Majlis Sukan Negara Malaysia
Syazwani sasar Boling Terbuka Singapura

Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Nur Syazwani Sahar optimis mampu mencapai prestasi cemerlang sekali gus berada dalam kelompok 10 terbaik pada Kejohanan Boling Terbuka Singapura yang akan bermula 10 hingga 13 Jun ini.

Jelas Syazwani, segala persiapan akan dilakukan dengan lebih rapi dan akan memberi penekanan kepada beberapa aspek bagi memastikan setiap balingannya itu dapat menjatuhkan kesemua pin.

“Dengan masa yang ada sebelum kejohanan itu bermula, saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk menajamkan semula kemahiran dan menyasarkan diri untuk berada di kelompok 10 terbaik di Terbuka Singapura,” katanya.

Selain itu, dirinya turut mendapat motivasi selepas muncul pemain wanita terbaik dalam kategori Divisyen Terbuka Masters pada Kejohanan Boling Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIO) 2025, semalam.

Mengulas mengenai prestasi di KLIO 2025, dia mengakui kekurangan masa berehat selepas sampai daripada Amerika Syarikat (AS) sedikit sebanyak memberi kesan kepada momentumnya pada hari kejadian.

Di samping itu, Syazwani yang menyertai pertandingan Jelajah Profesional Boling Wanita (PWBA) Queens berjaya meraih kedudukan 16 terbaik daripada hampir 200 peserta antarabangsa.

Misi Irfan belum selesai, Petrovic cabar pecah rekod Sukan Sea

Kuala Lumpur: Jurulatih lempar cakera negara, Frank Petrovic meletakkan sasaran utama buat anak didiknya, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk memecah rekod kejohanan di Sukan Sea Thailand pada Disember nanti.

Jelasnya, beliau yakin Irfan mempunyai kekuatan dan mampu merealisasikan perkara itu berdasarkan prestasi semasa ketika ini.

Katanya, jika dilihat pada prestasi, atlet berusia 30 tahun itu dijangka sekali lagi tidak berdepan masalah besar untuk menyumbang emas buat kem olahraga negara namun kali ini bukan sekadar emas sebaliknya mengejar yang lebih besar.

“Sudah tentu kami ada dua sasaran utama tahun ini. Yang pertama ini sudah selesai (di Korea Selatan), sekarang kami melalui musim pertandingan dan kemudian kami perlu berada di tahap kemuncak sekali lagi pada hujung tahun ini untuk menyertai Sukan Sea di Bangkok, Thailand.

“Jadi, pada edisi kali ini, sasaran untuk Irfan bukan sekadar pingat emas tetapi adalah untuk dia pecah rekod kejohanan,” katanya.

Selain itu, Petrovic menyatakan segala persiapan yang diperlukan sudah dilakukan dengan begitu teliti dan mereka akan memastikan perancangan yang diatur itu berjalan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan dapat diraih.

Aaron-Wooi Yik puji sentuhan ‘pawang’ Herry IP, tamat penantian 17 Tahun rangkul juara Terbuka Singapura

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui kehadiran jurulatih dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi umpama ‘pawang’ yang mempunyai mantra sakti sehingga berjaya membawa mereka ke puncak prestasi ketika ini.

Jelas Wooi Yik, sentuhan magis daripada Herry memberi impak yang sangat besar dalam permainan sehingga menjadikan mereka antara gandingan terbaik setakat ini dengan pelbagai corak permainan agresif, termasuk mara ke final sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Saya rasa sangat istimewa. Sejak dia (Herry) datang, dia banyak membuka gaya permainan kami. Namun, saya dan Aaron sudah mempunyai asas serta pengalaman di dalam gelanggang. Dia menambah idea serta teknik yang diperlukan untuk meningkatkan permainan kami.

“Bagi saya, itu sangat ‘world class’. Namun, kami masih ada banyak lagi yang perlu ditingkatkan dan dipelajari bagi menghadapi kejohanan akan datang. Saya harap semuanya akan berjalan lancar,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya mengenai aksi menentang pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, di final semalam, Wooi Yik menyatakan mereka cuba menyesuaikan diri dengan pergerakan angin selain cuba menguasai bahagian depan gelanggang.

“Saya rasa angin di sini agak kuat dan kami banyak mendominasi di bahagian depan terutama tiga pukulan utama. Siapa yang lebih baik bermain bahagian depan, dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan mata.

“Jadi, dari situ kami kurangkan segala kesilapan untuk mengatasi mereka dan perkara itu berjaya kami lakukan dengan sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Aaron melihat mereka sangat yakin dalam perlawanan akhir itu dan berjaya mendapatkan momentum sebelum mengekalkan rentak sehingga ke set penentuan.

“Pada set pertama itu, walaupun kami kalah dengan mata yang sengit, kami tetap ada keyakinan kerana kami tahu permainan yang kami tunjukkan masih bagus dan tepat. Jadi, pada set kedua dan ketiga, kami kekal dengan strategi yang sama sehingga meraih kemenangan,” katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik meneruskan mimpi indah mereka apabila muncul juara Terbuka Singapura selepas menewaskan Won Ho-Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan selama 65 minit untuk merangkul gelaran kedua dalam tempoh tiga minggu.

Meskipun berdepan gandingan Korea yang sangat konsisten musim ini, namun corak permainan agresif dan pantas dengan serangan laju ternyata menyukarkan lawan bagi membalas setiap pukulan wakil negara itu sekali gus menamatkan penantian selama 17 tahun untuk muncul juara di kejohanan berkenaan.

Jonassen tidak gembira melihat satu persatu perseorangan lelaki tumbang

Kuala Lumpur: “Apabila berdepan hari yang sukar, secara keseluruhan sudah tentu saya tidak gembira.”

Demikian luahan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen selepas menyaksikan kesemua anak didiknya tumbang satu persatu seawal pusingan pertama Masters Malaysia, semalam.

Kesemua tiga wakil negara iaitu Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ng Tze Yong gagal melangkah lebih jauh sekali gus memberi tamparan hebat buat kem perseorangan lelaki negara.

Jun Hao sekali lagi tidak menjadi apabila tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-10, 18-21, 9-21 yang juga kekalahan kali ketujuh berturut-turut di pusingan awal sejak permulaan musim ini.

Nasib sama dialami pemain muda negara, Justin Hoh yang gagal memberikan tentangan sengit apabila tunduk 14-21, 20-22 kepada pemain pilihan kelapan dari Jepun, Kodai Naraoka.

Sementara itu, Tze Yong sekali lagi diuji masalah kecederaan lutut kanan apabila terpaksa menarik diri ketika menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long meskipun memenangi set pertama 22-20 dan sedang mendahului 4-3 di set kedua.

Mengulas pencapaian anak buahnya, Jonassen tidak berselindung menyatakan rasa tidak puas hati namun tetap melihat beberapa perkembangan positif dalam aspek semangat juang dan keberanian pemain.

“Pemain berada di sini untuk memenangi perlawanan. Mereka sudah menunjukkan semangat juang tinggi, tetapi kejohanan seperti ini juga memberi peluang untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pemain lain dan mengenal pasti segala kekurangan,” katanya.

Menurutnya, beberapa aspek perlu diperbaiki segera bagi memastikan pemain mampu bersaing di pentas antarabangsa secara konsisten.

“Saya dapati beberapa perkara yang cukup menarik, yang akan saya bincangkan secara terperinci dengan barisan pemain sebelum saya boleh berkongsi mengenainya.

“Saya suka semangat juang setiap pemain, tetapi sudah tentu fokus utama kita adalah untuk menang dalam perlawanan. Perjalanan karier mereka masih panjang, jadi kita perlu perbaiki beberapa aspek,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi Tze Yong yang disifatkan bermain dengan lebih agresif sejak kembali daripada kecederaan, biarpun nasib tidak menyebelahi pemain itu selepas mengalami kecederaan di lutut kanan.

“Dia bermain dengan lebih agresif dan pergerakannya juga baik. Cuma sayangnya dia agak tidak bernasib baik dan ia juga bukan hari terbaik buat kami,” katanya.

Aaron-Wooi Yik gembira buka kempen Masters Malaysia dengan langkah kanan

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula baik pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 apabila melangkah ke pusingan kedua di Axiata Arena di sini.

Juara Terbuka Thailand 2025 itu berjaya mengetepikan cabaran Chiu Hsiang Choeh-Wang Chi-Lin daripada Taiwan, 21-18, 21-16.

Aaron berkata beliau gembira strategi mereka berhasil untuk menewaskan lawan dalam pertembungan 39 minit itu.

Wooi Yik bagaimanapun menjangkakan cabaran sengit dalam pertemuan menentang satu lagi beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Huan, pada pusingan seterusnya esok.

“Ia tidak mudah. Semua pasangan beregu lelaki sangat kuat dan mempunyai kekuatan yang pelbagai.

“Jadi kami hanya perlu menyiapkan diri. Apa yang penting ialah apabila kami di gelanggang kami perlu percaya pada jurulatih kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, beregu wanita negara Ho Lo Ee-Amanda Yap mengakhiri saingan selepas tunduk kepada Yan Fei Chen-Liang Ching Sun dari Taiwan, 6-21, 18-21.

Dua beregu juara Terbuka Thailand terus melangkah

Kuala Lumpur: Dua beregu utama negara yang juga juara Terbuka Thailand minggu lalu, Pearly Tan-M Thinaah serta Aaron Chia-Soh Woi Yik tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Masters Malaysia.

Gandingan Pearly dan Thinaah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menundukkan pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying pada pusingan pertama di Axiata Arena, hari ini.

Pasangan nombor empat dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-16 dalam masa 37 minit, sekal gus bakal berdepan wakil Thailand, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad, esok, bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Pearly mengakui mereka lambat panas di awal permainan, namun berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum menguasai permainan.

“Pada set pertama kami agak perlahan, tapi selepas mata ke-11, kami mula menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan angin.

“Dari situ kami mula keluarkan corak permainan kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik menewaskan gandingan Taiwan, Wang Chi Lin-Chiu Hsiang Chieh 21-18, 21-16 dalam masa 39 minit.

Aaron Wooi Yik yang kini menduduki ranking ketiga dunia akan bertemu satu lagi pasangan Taiwan, Liu Kang Heng-Yang Po Han di pusingan kedua, esok.

Jonassen harap kecederaan Tze Yong tak serius

Kuala Lumpur: “Harap-harap ia hanya kecederaan ringan dan bukan sesuatu yang serius.”

Demikian harapan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen berhubung kecederaan terbaru menimpa perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong pada pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.

Tze Yong mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika mendahului 22-20, 4-3 ke atas pemain Hong Kong, Ng Ka Long sebelum membuat keputusan untuk menarik diri.

Jonassen ketika ditemui berkata, memang mengecewakan apabila melihat Tze Yong terpaksa meninggalkan gelanggang akibat kecederaan.

“Lebih-lebih lagi dalam situasi dia sebenarnya sedang bermain pada tahap terbaik sejak kembali beraksi dan mempamerkan gaya permainan agresif.

“Mengenai kecederaan itu, kami cuba kekal positif dan berharap ia bukan sesuatu yang serius.

“Pemeriksaan awal menunjukkan memang ada sesuatu yang berlaku, tetapi kami perlu menunggu hasil imbasan esok sebelum dapat mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi ini.

“Saya masih mahu berfikiran positif terutama selepas meneliti semula rakaman video kejadian itu. Harap-harap ia hanya kecederaan ringan, mungkin disebabkan ketegangan otot dan kami boleh segera memandang ke hadapan.

“Tapi, kami perlu tunggu hingga esok untuk dapatkan keputusan imbasan dan pandangan daripada doktor,” katanya.

Jelas Jonassen, beliau tidak berasakan kecederaan dialami Tze Yong itu akibat keletihan.

“Ia tiada kaitan dengan keletihan. Sebenarnya insiden tergelincir itulah yang menjadi puncanya.

“Jika bermain hingga ke penghujung set kedua atau masuk ke set ketiga, mungkin ia berkaitan dengan keletihan,” katanya.

Situasi terbaru itu nyata menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kecergasan Tze Yong yang sebelum ini pernah berehat panjang akibat kecederaan.

Untuk rekod, Tze Yong menjalani dua pembedahan selepas mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Terbuka Malaysia Januari tahun lalu, sekali gus menyaksikan dia berehat hampir setahun daripada kejohanan kompetitif.

Dia kembali beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dekat Ningbo, China pada April lalu.

Cabaran perseorangan lelaki negara di Masters Malaysia berakhir

Kuala Lumpur: Justin Hoh mengakhiri kempen pemain perseorangan lelaki negara di Masters Malaysia selepas tersingkir seawal pusingan pertama, sebentar tadi.

Pada aksi di Axiata Arena itu, Justin tewas 14-21, 20-22 di tangan pemain nombor lapan dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada perlawanan yang berlangsung selama 56 minit.

Terdahulu, Leong Jun Hao tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas 21-10, 18-21 dan 9-21 di tangan wakil Ireland, Nhat Nguyen dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 14 minit.

Ini adalah kali ketujuh berturut-turut Jun Hao tersingkir di pusingan awal sejak awal musim ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Selepas memenangi set pertama 22-20 dan ketika sedang mendahului 4-3 di set kedua, pemain kelahiran Johor itu dilihat mengalami kecederaan pada lutut kanan sebelum membuat keputusan untuk menarik diri.

Tze Yong menjalani dua pembedahan selepas mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Terbuka Malaysia Januari tahun lalu, sekali gus menyaksikan dia berehat hampir setahun daripada kejohanan kompetitif.

Tahniah Mirabel, terus harumkan nama Malaysia- Hannah Yeoh

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada atlet golf remaja Malaysia, Mirabel Ting yang merangkul Anugerah ANNIKA 2025 iaitu pengiktirafan kepada pemain wanita terbaik peringkat kolej Amerika Syarikat.

Hannah berkata anugerah itu istimewa kerana pemenang diundi oleh pemain, jurulatih dan media golf sekali gus menjadi bukti pengiktirafan komuniti sukan itu terhadap bakat Mirabel.

“Mirabel yang berasal dari Miri turut berada pada ranking kedua dalam Ranking Golf Amatur Dunia, petunjuk kuat bahawa beliau akan mencapai kejayaan dalam kerjayanya.

“Tahniah Mirabel, terus harumkan nama Malaysia!” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mirabel menjadi warga Asian pertama menerima anugerah berprestif itu, sehari selepas beliau muncul naib johan Kejohanan Golf Wanita Divisi I NCAA di California.

Dinamakan sempena pemenang 72 kali Jelajah LPGA Annika Sorenstam, anugerah itu diwujudkan dengan kerjasama Haskins Commission bagi mengiktiraf pemain golf wanita utama peringkat kolej pada penghujung musim, menyerupai Anugerah Haskins buat pemain golf lelaki utama Divisi I peringkat kolej.

Pemenang Anugerah ANNIKA sebelum ini termasuk Ingrid Lindblad (Sweden-2024), Rose Zhang (Amerika Syarikat-2022, 2023), Rachel Heck (Amerika Syarikat-2021) dan Natalie Srinivasan (Amerika Syarikat -2020).

KL Thunder tak gentar tanpa dua bintang utama- Amirul

Kuala Lumpur: Pemain apit kiri Kuala Lumpur (KL) Thunder, Amirul Zazwan Amir sedia mengharungi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 tanpa Mohammad Syahir Rosdi dan Mohamad Azlan Alias yang kini bersama Melaka Titans.

Beliau berkata ketiadaan tekong dan perejam berstatus bintang itu memang dirasai namun ia sama sekali tidak mengganggu hasratnya kekal beraksi cemerlang sekali gus membantu KL Thunder mengharungi satu lagi musim gemilang.

Musim lepas, KL Thunder menyapu bersih lima gelaran bermula Grand Prix (GP) Selangor hingga GP Johor.

“Hampir lima hingga enam tahun kami bersama, jadi saya kena biasakan diri tanpa Syahir dan Azlan. Dalam masa sama, saya harap pemain lain boleh buktikan mereka juga bagus.

“Tanpa mereka (Syahir dan Azlan), pasukan ini masih kuat. Secara peribadi saya sudah bermain untuk KL sebelum mereka sertai pasukan ini,” kata pemain berusia 30 tahun itu pada majlis pelancaran STL 2025 baru-baru ini.

Saingan STL 2025 bakal bermula dari 28 Mei hingga 31 Ogos menyaksikan perubahan format dalam usaha menambah kehangatan saingan.

STL menambah jumlah GP kepada enam dengan Negeri Sembilan menjadi lokasi terbaharu.

Majlis Sukan Negara Malaysia