Majlis Sukan Negara Malaysia
Hajat Aaron-Wooi Yik sebelum Olimpik

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berharap dapat menguji kekuatan dengan pasangan utama dunia sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan nombor empat dunia itu sekurang-kurangnya akan beraksi dalam tiga kejohanan sebelum temasya di Paris bermula Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei diikuti Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Saingan Terbuka Indonesia dijangka menghimpunkan semua pasangan utama dunia memandangkan ia kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Bekas juara dunia itu perlu menghasilkan keputusan positif dalam ketiga-tiga kejohanan berkenaan untuk sekurang-kurangnya kekal berada dalam kelompok empat terbaik dunia bagi mendapat kedudukan selaku pilihan di Olimpik Paris nanti.

Aaron, berkata masih banyak lagi ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi mereka.

“Sekarang ini, prestasi kami perlahan-lahan meningkat tetapi kami belum mencapai kemuncak lagi.

“Kami masih ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai dan berharap dapat menentang pasangan utama dunia. Jadi, kami boleh buat persiapan sebelum Olimpik.

“Sebelum temasya bermula, ada tempoh rehat empat hingga enam minggu, jadi penting untuk kami kekalkan momentum dan suasana beraksi dalam kejohanan,” katanya.

Aaron-Wooi Yik yang membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas di Chengdu yang berakhir, Ahad lalu berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang ketika aksi separuh akhir.

Pada aksi berkenaan, Aaron-Woo Yik menang dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 21-17 sekali gus menamatkan badi kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir sebelum itu.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya mencipta kejutan apabila memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.-Berita Harian

Misi 10 saat Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memburu catatan masa 10 saat (s) dalam acara pecut apabila turun beraksi dalam siri perlumbaan Piala Trek Jepun di Velodrom Izu, esok.

Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman, berkata dia mahu mencabar diri untuk memburu catatan masa berkenaan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain acara pecut, juara Asia berusia 20 tahun itu juga akan menyertai acara keirin di Jepun.

“Misi di Jepun, saya nak cuba cecah 10s dalam acara pecut, jika mencecah masa itu, ia menjadi petunjuk peningkatan prestasi.

“Dalam acara keirin pula, saya mahu beranikan diri berdepan pesaing kerana mereka semua adalah pelumba berkelas dunia, saya mahu cabar diri,” kata Nurul Izzah.

Pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu, dia memecah rekod kebangsaan acara pecut pada pusingan kelayakan dengan catatan 10.903s.

“Semua ini saya mahu lakukan kerana berharap dapat mencatat 10s atau 10.9s lagi di Olimpik Paris.

“Ketika ini, catatan pelumba semakin pantas malah di kejohanan Piala Negara-Negara, pelumba yang mencatat masa 11.1s sudah tidak layak, jadi saya perlukan banyak peningkatan,” katanya.

Selain Nurul Izzah, dua lagi pelumba negara yang layak beraksi di Olimpik Paris turut akan menyertai kejohanan di Jepun iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.-Berita Harian

Sumali cabar pemain negara julang Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan melontarkan cabaran kepada barisan pemain negara untuk muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan bermula dari 18 hingga 26 Mei ini di Stadium Titiwangsa.

Beliau, berkata sudah lama Malaysia tidak muncul juara dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand dan kejohanan kali ini dianggap medan terbaik untuk melakukannya sekali gus mengembalikan semula kegemilangan skuad negara dalam sukan berkenaan.

Katanya, dengan kelebihan selaku tuan rumah selain sistem kiraan 15 mata yang baharu dengan sekali servis, pemain perlu memanfaatkan peluang bagi menumbangkan skuad Gajah Perang di laman sendiri.

“Sudah agak lama kita tidak jadi juara dengan menewaskan Thailand, kali terakhir adalah dalam saingan Siri Super ISTAF 2015. Selepas itu, kita memenangi pingat emas Sukan Asia Palembang 2018 dalam acara regu tetapi Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara itu.

“Jadi, saya nak sangat melihat kita menang dan menjadi juara dengan menewaskan Thailand pada kejohanan kali ini.

“Sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah tetapi saya yakin pada kali ini dengan sistem kiraan 15 mata yang baharu dengan satu servis selain bermain di hadapan penyokong sendiri, saya rasa tidak mustahil kita akan dapat kejayaan di Piala Dunia kali ini.

“Kita kena kembalikan kegemilangan sukan sepak takraw negara, inilah masa yang sesuai untuk buktikan yang Malaysia sudah bangkit daripada tidur yang lama.

“Saya percaya bukan saya sahaja, tetapi rakyat Malaysia mahu melihat sangat kita jadi juara dunia dan lebih manis lagi apabila dapat mengalahkan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Malaysia di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Pada majlis itu, PSM mengumumkan senarai 16 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Piala Dunia kali ini di bawah bimbingan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam ketiga-tiga acara iaitu berpasukan, regu dan double.

Skuad negara berada dalam Kumpulan A bersama Jepun serta Brunei dan kedua-dua pasukan itu turut bakal ditemui Malaysia dalam acara berpasukan di Kumpulan C.

Dalam acara regu pula, Malaysia diletakkan selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan B bersama China dan Brunei.-Berita Harian

Impian skuad negara musnah

IPOH: Impian skuad hoki negara untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) lebur selepas tewas 1-2 kepada Jepun dalam aksi keempat di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Pakistan serta Jepun yang menduduki dua tangga teratas dengan berkongsi 10 mata sudah tidak mampu dipintas lagi oleh mana-mana pasukan termasuk skuad bimbingan Sarjit Singh sekali gus mara ke final.

Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi pantas namun masih buntu untuk mendapatkan gol.

Jepun akhirnya memperoleh gol pertama selepas Kazumasa Matsumoto melakukan pukulan kilas yang menewaskan penjaga gol skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit ke-24.

Skuad negara kerap melakukan asakan namun barisan pertahanan Jepun cukup berdisiplin menafikan cubaan Speedy Tigers.

Penyerang sensasi negara, Faizal Saari akhirnya memecah kebuntuan untuk skuad negara apabila menyamakan kedudukan selepas melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol Jepun, Takumi Kitagawa pada minit ke-31.

Jepun bagaimanapun kembali di depan selepas Taiki Takade menjaringkan gol padang 10 minit sebelum berakhir perlawanan yang juga gol kemenangan untuk skuad Samurai.

Sementara itu, selepas tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan Jepun dan Malaysia, New Zealand kembali menebus maruah mereka apabila menundukkan Korea Selatan 4-1.

Gol Black Sticks disumbangkan oleh George Baker seawal minit keempat, Jonty Elmes (minit-18), Jake Smith (minit-23) dan Isaac Houlbrooke minit ke-53 manakala Sim Jaewon menjaringkan gol tunggal Korea minit ke-39.

Keputusan itu pastinya kembali mengecewakan Korea Selatan yang mengalami kekalahan kali ketiga selepas tewas di tangan Jepun 1-2 dan Pakistan 0-4 sebelum ini serta hanya melakar kemenangan 1-0 ke atas Kanada.-Berita Harian

Hannah tunjuk isyarat hati, Faisal Halim balas dengan senyuman

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya pemain Selangor FC, Faisal Halim mempunyai semangat tinggi walaupun berdepan dugaan besar disimbah asid pada Ahad lalu.

Malah, Hannah turut berkongsi reaksi Faisal ketika di hospital sebentar tadi apabila pemain sayap kebangsaan itu tersenyum ke arahnya.

Beliau berkata, tindak balas Faisal itu memadai untuk memberikan perkhabaran positif buat industri bola sepak tempatan.

“Walaupun sekadar melihatnya dari jauh dan dipisahkan oleh cermin kaca, kami gembira dengan tindak balas Faisal. Saya tunjuk isyarat hati sebagai tanda kami semua sayangkannya dan dia balas dengan senyuman.

“Sudah tentu sedih melihat keadaan beliau tetapi saya juga yakin Tuhan sayangkan Faisal, sebab itu beliau ada peluang untuk pulih sekarang. Walaupun terlantar atas katil, renungan mata dia menunjukkan yang beliau begitu positif.

“Setiap kali kita senyum dan tunjuk (isyarat) tanda hati kepadanya, dia balas dengan penuh positif,” katanya.

Turut hadir ke hospital adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin serta barisan eksekutif Selangor FC.

Hannah juga berpuas hati dengan rawatan yang diberikan oleh pihak hospital dan dia juga akan berhubung dengan isteri Faisal untuk memastikan keadaan diri dan keluarganya berada dalam keadaan yang baik.

“Kami amat gembira dan saya yakin dia akan dapat layanan dan jalani pemulihan terbaik di sini, ISN juga turut berhubung dengan doktor di sini dan kami akan beri sepenuh sokong untuk proses pemulihan dan kami juga akan menghubungi isterinya supaya dia juga ok untuk kaunseling dan sebagainya,” katanya.-Sinar

KBS akan tambah baik infrastruktur sukan di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat untuk menambah baik infrastruktur sukan di Cameron Highlands bagi memberi sokongan kepada atlet muda di kawasan itu sehingga ke peringkat akar umbi.

Menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan perkara berkenaan selepas mendapati terdapat kekurangan yang menyukarkan atlet di kawasan berkenaan menjalani latihan dan menggunakan kemudahan diperlukan.

Beliau berkata, antara kekurangan infrastruktur dihadapi masyarakat setempat adalah ketiadaan kolam renang menyebabkan atlet terpaksa menjalani latihan di kolam renang di Strawberry Park Resort yang disediakan secara percuma.

“Kementerian berdedikasi untuk memupuk sukan daripada peringkat akar umbi hingga sukan elit. Kami berhasrat untuk mewujudkan peluang kepada semua orang untuk melibatkan diri dalam sukan tanpa mengira umur atau latar belakang mereka,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan KBS hari ini.

Hannah turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan wakil tempatan bagi mencapai matlamat tersebut khususnya dalam mengenal pasti tanah untuk projek menambah baik infrastruktur sukan berkenaan.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan Hannah telah meninjau cadangan kerja menaik taraf untuk mengubah padang menjadi kemudahan trek dan padang yang berfungsi sebagai tempat utama untuk aktiviti sukan tempatan, acara sekolah dan aktiviti rekreasi.

“Di samping itu, Hannah turut melawat gim komuniti tempatan yang diuruskan oleh Majlis Belia Daerah Cameron Highlands yang mana beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf peralatan gim itu,” menurut KBS.

Lawatan Hannah itu turut disertai Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor. – BERNAMA

Tat Meng mungkin ‘tinggalkan’ Zii Jia selepas Paris 2024

SEPANG: Jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng mengakui yang dia tidak menolak kemungkinan akan bersara selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Tat Meng, 57, berkata selepas lebih 20 tahun bergelar jurulatih, dia sememangnya sudah memikirkan mengenai bila masa yang sesuai untuk dia bersara daripada kejohanan antarabangsa.

Katanya, dia juga sudah menyuarakan hasratnya itu sebelum mengambil tanggungjawab selaku jurulatih Zii Jia.

“Sebelum bekerjasama dengan Zii Jia, saya sudah berkongsi perancangan saya ini dengan dia. Sebab itu, kami berdua mencapai persefahaman bahawa Olimpik tahun ini adalah projek ‘hidup mati’ untuk kami.

“Buat masa sekarang, fokus saya adalah untuk membantu Zii Jia mengharungi fasa akhir persiapannya menghadapi Sukan Olimpik.

“Apa yang akan berlaku atau tidak akan berlaku selepas Olimpik saya belum fikirkan secara mendalam lagi,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Tat Meng yang mula menjadi jurulatih pada 2002 memberi bayangan yang dia akan bersara.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, dia memaklumkan yang saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China yang berakhir Ahad lalu adalah yang terakhir dalam kerjayanya selaku jurulatih.

Perkembangan itu menyaksikan tiada lagi kelibat jurulatih berkenaan pada edisi 2026 di Horsens, Denmark.

Ketika ini, dia masih lagi mempunyai kontrak bersama Team LZJ dan akan tamat selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Tat Meng mula membimbing pemain perseorangan profesional lelaki negara itu pada Julai tahun lalu.

Sebelum itu, dia menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan Hong Kong selama setahun selepas empat tahun bersama Persatuan Badminton Korea (BKA) yang menyaksikan dia turut membimbing perseorangan wanita nombor satu dunia ketika ini, An Se Young.

Tat Meng juga pernah bergelar jurulatih kebangsaan sebanyak dua kali bermula 2003 hingga 2011 dan 2013 hingga 2016.-Berita Harian

Azrai buat Jepun resah

IPOH: Penyerang skuad hoki negara, Muhammad Azrai Abu Kamal mencetuskan resah Jepun apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu pada aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), esok.

Perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih skuad Samurai, Yoshihiro Anai yang menjangkakan pertembungan dengan juara bertahan PSAS itu pasti sukar.

“Barisan pemain kami perlu lebih bekerja keras untuk mengawal pergerakan lawan kerana Malaysia adalah pasukan yang mempunyai corak permainan pantas.

“Bagi saya, pemain nombor 23 (Azrai) sangat berbahaya kerana dia pernah menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan dan Kanada,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan anak buahnya terikat 1-1 dengan Pakistan, hari ini.

Keputusan itu pastinya mengecewakan Jepun yang sebelum ini menewaskan Korea Selatan 2-1 dan New Zealand 4-1.

Ken Nagayoshi meletakkan Jepun di depan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-33 dan ketika skuad Samurai itu hampir pasti meraih tiga mata penuh, Waheed Ashraf Rana muncul penyelamat Pakistan apabila menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat perlawanan, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Bagi Anai, ia sememangnya keputusan yang mengecewakan kerana beliau mengharapkan barisan pemainnya dapat mencatatkan kemenangan pada perlawanan itu.

“Pakistan sememangnya bagus dalam pukulan sudut penalti dan kita memberi peluang kepada mereka untuk menyamakan kedudukan di hujung perlawanan.

“Barisan pemain sepatutnya dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi mereka gagal melakukannya. Pakistan adalah lawan yang sangat agresif,” katanya.

Sementara itu, naib juara edisi dua tahun lalu, Korea akhirnya melakar kemenangan pertama selepas dua kekalahan berturut-turut apabila menewaskan Kanada 1-0.

Oh Seyong yang baharu membuat penampilan kali ketiga bersama Korea, menjaringkan gol tunggal minit ke-13.-Berita Harian

Aaron-Wooi Yik belum puas hati pencapaian di Piala Thomas

SEPANG: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi mereka ketika saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

Bagaimanapun, pasangan ranking nombor lima dunia berkenaan tetap gembira dapat membantu skuad negara membawa pulang pingat gangsa daripada kejohanan berpasukan itu.

Malaysia terpaksa akur gagal ke final selepas tewas 1-3 di tangan China pada aksi separuh akhir, Sabtu lalu.

“Piala Thomas adalah kejohanan berpasukan. Suka atau tidak, setiap pasukan memerlukan skuad yang seimbang.

“Ia bukan soal sama ada kami mempunyai pemain beregu yang lebih kuat atau pemain perseorangan yang kuat. Kita perlu memberi sokongan antara satu sama lain.

“Pasukan tahun ini tidak begitu berbeza dengan edisi sebelum ini, tetapi kami semua hampir sama umur. Jadi, komunikasi adalah lebih baik dan semangat berpasukan yang tinggi.

“Dua tahun dari sekarang apa-apa boleh berlaku, jadi kita lihat apa yang akan berlaku nanti,” kata Aaron kepada media sebaik tiba dari Chengdu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang muncul juara dunia pada 2022 kini mengalihkan tumpuan terhadap persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

“Pingat gangsa ini amat bermakna kepada seluruh pasukan. Bagi saya dan Wooi Yik, kami perlu membuktikan bahawa biarpun dengan kekuatan pasukan yang tidak ramai letakkan harapan, kami berjaya mencatat pencapaian di luar jangkaan.

“Bagaimanapun, saya tidak akan mengatakan kami berpuas hati sepenuhnya. Untuk pasukan, ya, kami okay tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Sekarang ini, prestasi kami perlahan-lahan meningkat tetapi kami belum mencapai kemuncak lagi,” kata Aaron.

Dalam pada itu, Aaron berharap dia dan Wooi Yik berpeluang untuk bertemu dengan pasangan kelompok utama dunia sebagai persiapan menghadapi Olimpik Paris.

“Kami masih ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai dan berharap dapat menentang pasangan utama dunia. Jadi, kami boleh buat persiapan sebelum Olimpik.

“Sebelum temasya bermula, ada tempoh rehat empat hingga enam minggu, jadi penting untuk kami kekalkan momentum,” katanya.-Berita Harian

Jurulatih Zii Jia bersara?

KUALA LUMPUR: Adakah jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng akan bersara?

Persoalan itu timbul selepas Tat Meng, 57, memaklumkan yang saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China yang berakhir Ahad lalu adalah yang terakhir dalam kerjayanya selaku jurulatih.

Perkembangan itu menyaksikan tiada lagi kelibat jurulatih berkenaan pada edisi 2026 di Horsens, Denmark.

Tat Meng berkata, ia adalah kenangan terindah buat dirinya dapat bersama skuad negara mengakhiri kejohanan berprestij di Chengdu itu di tempat ketiga.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan di atas usaha sehingga berjaya mengakhiri kejohanan di tempat ketiga. Ia adalah minggu yang sangat bermakna dan tidak dapat dilupakan untuk saya.

“Terutama sekali ini adalah kali terakhir dalam kerjaya kejurulatihan saya menyertai kejohanan berpasukan berprestij dunia ini (Piala Thomas).

“Terima kasih kepada semua di atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada saya. Tidak sabar untuk menyaksikan pasukan Malaysia sekali lagi menjadi juara Piala Thomas,” kata Tat Meng menerusi hantaran di Instagram miliknya, semalam.

Ketika ini, dia masih lagi mempunyai kontrak bersama Team LZJ dan sedang giat mempersiapkan Zii Jia bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Tat Meng mula membimbing pemain perseorangan profesional lelaki negara itu pada Julai tahun lalu.

Sebelum itu, dia menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan Hong Kong selama setahun selepas empat tahun bersama Persatuan Badminton Korea (BKA) yang menyaksikan dia turut membimbing perseorangan wanita nombor satu dunia ketika ini, An Se Young.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia