Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024 – MAJLIS PENUTUPAN TEMASYA PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024

KUCHING – Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 secara rasminya menutup tirai malam tadi di Stadium Perpaduan, Petrajaya.

Upacara penutup yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh turut diserikan dengan persembahan unik daripada tuan rumah.

Untuk temasya kali ini, Jawatankuasa Pemilihan telah sebulat suara memilih atlet para renang dari Sabah, Shahafiq Abdullah untuk gelaran Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Sarawak 2024.

Atlet berusia 20 tahun yang meraih 4 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa itu berjaya memecahkan 4 rekod kebangsaan menerusi acara kategori S6 (kecacatan fizikal) 100M gaya bebas, 100M gaya kuak lentang, 50M gaya kuak kupu-kupu dan 50M gaya bebas.

Manakala gelaran Atlet Wanita Terbaik dianugerahkan kepada atlet para memanah Pahang, Loh Chi Hui. Chi Hui yang berusia 34 tahun berjaya meraih 4 pingat emas menerusi acara WS/ST (Berkerusi roda) Individu Recurve Kelayakan, Pusingan Olimpik, Recurve Berpasukan Terbuka dan Recurve Berpasukan WS/ST dengan 1 rekod kebangsaan dan 2 rekod temasya.

Stadium Perpaduan semakin gamat apabila Kontinjen Sarawak diumum sebagai Juara Keseluruhan Para SUKMA Edisi 2024.

Sarawak yang mengungguli carta pungutan pingat sejak hari pertama temasya berlangsung telah meraih 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa dan merampas kembali takhta juara yang diambil Sabah pada 2022 untuk mencatat kemenangan buat kali ke-14.

Pada temasya kali ini, kontinjen Negeri Di Bawah Bayu Sabah terpaksa akur di kedudukan naib juara dengan 62 emas, 42 perak dan 32 gangsa.

DEBARAN PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2024 KIAN TERASA

Debaran kian terasa dengan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 yang bakal berlangsung esok, 29 September 2024 di Pulau Langkawi. Bagi memastikan perlumbaan bertaraf Pro Series ini dapat dijalankan dengan lancar, taklimat pra perlumbaan telah diadakan seawal jam 9 pagi pada Sabtu.

Beberapa aspek utama telah diberi perhatian dan dibincangkan secara mendalam, termasuk pergerakan trafik dan konvoi, liputan media, pendaftaran pasukan, serta mesyuarat pengurus pasukan.

Semoga #PLTdL2024 tahun ini berjalan dengan lancar dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada para pelumba. Let the race begin!🔥

ltdl
DOMESTIQUE BY PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2024

Majlis pelepasan Domestique by PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Salleh bin Saidin, EXCO Pelancongan Negeri Kedah.

Kayuhan istimewa ‘Domestique by PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 telah menampilkan seramai 500 peserta dengan jarak sejauh 97.5km di Pekan Kuah, Langkawi.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

KURSUS PENGADIL BOLA JARING TAHAP 1 2024

Kursus Pengadil Bola Jaring Tahap 1 2024 telah diadakan pada 23 hingga 27 September 2024 bertempat di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Kursus yang diadakan selama 5 hari ini telah dihadiri seramai 15 orang peserta dan merupakan anjuran bersama MSN-PBJM.

Majlis Penutup pula telah disempurnakan oleh YB Hajah Alwiyah Talib, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia.

para sukma
MAJLIS PENGENALAN PASUKAN PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2024

Majlis Pengenalan Pasukan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2024 telah telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah bertempat di Dataran Lang, Langkawi.

Majlis penuh gilang-gemilang itu turut memperkenalkan 132 pelumba daripada 22 pasukan bertanding pada edisi ke-28 yang dijadualkan berlangsung mulai 28 September hingga 6 Oktober 2024.

Turut hadir sama, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

SAMBUTAN KEPULANGAN PASUKAN TENPIN BOLING KEBANGSAAN DARI BANGKOK, THAILAND

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir menyambut kepulangan Pasukan Tenpin Boling yang telah tiba di KLIA daripada 27th Asian Tenpin Bowling Championships 2024 di Bangkok, Thailand.

Kejohanan tersebut telah berlangsung pada 14 hingga 26 September yang lalu dan kontinjen negara telah membawa pulang 8 pingat Emas, 3 Perak dan 4 Gangsa sekaligus Malaysia merupakan johan keseluruhan bagi edisi kali ini.

📸: UKK KBS

PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024 – SUKAN BOCCIA

Sekitar aksi atlet Sukan Boccia yang diadakan di Dewan Persatuan Bola Keranjang Sarawak sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 hari ini.

PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024 – SUKAN PARA MEMANAH

Sekitar aksi atlet Para Memanah Acara Compound yang diadakan di Lapang Sasar Memanah Petrajaya sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 hari ini.

PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024 – MESYUARAT KETUA KONTINJEN (CDM) BIL 3/2024

Mesyuarat bersama Ketua Kontinjen Negeri Para SUKMA XXI Sarawak telah dipengerusikan oleh YBhg. Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA Sarawak bertempat di Hotel Sheraton pada Khamis.

Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung dari 22 hingga 28 September 2024 melibatkan 10 jenis sukan dan 328 acara di venue-venue sekitar Kuching.

Wei Ming mahu tamatkan penantian 13 tahun

KUALA LUMPUR: Penantian panjang Malaysia merangkul gelaran juara dalam kategori perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Remaja Dunia mahu ditamatkan Sng Wei Ming.

Menggalas tugas dalam kategori individu dan berpasukan, pemain berusia 18 tahun itu berharap penampilan sulungnya itu mampu membuahkan hasil.

Malah sasaran tinggi itu bukan saja diletakkan dalam kategori individu, namun berpasukan dalam kejohanan yang bermula dari 30 September hingga 13 Oktober itu di Nanchang, China.

“Dari sudut persiapan, pasukan mendapat tempoh hampir dua bulan untuk melakukan persiapan jadi bagi saya ia mencukupi,” kata Wei Ming yang mengidolakan legenda, Datuk Lee Chong Wei.

Mengulas mengenai format permainan yang menggunakan sistem 11 mata dalam kategori berpasukan campuran, pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengakui ia mampu memberi manfaat kepada skuad negara.

“Untuk bermain dalam format seperti ini, apa yang penting adalah pemain perlu bersedia dan memanaskan badan dahulu sebelum memasuki gelanggang.

“Selain itu, pemain juga tidak boleh bermain dengan santai dan bermain dengan secepat yang mungkin kerana tempoh permainan yang pendek,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai juara dalam kategori perseorangan lelaki adalah pada 2011 menerusi Zulfadli Zulkifli.

Apa yang menarik, Malaysia turut merangkul gelaran berpasukan campuran pada tahun sama selain gelaran beregu lelaki menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia