Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Maaf tak dapat hadiahkan emas’ – Rosman

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui banyak pengajaran diperoleh selepas gandingan Pearly Tan-M Thinaah menutup kempen penuh bersejarah di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, semalam

Pasangan negara itu mencipta sensasi apabila mara ke final buat julung kalinya dalam sejarah badminton Malaysia sebelum terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

“Tamat sudah edisi Kejohanan Dunia kali ini. Banyak perkara yang kami belajar dari proses ini dan kami akan terus belajar untuk mencapai matlamat utama,” kata Rosman menerusi satu hantaran di media sosialnya.

Beliau dalam masa sama berterima kasih kepada Pearly dan Thinaah atas semangat juang tinggi mereka sepanjang kejohanan, selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, barisan jurulatih, Institut Sukan Negara (ISN) serta seluruh warga badminton tanah air.

“Terima kasih kerana sentiasa percaya pada kami. Kepada semua penyokong badminton dan rakyat Malaysia, maaf kerana tidak dapat hadiahkan emas kali ini. Teruskanlah menyokong semua atlet negara. Selamat Hari Merdeka,” katanya.

Pearly-Thinaah tumpas kepada pilihan utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final yang berlangsung sengit lebih sejam itu 14-21, 22-20, 17-21.

Lapan wira sukan dilantik Ikon Perpaduan 2025

Kuala Lumpur: Lapan wira sukan negara termasuk beregu wanita utama yang juga Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia Pearly Tan-M Thinaah dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan turut dilantik pemain badminton yang juga pasangan beregu, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani serta Wan Muhammad Arif Shaharudin-Yap Roy King di samping beregu dart negara, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar-Tan Jenn Ming.

“Sukan merupakan wadah yang paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.

“Setiap kali atlet negara ini berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka, bersatu hati menyokong Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan atlet yang dipilih bukan sahaja mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, malah menjadi teladan dengan membuktikan semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta memperkukuh semangat Malaysia MADANI.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata, beliau berharap agar semua Ikon Perpaduan dapat terus menyebarkan mesej perpaduan dan menanam benih keharmonian dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata ini selaras aspirasi Malaysia untuk membina sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Kementerian percaya dengan semangat dan iltizam yang ditonjolkan oleh ikon-ikon ini, nilai-nilai perpaduan dapat terus disemarakkan sekali gus menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu identiti kebangsaan,” katanya.

Emas pecut berpasukan ubat duka Ridwan

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya rasa gembira sebab dapat menghadiahkan pingat emas dalam acara pecut berpasukan.”

Itu luahan pelumba berbasikal trek negara, Ridwan Sahrom selepas membantu skuad pecut berpasukan negara meraih emas di Piala Trek Asia 2025 yang berlangsung di Suphanburi, Thailand, hujung minggu lalu.

Ridwan yang bergandingan bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena, menewaskan trio Kazakhstan (Kirill Kurdidi, Ramazan Mukhtar, Daniyar Shayakhmetov) untuk mengesahkan status Malaysia sebagai kuasa besar pecut Asia.

Kejayaan itu hadir sehari selepas Ridwan berdepan kekecewaan apabila dikenakan penyingkiran dalam acara keirin.

“Setakat ini Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kemenangan ini dapat menyuntik semangat saya selepas apa yang berlaku dalam keirin.

“Secara jujurnya, saya tak berada pada tahap 100 peratus terbaik, tapi saya cuba gunakan taktikal yang ada untuk beri impak dalam perlumbaan. Dalam acara pecut berpasukan, saya rasa kami pun bukan 100 peratus, mungkin sekitar 60 ke 70 peratus. Tapi Alhamdulillah masih mampu menang,” katanya.

Menurut Ridwan, gandingan trio itu dijangka dikekalkan untuk menghadapi Sukan SEA nanti dengan misi membawa pulang emas buat kontinjen negara.

“Harapnya kombinasi ini terus dikekalkan. Kami masih fokus latihan untuk Sukan SEA, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Ridwan masih menanti keputusan pihak pengurusan sama ada dia disenaraikan dalam acara keirin untuk Sukan SEA, selain peluang skuad negara beraksi di Kejohanan Dunia.

“Kami menunggu lampu hijau sama ada pecut berpasukan layak ke Kejohanan Dunia atau tidak. Kalau beri impak positif, kami akan pergi, tapi kalau tak capai kriteria jurulatih, mungkin tidak,” jelasnya.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal trek negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa dari kejohanan di Thailand itu.

‘Mereka layak bergelar juara dunia’ – Kien Keat

Kuala Lumpur: Bekas jaguh beregu negara, Koo Kien Keat memuji kejayaan bersejarah pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Dunia dengan menyatakan mereka menunjukkan kematangan tinggi serta mencapai kemuncak prestasi pada masa yang tepat.

Beliau menyifatkan Ee Wei sebagai antara pemain wanita terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia dalam acara beregu campuran, dengan ketajaman pintasan di bahagian jaring, selain memuji Tang Jie atas kepantasan dan liputan gelanggang yang luar biasa.

“Saya secara peribadi telah mengucapkan tahniah kepada mereka. Mereka begitu merendah diri dan saya fikir mereka memang layak mendapat kejayaan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan Wong Pei Tty berkata, kejayaan pasangan ranking keempat dunia itu harus dilihat sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang bagi arena badminton Malaysia.

Beliau berkata pingat emas di Paris membawa makna besar kerana ia membuktikan kepada generasi baharu bahawa dengan keyakinan dan kerja keras, mereka juga mampu berada di puncak badminton dunia.

“Pertama sekali, tahniah kepada Tang Jie dan Ee Wei kerana bergelar juara dunia. Ia adalah pencapaian yang membanggakan Malaysia. Mereka mempamerkan semangat juang, keazaman serta perancangan taktikal bijak ketika menentang gandingan China.

“Untuk mencapai kejayaan lebih besar, mereka perlu kekal merendah diri, mengekalkan komunikasi yang baik, serta berdisiplin dalam latihan dan bermotivasi terhadap matlamat mereka,” katanya.

Sebelum kejayaan Tang Jie-Ee Wei, Pei Tty yang pernah bergandingan dengan Kien Keat adalah pasangan beregu campuran negara paling berjaya di Kejohanan Dunia apabila mara ke separuh akhir edisi 2006 di Madrid.

Semalam, Tang Jie-Ee Wei menghadiahkan Malaysia hadiah Hari Kebangsaan paling bermakna apabila menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit.

Pasangan negara itu, disemarakkan sorakan “Merdeka!”, tampil penuh inspirasi dengan gabungan kekuatan, ketepatan dan kesabaran untuk menyingkirkan pasangan handal dari China, dengan Ee Wei menguasai permainan di jaring manakala Tang Jie beraksi cemerlang di belakang gelanggang.

Emas beregu campuran, perak beregu wanita hadiah terindah Merdeka

Kuala Lumpur: Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 semalam, arena badminton negara diraikan dengan penuh gemilang apabila dua wakil Malaysia mencipta sejarah di pentas Kejohanan Dunia 2025 di Paris.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghadiahkan negara emas pertama dalam sejarah acara itu, manakala gandingan wanita, Pearly Tan-M Thinaah, turut mencatat pencapaian bersejarah dengan meraih pingat perak pertama buat negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan detik itu sebagai hadiah paling bermakna buat tanah air.

“Pada Hari Kemerdekaan ke-68, Malaysia cipta sejarah di Kejohanan Dunia. Buat julung kalinya, dua wakil negara mara ke final. Detik bersejarah, hadiah Merdeka bermakna buat tanah air tercinta. Terima kasih wira dan wirawati badminton negara,” kata BAM dalam satu hantaran di laman sosial rasmi mereka.

Kejayaan ini turut mendapat sorakan padu daripada netizen yang membanjiri media sosial dengan mesej penuh bangga dan rasa syukur.

Seorang pengguna, Mohd Ferdaus, menulis: “Kejohanan Dunia ditakluk. Juara dunia, pingat emas, 31 Ogos Hari Kebangsaan. Alhamdulillah, Malaysia di mata dunia!”

Bagi Willie Bong, pengorbanan jurulatih juga wajar diberi penghargaan: “Terima kasih jurulatih yang melatih mereka. Hari ini terbukti usaha berbaloi apabila mereka jadi juara. Beregu campuran emas, beregu wanita perak, detik bersejarah ini hadiah terbaik untuk Merdeka ke-68.”

Seorang lagi netizen, Daljeet Kaur, menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling indah buat seluruh rakyat Malaysia.

“Best gift for you Malaysia and Malaysians!!” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Tidak ketinggalan, Ayadiar Sadayan turut menzahirkan ucapan penuh kasih buat juara dunia itu. “Love you Chen-Toh, tahniah!” tulisnya.

Gelombang ucapan tahniah ini jelas memperlihatkan betapa kejayaan di Paris itu bukan sekadar kilauan pingat, sebaliknya menjadi lambang penyatuan semangat rakyat Malaysia dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan.

Pemain muda gugat peluang senior ke Kejohanan Boling Dunia – Maradona

Petaling Jaya: Keputusan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk menampilkan barisan pemain terkuat mungkin mengakibatkan beberapa pemain senior tidak tersenarai pada Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong pada 23 November hingga 6 Disember depan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, badan induk itu membuka ruang penyertaan buat pemain pelapis sedia ada selepas masing-masing menunjukkan persaingan sengit bagi merebut slot pada kejohanan berprestij itu.

“Tahun ini kami punyai skuad besar apabila ada 23 pemain elit dan 20 pemain remaja.

“Jadi, apa yang bagus tahun ini ialah kita buka peluang untuk semua bermakna pelapis negara pun boleh merebut tempat untuk pasukan Kejohanan Dunia.

“Kami akan menghantar terbaik. Kami sudah mempunyai senarai nama itu, jurulatih telah menghantar cadangan senarai akhir kepada exco. Kami sedang menunggu sokongan Exco,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-22, bermula hari ini hingga 27 Ogos di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai 12 nama iaitu enam pemain lelaki dan enam pemain wanita bagi menyahut cabaran negara itu dalam tempoh seminggu.

Pada edisi 2023 di Kuwait, Malaysia membawa pulang satu emas dan perak masing-masing menerusi Natasha Mohamed Roslan dan Sin Li Jane yang berentap sesama sendiri dalam final individu wanita.

Dua beradik pekak mahu buktikan kekurangan deria bukan halangan

Jakarta: Walaupun berkomunikasi melalui jurubahasa isyarat, semangat adik-beradik atlet pekak negara, Mohammad Faza Firdaus Ghazali, 29, dan adiknya, Nur Ain Shafira Ghazali, 24, jelas terpancar apabila mereka bertekad membuktikan stereotaip tidak akan mengekang kemampuan mereka di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025.

Anak kelahiran Kelantan itu mahu menjadikan setiap sentuhan bola di padang futsal sebagai bukti keazaman betapa kekurangan deria tidak pernah menghalang tekad untuk mengangkat nama Malaysia di podium kejayaan.

“Pertalian darah ini membuatkan kami memang suka bermain futsal. Saya dengan adik memang berharap menang emas untuk sukan futsal nanti. Kami mahu mengangkat imej Malaysia dan kerajaan.

“Kami nak tunjuk kepada semua rakyat Malaysia bahawa orang pekak memang berbeza daripada normal, tetapi kami mampu bersaing setaraf dengan mereka,” kata Mohammad Faza Firdaus kepada Bernama.

Mohammad Faza yang juga atlet sepenuh masa, teruja untuk membuat penampilan sulung dalam temasya ini sambil menerima nasihat daripada adiknya yang pernah meraih tempat ketiga pada edisi tiga tahun lalu.

Menurutnya, bakat semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan, dorongan dan motivasi berterusan antara satu sama lain yang menjadi nadi kejayaan serta sumber semangat untuk terus berusaha mencapai prestasi terbaik di pentas antarabangsa.

“Saya selalu tengok dia berlatih. Bila dia jaringkan gol, saya sebagai abang tetap sokong, jerit ‘GOAL!’. Memang sentiasa beri sokongan kepada adik saya,” katanya.

Bagi Nur Ain Shafira pula, futsal bukan sekadar sukan, tetapi medan untuk menonjolkan bakat, disiplin dan kesungguhan yang dipupuk sejak kecil.

Selain beraksi di padang, beliau bekerja sambil menyertai kelab sosial bola sepak bersama pasukan orang normal di Pulau Pinang, sekali gus membuktikan kekurangan pendengaran bukan penghalang untuk bergaul, bersaing dan berkembang dalam persekitaran lebih mencabar.

“Saya mula sertai kejohanan futsal secara serius pada usia 21 tahun. Antara galakan yang hadir semestinya daripada ayah, sebab ayah kami juga pemain bola sepak sosial,” katanya.

Malaysia menyasarkan 16 pingat emas iaitu enam menerusi olahraga, lima dalam tenpin boling, dua badminton, dua catur dan satu futsal.

Sukma 2026 medan cungkil bakat tinju

Kuala Lumpur: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akan menjadi medan penting dalam misi pencarian bakat baharu sukan tinju negara sebagai persiapan jangka panjang bagi menghadapi kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata pihaknya sedang menyusun pelan pembangunan jangka panjang bagi mengenal pasti dan membentuk atlet muda yang berpotensi menyerlah di kejohanan berprestij seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik.

“Kita sedang menyusun dari segi latihan dan kejohanan untuk kita mencari bakat sebenar yang boleh menonjol dan memenangi pingat di peringkat antarabangsa seperti Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Jadi Sukma 2026 penting kerana menampilkan bakat baharu, khususnya atlet berusia 17 hingga 18 tahun. Jika mereka berjaya di Sukma, enam tahun kemudian mereka berusia 24, jadi kita ada tempoh mencukupi untuk membentuk mereka ke tahap tertinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Mohamad Iruan, hasrat itu telah disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam satu pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini.

Sukma 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata PTM turut mengemukakan cadangan bajet tambahan tahun depan bagi menaik taraf pusat latihan tinju di negeri-negeri.

“Ketika ini kita ada 13 pusat tinju negeri, setiap negeri satu pusat. Kita harap dengan sokongan bajet tambahan dapat memberi manfaat kepada pusat latihan termasuk dengan kelengkapan baharu seperti gelanggang (ring) yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, Mohamad Iruan memaklumkan skuad tinju negara bakal menghantar enam atlet ke Sukan Sea 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Katanya, tiga atlet akan bertanding di bawah kategori A sementara tiga lagi dalam kategori B dan proses pemilihan masih berjalan.

“Pemilihan atlet dibuat sepenuhnya ketua jurulatih tanpa sebarang campur tangan daripada persatuan,” tambah beliau yang optimis Malaysia mampu melakar pencapaian membanggakan di temasya dwitahunan itu.

Qurratu’Ain buru kejayaan di depan penyokong sendiri

Petaling Jaya: Selepas merangkul lima emas pada Kejohanan Remaja Asia di Doha bulan lepas, Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi berharap dapat mengekalkan momentum prestasinya bagi meraih kejayaan dalam Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia ke-22, bermula hari ini hingga 27 Ogos di Sunway Mega Lanes, di sini.

Atlet berusia 17 tahun itu berkata, berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, beliau percaya dirinya serta rakan sepasukan berpeluang cerah untuk menaiki podium.

“Kita telah menjalani latihan intensif, pagi dan petang seperti sebelum ke Doha…jadi saya sudah bersedia untuk acara esok,” kata atlet dari Selangor itu ketika ditemui pada majlis perasmian kejohanan hari ini.

Kejohanan itu akan mempertandingkan acara perseorangan, beregu, berpasukan dan all events, sebelum berakhir dengan perlawanan final Masters bagi menentukan juara individu.

Malaysia bakal diwakili Muhammad Danial Abu Samah, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan, Muhammad Aiman Syahin Sulaiman dan Ethan Damien Goh bagi pasukan lelaki manakala pasukan wanita, selain Qurratu’Ain, dibarisi Adania Mohd Redzwan, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam.

Deretan pelari 400m Vietnam sedia rampas takhta Umar

Kuala Lumpur: Maklumat terkini dari Hanoi memberi loceng amaran buat kem olahraga negara apabila barisan pelari Vietnam kini muncul pencabar utama acara 400 meter (m) lelaki di Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Pelari berusia 20 tahun, Ta Ngoc Tuong mencuri tumpuan apabila merekodkan 45.59 saat (s) iaitu catatan kedua terpantas dalam sejarah Sukan SEA, sekali gus meleburkan rekod kebangsaan Vietnam milik Quach Cong Lich (45.99s di GP Asia 2015, Chanthaburi).

Lebih menggerunkan enam pelari Vietnam menamatkan larian di bawah 47 saat, termasuk seorang di bawah 46s, satu kualiti yang dianggap luar biasa untuk rantau ini.

Kekuatan itu jelas dalam acara berganti-ganti apabila Vietnam kini mendahului ranking Asia Tenggara 4x400m dengan masa 3:06.20s (Terbuka Taipei, 8 Jun 2025).

Catatan itu seharusnya membangunkan penyandang pingat emas 400m negara, Umar Osman.

Dua tahun lalu, Umar mencipta sensasi di Phnom Penh apabila menamatkan saingan 400m dengan masa 46.34s untuk menghadiahkan emas buat Malaysia.

Atlet Filipina, Umajesty Williams (46.52s) dan Frederick Ramirez (46.63s) sekadar berpuas hati dengan perak serta gangsa.

Tampaknya laluan Umar kali ini lebih berliku apabila dia masih belum menemui larian terbaik selepas pulih daripada kecederaan ketika Vietnam kini tampil dengan deretan pelari muda yang mencatat masa luar biasa.

Bagaimanapun, bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad masih optimis magis mampu tercipta barisan atlet negara dan memberi peringatan persiapan rapi adalah kunci kejayaan.

“Kem olahraga sentiasa ada magis, tapi kita tidak boleh sentiasa mengharapkan kejutan. Kalau tiada persediaan cukup, ia boleh makan diri.

“Masa yang ada ini sudah tidak lama. Tiga bulan lagi, alet harus melipatkan gandakan usaha bukan 100 peratus tapi 200 peratus,” katanya.

Berdasarkan pencapaian terkini, Nazmizan menjelaskan kedudukan olahraga Malaysia semakin goyah apabila kekuatan skuad negara kini sudah jauh ketinggalan dan kini berada di tangga keenam rantau Asia Tenggara, jauh di belakang Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia.

Sebagai rekod, pada edisi Kemboja 2023, Malaysia menamatkan cabaran olahraga di tempat keempat keseluruhan dengan kutipan lima emas, tiga perak dan 11 gangsa.

Pingat emas negara disumbangkan Umar (400m), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura (lompat kijang), Shereen Samson Vallabouy (400m wanita) dan Grace Wong (baling tukul besi).