Majlis Sukan Negara Malaysia
Sejarah tercipta, Li Tian dinobat Grandmaster catur pertama Malaysia

Kuala Lumpur: Buat julung kalinya dalam sejarah negara, Malaysia akhirnya boleh berbangga apabila melahirkan Grandmaster (GM) pertama dalam sukan catur gelaran tertinggi yang dianugerahkan oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Yeoh Li Tian, 25, anak jati Petaling Jaya, secara rasmi menerima gelaran berprestij itu selepas meraih norma ketiga dan melepasi penarafan 2500 dalam ranking FIDE, susulan kejayaan menjuarai Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Pengiktirafan itu menjadikan Li Tian sebahagian daripada kelompok elit kurang 2,000 Grandmaster di seluruh dunia, dan menjadi satu penghormatan sepanjang hayat dalam dunia catur.

Li Tian yang mula bermain catur seawal usia tiga tahun mengakui bahawa perjalanan untuk mencapai tahap ini bukan mudah dan menuntut pengorbanan besar.

“Saya selalu beritahu orang bahawa saya tiada zaman kanak-kanak. Itu mungkin pengorbanan terbesar saya. Sejak kecil, malah semasa di sekolah rendah, saya pergi sekolah, balik, buat kerja rumah dan terus fokus kepada catur,” katanya.

Mengulas kejayaan meraih gelaran GM di tanah air sendiri, Li Tian menyifatkan ia sebagai momen paling bermakna, selepas hampir mencapai sasaran itu pada Sukan SEA 2022 di Hanoi.

“Saya rasa sangat lega dan gembira kerana berjaya melengkapkan norma terakhir di Malaysia. Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain tempatan untuk terus bermain catur,” katanya.

Mengintai ke hadapan, Li Tian masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya, namun memberi bayangan akan menyertai Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.

“Persekutuan Catur Malaysia (MCF) sudah pun menghubungi saya berkenaan Sukan SEA. Saya rasa peluang untuk saya bermain kali ini sangat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCF Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyifatkan pencapaian Li Tian sebagai satu detik bersejarah dalam arena catur negara.

Katanya, MCF kini lebih bersemangat untuk melahirkan lebih ramai Grandmaster tempatan dalam usaha memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan itu di peringkat nasional.

“Saya rasa pencapaian ini adalah satu perkembangan yang sihat buat sukan catur di Malaysia.

“Kita tidak mahu ia terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya kita mahu lebih ramai GM dari Malaysia sebagaimana yang dilakukan negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina,” katanya.

Remaja negara gegar Doha, boling Malaysia terus digeruni

Kuala Lumpur: Kejayaan skuad remaja negara meraih tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, menjadi petanda bahawa masa depan sukan berkenaan berada di landasan tepat.

Lebih manis, Malaysia muncul juara keseluruhan kejohanan sekali gus membuktikan kesinambungan bakat masih kukuh, selain mengukuhkan status sebagai kuasa besar Asia dan dunia dalam sukan itu.

Pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok menyifatkan pencapaian di Doha adalah hasil pembangunan akar umbi yang tersusun dan sistem yang terus berkembang secara positif.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka. Jurulatih Azidi Ameran dan Alex Liew memainkan peranan besar dalam memastikan pemain kekal fokus sepanjang kejohanan, sesuatu yang bukan mudah,” katanya.

Menurut Maradona, skuad kali ini membabitkan gabungan pemain pelapis kebangsaan dan atlet negeri memandangkan bilangan pemain bawah 18 tahun dalam skuad sedia ada tidak mencukupi, terutama bagi kategori lelaki.

“Kejohanan ini membenarkan setiap negara menghantar lapan pemain lelaki dan lapan perempuan untuk membentuk Pasukan A dan B. Jadi kami ambil peluang ini untuk memberi pendedahan kepada seramai mungkin pemain dari pelbagai negeri,” katanya.

Skuad wanita Pasukan A yang sepenuhnya terdiri daripada pemain skuad remaja kebangsaan, mempamerkan aksi cemerlang dengan bintang utama, Qurratu’ain Izdihar Pozi menyapu bersih lima pingat emas yang dipertandingkan.

Pasukan B yang diwakili sepenuhnya oleh pemain negeri turut cemerlang apabila menyumbang gangsa berpasukan.

Dalam kategori lelaki, Pasukan A hanya dibarisi dua pemain pelapis kebangsaan namun anak jati Pulau Pinang, Muhammad Aqil Faizal menyerlah apabila menggondol dua emas dalam acara berpasukan dan Masters serta dua gangsa dalam acara individu dan All Events.

Pasukan B turut menyinar menerusi gandingan Muhammad Affan Azmi dan Kho Yek Zhen yang meraih gangsa dalam acara beregu.

“Kejayaan ini membuktikan sekali lagi bahawa kita memiliki sistem pembangunan akar umbi bertaraf dunia dan program yang mampan,” kata Maradona.

“Elemen utama adalah Liga Remaja Kebangsaan yang kukuh hasil kerjasama dengan semua pemegang taruh. Pusingan terbaru di Perak menyaksikan penyertaan seramai 956 pemain.

“Pemain negeri yang terpilih ke Doha adalah antara yang terbaik daripada Liga Remaja. Mereka melalui sesi pemilihan roll off yang kompetitif bagi mendapatkan tempat dalam skuad.”

Gabungan pemain pelapis kebangsaan dan bintang muda negeri ini jelas memberi sinar harapan baharu kepada skuad boling negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa utama di peringkat Asia.

Jimmy-Pei Jing gagal sempurnakan misi di Macau

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing terpaksa akur sekadar muncul naib juara pada saingan Terbuka Macau yang melabuhkan tirai di East Asian Games Dome, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-127 dunia itu gagal menyekat kemaraan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje apabila tumpas 13-21, 16-21 dalam aksi final yang berlangsung kurang dari sejam.

Kekalahan itu hadir sehari selepas mereka mencipta sensasi menyingkirkan pilihan keenam dari Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah di separuh akhir.

Bagaimanapun, semangat juang yang ditampilkan tetap membanggakan apabila mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$14,060 (RM60,141) dan pingat selaku naib juara.

Lawan dari Denmark pula meraih AS$29,230 (RM125,031) serta pingat kemenangan.

Ini adalah gelaran naib juara keempat buat Jimmy-Pei Jing tahun ini selepas muncul finalis di Cabaran Antarabangsa Vietnam, Siri Antarabangsa Phuket dan Terbuka St Denis Reunion.

Permainan kedua, ketiga bunuh momentum SRG – Arcadia

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG), Michael Angelo Bocado mengakui kehilangan momentum selepas aksi permainan kedua dan ketiga menjadi titik tolak kekalahan pasukannya kepada Team Liquid PH (TLPH) dalam final Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2025 Piala Pertengahan Musim (MSC).

SRG.OG yang memulakan aksi dengan garang apabila memenangi permainan pertama, akhirnya akur bergelar naib juara selepas tewas 1-4 dalam pertarungan epik di Riyadh.

“Pada permainan pertama, kami bermain dengan sangat baik, segala perancangan, ‘draft’ dan gerakan kami menjadi. Tapi selepas itu, bermula permainan kedua dan ketiga, walaupun kami mendahului, kami gagal kekalkan rentak.

“Dua permainan itu sebenarnya kami sudah ada tempo, tapi gagal tamatkan dengan kemenangan. Dari situ, moral dan keyakinan pemain mula terjejas,” katanya.

Menurut Bocado atau dikenali sebagai ‘Arcadia’, permainan ketiga menjadi titik kritikal yang mengubah keseluruhan hala tuju perlawanan.

“Permainan ketiga adalah detik paling kritikal. Kami sudah kuasai permainan, tapi tetap gagal menang. Dari situ, pihak lawan mula ambil alih dan kami pula makin hilang arah.”

Mengulas kejutan taktikal pasukan lawan, Bocado menyatakan keputusan TLPH memberi keutamaan kepada hero Gloo dalam permainan kelima memberi kejutan besar kepada anak buahnya.

“Pilihan mereka letak keutamaan pada Gloo sangat di luar jangkaan. Ia bukan ‘pick’ biasa dalam situasi sebegitu. Tapi mereka berjaya manfaatkan dengan sangat baik.”

SRG.OG tetap pulang dengan reputasi meningkat selepas layak ke final buat kali pertama, namun persoalan kini mula timbul tentang masa depan Bocado bersama pasukan Malaysia itu.

Ketika ditanya sama ada dia akan terus kekal, Bocado hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.

SRG.OG membariskan pemain terbaik mereka yang diketuai Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), dan John Vincent Banal (Innocent).

Selaku naib juara MSC 2025, SRG.OG tetap boleh tersenyum lebar apabila membawa pulang hadiah wang tunai melebihi RM2.1 juta daripada kejohanan itu, selain berjaya mencipta sejarah baharu di MSC apabila menjadi pasukan pertama yang layak ke Grand Final dua tahun berturut-turut sejak kejohanan ini dimulakan pada 2017.

Arif-Roy King juara Terbuka Macau, bawa pulang RM125,031

Kuala Lumpur: Biarpun diganggu dengan masalah air menitik di dalam gelanggang dan proses mengelap lantai yang tidak berkesudahan ia tak mampu menghalang beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk muncul juara Terbuka Macau.

Aksi yang sepatutnya berlangsung lebih sengit seolah-olah diselang-seli dengan sukan ‘curling’ sebelum Arif-Junaidi menoktahkan kemenangan straight set 22-20, 21-18 ke atas wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di Macao East Asian Games Dome.

Kemenangan itu juga membolehkan pasangan 23 dunia itu meraih kejuaraan sulung Jelajah dunia dan membalas dendam ke atas Gutama-Pahlevi yang mengalahkan mereka dalam final Masters Sepanyol tahun lalu.

Kemenangan Arif-Roy King membolehkan mereka membawa pulang wang tunai AS$29,230 (RM125,031), manakala, Gutama-Pahlevi yang menghuni ranking kelapan dunia meraih AS$14,060 (RM60,141).

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak mampu untuk mencipta kejutan ketika berdepan Alwi Farhan juga dari Indonesia.

Justin yang beraksi buat kali pertama dalam final Jelajah Dunia, terpaksa akur apabila kalah straight set 15-21, 5-21 ketika perlawanan berlangsung kurang daripada sejam.

Dia yang berada di ranking 45 dunia harus akui dengan kehebatan pilihan kelima kejohanan itu terutama di set kedua selepas semuanya serba tidak menjadi.

Alwi yang juga pemain ranking ke-25 dunia ternyata berada di kelas tersendiri dan mengukuhkan reputasi selaku bekas juara remaja dunia 2023.

Juara Masters Indonesia 2024 itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$27,750 (RM118,700), manakala Justin berpuas hati dengan AS$14,060 (RM60,141).

Qurratu’ain seperti tak percaya dengan persembahan cemerlang

Kuala Lumpur: Qurratu’ain Izdihar Pozi mencuri tumpuan apabila merangkul lima pingat emas di Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, sekali gus melonjakkan namanya sebagai bintang masa depan sukan boling negara.

Atlet berusia 17 tahun itu menyapu bersih semua acara individu wanita, perseorangan, beregu, berpasukan, All Events dan Masters dan menjadi tonggak utama kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan kejohanan.

Qurratu’ain, yang juga juara remaja kebangsaan, turut membuktikan keupayaannya bersaing di pentas senior apabila meraih tempat ketiga dalam acara Terbuka Wanita pada Kejohanan Terbuka Hong Kong baru-baru ini.

Peningkatan mendadak dalam sukan ini nyata berpaksikan gabungan bakat semula jadi dan etika kerja yang tinggi.

Mengulas pencapaiannya di Doha, Qurratu’ain mengakui ia masih terasa seperti mimpi.

“Saya cubit diri sendiri juga! Sejujurnya, masih rasa macam mimpi. Tak sangka langsung boleh menang lima emas. Memang tak boleh percaya,” katanya.

“Saya sangat gembira dan bersyukur semuanya berjalan lancar.”

Tumpuan kini terarah ke Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 21 Tahun yang akan berlangsung di Sunway Mega Lanes hujung bulan ini, dengan Qurratu’ain antara tiga wakil dari skuad Doha yang turut disenaraikan, bersama Adelia Nur Syazalee dan Wan Muhammad Ikram Mazlan dalam skuad lapan orang negara.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan momentum ini,” kata Qurratu’ain.

“Cabaran di peringkat Bawah 21 pastinya berbeza, tapi saya hanya mahu beri yang terbaik dan terus belajar sepanjang kejohanan.”

Mengimbas semula detik penting dalam kariernya, Qurratu’ain menyifatkan kejayaan muncul juara remaja kebangsaan tahun lalu sebagai titik tolak kepada keyakinannya hari ini.

“Menang gelaran remaja kebangsaan tahun lepas beri saya lonjakan besar dari segi keyakinan diri. Ia jadi titik perubahan yang mendorong saya untuk bekerja lebih keras dan lebih percaya pada diri sendiri.”

Justin tersungkur di final Terbuka Macau

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak mampu untuk mencipta kejutan ketika berdepan Alwi Farhan dari Indonesia dalam perlawanan akhir Terbuka Macau apabila tumpas dalam final di Macao East Asian Games Dome sebentar tadi.

Justin yang beraksi buat kali pertama dalam final Jelajah Dunia, terpaksa akur apabila kalah straight set 15-21, 5-21 ketika perlawanan berlangsung kurang daripada sejam.

Dia yang berada di ranking 45 dunia harus akui dengan kehebatan pilihan kelima kejohanan itu terutama di set kedua selepas semuanya serba tidak menjadi.

Alwi yang juga pemain ranking ke-25 dunia ternyata berada di kelas tersendiri dan mengukuhkan reputasi selaku bekas juara remaja dunia 2023.

Juara Masters Indonesia 2024 itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$27,750 (RM118,700) berserta pingat manakala Justin berpuas hati dengan AS$14,060 (RM60,141) dan juga pingat.

Izzat Shameer dan Li Jane dipilih Olahragawan, Olahragawati Perak

Ipoh: Atlet boling padang negara Izzat Shameer Dzulkeple dan atlet tenpin boling negara Sin Li Jane dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Majlis Anugerah Sukan Negeri (ASN) Perak 2023/2024 di sini malam ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada Izzat Shameer dan Li Jane.

Berangkat sama ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Khairudin Abu Hanipah.

Izzat Shameer membantu skuad boling padang negara dengan membawa pulang empat pingat emas pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Kejohanan Boling Padang Asia Bawah 25 tahun (B-25) ke-14 di Clark, Filipina April lepas.

Li Jane pula menamatkan kempen 2024 dengan bergaya apabila muncul pemain boling pertama Asia dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Amerika Syarikat (AS).

Beliau memperoleh anugerah itu selepas memenangi empat gelaran iaitu Terbuka Wanita AS, Kejohanan Jelajah, Terbuka Journal Rockford dan Greater Nashville Classic.

Kedua-dua atlet itu membawa pulang medal dan insentif wang tunai RM7,000.

Atlet bola tampar pantai Low Jeng Yih dan atlet renang Joelle Chang Zu-Ee pula dinobat Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan, manakala dua atlet berbasikal Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraya Muhammad Zamri dinobat Atlet Terbaik Para Lelaki dan Atlet Terbaik Para Wanita.

Turut menerima anugerah ialah jurulatih sukan berbasikal Hishamuddin Mohd Zaki kategori Jurulatih, Datuk Seri Puhat Mat Nayan (Kepimpinan Sukan), Mohd Jamil Zakaria (Jasamu Dikenang), Mohamad Ayob Kamarudin (Keluarga Sukan), Razif Rosli dan Mohd Fitri Azman masing-masing kategori media, Perak Bison (pasukan terbaik) dan Persatuan Golf Negeri Perak yang menerima Anugerah Khas Persatuan Sukan.

ASN Perak kali ini menawarkan 13 kategori pencalonan meliputi anugerah Olahragawan, Olahragawati, Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Pasukan Terbaik, Jurulatih Terbaik, Kepimpinan Sukan, Jasamu Dikenang, Keluarga Sukan, Media, Atlet Terbaik Para Lelaki dan Atlet Terbaik Para Wanita.

Buat kali pertama diperkenalkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Khas Persatuan Sukan Negeri bagi mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan dan pengurusan persatuan yang menjadi tonggak penting dalam pembangunan sukan negeri.

Saarani dalam sembah ucapannya berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak telah merintis beberapa inisiatif penting antaranya Program Podium Perak (P3) yang diperkenalkan sejak 2017, Program Atlet Kita Juara yang memugar potensi anak negeri serta pelbagai usaha pembangunan akar umbi.

Beliau berkata sebanyak 202 atlet berpotensi kini berada di bawah naungan Program Podium Perak sebagai persediaan untuk kejohanan peringkat lebih tinggi.

MSN Perak juga, katanya terus menitikberatkan aspek kebajikan dan pembangunan sahsiah atlet agar terus menjaga imej sukan negeri secara holistik.

SSMP, Selangor, rangkul kejuaraan NRDP 7’s

Kuala Lumpur: Aksi panas, semangat membara dan bakat luar biasa mewarnai Kejohanan Ragbi NRDP 7’s Bawah 17 Tahun Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung dengan jayanya di Padang Ragbi, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kejohanan dua hari itu menyaksikan 32 pasukan 16 lelaki dan 16 wanita dari seluruh negara bertarung sengit bagi merebut gelaran juara selain menjadi medan mencungkil bakat terbaik dalam kalangan pemain muda tanah air.

Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) menggenggam kejuaraan kategori lelaki selepas menundukkan seteru utama, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam perlawanan penuh mendebarkan yang berkesudahan 26-17 manakala Selangor muncul juara kategori wanita selepas menewaskan Sabah 17-0.

Kedah dan Johor pula berada di tempat ketiga dan keempat bagi kedua-dua bagi kedua-dua kategori.

Anugerah Pemain Terbaik Kejohanan turut menjadi perhatian apabila Simone Shwe Punai dari Selangor dan Aniq Hazreeq Ismaam dari SSMP dinobatkan sebagai pemain paling menyerlah sepanjang kejohanan.

Penganjuran kali ini juga membuka peluang kepada pemain yang menyerlah untuk disenarai pendek ke skuad pembangunan kebangsaan yang bakal beraksi di Bunga Raya Cup 7s pada Oktober nanti.

Malaysia Rugby turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit khususnya UPSI selaku tuan rumah yang menyediakan kemudahan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Sepak takraw sepatutnya medan penyatuan, bukan menyindir – Niphat

Kuala Lumpur: Bekas pemain sepak takraw Thailand, Niphat Wongprasert menegaskan sukan berkenaan seharusnya menjadi medan penyatuan dan sokongan moral.

Katanya, sepak takraw bukannya tempat untuk mencetuskan sindiran dan kritikan tidak membina, apatah lagi apabila membabitkan pencapaian pasukan lawan seperti Malaysia di pentas Piala Raja Thai, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Niphat menggesa peminat dan bekas jurulatih tidak terlalu terikat dengan pencapaian silam atau terlalu mendesak untuk menang dalam semua kategori.

“Sukan ini ada kalah, ada menang. Negara lain pun ada kaki juga, bukan kita saja,” tulisnya.

Malaysia sebelum ini tewas 0-2 kepada Thailand di pentas final regu berpasukan Piala Raja Thai dan ia mencetuskan pelbagai reaksi termasuk kritikan daripada segelintir peminat dan bekas jurulatih tempatan.

Bagaimanapun, Niphat meminta agar semua pihak kekal rasional dan menghormati setiap usaha pasukan lawan yang sentiasa mencuba memberikan saingan terbaik.

“Kita tak boleh menang semua kategori. Kalau menang semua, yang kaya nanti atlet, bukan jurulatih. Kita kena faham realiti sukan,” ujarnya lagi.

Niphat secara terbuka menegur beberapa bekas jurulatih yang terlalu lantang mengkritik situasi semasa, seolah-olah tidak menerima perubahan landskap sukan takraw masa kini.

“Ada jurulatih yang sudah berkhidmat puluhan tahun, eloklah berehat dan teruskan menyokong dari jauh, bukan menyindir orang lain.”

Dalam pada itu, Niphat turut menekankan pentingnya membezakan antara sukan dan persahabatan serta menggesa semua pihak supaya tidak memandang rendah mana-mana negara, termasuk Malaysia dan Kemboja, yang sedang giat membina kekuatan dalam sukan takraw.

“Jangan pandang rendah sesiapa dan jangan fikir kita saja yang hebat,” katanya.

Teguran penuh hormat daripada legenda Thailand itu dilihat sebagai mesej penting agar sukan sepak takraw, yang semakin berkembang, terus menjadi platform membina semangat kesukanan dan bukannya medan persengketaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia