Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Syaiful rindu cahaya mata sulung

PARIS: Di sebalik kegigihannya menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024, perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli memendam rindu kepada cahaya mata sulungnya yang baru berusia tiga bulan.

Nur Syaiful berkata dia hanya sempat meluangkan masa beberapa hari sahaja bersama anak lelakinya itu susulan komitmen latihan selama dua bulan di China sebelum menyertai Sukan Paralimpik di sini.

“Saya sempat beberapa hari dengan isteri (Fatin Husna Japar) sehinggalah saat kelahiran Nashwan di Sarawak, kemudian saya perlu ke China untuk berlatih di sana.

“Selepas tamat latihan di China, saya hanya dibenarkan balik dua hari sahaja untuk menjenguk keluarga termasuk anak saya sebelum berlepas ke Paris 2024,” katanya.

Terdahulu, Nur Syaiful menutup kempen Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan meraih tempat ketujuh acara 50 meter gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan masa 34.34 saat di Paris La Defense Arena awal pagi tadi.

Perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli beraksi dalam perlumbaan akhir 50m gaya bebas lelaki S5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024, awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli beraksi dalam perlumbaan akhir 50m gaya bebas lelaki S5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024, awal pagi tadi. – Foto BERNAMA

Dia juga beraksi dalam dua final sebelum ini dengan menduduki tempat keenam acara 100m gaya bebas lelaki S5 selepas merekodkan 1 minit 16.60s dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.

Perenang dari Sarawak itu berkata dia sememangnya mahu berehat seketika sejurus pulang ke tanah air minggu depan serta turut merancang untuk mengadakan kenduri akikah.

Mengenai prestasinya di Paris 2024, atlet berusia 29 tahun itu mengakui sukar mencabar kelompok perenang terbaik dunia dalam kelasnya yang memiliki kelebihan menggunakan kaki bagi meningkatkan kepantasan dalam kolam renang.

Dia yang hanya bergantung kepada bahagian atas badan bermula dari perut untuk berenang mengakui bergelut beraksi dengan jaguh negara lain susulan kecacatan di bahagian kaki dan lumpuh separuh badan, akibat kemalangan ketika berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu tetap berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran layak ke final bagi ketiga-tiga acara itu.

“Persatuan ada letak sasaran kepada saya untuk berada dalam kelompok lima terbaik acara 50m gaya bebas lelaki S5 namun tidak berjaya melakukannya hari ini. Namun KPI (indeks prestasi utama) saya layak tiga final tercapai,” katanya. – BERNAMA

Chong Wei, Axelsen beri saya motivasi – Liek Hou

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas kedua berturut-turut selepas mempertahankan kejuaraannya pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Sebaik sahaja mengesahkan kejuaraan, juara dunia perseorangan lelaki sebanyak lapan kali itu berlari mengelilingi gelanggang Porte de la Chapelle, Paris sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Liek Hou berkata, tindakannya berlari mengelilingi arena disebabkan kepuasannya dapat mempertahankan pingat emas, sama seperti dilakukan perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen pada Sukan Olimpik Paris lalu.

Dia juga mendedahkan bahawa pemain No. 1 dunia itu dan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei serta jaguh perseorangan Singapura, Loh Kean Yew ada memberikan kata-kata semangat kepadanya sebelum perlawanan berlangsung.

“Saya berlari meraikan kemenangan kerana ia sangat bermakna untuk memenangi dua pingat emas berturut-turut. Sebelum ini kita boleh tengok Viktor (Axelsen) dan Lee Yang-Wang Chi Lin (beregu Taiwan) melakukannya pada Sukan Olimpik.

“Viktor ada menghantar pesanan kepada saya memberikan kata-kata motivasi, begitu juga Datuk Lee (Chong Wei) dan Kean Yew. Antara sumber motivasi saya datang daripada mereka,” katanya.

Pada final malam kelmarin, pemain berusia 36 tahun itu mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-15 dalam tempoh 42 minit.

Selain mengekalkan kejuaraan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kemenangan itu turut memberi makna cukup besar secara umum kerana ia adalah pingat emas pertama kontinjen negara di Paris.

“Ia (emas pertama) sangat istimewa dan mungkin menjadi tekanan jika saya tidak dapat melakukannya. Sudah tentu saya gembira dapat mengatasi tekanan, lebih-lebih lagi Menteri (Hannah Yeoh) pun berada di sini memberikan sokongan,” ujar Liek Hou.

Sebagai rekod, Liek Hou bakal menikmati habuan RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) seperti diterimanya ketika menjadi juara edisi Tokyo 2020.-Kosmo

Nazmi mahu ‘pulun’ awal ke LA28

PARIS: Atlet olahraga para negara, Muhammad Nazmi Nasri tekad bekerja lebih keras untuk memastikan dia layak beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28) sekali gus memburu pingat emas.

Biarpun kecewa pulang tangan kosong pada penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, Nazmi berkata dia tidak akan mensia-siakan masa yang ada untuk merealisasikan impian seterusnya.

Juara dunia itu menamatkan saingan acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) di Stade de France awal pagi tadi di tempat kelima menerusi lompatan keduanya 6.00 meter.

“Persembahan saya di Paris 2024 kurang memuaskan tapi apa boleh buat, saya sudah buat yang terbaik dan itu takdir daripada Allah SWT.

“Insya-Allah di LA28 saya mahu ‘pulun’ dan mesti sasar emas,” katanya.

Atlet lompat jauh para negara Muhammad Nazmi Nasri mahu tebus kegagalan di Paris 2024 dengan pingat emas temasya Los Angeles 2028. – Foto REUTERS
Atlet lompat jauh para negara Muhammad Nazmi Nasri mahu tebus kegagalan di Paris 2024 dengan pingat emas temasya Los Angeles 2028. – Foto REUTERS

Pingat emas dimenangi atlet Argentina, Brian Impellizzeri dengan lompatan 6.42m manakala perak diraih Samson Opiyo dari Kenya (6.20m) dan gangsa milik Mateus Evangelista dari Brazil (6.20m).

Pencapaian itu juga menyaksikan atlet berusia 21 tahun tidak berjaya melepasi catatan peribadi terbaiknya 6.13m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.

Nazmi yang mengalami erb’s palsy sejak lahir hingga sebelah badan kirinya kecil dan lemah juga berharap dapat menguatkan ketahanan fizikal, meningkatkan kelajuan dan memantapkan teknik lompatan untuk pergi lebih jauh pada masa depan.

Biarpun perasaan gemuruh menyelubungi dirinya di Paris 2024, dia mengakui seronok mengumpul pengalaman berharga sekali gus mampu mematangkan dirinya untuk mengawal tekanan sebaik mungkin dalam kejohanan mahupun temasya sukan akan datang.

Ditanya mengenai sasaran seterusnya, atlet dari Batu Pahat, Johor itu berazam untuk mempertahankan emas dimenangi pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025. – BERNAMA

Ammar Aiman cemerlang atasi pemegang rekod dunia dan kejohanan

Kuala Lumpur: Permata baharu olahraga para negara Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi hampir melakukan kejutan apabila mengakhiri saingan final 400 meter (m) lelaki T20 Sukan Paralimpik Paris 2024 di tempat keempat, sebentar tadi.

Walaupun tidak berjaya menaiki podium namun larian mantap dipamerkan atlet berusia 21 tahun itu menyaksikannya mampu bersaing dengan pelumba elit lain.

Malah, atlet kelahiran Johor itu juga cemerlang mengatasi dua pesaing dari Brazil Daniel Tavares Martins yang memegang rekod kejohanan manakala Samuel Oliveira Conceicao pula adalah pemegang rekod dunia dengan masing-masing mengakhiri saingan di tempat kelima dan ketujuh.

Ammar Aiman mengakhiri saingan di tempat keempat dengan catatan masa 48.30 saat (s).

Wakil Columbia Jhon Sebastian Obando Asprill memenangi pingat emas (48.09s), perak pula milik David Jose Pineda Mejia dari Sepanyol (48.24s) manakala gangsa dimenangi atlet Mauritius Yovanni Philippe (48.30s).

Sementara itu, seorang lagi atlet negara yang beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T37 Muhammad Nazmi Nasri pula terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima selepas melakukan lompatan sejauh 6.00 meter (m).

 Atlet negara Muhammad Nazmi Nasri beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) peringkat akhir Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de Farance hari ini. - Foto Bernama
Atlet negara Muhammad Nazmi Nasri beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) peringkat akhir Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de Farance hari ini. – Foto Bernama

Acara terbabit dimenangi atlet Argentina Brian Lionel Impellizzeri yang melakukan lompatan 6.42m.

Pingat perak dimenangi wakil Kenya Samson Opiyo manakala atlet Brazil Mateus Evangelista Cardoso membawa pulang gangsa dengan masing-masing melakukan catatan 6.20m namun dibezakan menerusi lompatan kedua terbaik yang dilakukan mereka.-Harian Metro

Pearly-Thinaah kembali dalam kelompok lapan terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah mendaki satu anak tangga untuk mengisi ranking nombor lapan dunia berdasarkan kemaskini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Perubahan positif itu diperoleh pasangan berkenaan susulan kejayaan mereka bergelar naib juara di Terbuka Korea 2024, kelmarin.

Sebagai rekod, kedudukan ranking terbaik pernah dicapai Pearly-Thinaah yang berjaya melangkah ke peringkat empat terbaik di temasya Olimpik Paris 2024 bulan lalu adalah di kedudukan kelima pada Februari tahun lalu.

Kali terakhir menghuni kedudukan lapan terbaik pada April tahun lalu, peluang terus terhidang buat gandingan itu memperbaiki kedudukan mereka apabila dijadual mengharungi Terbuka Hong Kong minggu depan diikuti Terbuka China pada minggu berikutnya.

Sementara itu, tiada perubahan daripada sudut ranking berlaku terhadap gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kekal di kedudukan nombor sembilan dunia.

Sekalipun berjaya mengutip mata penuh di Terbuka Korea Selatan 2024 dengan bergelar juara minggu lalu, apa yang diperoleh Tang Jie-Ee Wei masih belum dapat memintas gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang kekal di kedudukan kelapan dunia.

Dalam kategori perseorangan lelaki, pemain profesional negara, Lee Zii Jia mengekalkan kedudukan rankingnya di tempat keempat.

Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam pada itu kekal sebagai pasangan terbaik negara apabila menghuni ranking nombor tiga dunia manakala Goh Jin Wei berada di kedudukan ke-31 dunia dalam acara perseorangan wanita.-Berita Harian

Abdul Razzaq-Noor Askuzaimey bangkit atasi gandingan Ukraine

PARIS: Atlet para negara, Abdul Razzaq Abdul Rahman dan Noor Askuzaimey Mat Salim menampilkan persembahan cemerlang mengatasi Artem Kolinko-Nataliia Konenko dari Ukraine untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir beregu campuran BC4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Bertempat di South Paris Arena 1, pasangan negara bermula hambar apabila ketinggalan 0-3 pada end pertama sebelum bangkit untuk menang bergaya 4-0 pada end kedua dan seterusnya mengesahkan kemenangan 5-4 dalam keseluruhan empat end bagi aksi Kumpulan A.

Keputusan itu menyaksikan mereka berjaya menebus kekalahan 2-5 kepada Edilson Chica-Leidy Chica dari Colombia pada saingan pertama Kumpulan A pagi tadi.

Hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir esok.

Bercakap kepada Bernama selepas perlawanan, Abdul Razzaq bersyukur dapat menyerap tekanan ketinggalan di end pertama ketika menentang pasangan Ukraine itu dan selepas kekalahan kepada gandingan Colombia.

“Kami memang tidak fikir banyak tadi, hanya nikmati permainan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih boccia negara Raja Zahrule Azhar Raja Khairul Anwar berkata anak buahnya akan dapat ke peringkat seterusnya jika gandingan Colombia menewaskan Ukraine dalam perlawanan tengah malam ini.-Berita Harian

Azizulhasni pertimbang sertai RTG sebagai mentor

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sedang mempertimbangkan untuk menyertai program Road To Gold (RTG) sebagai mentor dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, namun bukan dalam masa terdekat.

Pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman, berkata dia merancang untuk menyertai jawatankuasa RTG bersama-sama atlet seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David.

“Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN), mereka berharap saya masih boleh berada di bawah RTG.

“Bagi saya jika saya berada dalam program RTG (sebagai atlet), itu adalah tanggungjawab saya dan saya tidak akan kekal di sana secara percuma, saya perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI). Itulah sebabnya saya perlu mengambil sedikit masa untuk memikirkan apakah rancangan seterusnya.

“Saya tidak nampak diri saya menyertai (program sebagai mentor) sekarang, mungkin dalam satu atau dua tahun. Buat masa ini, saya rasa tidak akan berada di bawah ahli Lembaga Pengarah RTG,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen ‘Kita Bagi Jadi’ CIMB di Menara CIMB di sini, hari ini.

Atlet berusia 36 tahun itu, berkata dia mahu berehat secara fizikal dan mental selepas beraksi dalam acara keirin lelaki akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos lepas, sekali gus mengambil masa sebelum memutuskan hala tujunya.

“Sekarang saya dalam fasa berehat dulu lepas selesai Olimpik baru ini, jadi saya ada hingga akhir tahun ini untuk fikirkan rancangan baharu. KBS dan MSN sentiasa menyokong kerjaya saya dan mereka mahu berbincang mengenai masa depan saya selepas ini.

“Saya tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan kerana ia mengenai masa depan, jadi saya akan mengambil masa saya. Pada masa ini, tumpuan saya adalah untuk berehat secara fizikal dan mental. Biasanya, selepas kejohanan, kami sebagai atlet berehat secara fizikal, tetapi kali ini saya perlu berehat secara fizikal dan mental,” katanya lagi.

Kempen Olimpik Paris 2024 Azizulhasni berakhir secara mengejut apabila dia tersingkir dalam saringan pertama acara keirin lelaki kerana memintas derny. – BERNAMA

Paralimpik 2024: Suresh beraksi dengan pemegang busur asal

PARIS: Jaguh memanah para negara S Suresh akan menggunakan pemegang busur asal untuk beraksi dalam pusingan penyingkiran 1/16 acara recurve lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024 di Invalides, di sini esok.

Suresh dijadual berdepan wakil Amerika Syarikat Eric Bennett yang pernah ditewaskannya ketika muncul juara dunia 2019 di Belanda.

Pemanah berusia 31 tahun itu berkata keputusan menggunakan pemegang busur asal berikutan masih belum serasi dengan pemegang busur baharu yang direka khas hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pusat kecemerlangan Institut Sukan Negara (ISN), yang diterimanya Jun lepas.

“Sebenarnya saya sudah cuba (pemegang busur baharu) namun tidak sesuai. Jadi terpaksa tukar balik kepada yang asal.

“Pemegang busur baharu boleh beri impak kepada saya tapi ia akan mengambil masa, saya tak dapat sesuaikan diri lagi dalam masa singkat sebegini. Sudah bincang dengan jurulatih (untuk) gunakan yang lama,” katanya ketika ditemui di sini.

Khamis lepas, Suresh menamatkan pusingan ranking dengan kedudukan ke-12 selepas mencatatkan 625 mata dan memperbaharui catatan musim terbaiknya iaitu 596 mata dilakukan pada saingan Ranking Memanah Para Dunia di Republik Czech, Jun lepas.-Berita Harian

Ziyad raih pingat perak

KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk merampas kembali pingat emas yang pernah dimenanginya lapan tahun lalu tidak kesampaian selepas meraih perak di Sukan Paralimpik Paris, sebentar tadi.

Pada aksi final acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Stade de France itu, Ziyad merekodkan catatan terbaiknya pada percubaan ketiga dengan lontaran sejauh 17.18 meter (m).

Dia berada di belakang atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang meraih emas selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.61m manakala gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Maksym Koval (16.99m).

Sebagai rekod, Ziyad yang berusia 34 tahun berjaya mememangi emas pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Bagaimanapun, dia tidak berjaya mempertahankan emasnya itu pada edisi 2020 di Tokyo selepas penyertaannya dibatalkan gara-gara lewat tiba di bilik panggilan sebelum pertandingan bermula.

Pingat perak yang dimenangi Ziyad adalah yang ketiga buat kontinjen Malaysia di Paris selepas jaguh badminton, Cheah Liek Hou menyumbang emas dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet olahraga, Eddy Bernard merangkul gangsa acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) menamatkan aksi final di tempat kelima dengan catatan 6m.-Berita Harian

Ammar Aiman kempunan gangsa 400m T20

PARIS: Pecutan terakhir pelari Mauritius menafikan impian Ammar Aiman Nor Azmi untuk meraih pingat gangsa acara 400 meter lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 awal pagi tadi.

Ammar Aiman memulakan larian dengan memberangsangkan dan berada dalam kelompok tiga terbaik sebelum Yovanni Philippe dari Mauritius meningkatkan pecutan dalam 10m terakhir untuk memintas pelari negara sekali gus menyambar gangsa di Stade de France.

Atlet berusia 22 tahun yang membuat kemunculan sulung di Paralimpik mencatat 48.38 saat untuk menamatkan larian di tempat keempat, 0.08s di belakang Philippe.

Pingat emas menjadi milik Jhon Obando dari Colombia yang tiba di garisan penamat dengan catatan 48.09s dan meninggalkan pencabar terdekat dari Sepanyol, David Pineda yang meraih perak dengan 48.24s.

Sementara itu, Ammar Aiman berkata badannya tidak begitu cergas selepas berada dalam bilik panggilan untuk tempoh lama sebelum acara bermula dan ia menjejaskan rentak lariannya selain perasaan gugup beraksi di hadapan penonton yang ramai dalam stadium berkenaan.

Pelari negara Ammar Aiman Nor Azmi kecewa apabila menamatkan perlumbaan 400m lelaki (kecacatan intelektual) di tangga keempat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Pelari negara Ammar Aiman Nor Azmi kecewa apabila menamatkan perlumbaan 400m lelaki (kecacatan intelektual) di tangga keempat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France awal pagi tadi. – Foto BERNAMA

“Saya kecewa tapi nak buat macam mana kerana Allah SWT tak bagi lagi (pingat). Saya memang tak biasa duduk dalam bilik panggilan lama hingga badan saya sejuk dan peserta lain pun ramai yang kejang,” katanya.

Seorang lagi wakil negara yang juga juara dunia Nazmi Nasri, kurang menyerlah pada penampilan kali ini apabila menamatkan saingan di tempat kelima acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dengan lompatan sejauh 6.00m pada percubaan kedua.

Pingat emas dimenangi atlet Argentina, Brian Impellizzeri dengan lompatan 6.42m manakala perak diraih Samson Opiyo dari Kenya (6.20m) dan gangsa milik Mateus Evangelista dari Brazil (6.20m). – BERNAMA