Majlis Sukan Negara Malaysia
Hanya 1kg pisahkan Aniq dengan gangsa Olimpik

KUALA LUMPUR – Hanya satu kilogram memisahkan jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dengan pemenang pingat gangsa kategori 61 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menamatkan aksi final di kedudukan keempat.

Meskipun tidak dapat membawa pulang pingat, namun aksi ditampilkannya wajar dipuji apabila sudah memberikan tentangan sengit kepada tiga atlet teratas meskipun baru melakukan penampilan sulung di temasya sukan terbesar dunia itu.

Pada aksi final yang berlangsung di Expo Porte de, Versailles, Paris itu, Aniq mengangkat bebanan 297kg keseluruhan, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 296kg yang merupakan miliknya.

Atlet kelahiran Johor itu memulakan acara snatch dengan langkah kanan apabila berjaya mengangkat bebanan 126kg pada percubaan pertama, namun percubaan kedua untuk melakukan angkatan 130kg tidak berjaya.

Bagaimanapun, dia kembali memperkemaskan teknik angkatan dan berjaya mengangkat bebanan 130kg itu, sekali gus memperbaharui catatan peribadi terbaik (PB) snatch 126kg yang dilakukan pada Grand Prix (GP) IWF II di Doha, Qatar Disember tahun lalu.

Dalam acara clean and jerk, pemenang pingat emas kategori 55kg Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu memulakan saingan dengan cukup cemerlang apabila berjaya mengangkat bebanan 167kg pada percubaan pertama.

Hasrat Aniq untuk melakukan angkatan 174kg pada percubaan kedua dan ketiga bagaimanapun tidak membuahkan hasil dan terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Sementara itu, pingat emas kekal menjadi milik juara bertahan dari China, Li Fabin yang melakukan angkatan keseluruhan 310kg dengan perak dimenangi Silachai Theerapong dari Thailand (303kg) sementara Morris Hampton dari Amerika Syarikat (298kg) meraih gangsa. – KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Nur Dhabitah sahkan tempat ke separuh akhir

KUALA LUMPUR – Kutipan 283.65 mata sudah memadai Nur Dhabitah Sabri layak ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal.

Dalam saingan kelayakan sebentar tadi, Nur Dhabita memulakan terjunan pertama dengan agak baik apabila untuk menyamai wakil China, Chen Yiwen dengan meraih 67.50 mata namun catatannya makin menurun pada tiga terjunan selepas itu sebelum melengkapkan terjunan lima dengan 51.15 mata.

Bagaimanapun, kedudukan ke 12 keseluruhan sudah memadai buat Nur Dhabitah untuk melengkapkan 18 penerjun ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung petang esok.

Dalam penyertaan di Tokyo sebelum ini, Nur Dhabitah berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dengan 326.15 mata, dipisahkan 17.6 mata berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer. – KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Azizulhasni teruskan ‘impian’, Nurul Izzah terkandas

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mara ke pusingan kedua acara pecut temasya Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menewaskan wakil Jerman, Luca Spiegel sebentar tadi.

Terdahulu, Azizulhasni telah mempamerkan kayuhan dalam kelas tersendiri apabila berjaya pecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan dengan mencatatkan masa 9.402 saat (s).

Aksi pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 11.30 malam ini di Velodrom Nasional, Paris.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri tidak dapat melakar kejutan untuk ke suku akhir acara keirin apabila menamatkan saringan pertama repechage di tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Azizulhasni pecah rekod kebangsaan

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan dalam kelas tersendiri apabila berjaya memecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan acara pecut temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Azizulhasni berada di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mencatatkan masa 9.402 saat (s) sekali gus berjaya mara ke pusingan 1/32 yang bakal berlangsung pada 8.30 malam ini.

Azizul yang digelar The Pocket Rocketman berjaya memadamkan rekod kebangsaan yang dilakukan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan catatan masa 9.523s.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut mara ke pusingan seterusnya selepas berada di tangga ke-22 keseluruhan ngan catatan 9.635s.

Pada sesi kelayakan yang sama, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memecahkan rekod dunia apabila mencatat masa terpantas kelayakan dengan catatan 9.088s.- KOSMO! ONLINE

Olimpik Paris: Azeem anggap kritikan lumrah atlet

SEPANG – Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak mudah melatah dengan komen-komen yang dibuat pelbagai pihak berhubung prestasinya pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebaliknya, atlet berusia 20 tahun itu menjadikan komen-komen tersebut, termasuk kritikan sebagai pembakar seamangat untuk dia bangkit dan mempamerkan prestasi sebenar, selari dengan statusnya sebagai pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan.

Azeem menganggap kritikan-kritikan diterima sebagai lumrah baginya yang bergelar seorang atlet kerana ia mampu menjadikannya sebagai salah seorang atlet terbaik meskipun kadang-kadang berdepan situasi tidak menentu.

“Bagi saya, ia adalah perkara biasa sebagai seorang atlet. Kami semua akan dikritik, diberi nasihat dan pelbagai teguran, jadi dalam usia semuda ini saya harus ambil semuanya sebagai satu aura positif.

“Dalam usaha menjadi lebih baik, anda perlu berdepan banyak perkara sepanjang karier, jadi mungkin ini yang saya sedang hadapi sekarang. Saya tidak menafikan bahawa persembahan kurang baik sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pada aksi 100m lelaki yang berlangsung Sabtu lalu, Azeem tidak dapat melayakkan diri ke separuh akhir apabila terkandas di pusingan pertama selepas menamatkan saringan kedua di kedudukan tercorot daripada sembilan peserta menerusi catatan 10.45 saat (s).

Sementara itu, Azeem menegaskan, prestasi kurang memberangsangkan dalam satu kejohanan bukanlah penentu untuk keseluruhan karier kerana ia turut dialami pelari-pelari legenda tanah air.

“Bagi saya, satu persembahan yang buruk tidak menentukan keseluruhan karier. Naik turun seorang atlet bukan saya sahaja yang melaluinya kerana legenda-legenda kita pun mengharungi perkara sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Aksi atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini

Badminton

Pusingan 16 terbaik

Perseorangan lelaki

Lee Zii Jia lwn Toma Junior Popov (FRA) – 8.10 malam

Suku akhir

Beregu wanita

Pearly Tan-M Thinaah lwn Kim Se Yong-Kong Hee Yong (KOR)

– 2.30 petang

Beregu lelaki

– Aaron Chia-Soh Wooi Yik lwn Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (IND) – 7 malam

Golf

Pusingan pertama:

ADVERTISING

Strok individu lelaki

Galvin Kyle Green – 4.30 petang

Pelayaran

Perlumbaan 1-2:

Dinghy lelaki

Khairulnizam Mohd Afendy – 6 petang

Dinghy wanita

Nur Shazrin Mohamad Latiff – 6 petang

Memanah

Penyingkiran 1/32:

Individu wanita

Nurul Azreena Mohamad Fazil lwn Elif Berra Gokkir (TUR) – 1.50 pagi Jumaat

Penyingkiran 1/16:

Individu wanita

Nurul Azreena Mohamad Fazil (sekiranya layak) – 2.29 pagi Jumaat

Perlawanan Nurul Azreena ditunda atas faktor cuaca

KUALA LUMPUR: Aksi perlawanan pusingan penyingkiran 1/32 membabitkan pemanah wanita negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil ditunda ke awal pagi esok susulan cuaca yang tidak mengizinkan.

Nurul Azreena, 20, dijadual bertemu pemanah dari Turkiye, Elif Berra Gokkir di pusingan berkenaan di Invalides hari ini namun acara berkenaan terpaksa ditunda atas faktor hujan.

Terdahulu, rakan seperjuangannya, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi tersingkir di pusingan yang sama di tangan pemanah berpengalaman dari Itali, Chiara Rebagliati.

Ariana begitupun boleh berbangga dengan pencapaiannya di penampilan sulung di Olimpik selepas memberikan saingan sengit ke atas bekas juara dunia 2022 itu.

Saingan diheret ke penentuan shoot off namun Rebagliati berjaya mengawal panahannya dengan lebih tenang menerusi pengalaman dimilikinya untuk memperoleh kemenangan.

Hanya seorang pemanah negara mampu mara dari pusingan penyingkiran berkenaan iaitu Syaqiera Mashayikh sebelum perjalanannya terhenti di aksi penyingkiran 1/16.

Dalam perlawanan berkenaan, Syaqiera yang membuat penampilan keduanya di Olimpik selepas Tokyo 2020, terpaksa akur tewas di tangan Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil 5-6.

Sebelum itu, Syaqiera yang berusia 23 tahun mudah melangkah mara ke aksi penyingkiran 1/16 selepas menewaskan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan 1/32, sekali gus mengatasi keputusan di Tokyo.-Berita Harian

Rankireddy-Shetty nanti Aaron-Wooi Yik di suku akhir

KUALA LUMPUR: Beregu utama lelaki negara diundi bertemu lawan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Di atas kertas, daripada 11 pertemuan sebelum ini, rekod kemenangan jelas memihak kepada Aaron-Wooi Yik dengan 8-3 dan biar pun begitu, gandingan yang kini berada di ranking ketiga dunia itu tidak seharusnya memandang mudah prestasi lawan.

Ini memandangkan Rankireddy-Shetty berjaya mengatasi Aaron-Wooi Yik pada tiga pertemuan terakhir iaitu di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou dan Terbuka India pada Januari lalu.

Rankireddy-Shetty tampak semakin menunjukkan kebangkitan sejak kebelakangan ini termasuk muncul juara Kumpulan C Paris 2024 yang turut disertai beregu ketujuh dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Aaron-Wooi Yik pula muncul naib juara Kumpulan A di belakang beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 semalam.

Sebelum itu beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15.

BH Sukan hari ini melaporkan Aaron-Wooi Yik percaya percaturan taktikal yang tepat menjadi elemen utama untuk mereka berdepan beregu utama dunia yang lain.

Malah, gandingan itu turut percaya kekalahan di tangan Wei Keng-Chang akan dijadikan iktibar untuk mereka tampil dengan permainan yang lebih tersusun.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat gangsa ketika penampilan pertama mereka di Olimpik Tokyo selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.-Berita Harian

TPM bangga semangat juang tinggi Jin Wei

TIMBALAN Perdana Menteri meluahkan rasa kagum dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei biarpun terpaksa melupakan saingan Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Rabu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan pemain berusia 24 tahun itu sebagai seorang atlet yang ‘liat’ untuk ditewaskan.

Jin Wei yang menghuni ranking ke-32 dunia itu tumpas kepada Kim Ga-eun dari Korea Selatan dalam aksi lebih sejam di Porte de la Chapelle Arena.

“Persembahan yang cukup mantap oleh Goh Jin Wei, melalui tiga set yang benar-benar sengit. Ada yang tengok tadi?

“Tak apa Jin Wei. Walaupun tewas dengan pemain perseorangan dari Korea, Kim Ga-eun, kami rakyat Malaysia cukup berbangga dengan keazaman yang ditunjukkan.

Catatan Timbalan Perdana Menteri menerusi Facebook pada Rabu. Foto FB Ahmad Zahid.

Catatan Timbalan Perdana Menteri menerusi Facebook pada Rabu. Foto FB Ahmad Zahid.

“Ternyata anda bukan seorang lawan yang mudah untuk ditundukkan,” catat beliau menerusi Facebook pada Rabu.

Ahmad Zahid juga optimis Jin Wei mampu lebih menyerlah di pentas antarabangsa pada masa depan.

“Yakinlah, meskipun bukan hari ini, masa untuk kamu menyinar di pentas antarabangsa nanti pasti akan tiba. Anda sudah membuat yang terbaik Jin Wei. Kami berbangga dengan anda,” katanya.

Dalam aksi itu, Ga-eun mengungguli set pertama menerusi kemenangan 21-17, namun tanpa kehadiran jurulatihnya, Nova Armada, Jin Wei enggan mengalah apabila mengikat kedudukan 22-20.

Bagaimanapun kebangkitan Jin Wei gagal diteruskan pada set penentuan apabila lawan dari negara Kimchi itu mengesahkan kemenangan 23-21 untuk mara ke pusingan kalah mati.-Sinar Harian

Zii Jia tepati jangkaan, mara ke pusingan 16 terbaik

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia tidak berdepan laluan sukar untuk melayakkan dirinya muncul juara Kumpulan G sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik.

Pada perlawanan terakhir kumpulan di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi, Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia mudah menewaskan Pablo Abian dari Sepanyol 21-10 di set pertama.

Di set kedua, Abian yang berada di ranking ke-62 dunia dan pernah beraksi di lima temasya Olimpik termasuk Paris 2024 memberikan saingan sengit sebelum Zii Jia terus bangkit, meninggalkan jauh lawannya yang berusia 39 tahun itu.

Zii Jia, 26, terus menjarakkan kedudukan mata sebelum melakar kemenangan 21-13 untuk memuktamadkan perlawanan dengan keputusan straight set 21-10, 21-13 dalam tempoh 34 minit.

“Saya sekali lagi ke pusingan 16 terbaik. Harap kali ini (di Paris) ada keputusan lebih baik,” kata Zii Jia yang pada penampilan sulungnya di Tokyo 2020 terkandas di pusingan 16 terbaik.

Mengulas mengenai dua perlawanan yang sudah dilaluinya setakat ini, Zii Jia berkata, dia dapat mengawal permainan dengan baik.

“Setakat ini, saya berjaya mengawal keadaan dengan baik, Pablo memberikan cabaran di awal permainan tetapi saya mampu bangkit dan ia sesuatu yang bagus,” katanya.

Pada aksi pertama kumpulan sebelum ini, Zii Jia mudah menewaskan wakil Sri Lanka, Viren Nettasinghe 21-14, 21-12 dalam tempoh 35 minit.

Di pusingan 16 terbaik Esok, Zii Jia dijadual bertemu pemenang Kumpulan H sama ada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting atau pun Toma Junior Popov dari Perancis.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia