Majlis Sukan Negara Malaysia
SRAM minta dana tambahan naik taraf Pusat Skuasy Nasional

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memohon dana tambahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf gelanggang di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Presiden SRAM Gerard Monteiro berkata gelanggang skuasy di venue itu tidak pernah menjalani proses naik taraf sejak 1998 dan kini sedang menjalani kerja-kerja naik taraf termasuk melibatkan atap serta sistem pengudaraan.

“Kami berharap dapat menyiapkannya menjelang pertengahan tahun depan. Kami cuba mendapatkan sedikit peruntukan daripada KBS untuk menukar gelanggang memandangkan Kejohanan Dunia di Mesir baru-baru ini sudah beralih menggunakan lantai kaca.

“Kita perlu mengikuti perkembangan zaman jika mahu memastikan pemain kekal berdaya saing di peringkat dunia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SRAM di sini hari ini.

Gerard berkata 10 gelanggang latihan perseorangan sedia ada di pusat itu bakal berwajah baharu apabila menggunakan lantai kaca mengikut standard terkini antarabangsa.

“Kami yakin ia mampu menjadi kenyataan meskipun peruntukan daripada KBS adalah untuk tahun depan tetapi kami harap dapat (dana tambahan),” katanya.

Terdahulu, pada AGM itu menyaksikan badan induk sukan berkenaan mengekalkan kesemua jawatan utama bagi penggal 2024-2025. – BERNAMA

BAM jalin kerjasama dengan PEMANDU Associates

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah proaktif apabila mengumumkan kerjasama strategik dengan PEMANDU Associates (PA), semalam dalam usaha melicinkan tatakelola badan induk itu untuk menduduki kelompok tiga terbaik dunia menjelang temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kerjasama itu akan menggunakan kepakaran firma perunding swasta untuk memastikan mereka ‘sama hebat’ dengan empat negara badminton utama iaitu China, Jepun, Indonesia dan Korea Selatan.

“Tindakan ini menjadi contoh sebuah persatuan membawa masuk pihak profesional bagi menunjukkan bahawa kita telus dalam segala yang kita lakukan untuk penambahbaikan. Kita berhubung dengan mereka bukan untuk selesaikan masalah tetapi bagaimana mereka mahu mengurus kejayaan.

“Mereka (PA) antara tiga syarikat membida dan kami pilih berdasarkan kredibiliti mereka sebelum ini. Kita bawa mereka masuk sebab kita memerlukan profesional yang faham cara melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi sidang media bersama Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates Datuk Seri Idris Jala di sini, semalam.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Kerjasama ini menyaksikan PEMANDU Associates akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap bidang operasi teras BAM, termasuk Jabatan Teknikal, Pembangunan dan Pengurusan Pemain, Pengurusan Kewangan, Tadbir Urus dan Pengurusan Prestasi.

Selain menjalankan proses tiga bahagian melibatkan sesi Analisis Diagnostik, Bengkel Strategik, Penyelesaian Masalah dan Makmal, pihak berkepentingan juga akan bertemu untuk memberikan buah fikiran dan input mereka.

Mohamad Norza memaklumkan kerjasama ini akan ‘meninggalkan jejak’ positif selepas beliau meninggalkan badan induk itu selepas Paris 2024 di mana beliau menyediakan laluan kepada ahli lembaga BAM menghadapi pelbagai cabaran pada tahun akan datang menjelang kejohanan utama jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan LA 2028.

Beliau malah melahirkan keyakinan tinggi bahawa sasaran untuk mencapai kelompok tiga terbaik dunia bukanlah sukar untuk dicapai apabila beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Woi Yik kini berada di kedudukan lima terbaik dunia.

Sementara itu, Idris Jala yakin sasaran tinggi ditetapkan BAM itu bukan sesuatu yang mustahil dengan baki tempoh lima tahun ini.

“60 tahun menghasilkan pemain legenda untuk pentas badminton dunia, sekarang masanya untuk BAM menemui cara baru untuk berkembang dan mempercepatkan kemajuan strategiknya ke hadapan.

“Metodologi kami bertujuan untuk membawa kejelasan dan kemudahan objektif untuk mempercepatkan perubahan. Proses transformasi 360 darjah yang menyeluruh adalah penting untuk mencapai tiga kejayaan utama untuk semua pihak secara konsisten melahirkan juara dunia di negara ini, memastikan kemampanan kewangan untuk meneruskan misi dan meningkatkan badminton sebagai sukan yang memberi ganjaran kewangan lumayan kepada atlet,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara badan induk itu dengan Petronas yang dijangka akan tamat hujung tahun ini, Norza berkata setakat ini mereka mendapat maklum balas positif.

BAM memeterai perjanjian penajaan terbesar dengan Petronas dalam sejarah selepas menandatangani perjanjian selama tiga tahun pada 2022 untuk meningkatkan prestasi badminton Malaysia menerusi latihan dan persediaan pemain kebangsaan terutama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 selain turut memberi manfaat kepada program pembangunan menyeluruh BAM.

– BERNAMA

Mike, Natasha Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2023

KUALA LUMPUR: Selepas lima kali sekadar menjadi calon, jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah akhirnya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023, dalam satu majlis di sini, sebentar tadi.

Syarul Azman, 51, yang mesra disapa Mike mengetepikan empat lagi calon akhir iaitu atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, Ng Eain Yow (skuasy), Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Pemilihan Syarul Azman kali ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlangnya yang muncul juara dunia buat kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November tahun lalu.

Mike yang mengumumkan persaraannya pada Mac lalu menjadi atlet bina badan ketiga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.

Malek Noor pernah sekali dinobatkan sebagai Olahragawan iaitu pada 1986 manakala Sazali yang juga juara dunia 10 kali pernah memenanginya sebanyak empat kali bermula 2000, 2006, 2013 dan 2014.

Mike menyifatkan pencapaian kali ini melengkapkan kariernya sebagai seorang atlet selepas menanti sekian lama untuk bergelar Olahragawan Kebangsaan.

“Saya memang tidak pernah terfikir untuk memenangi anugerah ini ketika muda. Saya rasakan ia pencapaian yang sukar untuk dicapai.

“Apabila kali pertama disenaraikan sebagai calon akhir pada 2016, saya sudah anggap ia satu pengiktirafan yang besar.

“Cuma selepas dicalonkan beberapa kali selepas itu, baru saya terfikir mengapa tidak saya memenanginya. Saya bekerja keras untuk mendominasi sukan ini dan apabila berjaya merangkul anugerah ini, sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.

“Saya boleh cakap, kerjaya saya sebagai atlet sudah lengkap. Kejayaan ini membuktikan atlet daripada sukan yang kurang popular seperti bina badan mampu menjadi juara dunia dan memenangi Olahragawan Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 sekali gus menewaskan empat lagi pencabarnya termasuk ratu skuasy, S Sivasangari.

Turut berada dalam senarai pencalonan akhir adalah atlet muay thai, Nur Amisha Azrilrizal, Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu.

Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Datuk Syalin Zulkifli pada 2002.

Bagi gelaran Olahragawan Paralimpik, ia dimenangi jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin manakala Olahragawati Paralimpik disandang Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) daripada sukan berbasikal trek para.

Majlis anugerah turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023 dan pemain boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - NSTP/Aizuddin Saad
Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023 dan pemain boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. – NSTP/Aizuddin Saad

PEMENANG ANUGERAH SUKAN NEGARA 2023

Olahragawan Kebangsaan: Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan)

Olahragawati Kebangsaan: Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Bonnie Bunyai Gustin (para powerlifting)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Nur Suraiya Muhamad Zamri, Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) (para berbasikal)

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Ahmad Muaz Mohd Fisol (tenpin boling-beregu lelaki)

Pasukan Wanita Kebangsaan: Aleena Ahmad Nawawi, Nur Ain Nabilah Tarmizi (lawn bowls – beregu wanita)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Zuraidi Puteh (lawn bowls)

Jurulatih Wanita Kebangsaan: Chai De-Choo @ Wendy Chai (tenpin boling)

Tokoh Sukan: Datuk Dr PS Nathan

Kepimpinan Sukan: Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus

Anugerah Khas: Qabil Irfan Azlan (permotoran – Mini GP)-Berita Harian

Kerajaan beri jaminan terus bantu bidang sukan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus memberi perhatian kepada bidang sukan khususnya bagi membantu melonjakkan pembangunan sukan negara.

Beliau berkata, di sebalik kelembapan ekonomi dan kekangan kewangan, kerajaan tidak akan sesekali meminggirkan bidang sukan yang disifatkan elemen penting yang menyatukan seluruh rakyat negara.

“Beberapa usul yang dikemukakan kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) dalam Jemaah Menteri, kita tetap berikan perhatian. Seandainya ada ruang kita pasti akan beri pertimbangan khas di sebalik keadaan ekonomi dan kekangan kewangan.

“Kita akan cuba sedaya upaya kerana budaya sukan ada kekuataannya kerana ia adalah satu kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa, bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat yang di dukung bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Dalam pada itu, Anwar, berkata kerajaan turut komited untuk terus memberi kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang menaja persatuan sukan di negara ini.

“Saya mengulangi kenyataan pada rakan di kementerian termasuk persatuan bahawa kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang berikan bantuan dan sokongan untuk majukan sukan di negara ini,” katanya.-Berita Harian

SUKMA 2024: Selangor yakin huni kelompok tiga teratas

SHAH ALAM: Selangor optimis berakhir dalam kelompok tiga teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata Selangor turut meletakkan sasaran memenangi 13 hingga 15 peratus daripada keseluruhan 488 pingat emas yang dipertandingkan.

Beliau berkata, Selangor akan menghantar 1,138 atlet yang menyertai semua 37 jenis sukan yang dipertadingkan pada temasya dwitahunan itu.

“Kami belum mahu mengumumkan secara khusus sasaran jumlah pingat emas kerana tempoh waktu ke temasya sebenar masih panjang.

“Kami yakin boleh perbaiki kutipan pingat yang diraih pada edisi lalu kerana jika berjaya mencapai 10 peratus sasaran sahaja pun, Selangor sudah ada 48 pingat emas, jauh melebihi jumlah 31 pingat emas yang dimenangi pada tahun 2022,” katanya.

Mohamad Nizam berkata, senarai akhir atlet yang akan dipertaruhkan bagi membawa panji Merah Kuning pada temasya itu dijangka diumumkan awal bulan depan.

Beliau berkata semua atlet giat melakukan latihan intensif mempersiapkan diri dan perlu memenuhi beberapa aspek yang ditentukan jurulatih termasuk persediaan fizikal dan kecergasan serta mental dan psikologi bagi memastikan benar-benar bersedia sebelum senarai akhir ke Sarawak dimuktamadkan.

“Kami berikan tumpuan kepada beberapa acara yang berpotensi menyumbang pingat emas seperti renang, olahraga, memanah, boling padang dan menembak. Kami yakin dan mahu setiap atlet bagi sukan tumpuan itu serta beberapa acara sukan lain, mampu beraksi cemerlang seterusnya menghadiahkan emas untuk Selangor,” katanya.

Pada SUKMA 2022, kontinjen Selangor mengakhiri temasya di kedudukan ketiga dengan mengumpul 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa bagi keseluruhan 130 pingat. – BERNAMA

Zii Jia mara ke pusingan kedua Terbuka Australia

[DIKEMAS KINI] PEMAIN perseorangan badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Australia di Quaycentre, Sydney pada Rabu.

Bagaimanapun, Zii Jia yang merupakan pemain pilihan ketiga kejuaraan bertaraf Super 500 itu dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pemain ranking 77 dunia S Sankar Muthusamy.

Set pertama Zii Jia yang juga pemain nombor lapan dunia menampilkan aksi bertenaga untuk menang 21-16 ke atas naib juara Kejuaraan Remaja Dunia 2022 itu.

Namun Sankar yang mengejutkan bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao di pusingan pertama Thailand Masters, Januari lalu bangkit dengan corak permainan lebih kemas untuk menang 21-18 di set kedua.

Set ketiga, Zii Jia kembali mendapatkan rentak permainan menggunakan pengalaman untuk menyingkirkan cabaran Sankar, 21-10 dalam masa 64 minit

Kemenangan itu membolehkan Zii Jia yang dalam momentum mengekalkan kecergasan untuk Sukan Olimpik Paris 2024 berdepan seorang lagi wakil negara, Soong Joo Ven.

Sementara itu, Joo Ven yang berstatus pemain nombor 77 dunia sebelum itu menumbangkan pemain Kanada, Victor Lai 21-12, 21-16 dalam aksi 43 minit.

Turut mara pemain perseorangan wanita K Letshanaa yang menjinakkan pemain Australia, Ira Sameer Acharya 21-6, 21-5 dalam masa 18 minit.

K Letshanaa yang berstatus nombor 64 dunia akan berdepan wakil Taiwan yang di kedudukan ranking 29 dunia Pai Yu Po di pusingan kedua.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin juga mara selepas menewaskan gandingan dari India, Kona Tarun-Sri Priya Kudaravalli 21-6, 21-11 dalam masa 23 minit.

Pang Ron-Su Yin akan berdepan pilihan pertama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang menewaskan wakil Amerika Syarikat, Linden Wang-Eva Wang, 21-8, 21-13.

Pilihan kelima, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mara selepas menewaskan wakil Australia, Ephraim Stephen Sam-Dania Nugroho 21-13, 21-13 bagi menempah slot berdepan satu lagi wakil tuan rumah, Adam Jeffrey- Justine Villegas.

Satu lagi gandingan negara Choong Hon Jian-Go Pei Kee meneruskan langkah ke pusingan 16 dalam masa 70 minit selepas menewaskan beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi tiga set 24-26, 21-17, 21-14.

Sementara itu, Joo Ven yang berstatus pemain nombor 78 dunia mara selepas menumbangkan pemain Kanada, Victor Lai 21-12, 21-16 dalam aksi 43 minit.-Sinar Harian

Setiap orang sakit, menangis sebab kami lepaskan peluang terbaik – Pan Gon

KUALA LUMPUR: Perjuangan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 berakhir selepas terkandas di pusingan kedua kelayakan yang menutup tirainya, malam tadi.

Menamatkan saingan Kumpulan D di tangga ketiga, ia bermakna impian untuk Malaysia ke Piala Dunia tertangguh lagi meskipun skuad kendalian Kim Pan Gon memulakan kempen kelayakan itu dengan langkah positif.

Pan Gon mengakui pasukannya menutup saingan dengan ‘menyakitkan’ selepas bermula cemerlang dalam dua aksi awal apabila menewaskan pasukan ranking lebih tinggi, Kyrgystan 4-3 sebelum mengatasi Taiwan (1-0) di gelanggang lawan.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, dua kekalahan kepada Oman menjadi antara faktor utama pasukan negara terlepas slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

“Kami belajar sesuatu di peringkat ini, tetap bangga dan kami harus bergerak ke depan. Setiap orang berasa sakit, setiap orang menangis sebab kami mendapat peluang yang baik.

“Dua aksi pertama kami menang, meraih enam mata dan ia bukan mudah. Apa yang berlaku selepas itu (menentang Oman), anda semua tahu dan saya tidak perlu katakan lagi.

“Saya katakan kepada pemain, kita tidak tahu selepas empat tahun akan datang, mungkin sebahagian pemain dan saya sendiri, mungkin kita di sini atau kita tak tahu kita akan berdepan situasi berjuang hingga ke saat akhir atau tidak.

“Namun, ia sudah berakhir. Bagi saya lebih baik kita fikirkan strategi yang lebih baik buat bola sepak Malaysia,” katanya pada sidang media selepas aksi menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Taiwan 3-1, namun ia belum cukup bagi membawa skuad negara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 apabila Oman terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan.

Oman dan Kyrgyzstan mara selaku juara dan naib juara kumpulan dengan masing-masing mengumpul 13 dan 11 mata manakala Malaya yang meraih 10 mata berada di kedudukan ketiga. Taiwan di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan perancangan seterusnya adalah bagi menghadapi Piala ASEAN pada hujung tahun ini dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.

“Cabaran seterusnya adalah Piala AFF (ASEAN) pada November dan satu lagi cabaran besar (kelayakan) Piala Asia pada Mac. Bagi saya, ia ujian yang besar, jika Malaysia dapat ke Piala Asia kita akan bangga, penyokong akan bangga,” katanya.-Berita Harian

Teka-teki sasaran pingat Olimpik

PEMINAT sukan ketika ini masih berteka-teki mengenai sasaran pingat kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika temasya terbesar dunia itu berbaki 44 hari lagi.

Tumpuan sudah pasti kepada impian untuk menggapai pingat emas sulung buat Malaysia yang dipacu dengan kewujudan Program Road To Gold (RTG) bagi mendokong cita-cita besar itu.

Timbul juga persoalan sama ada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mahu meneruskan sasaran tanpa menetapkan warna pingat.

Ia seperti dipraktiskan kontinjen negara yang meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang disifatkan oleh MSN sebagai kejayaan terhadap pendekatan sasaran tanpa warna pingat.

Mengulas perkara itu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mekanisme terbaik perlu diputuskan dalam mesyuarat, sebelum ia diumumkan secara rasmi.

Malah beliau berkata, satu mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perbincangan dengan MOM, KBS dan MSN akan diadakan tidak lama lagi. Selepas berbincang, kami akan membawa perkembangan terbaharu kepada media,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian bagi penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melalui kaedah empowerment bagi tahun 2024 di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.

Mohamad Norza turut menjelaskan tidak mahu kontinjen negara berada dalam keadaan tertekan kerana setiap atlet memasang impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik.

“Mereka sudah berusaha selama empat tahun untuk ke sana dan ini adalah langkah akhir untuk kita memberi sokongan sekuat-kuatnya kepada mereka,” katanya.

Beliau juga menjangkakan kontinjen Malaysia ke Paris akan diwakili 24 hingga 25 atlet.

“Setakat ini kita ramalkan saiz kontinjen dalam 24 atau 25 orang, namun masih menunggu hingga ke hujung bulan ini, jika ada penambahan atlet,” ujar Mohamad Norza.

Sukan memanah giat bersaing dalam pusingan kelayakan untuk memburu slot acara berpasukan pada kejohanan di Antalya 15 hingga 16 Jun ini.

Beberapa atlet terjun juga masih menanti menerusi slot atlet simpanan selain olahraga yang masih menunggu tiket wildcard.

Sebagai rekod antara sandaran emas pertama negara di Paris adalah menerusi jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan dua wakil badminton, Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik.-Sinar Harian

Perjuangan Azeem belum selesai

PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi belum mahu mengalah mengenai peluangnya untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 44 hari lagi.

Sebaliknya atlet berusia 20 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mahu fokus dan menikmati perlumbaan kerana menyifatkan perjuangannya masih belum selesai.

Pelajar Universiti Auburn itu akan menyertai tiga kejohanan berturut-turut bermula Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Pahang dari 14 hingga 16 Jun ini, diikuti Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2 hingga 5 Julai.

“Kerja belum selesai. Terbuka Malaysia tidak lama lagi,” catat Azeem menerusi laman sosialnya.

Kejohanan yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu akan disertai atlet dari Rusia, Singapura, Australia, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Nambia dan Filipina.

“Jadi dengan kejohanan berturut-turut ini, saya akan terus berada di Malaysia selepas Terbuka Kazakhstan dan selepas AUG 2024, saya akan jalani kem latihan di Jerman bersama pasukan saya,” katanya.

Azeem membuat penampilan cemerlang apabila membantu Universiti Auburn meraih pingat emas acara 4x100m dalam Kejohanan Trek dan Padang, Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon baru-baru ini.

Pelari yang berasal dari Perak itu adalah pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s), manakala catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding kelayakan ke Paris yang memerlukannya mencatat 10s untuk layak secara merit dalam acara riben biru itu.

Jawatankuasa pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia perlu menyerahkan nama sama ada Azeem atau Shereen Samson Vallabouy kepada Majlis Olimpik Malaysia sebelum 8 Julai ini, sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.-Sinar Harian

Penyokong Harimau Malaya punca Taiwan kalah – White

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Taiwan, Gary White seakan memberi bayangan bahawa kekalahan 1-3 pasukannya kepada Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi dibantu oleh penyokong Harimau Malaya.

Mengakui penyokong Harimau Malaya mencetuskan atmosfera yang menakjubkan, pengendali dari England itu tetap berbangga dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya terutama pada babak pertama.

Beliau berkata, faktor kepenatan menjadi antara punca pasukannya bolos dengan jaringan ketiga Harimau Malaya pada penghujung perlawanan.

“Pertama sekali saya ingin katakan, terbaik. Penyokong anda sangat menakjubkan dan anda patut berbangga dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

“Babak pertama kami mendahului 1-0 dan mungkin patut jadi 2-0 sebelum rehat. Kami kurang menjadi di dalam kotak penalti dan gagal menambah jaringan.

“Namun, saya bangga dengan semangat dan keinginan pemain yang mana mereka menunjukkan perjuangan mewakili rakyat Taiwan.”

Kekalahan kepada Harimau Malaya menyaksikan Taiwan menamatkan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata apabila tewas semua enam perlawanan.-Berita Harian