Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia buat kejutan, sah beraksi menentang Jepun

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara kembali menarik nafas lega apabila perseorangan utama, Lee Zii Jia kembali beraksi menjelang aksi separuh akhir menentang Jepun di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), jam 4 petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan, pemain ranking ke-10 dunia itu akan menggalas tugas selaku perseorangan pertama menentang Kenta Nishimoto.

Semalam, Zii Jia tidak dapat diturunkan ketika aksi suku akhir menentang Singapura susulan masalah resdung yang dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal diturunkan pada pertemuan dengan Jepun dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Bagaimanapun, kehadiran semula Zii Jia pastinya memberi nafas semula kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Aksi hari ini menyaksikan tugas selaku perseorangan kedua akan digalas Leong Jun Hao yang akan berdepan Koki Watanabe manakala Eogene Ewe turun sebagai perseorangan ketiga menentang Kento Momota.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu pertama menentang Akira Koga-Taichi Saito sementara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze yang turun selaku beregu kedua bertemu Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.-Berita Harian

Megan tekad bentuk skuad renang mantap

PENGARAH Teknikal baharu Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Megan Oesting optimis mampu membantu untuk mengembalikan kegemilangan sukan itu pada masa depan.

Beliau yang berasal dari Amerika Syarikat mempunyai kepakaran selama dua dekad dalam sukan renang dan kejurulatihan yang kompetitif bakal bergabung dengan jurulatih baharu skuad kebangsaan, Eric Anderson.

Megan berkata, satu penghormatan mendapat tawaran daripada MAS dan beliau percaya mempunyai misi serta visi sama dengan badan induk tersebut bagi melahirkan perenang bertaraf dunia.

“Saya memerlukan anda, seperti anda memerlukan saya.

“Saya yakin untuk projek jangka panjang ini kita semua perlu bersatu dalam mencari jalan terbaik meningkat tahap perenang di setiap peringkat bukan hanya di bahagian atas sahaja,” ujar Pemilik MOSTswimtech Inc itu.

Beliau tiba di Malaysia pada 8 Februari lalu.

Sebagai jejak pertama Megan berharap dapat menyeragamkan dan menyokong setiap langkah yang bakal dilakukan selepas ini.

“Kita akan cuba mengatasi segala kelemahan dan meningkatkan kemahiran perenang bagi membentuk skuad renang yang lebih konsisten.

“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan beberapa perenang seperti Steven (Khiew Hoe Yean) dan Wilson (Sim). Malah mereka teruja dengan peralihan ini demi masa depan sukan renang negara,” katanya.

Beliau yang juga bekas ketua jurulatih kelab Bend Swim itu turut berharap kepada perenang utama seperti Hoe Yean dan Wilson agar bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi, sebaliknya perlu mempunyai daya kepimpinan.

“Memang mereka sangat penting untuk mempamerkan prestasi sebenar demi negara tetapi saya menyatakan bahawa mereka juga adalah suri teladan untuk masa depan sukan ini,” katanya.

MAS dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut kepakaran dan kepimpinan kedua-dua individu itu diharapkan membawa perubahan transformatif kepada program renang negara dan memacu perenang untuk meningkatkan prestasi di persada antarabangsa.

Selepas meraih lima emas di laman sendiri pada Sukan SEA 2017, pungutan berkenaan menurun dengan skuad renang negara hanya membawa pulang dua emas ketika di Filipina (2019), serta satu emas ketika di Hanoi (2021) dan Kemboja (2023).-Sinar Harian

Harimau Malaya ada ramai ‘ubi muda’

PEMINAT bola sepak tanah air tidak perlu risau dengan peningkatan usia tonggak utama Harimau Malaya kerana ramai ‘ubi muda’ bersedia dipanggil pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.

Sebagai rekod, skuad kendalian Kim Pan-gon yang mewakili Malaysia di pentas Piala Asia antara yang tertua dalam kejohanan itu apabila ramai pemain sudah mencecah angka 30-an.

Antara pemain terbabit adalah Afiq Fazail dan Mohamadou Sumareh yang berusia 30 tahun, Ahmad Khuzaimi Piee (31), Shahrul Saad (31), Daniel Ting (32), Junior Eldstal (33), La’Vere Corbin-Ong (33) dan Darren Lok (34).

Bintang naturalisasi, Paulo Josue pula sudah berusia 35 ­tahun, Brendan Gan (36) dan Natxo Insa (38).

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell percaya usia sekadar ‘angka’, tetapi menegaskan FAM tetap mengambil serius dan berharap pemain-pemain muda bersedia jika dipanggil pada kempen kelayakan akan datang.

“Sudah tentu kita sekali lagi mahu menikmati pengalaman beraksi di Piala Asia. Kita juga mahu ke Piala Dunia, tetapi ­untuk berbuat demikian, kita harus sentiasa melayakkan diri ke pertandingan peringkat Asia.

“Saya rasa kelompok pemain seterusnya (skuad bawah 23 ­tahun) terdiri dalam kalangan pemain yang bagus, tetapi mereka kena yakinkan Pan-gon bahawa mereka layak bermain bersama pasukan senior.

“Pemain ini perlu menunjukkan prestasi yang bagus dalam Liga Super, beraksi sekerap mungkin supaya dapat dipanggil dan harap kita dapat layak lagi ke Piala Asia 2027,” katanya.

Harimau Malaya dijadualkan menjalani kem latihan pusat dalam masa terdekat sebagai persiapan mengharungi dua perlawanan kelayakan menentang Oman bulan depan.-Kosmo

Malaysia jumpa Singapura suku akhir BATC

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara diundi bertemu Singapura pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), esok.

Terdahulu, Malaysia menewaskan Taiwan 3-2 untuk muncul juara Kumpulan B pada aksi di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum ini sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir dengan aksi hari ini adalah bagi penentuan gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Malaysia tampil dengan penuh meyakinkan bermula dengan kemenangan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang mengatasi Lin Chun Yi 21-16, 21-13.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaimanapun tewas di tangan Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-23, 17-21.

Namun, perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Lee Chia Hao 21-19, 21-17.

Beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memastikan kemenangan awal skuad negara apabila menyumbang mata ketiga dengan menewaskan Wang Chi Lin-Yang Po Han 21-19, 21-14.

Taiwan berjaya mendapat mata kedua menerusi perseorangan ketiga mereka, Chi Yu Jen yang menewaskan Eogene Ewe

Sementara itu, lain-lain perlawanan suku akhir dalam saingan lelaki menyaksikan China menentang Indonesia, Korea Selatan bertemu Taiwan manakala India berdepan Jepun.

Bagi saingan wanita pula, skuad negara diundi bertemu juara bertahan, Indonesia bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Aksi lain membabitkan pertemuan antara Jepun dengan China, India menentang Hong Kong manakala Taiwan berdepan Thailand.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak secara automatik ke saingan Piala Thomas/Uber di Chengdu, China pada April depan.-Berita Harian

Skuad hoki 5S terima durian runtuh RM96,000

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan. Hannah Yeoh menunaikan janjinya apabila meluluskan insentif kemenangan sebanyak RM96,000 kepada skuad Hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan.

Insentif itu sebagai imbuhan buat pasukan berkenaan yang muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia 5s, di Muscat, Oman, bermula 28-31 Januari lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan ringkas menerusi media sosialnya hari ini, sambil mengucapkan terima kasih kepada Hannah dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas insentif itu.

Ketika menyambut kepulangan skuad kendalian Wallace Tan dari Muscat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 Februari, Hannah berkata skuad berkenaan mereka bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM80,000.

Beliau berkata pihaknya juga akan membayar semula wang yang telah dibelanjakan KHM bagi kempen piala dunia itu.

Malaysia muncul naib juara edisi Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.-Berita Harian

Kriket ACC: Pemain wanita negara kena serangan panik

PADA ketika perlawanan sedang diraikan dengan kejayaan bagi kem kriket wanita negara dalam Piala Perdana Wanita (ACC) menewaskan Jepun, muncul tragedi ngeri.

Ia melibatkan pemain bernama Arianna Natasya apabila terkena serangan panik dalam aksi yang berlangsung di Bayuemas Oval, Kuala Lumpur, petang semalam.

Menurut pengurus pasukan, Vijayalingam Vythiyalingam, dia turut terkejut apabila suasana tiba-tiba bertukar tragedi buat pemain tersebut setelah Malaysia meraikan kejayaan itu.

“Atlet perlu mendapatkan minuman yang secukupnya untuk mengelakkan daripada dehidrasi.

“Kami juga menyediakan khidmat fisioterapi dan jurulatih tapi kita hanya boleh mengetahui lanjut selepas pemeriksaan lanjut,” katanya di Nadi Arena malam tadi.

Sementara itu, Dr Veinoth mengesahkan bahawa Arianna mempunyai episod serangan panik dalam rekod perubatan sebelum ini dan telah diberikan ubatan bagi mengawal gejala tersebut berulang.

“Arianna memang ada mengambil ubat bagi mengurangkan tahap tekanan dan gemuruhnya.

“Kadangkala tekanan emosi dan fizikal boleh mengundang serangan panik.

“Dia juga mempunyai asma tetapi ia memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dia terpaksa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans setelah dikatakan tiba-tiba sesak nafas dan berada dalam keadaan sangat lemah.

Pasukan kriket wanita negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir bertemu Nepal hari ini setelah menundukkan Jepun dengan keputusan 101 larian dan tiga wicket dalam 20 over berbanding Jepun dengan 85 larian 7 wicket dalam 20 over. – Astro Arena

Taiwan ujian sebenar

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara berdepan ujian sebenar apabila bertemu Taiwan pada aksi terakhir Kumpulan B di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, esok.

Selepas mudah membenam pasukan kerdil dalam dua perlawanan awal – Brunei dan Kazakhstan – aksi bertemu Taiwan disifatkan cukup getir yang menjadi penentuan untuk gelaran juara kumpulan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata perlawanan menentang Taiwan sememangnya menjadi fokus utama pasukan.

“Sebenarnya semua orang terutama pemain memberi tumpuan kepada aksi terakhir ini, begitu juga dengan Taiwan.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Dari sudut pasukan mereka, ia sama seperti kita (ternanti-nanti aksi terakhir peringkat kumpulan),” katanya.

Menurut Rexy, barisan kejurulatihan bukan sahaja akan fokus mempersiapkan dari segi teknik tetapi turut memberi tumpuan kepada kekuatan mental mereka.

https://8ed9fc5990828413298b39104946d8bb.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html

“Bagi aksi ini kami bukan sahaja perlu mempersiapkan dari segi teknik untuk berdepan dengan mereka tetapi terarah bagaimana kami menguruskan mental pemain bagi sentiasa dahagakan kemenangan di dalam gelanggang.

“Jadi kami akan duduk bersama dan sentiasa meningkatkan motivasi pemain menjelang perlawanan itu nanti,” kata Rexy.

Mengulas mengenai tahap kecergasan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang kembali ke gelanggang selepas pulih daripada kecederaan otot belakang, Rexy memberitahu barisan kejurulatihan sentiasa memantau keadaan pemain itu.

“Buat masa sekarang kita sudah melihat dia beraksi menentang Brunei (semalam), jadi kita akan duduk berbincang lagi dalam masa sama mempersiapkan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe. Jika kita terlalu menekannya bimbang mendatangkan risiko pada kecederaannya.

“Kita juga harus melihat kejohanan selepas ini yang juga penting buat Tze Yong dalam mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik,” katanya.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia

Esok

Lelaki

Kumpulan A

China mln India, 1 tgh

Kumpulan B

Kazakhstan mln Brunei, 1 tgh

Malaysia mln Thailand, 5 ptg

Kumpulan C

Jepun mln Thailand, 5 ptg

Singapura mln Myanmar, 5 ptg

Kumpulan D

Indonesia mln Korea, 1 tgh

UAE mln Arab Saudi, 1 tgh

Wanita

Kumpulan X

Indonesia mln Hong Kong, 9 pagi

Kumpulan Y

Malaysia mln Thailand, 9 pagi

Kumpulan Z

Jepun mln Taiwan, 9 pagi

*Semua perlawanan di Pusat Konvensyen Setia Alam

-Berita Harian

21 negara berentap pada Piala Dunia Sepak Takraw

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 negara telah mengesahkan slot untuk menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei ini.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan, dengan memaklumkan pihaknya telah menerima surat rasmi daripada 12 pasukan yang akan berentap bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1 untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.

“Untuk Premier ada 12 negara iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina. Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh,” katanya pada sidang media PSM di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan penyertaan 21 negara itu telah muktamad dan tidak akan ada penambahan pasukan pada masa akan datang.

PSM, katanya akan mengadakan majlis memperkenalkan piala kejohanan itu bersama majlis pengundian pada 6 Mac ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

“Undian kita buat lebih awal dari sebelum-sebelum ini. Kali ini kita bincang dan mohon kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) supaya negara-negara tahu kumpulan mereka dan boleh buat persiapan awal,” katanya.

Mohd Sumali berkata Piala Dunia kali ini bakal menyaksikan kategori Premier mempertandingkan acara berpasukan yang mempunyai Piala Khas selain acara beregu dan regu turut dipertandingkan bagi kategori itu.

“Divisyen 1 hanya mempertandingkan dua acara iaitu beregu dan regu, tiada berpasukan,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan skuad negara menjelang piala berprestij itu, Mohd Sumali berkata pasukan negara akan dihantar ke Bangkok, Thailand selama dua minggu bagi berdepan aksi pemanas badan awal Mei ini.

Beliau berkata skuad Thailand kemudian akan menyertai latihan pasukan negara di sini sebagai rakan sepelatih sebelum kejohanan itu bermula. – BERNAMA

TAG: sepak takraw, Sepak Takraw 2024, Sepak Takraw 2024, PSM, ISTAF -Berita Harian

Latif, Ziyad tuai emas di Dubai

KUALA LUMPUR: Jaguh para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli terus mempamerkan aksi baik di peringkat antarabangsa, apabila merangkul pingat emas pada Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia Dubai 2024, semalam.

Pemenang emas Paralimpik sebanyak dua kali, Abdul Latif muncul juara acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dengan lompatan sejauh 7.11 meter (m), sekali gus berada di landasan tepat untuk hatrik emas di Paris 2024.

Athanasios Prodromou (6.81m) dari Greece dan Nikki Tang (6.74m) dari Hong Kong masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Sementara itu, Muhammad Ziyad mencatatkan lontaran sejauh 16.62m untuk ungguli acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Ia cukup untuk mengatasi Muhammet Atici (15.12m) dari Turkiye dan Boonkong Sanepoot (12.80m) dari Thailand, manakala seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 12.61m.

Bagi acara lempar cakera berkerusi roda lelaki F54/55/56 (kecacatan fizikal), Muhammad Amir Abdul Raof menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan 26.86m.

Wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE) unggul meraih emas dan gangsa masing-masing menerusi Abdulla Mesbahi meraih (22.90m) dan Sultan Alhamsi (23.10m). – BERNAMA

Zii Jia intai peluang berlatih dengan Kunlavut

KUALA LUMPUR: Selepas Korea Selatan, pemain perseorangan lelaki profesional lelaki negara, Lee Zii Jia berkemungkinan besar akan ke Thailand bagi meneruskan program latihannya di luar negara.

Jurulatihnya, Wong Tat Meng, berkata program latihan di luar negara akan diteruskan bagi mempersiapkan pemain ranking ke-10 dunia menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

“Selepas Korea, mungkin kita pilih negara lain pula. Saya mahu bagi Zii Jia belajar berlatih dalam suasana yang berbeza.

“Sebelum ini, Loh Kean Yew (perseorangan Singapura) ada pergi ke Thailand dan berlatih bersama perseorangan negara itu Kunlavut Vitidsarn (juara dunia).

“Jadi, kami pun mungkin boleh ke sana untuk Zii Jia berlatih dengan Kunlavut kerana saya juga mengenali jurulatih di Thailand,” kata Tat Meng.

Sebelum ini, Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England menghabiskan masa selama 11 hari dari 31 Januari hingga 9 Februari menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Korea di pusat latihan Persatuan Badminton Korea (BKA) di Jincheon.

Mengulas mengenai latihan di Korea, Tat Meng, berkata dia gembira kerana Zii Jia terbuka untuk menerima perubahan dalam program latihan yang cuba dibawanya.

“Korea ada lapan pemain perseorangan, ketika kami di sana hanya Jeon Hyeok Jin saja yang tidak ada kerana menyertai kejohanan di Thailand dan Azerbaijan.

“Sepanjang di Korea, Zii Jia mendapat peluang berlatih dengan pemain yang memiliki kemahiran berbeza termasuklah pemain kidal.

“Ini adalah sesuatu yang bagus untuk Zii Jia, tidaklah dia hanya berlatih dengan pemain saya sama saja seperti di Malaysia.

“Saya lihat Zii Jia terbuka untuk menerima perubahan dan ini memudahkan saya untuk menyusun program latihan seterusnya untuk dia,” kata Tat Meng.

Zii Jia ketika ini bersama skuad kebangsaan beraksi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia