong Kong.

“Lagi pun sudah tidak banyak kejohanan yang menawarkan mata Olimpik kerana selepas ini hanya tinggal Seluruh England, Terbuka Perancis dan Swizterland. Ia akan berlangsung menarik di sini, kita akan melihat perlawanan berkualiti,” katanya.

-Harian Metro

Akuatik Dunia medan buru tiket Olimpik

PETALING JAYA: Kejohanan Akuatik Dunia yang membuka tirai pada 2 hingga 18 Februari ini akan menjadi medan terakhir untuk skuad terjun negara memburu tiket ke Olimpik Paris.

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas bagaimanapun optimis dengan peluang penerjun-penerjun untuk meraih slot ke Olimpik Paris yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Jelasnya, antara penerjun yang berpotensi meraih tiket ke Paris kali ini adalah ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee dan Ooi Tze Liang.

“Ada beberapa atlet yang kita rasa tak ada masalah untuk layak. Macam Dhabitah, Wendy, Tze Liang, dan Datuk Pandelela.

“Kalau ikut latihan di China dan skor (markah) mereka masa sesi latihan di sana, tak ada masalah untuk layak.

“Cuma kita harapkan boleh layak lebih ramai lagi macam Jellson/ Enrique di 10m (meter) platform. Syafiq di 3m, dan semestinya acara yang paling susah nk layak acara terjun seirama.

“Tapi kita nk cuba fight untuk 10m dan 3m seirama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun pertama negara menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, setakat ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik selepas meraih slot berkenaan susulan mara ke final acara 10 meter (m) platform individu lelaki individu pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lepas.

Pada kejohanan di Doha itu, 12 penerjun terbaik acara individu dan empat gandingan terbaik acara seirama akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN

Pujian Ginting lonjak semangat Jun Hao

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao ingin meneruskan aksi cemerlang di Masters Thailand yang dijadualkan akan berlangsung di Bangkok bermula esok hingga Ahad ini.

Pada Masters Indonesia minggu lalu, dirinya berjaya mempamerkan prestasi terbaik meskipun pun tewas kepada pemain nombor empat dunia dari Indonesia, Anthony Ginting straight set 15-21, 17-21 di pusingan kedua.

Namun pemain berusia 25 tahun itu percaya dirinya mendapat pengalaman ketika berdepan jaguh Indonesia itu selain mendedahkan Ginting memuji aksi yang ditampilkannya pada perlawanan itu.

“Secara jujur, memang saya berpuas hati dengan apa yang ditampilkan sepanjang beraksi di Indonesia Masters. Bagaimanapun, saya rasa sepatutnya menunjukkan aksi lebih baik daripada itu.

“Memang benar saya dapat banyak pengalaman ketika berdepan Ginting, terutamanya aksi dalam gelanggang, permainan rali serta pukulan. Selain itu, ia memberikan kelebihan dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Di Masters Thailand, Jun Hao akan menantikan pemenang pusingan pertama antara pemain Jepun, Kanta Tsuneyama ataupun Lin Chun Yi dari Taiwan di pusingan kedua nanti selepas dirinya mendapat ‘bye’ di pusingan awal.

Sementara itu, Jun Hao juga terpilih untuk dimasukkan ke dalam skuad negara menggantikan Justin Hoh yang digugurkan akibat kecederaan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 pertengahan bulan ini.

-Harian Metro

Lupakan Qatar, ayuh ke Saudi

KUALA LUMPUR: Berakhirnya kempen ‘pramatang’ di Piala 2023 tidak bermakna skuad negara boleh bersenang-lenang memandangkan misi ke Arab Saudi bagi Piala Asia 2027 akan diteruskan.

Selepas dua perlawanan, skuad bimbingan Kim Pan Gon mengungguli Kumpulan D dengan enam mata sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang juga slot automatik ke Piala Asia 2027.

Justeru, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan perancangan rapi perlu disusun bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat mengekalkan prestasi bagi meneruskan ‘peperangan’ menentang Oman di tempat lawan dan laman sendiri, Mac ini.

Jelasnya, skuad negara akan mengharungi sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan sebagai persiapan sebelum menentang Oman tanpa mengira sama ada aksi terbabit berlangsung di sini mahupun di luar negara.

“Kita ada beberapa pilihan, mungkin kita akan ke Dubai jika dapat pasukan yang bagus ataupun kita bermain di tempat sendiri. Kita masih ada kerisauan meskipun kita sudah mendapat enam mata maksimum dan ada baki empat perlawanan lagi.

“Kita tidak boleh terlepas peluang untuk mencipta satu lagi sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah tiket sebagai 18 pasukan terbaik di Arab Saudi 2027.

“Sebab itu persiapan itu (berdepan Oman) adalah amat penting dan kita sedang berusaha untuk dapatkan sekurang-kurangnya dua perlawanan sebelum kita pergi ke Oman,” kata Hamidin.

Dalam masa sama, Hamidin juga mengakui dua aksi berdepan Oman itu mampu menjadi penentu kepada nasib skuad kebangsaan sekali gus mengharapkan mereka mampu mencuri mata pada kempen kelayakan, dua bulan lagi.

“Walaupun kita sudah ada enam mata, kita mesti mencuri mata daripada dua perlawanan menentang Oman ini. Sekurang-kurangnya seri ataupun satu menang dan satu kalah kerana kita tidak boleh kalah dalam kedua-dua pertemuan itu.

“Kalau itu terjadi, kita ada risiko tinggi apabila menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan Taiwan di laman sendiri nanti. Kita perlu cuba untuk layak lebih awal sekali gus dapat konsisten beraksi di Piala Asia,” katanya.-Berita Harian

Akhimullah wira atasi AS

KUALA LUMPUR: Kapten skuad hoki lima sebelah lelaki negara Akhimullah Anuar Esook muncul wira pasukan apabila meledak jaringan berganda untuk membantu Malaysia mengatasi Amerika Syarikat (AS) 3-2 pada Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman semalam.

Kemenangan itu membantu Malaysia mengumpul empat mata untuk menduduki tangga kedua Kumpulan D, terikat dengan tuan rumah Oman yang unggul dengan kelebihan jaringan gol.

AS (3 mata) dan Fiji (0 mata) pula masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan.

Pada aksi Kumpulan D di Hockey Oman Venue, pasukan negara kendalian Wallace Tan mendominasi permainan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 hasil jaringan padang Akhimullah.

Jaringan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat AS untuk menyamakan kedudukan menerusi gol padang Harris Pat pada minit ke-17 sebelum pasukan negara kembali di depan apabila Syarman Mat Tee meledak gol padang lima minit kemudian.

Tidak cukup dengan itu, asakan Malaysia ke kubu pasukan lawan untuk memburu jaringan, membuahkan hasil apabila Akhimullah sekali lagi membolosi gawang pasukan lawan dengan gol padang pada minit ke-25 sebelum Pat menghadiahkan gol kedua AS dua minit kemudian.

Malaysia dijadual bertemu Fiji bagi aksi terakhir Kumpulan D petang ini.

Kelmarin, skuad negara terikat 3-3 dengan Oman pada aksi pertama peringkat kumpulan. – BERNAMA

Peluang pecah rekod kebangsaan memanah dalam dewan

Kuala Lumpur: Lebih 1,600 pegawai dan atlet tempatan serta antarabangsa mengesahkan penyertaan di Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024 (Sinar 2024) bermula 2 hingga 4 Februari depan.

Kejohanan memanah terbesar negara itu dianjurkan Persatuan Memanah Selangor (Selar) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

Rakan strategik yang turut terlibat adalah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) selain disokong Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Selangor serta Rakan Muda.

Atlet yang bertanding berpeluang mencatat rekod kebangsaan berikutan pengiktirafan dan penarafan diakreditasikan oleh NAAM dalam kejohanan di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Bekas pemanah negara, Cheng Chu Sian adalah pemegang rekod kebangsaan dengan 581 mata bagi 18 meter acara Recurve serta bekas pemanah Selangor, Aisyah Najihah M Azizul dengan 557 mata pada Kejohanan Memanah Dalam Dewan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2018 dan 2016.

Sementara itu, pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki memegang rekod acara Compound dengan 594 mata di Taipei Archery Open – IWS Stage 3, tahun lalu, manakala Fatin Nurfatehah Mat Salleh mencatat 578 mata semasa Kejohanan Memanah Dalam Dewan UPM 2016.

Pemanah Barebow negara, Nor Idzuwan Mohammad turut memegang rekod kebangsaan dengan catatan 526 mata di Kejohanan Memanah Nimes 2024 di Perancis, baru-baru ini.

Selar menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan dukungan kuat daripada barisan penaja iaitu Excella Archery Proshop, LA Sports Corporation, Al-Fadzil Agency, Eastern Shadow Archery Proshop, Xtion10 dan Ostra.

Pada masa sama, Selar berharap Sinar 2024 menjadi batu loncatan kepada sukan memanah negara melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan yang menjadi acara utama temasya Sukan Olimpik.-Harian Metro

Piala Dunia Hoki 5s: Malaysia mara ke suku akhir

PETALING JAYA: Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas membelasah Fiji 8-3 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D di Muscat, Oman hari ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Wallace Tan mengakhiri saingan peringkat kumpulan di tangga kedua selepas terikat tujuh mata bersama Oman dengan tuan rumah mempunyai lebihan jaringan.

“Kemenangan ke atas Fiji sangat penting untuk kita mengesahkan tempat ke suku akhir. Di suku akhir kita akan berjumpa Trinidad & Tobago, dalam hoki 5s ini kita kena hormati semua negara

“Dalam kejohanan ini beberapa kejutan telah berlaku seperti Mesir tumpaskan India, Poland kalahkan Pakistan dan Trinidad & Tobago berjaya menundukkan New Zealand, hoki 5s ini lain.

“Kita akan gunakan tempoh rehat secukupnya dan akan turun menentang Trinidad & Tobago esok dalam perlawanan suku akhir,” kata Wallace.

Pada aksi hari ini, kapten negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook sekali lagi membuktikan kewibawaannya apabila meledak hatrik manakala, Syarman Mat Tee meledak dua gol.

Tiga gol lagi masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Firdaus Omar dan Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin.-UTUSAN

Prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin masih boleh ‘pergi’ jauh

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki badminton negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dilihat masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.

Jurulatih negara, Tan Bin Shen menegaskan dia tidak merasakan prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin sudah mencapai tahap maksimum dan yakin gandingan berkenaan mampu untuk meningkatkan lagi permainan mereka.

Sze Fei-Nur Izzuddin sebelum ini berpisah pada November 2022 sebelum bergandingan semula pada Mei tahun lalu dan prestasi mereka pada awal musim 2024 dilihat kurang memberangsangkan.

Gandingan ke-21 dunia itu memulakan kempen 2024 dengan tersingkir di pusingan kedua PETRONAS Terbuka Malaysia dan keputusan itu turut berlaku pada kejohanan seterusnya di Terbuka India.

Pada saingan Masters Indonesia minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir seawal pusingan pertama apabila tewas di tangan gandingan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-14, 14-21, 18-21.

“Untuk kata prestasi mereka sudah mencapai tahap maksimum, hanya mereka berdua sahaja yang dapat merasainya.

“Bagi saya, selepas mereka digandingkan sebelum berpisah dan digandingkan semula, mereka pasti mempunyai sasaran tertentu.

“Jadi, saya tak mahu mengatakan prestasi mereka sudah tak boleh pergi lagi. Saya rasa mereka masih ada peluang untuk meningkatkan prestasi permainan mereka. Tapi segala-galanya terpulang kepada mereka sendiri,” kata Bin Shen.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual turut mewakili skuad lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 18 Februari ini.

Turut menggalas tugas dalam usaha pasukan lelaki mempertahankan gelaran juara di BATC kali ini adalah beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Lee Zii Jia pula akan mengetuai pemain perseorangan bersama Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Owe.-Berita Harian

Piala Asia B-23: FAM sasar separuh akhir

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan untuk melihat skuad bawah 23 (B-23) negara mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar dari 15 April hingga 3 Mei depan.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagi memastikan harapan itu mampu dicapai, pihaknya akan berusaha keras menyediakan pasukan termasuk menghantar skuad Harimau Muda itu mengharungi beberapa aksi persahabatan berkualiti di luar negara.

Jelas Hamidin, sasaran ke separuh akhir itu bukan saja menempatkan pasukan selaku empat pasukan terbaik, malah berpeluang merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris pada Julai ini, di mana tiga pasukan terbaik automatik mewakili Asia manakala satu lagi pasukan akan mengharungi saingan playoff menentang Guinea dari benua Afrika.

Begitupun, Hamidin akui bukan mudah untuk merealisasikan harapan itu namun baginya dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan skuad kendalian Juan Torres Garrido berpeluang melakar sejarah.

“Kalau kita lihat kelayakan ini (Piala Asia B-23 di Qatar) makna hanya empat pasukan sahaja layak ke Olimpik, tiga tambah satu.

“Satu akan lawan playoff dengan benua lain. Jadi kalau dapat dua tempat teratas (peringkat kumpulan) akan layak ke suku akhir dan seterusnya masuk separuh akhir.

“Harapan kita memang kalau boleh kita masuk separuh akhir cantik, tapi sebelum itu kena layak dulu ke suku akhir. Jadi saya dan FAM akan tekan (berusaha) sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Doha, Qatar.

Ujarnya lagi, beliau sudah melakukan perbincangan bersama Garrido di Doha di mana jurulatih Sepanyol itu turut hadir menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon beraksi di Piala Asia baru-baru ini.

“Saya dah bermesyuarat dengan Juan Torres (Garrido) dan beliau pun memang ada di Doha dan bincang dengan saya, kita akan buat persiapan bermain di Indonesia empat penjuru terlebih dulu.

“Dan juga datang ke Doha lebih awal untuk tempuh beberapa aksi persahabatan dan latihan, itu mustahak untuk kita buat. Kita ada pilihan sama ada pergi ke Qatar, Dubai atau Arab Saudi, tapi paling baik di Qatar,” katanya.

Di Piala Asia B-23 nanti, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.-Berita Harian

Piala Dunia Hoki 5s: Malaysia diikat Oman

PETALING JAYA – Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara terpaksa akur seri 3-3 dengan tuan rumah, Oman dalam aksi pertama Piala Dunia Hoki 5s di Muscat sebentar tadi.

Kapten negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengakui, dia dan rakan sepasukannya perlu memperkemaskan penyudah jika mahu melakar kemenangan dalam aksi seterusnya menentang Amerika Syarikat tengah malam ini.

“Jujurnya kami sudah bermain baik, tetapi penyudah kami perlu ditingkatkan, terutamanya dri segi percubaan tepat ke arah gol.

“Kami mensia-siakan banyak peluang. Kami perlu lihat semula dan bangkit untuk aksi seterusnya,” kata Akhimullah yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak ketika membantu Malaysia meraih pingat emas hoki 5s Sukan Olimpik Remaja 2018.

Dalam aksi itu, Malaysia yang dibimbing Wallace Tan terlebih dahulu mendahului 2-0 menerusi jaringan Syarman Mat Tee dan Akhimullah pada minit kesembilan serta 12.

Oman bangkit merapatkan jurang melalui gol daripada Fahad Al Lawati pada minit ke-13 sebelum Akhimullah menyudahkan penalti stroke untuk memastikan Malaysia kembali mendahului 3-1 tiga minit kemudian.

Bagaimanapun, Malaysia terpaksa akur berkongsi satu mata selepas membenarkan Oman menyamakan kedudukan menerusi Aiman Madit dan Khalid Al Shaidi pada minit ke-22 serta 25. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia