Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Aksi kurang konsisten padam impian skuad negara

Kuala Lumpur: Kegagalan untuk terus beraksi secara konsisten sepanjang perlawanan menyebabkan skuad sepak takraw terpaksa berputih mata melihat Thailand terus mendominasi acara regu berpasukan dalam perlawanan akhir Piala Raja Thai, semalam.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau melihat setiap pemain yang diturunkan sudah memberi persembahan yang sangat baik dan memberikan harapan untuk menghasilkan keputusan positif, tetapi sebaliknya terjadi.

“Kalau kita lihat dari segi prestasi semasa pemain, kita bermula agak konsisten daripada segi serangan, pertahanan dan kawalan. Namun apabila memasuki fasa pertengahan dan penghujung saingan, ia memberikan kekurangan kepada pasukan kita untuk terus menyerap tekanan dan juga membuat penyudah yang cemerlang. Secara peribadi, saya lihat kedua-dua regu pasukan kita bermain dengan agak baik dan mampu menyerap tekanan di peringkat awal ke pertengahan.

“Namun apabila pasukan Thailand mula sahaja menyamakan kedudukan, pemain-pemain kita sedikit tertekan dan hilang keyakinan untuk meneruskan tekanan kepada pihak lawan, selain banyak melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi pada penghujung saingan setiap set,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau menyatakan dalam perlawanan akhir seperti itu, tidak boleh memberikan peluang kepada pasukan Thailand untuk bangkit kerana ia akan menjadi sangat berbahaya kepada pemain negara.

“Saya tidak nafikan bahawa pemain-pemain kita cepat hilang rentak dan momentum dalam perlawanan akhir. Walaupun peluang yang diberikan kepada pasukan kita sebenarnya mempunyai potensi untuk mencapai kemenangan sekiranya mereka bermain dengan lebih konsisten daripada permulaan permainan sehingga tamat.

“Tetapi apabila pasukan Thailand mula mengejar mata demi mata, kita seolah-olah hilang fokus, rentak serta keyakinan selain kerap melakukan kesilapan mudah dan itu memberikan kelebihan kepada Thailand untuk terus memperagakan aksi bertenaga dan menghukum pasukan negara,” katanya.

Namun, secara keseluruhan, prestasi pemain di Piala Raja Thai 2025 terutama bagi kuadran lelaki, kuadran campuran serta pasukan wanita boleh diletakkan di tahap sederhana selepas mengambil kira persiapan yang agak singkat khususnya bagi pasukan lelaki.

“Mereka dapat mempamerkan sedikit peningkatan dalam kuadran campuran dan kuadran lelaki. Kecederaan Afifuddin ternyata memberi tekanan kepada pasukan negara ketika menentang Jepun di separuh akhir apabila kita gagal mempamerkan aksi bertenaga berbanding lawan yang berjaya mempamerkan permainan bagus dan hadangan kemas,” katanya.

Terdahulu, Malaysia terus kempunan untuk meraih kejuaraan dalam acara regu berpasukan apabila sekali lagi tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final Piala Raja Thai semalam.

Percaturan taktikal kuartet 4x100m negara tak menjadi

Bochum: Percaturan taktikal skuad 4×100 meter (m) lelaki negara tidak membuahkan hasil apabila mereka menamatkan aksi final di kedudukan terakhir pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion di sini malam ini waktu Malaysia.

Dalam perlumbaan terakhir acara olahraga itu, pasukan negara melakukan rombakan strategi dengan menurunkan Mohamad Raimi Mustaffa Kamal untuk bergandingan bersama Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan pelari utama, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Namun, keputusan membawa masuk Raimi untuk aksi final tidak membawa hasil diharapkan apabila kuartet negara hanya mencatat masa 40.19 saat (s), lebih perlahan berbanding 39.83s yang direkodkan dalam pusingan pertama awal pagi tadi waktu Malaysia.

Untuk rekod, Aliff Iman Mohd Fahimi diberi tanggungjawab beraksi dalam pusingan pertama, manakala tempatnya di final digantikan oleh Raimi sebagai sebahagian strategi memperkukuh persembahan.

“Kami tahu ia satu risiko, tetapi ia adalah sebahagian daripada taktikal yang dirancang – bagaimana untuk memaksimumkan keupayaan setiap pelari termasuk memanfaatkan ruang akhir dalam zon pertukaran baton.

“Rezeki tidak menyebelahi kami, tetapi kami sudah beri yang terbaik. Tiada apa yang perlu disesalkan. Hari ini kami berjaya buktikan yang kami antara yang terbaik di dunia, layak ke final dan saya bangga dengan pasukan ini,” kata Azeem selepas perlumbaan.

Emas acara itu menjadi milik Korea Selatan yang mencatat masa 38.50s, manakala Afrika Selatan meraih perak (38.80s) dan India membawa pulang gangsa (38.89s).

Sementara itu, dalam aksi final 4x400m wanita, kuartet negara yang dibarisi Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Hizillawanty Jamain menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Mereka mencatat masa 3 minit 54.88s, sekali gus memperbaiki rekod musim terbaik 3:55.21s yang dilakukan dalam pusingan saringan pertama, semalam.

Pingat emas menjadi milik kuartet tuan rumah Jerman selepas menjadi terpantas melintasi garisan penamat dengan masa 3:29.68s sementara perak diraih Poland (3:30.21s) dan Kanada gangsa (3:34.16s).

Dalam acara akhir lompat kijang wanita, wakil negara Nurul Ashikin Abas menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan lompatan sejauh 12.70 meter.

WUG 2025 yang bermula pada 16 Julai lalu menutup tirai hari ini dengan upacara penutup berlangsung di Landschaftspark Duisburg-Nord, Duisburg.

Malaysia menamatkan kempen dengan kutipan satu pingat perak menerusi jaguh renang, Khiew Hoe Yean dan satu gangsa menerusi perseorangan wanita badminton Wong Ling Ching.

Jepun muncul juara keseluruhan dengan 34 emas, 21 perak dan 24 gangsa, diikuti China (30-27-17) dan dan Amerika Syarikat di tempat ketiga (28-27- 29).

KURSUS SAINS SUKAN TAHAP 2, 2025 – ZON TIMUR

Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Wanita Dalam Sukan dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), ISN telah menganjurkan Kursus Sains Sukan Tahap 2 Zon Timur pada 21 – 26 Julai 2025 bertempat di Swiss-BelHotel Kuantan, Pahang.

Seramai 33 jurulatih wanita telah menyertai kursus ini yang memberi tumpuan kepada ilmu kejurulatihan berasaskan sains sukan seperti biomekanik, psikologi sukan, perubatan sukan, suaian fizikal dan falsafah sukan.

Skuad kuadran negara ‘diamkan’ penyokong Thailand

Kuala Lumpur: Skuad kuadran lelaki negara mencipta kemenangan bersejarah apabila menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada aksi Kumpulan A Piala Raja Thai 2025, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.

Dibarisi Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman Halim selaku killer serta Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Abd Razak di posisi feeder, Malaysia menundukkan kuadran Gajah Putih yang menurunkan Rachan Viphan, Kritsanapong Nontakote, Sankhai Daoreang dan Seksan Tubtong dengan kemenangan straight set 15-13, 17-16 di Hatyai.

Kemenangan ini dianggap satu ‘penebusan’ selepas skuad negara pernah tewas kepada Thailand 16-21, 13-21 pada separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, tatkala ketika itu kita hanya mampu berpuas hati dengan pingat gangsa.

Malah, kejayaan di Hatyai juga menjadi kebangkitan skuad negara selepas gagal mara ke suku akhir Piala Dunia di Bihar, India Mac lalu apabila tumbang di peringkat kumpulan kepada Vietnam.

Namun, skuad negara menunjukkan taring sebenar dengan menjuarai Piala Asia di Kuala Lumpur, Mei lalu selepas menundukkan Jepun di pentas final, ketika Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Kemenangan ke atas Korea Selatan lewat malam ini sudah cukup untuk mengesahkan anak buah Zulkarnain Arif ke separuh akhir dan pertemuan terakhir dengan Singapura esok adalah untuk memastikan kedudukan selaku juara atau naib juara kumpulan.

Azeem lolos ke separuh akhir 200m

Bochum: Hanya kira-kira 15 jam selepas beraksi dalam final 100 meter (m), jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berjaya melangkah ke separuh akhir acara 200m pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini, hari ini.

Pada perlumbaan pusingan pertama, Muhammad Azeem bermula dengan baik sebelum dilihat memperlahankan larian kira-kira 30m terakhir untuk menamatkan saingan saringan dua di tempat keempat dengan catatan masa 21.26 (s).

Pemenang emas 100m Bayanda Walaza dari Afrika Selatan mengungguli saingan itu dengan masa 20.93s, diikuti Lukasz Zok (21.06s) dan Zalan Deak dari Hungary di tempat ketiga (21.23s).

Muhammad Azeem mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menjadi tiga pelari terpantas dalam kalangan bukan tiga pelumba pertama setiap saringan yang layak secara automatik.

“Secara keseluruhan memang penat sebab habis perlumbaan (final 100m) hampir 10 malam tadi dan sampai hotel sekitar jam 11, jadi rehat tak cukup. Tapi itu bukan alasan kerana Walaza pun lalui perkara sama. Kami berdua saja yang layak ke final 100m dan turun 200m hari ini.

“Ia (larian hari ini) agak mencabar, terutama saya yang dah lama tak lari 200m, tapi ikut perbincangan dengan jurulatih, ini sebenarnya latihan baik untuk persiapan perlumbaan akan datang,” kata penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat itu ketika ditemui pemberita selepas aksi saringan di sini.

Muhammad Azeem memiliki catatan peribadi terbaik 20.79s yang dilakar pada kejohanan di Florida, April lalu yang juga satu-satunya penampilannya dalam acara 200m sebelum beraksi di sini.

Catatan itu hanya dibezakan 0.02 saat daripada rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan tuah undian untuk mendapatkan lorong di luar bagi peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung malam esok (awal pagi Jumaat waktu Malaysia).

“Saya sangat berharap diletakkan di lorong luar, bukan di lorong dalam sebab dengan keadaan kaki saya yang panjang ia sangat tidak memberi kelebihan untuk saya berlari di lorong dalam tetapi matlamatnya ialah untuk bertahan dan mara dalam pertandingan besar seperti ini,” kata atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet negara, Pengiran Aidil Auf Hajam terkandas di pusingan pertama selepas berada di tempat kelima dalam saringan tujuh dengan masa 21.69s.

Sebagai rekod, Muhammad Azeem terlepas peluang menaiki podium dalam acara 100m selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 10.35s di belakang Walaza selaku juara (10.16s) diikuti jaguh Thailand Puripol Boonson (10.22s) dan atlet Jepun Hiroki Yanagita (10.23s).

KURSUS PENGURUSAN SUKAN KEBANGSAAN (KPSK) TAHAP 1 – SABAH

Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 bersama Majlis Sukan Negeri Sabah telah berlangsung pada 21–23 Julai 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC).

Seramai 30 peserta terdiri daripada pegawai Majlis Sukan Negeri Sabah, Persatuan Sukan Negeri serta kakitangan kerajaan telah menyertai kursus ini sebagai langkah persiapan ke arah penganjuran Temasya Sukan Sabah (SAGA) ke-11 2025 di Tawau pada 11 Oktober 2025.

Kursus ini diakhiri dengan ujian kelayakan bagi melayakkan peserta menerima Sijil Kursus Pengurusan Sukan Tahap 1.

Kejohanan National 7s medan terakhir pemilihan ke Sukan SEA

Kuala Lumpur: Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2025 yang bakal membuka tirai Jumaat ini di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail bukan sekadar saingan biasa, malah menjadi medan terakhir buat pemain membuktikan kemampuan mereka sebelum senarai akhir ke Sukan SEA Thailand Disember ini dimuktamadkan.

Sebanyak 49 pasukan akan berentap dalam 139 perlawanan merangkumi empat kategori Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 21 Tahun dan Wanita Bawah 21 Tahun dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad menyifatkan penganjuran kali ini cukup istimewa dan penuh nilai tambah hasil kerjasama erat antara Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dan pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri.

Katanya, kejohanan ini turut penting sebelum KRM mengemukakan senarai nama pemain ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penyertaan Sukan SEA.

Ia susulan senarai panjang 30 pemain lelaki dan wanita yang sudah dihantar kepada MOM dan akan dikecilkan kepada hanya 17 pemain bagi setiap pasukan sebelum tarikh akhir penyenaraian 1 September depan.

“Ini peluang terbaik buat pemain untuk menyerlah. Kejohanan ini akan menentukan siapa yang benar-benar layak membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa,” tegas Amir Amri.

Amir juga menegaskan ketiadaan pasukan dari Sabah dan Pulau Pinang tidak menjejaskan reputasi kejohanan walaupun KRM tetap berharap semua ahli gabungan menyertai edisi akan datang.

“Hubungan baik antara badan induk bersama pemegang taruh seperti kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, agensi keselamatan dan Pejabat SUK Terengganu memberi impak besar. Ia bukan sahaja menyerlahkan profesionalisme penganjuran, malah mengangkat martabat sukan ragbi negara.

“Walaupun tanpa dua negeri itu, 49 pasukan tetap tampil berentap dengan semangat tinggi. Kami menghormati keputusan mereka namun semangat kejohanan kekal membara,” katanya.

MAJLIS PELANCARAN NSC GOLF CLUB

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) melalui Kelab MSN telah menganjurkan Majlis Pelancaran NSC Golf Club di Bukit Jalil Golf & Country Resort.

Majlis penuh simbolik ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN sebagai langkah menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga MSN dan komuniti sukan negara.

Misi akhiri penantian 34 tahun juarai acara berpasukan

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, optimis skuad Malaysia akan memberi saingan sengit dalam acara berpasukan Piala Raja Thai 2025 bermula esok, walaupun menyedari cabaran besar menanti di gelanggang lawan.

“Kita akan fokus setiap perlawanan demi perlawanan. Kedudukan dalam kumpulan juga agak mencabar, namun kami tetap memberi tumpuan penuh bagi memastikan pasukan berada pada prestasi terbaik,” kata beliau.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B, bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan, satu kumpulan yang dianggap mencabar dalam kejohanan kali ini.

Pada Piala Asia Mei lalu di sini, skuad negara tumpas 0-2 kepada Thailand dalam acara berpasukan, satu keputusan yang menjadi pemangkin untuk memperbaiki prestasi semasa ini.

Untuk Piala Raja Thai, pendekatan berfokus dan penambahbaikan berterusan dijadikan keutamaan. “Kita harapkan semua pemain memberikan komitmen serta disiplin tinggi untuk mencapai kemenangan demi kemenangan,” tambahnya.

Walaupun bermain di gelanggang lawan memberi kelebihan kepada tuan rumah, Ahmad Jais tetap menzahirkan keyakinan: “Itu bukan halangan untuk kita cuba memberikan saingan terbaik pada edisi kali ini.”

Sebagai perbandingan kepada rekod terdahulu, Malaysia terputus gelaran berpasukan selama 34 tahun selepas kali terakhir di Sukan SEA Manila 1991.

Skuad negara dijangka membuka tirai saingan berpasukan esok, dengan sasaran permulaan yang positif untuk melangkah jauh dalam edisi kali ini.

Skuad negara dibaru Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam, Zulkifli Abd Razak, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong) Azlan Alias, Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim, Noraizat Nordin (apit kanan), Aidil Aiman Azwawi, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Zaim Razali dan Farhan Adam (apit kiri).

Thailand diundi dalan Kumpulan A bersama Brunei, India, Vietnam dan Singapura.

Umar akui masalah makanan punca prestasi merosot

Bochum: Jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman menyifatkan kekangan dari segi pemakanan menjadi antara faktor utama yang menjejaskan prestasinya pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini.

Umar berkata beliau terpaksa bergantung kepada makanan sedia dimakan (RTE) kerana kekurangan pilihan makanan halal, sekali gus memberi kesan kepada tahap tenaganya ketika berlumba.

“Bagi saya, mungkin faktor nutrisi menyebabkan saya gagal mencatat masa yang diinginkan. Kebanyakan makanan di sini tidak halal, jadi saya hanya makan foodpack.

“Tetapi foodpack itu pun agak pedas untuk saya. Mahu atau tidak, saya tetap kena makan untuk dapatkan tenaga,” katanya ketika ditemui di sini.

Atlet berusia 21 tahun itu sekadar menamatkan saingan saringan kedua separuh akhir acara 400m di tempat keenam dengan catatan 47.10 saat (s), yang juga catatan peribadi terburuknya musim ini.

Pelajar Politeknik Ungku Omar itu yang memegang rekod kebangsaan 400m dengan masa 46.09s, mengakui tenaganya tidak mencukupi ketika perlumbaan, terutama di bahagian akhir larian.

“Badan saya agak lemah, terutama selepas 300 meter pertama. Saya cuba untuk kekal bersama pelari lain, tetapi 100 meter terakhir, saya sudah tidak mampu untuk teruskan dengan rentak yang sama,” jelasnya.

Untuk rekod, catatan terbaik musim ini milik Umar ialah 46.25s yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.

Umar dijadual menyertai acara 4x400m campuran esok sebelum membantu kuartet 4x400m lelaki negara pada Sabtu ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia