Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun terkulai di pusingan pertama

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima kejutan apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Masters Orleans 2025 yang berlangsung di Palais des Sports, Perancis.

Bertemu dengan pasangan beregu muda dari China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun, bekas juara dunia itu tewas mengejut dengan keputusan 18-21, 8-21 dalam tempoh kurang 30 minit.

Walaupun turun dengan status pilihan kedua kejohanan, aksi Aaron-Wooi Yik tidak memenuhi jangkaan apabila mereka gagal memberikan tentangan hebat kepada lawan, sekali gus menamatkan perjuangan mereka pada pusingan pertama.

Kekalahan berkenaan pastinya menjadi tamparan hebat buat pasangan No.5 dunia ini menjelang Seluruh England yang akan berlangsung di Birmingham pada 11 hingga 16 Mac ini.

Ini juga kejohanan pertama bagi mereka selepas kali terakhir beraksi pada Masters Indonesia Januari lalu, yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

Turut mengalami nasib sama adalah satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas 16-21, 14-21 kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Zii Jia lepasi pusingan pertama Masters Orleans

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, melangkah ke pusingan kedua Masters Orleans 2025 selepas bangkit daripada tumpas di set pertama untuk mengalahkan Chi Yu Jen dari Taiwan 17-21, 21-17, 21-17 sebentar tadi.

Walaupun tewas pada set pertama, Zii Jia tidak mudah berputus asa dan berjaya bangkit dengan permainan agresif dan konsisten untuk menguasai dua set berikutnya.

Kemenangan ini menyaksikan Zii Jia akan bertemu sama ada Koo Takahashi dari Jepun atau pemain berpengalaman India, K Srikanth di pusingan kedua.

Malangnya, Cheam June Wei tidak dapat meneruskan kemaraannya selepas tewas kepada Lin Chun Yi dari Taiwan dengan keputusan 20-22, 15-21.

Beregu lelaki, Yap Roy King-Arif Junaidi, mencatatkan kemenangan hebat apabila menewaskan H Amsakarunan dan RK Rethinasabapathi dari India dengan keputusan 17-21, 21-7, 21-17.

Mereka akan berhadapan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zi Yi-Presley Smith, pada pusingan kedua esok.

Sementara itu pasangan muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai terpaksa akur dengan kekalahan kepada Liang Weikeng-Wang Chang dari China dengan keputusan 13-21, 20-22.

Gandingan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut tidak berjaya meneruskan kemaraan mereka selepas tewas dalam perlawanan sengit menentang pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teerratsakul, dengan keputusan 17-21, 21-17, 13-21.

Turut menerima nasib sama ialah Low Hang Yee-Ng Eng Cheong selepas kalah dalam perlawanan tiga set kepada Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dari Jepun, dengan keputusan 21-17, 20-22, 17-21.

Pasangan wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mencatatkan kemenangan cemerlang apabila menewaskan gandingan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci, 21-19, 21-17.

Mereka akan berdepan pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspita Sari-Rachel Allessya Rose, pada pusingan kedua esok.

Beregu campuran no. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, juga melangkah ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan pasangan India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh, dengan keputusan 21-10, 21-15.

Mereka akan bertemu pasangan dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, pada pusingan kedua esok.

Skuad besbol negara idam pingat di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Ketika Sukan Sea Thailand hanya akan berlangsung Disember depan, pasukan Besbol (B5) negara sudah melaungkan keyakinan mampu menghadiahkan pingat untuk kontinjen negara.

Pengurus pasukan, Willieam Mah berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi semasa skuad negara yang kini menduduki ranking pertama di Asia Tenggara.

Katanya, selain itu, skuad negara juga menduduki ranking keenam di Asia serta ke-17 di dunia.

Skuad negara kini akan menyertai saingan Piala Remaja Asia B5 di Taiwan bermula 11 Mac ini dengan sasaran untuk menduduki kelompok tiga terbaik bagi melayakkan diri ke Piala Dunia di Mexico serta Sukan Olimpik Remaja Tahun depan di Dakar.

“Sasaran utama kami adalah di Sukan Sea Thailand, iaitu untuk memenangi pingat. Walaupun sasaran warna pingat belum ditentukan lagi, kami yakin mampu memenangi pingat.

“Sudah pasti cabaran utama akan hadir daripada Thailand selaku tuan rumah serta Singapura,” katanya majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan negara yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian, hari ini.

Untuk saingan di Taiwan yang berlangsung secara liga sepusingan, skuad negara akan berentap dengan Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Thailand, Hong Kong serta Iraq.

Zii Jia dapat laluan mudah di pusingan pertama Seluruh England

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Seluruh England di Utilita Arena Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.

Berdasarkan keputusan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia selaku pemain pilihan ketujuh kejohanan dijadualkan bertemu pemain ranking ke-20 dunia dari Hong Kong Angus Ng Ka Long, yang hanya menang empat kali dalam 10 pertemuan mereka.

Zii Jia, 27, memenangi lima pertemuan terakhir menentang pencabarnya itu sejak Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, yang diadakan pada Oktober 2023.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao yang membuat penampilan sulung pada kejohanan berprestij itu bakal berdepan laluan sukar di pusingan pertama apabila diundi bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia Jonathan Christie.

Bagaimanapun, pemain ke-26 dunia itu tidak mustahil untuk mencipta kejutan ke atas Christie berdasarkan rekod pertemuan terakhir mereka sebelum ini, yang menyaksikan kemenangan memihak kepada Jun Hao.

Sementara itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah pula memperoleh laluan mudah di pusingan pertama apabila diundi bertemu Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun dari Taiwan.

Sekiranya Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka dijadual bertemu sama ada Yin Hui Hsu-Jhih Yun Lin dari Taiwan atau Apriyani Rahayu-Siti Fadia Sliva Ramadahanti dari Indonesia yang juga merupakan tugas mudah bagi mereka.

Dua lagi pasangan yang bakal menjadi tumpuan negara iaitu beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga berdepan tugas mudah di pusingan pertama.

Aaron-Wooi Yik yang menjadi pemain pilihan kelima kejohanan bagaimanapun perlu berhati-hati bertemu gandingan tuan rumah Ben Lane-Sean Vendy yang merupakan pemain ke-15 dunia, manakala Sze Fei-Nur Izzudin diundi bertemu Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan.

Bagi wakil beregu campuran negara yang menjadi pilihan pertama kejohanan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut menarik nafas lega apabila dijadual bertemu Dechapol Puavaranukroh-Supisara Paewsampran, manakala Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia.

Nasib baik Nor Farah tak bersara, kini nombor 1 dunia

Kuala Lumpur: Hanya tiga tahun lalu, jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah sudah berputus asa dan membulat tekad untuk berhenti daripada sukan itu.

Namun, kini dia berhak untuk berasa bangga apabila melakar sejarah selaku pemain nombor satu dunia.

Nor Farah mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencapai kedudukan tertinggi itu selepas sering kecewa terutama di pentas Sukan Malaysia (Sukma) apabila gagal meraih kemenangan sehingga mendorongnya untuk berhenti.

“Memang saya tak pernah jangkakan untuk berada di tahap sekarang sebab kalau nak ikutkan cerita, selepas Sukma 2022, memang saya sudah berputus asa untuk main sukan ini.

“Tetapi disebabkan jurulatih saya ketika itu (Ariffin Abdul Ghani) paksa untuk teruskan, saya pun teruskan.

“Matlamat utama adalah dapatkan hadiah pingat kepadanya dan Alhamdulillah, saya dapat kalungkan pingat (di Kejohanan Kebangsaan) yang bernilai kepadanya.

“Sejak itu saya mula mewakili Malaysia dan dapat bawa balik pingat untuk jurulatih. Sebab sebelum ini, setiap kali Sukma, saya tak dapat beri hadiah kemenangan pingat kepadanya,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, atlet negara berusia 24 tahun itu kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 683 mata manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas dia melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Tambah Nor Farah, kejayaan muncul pemain nombor satu dunia adalah kejayaan terbesar dalam kariernya.

Justeru, kejayaan itu melonjakkan lagi semangatnya untuk mempertahankan gelaran di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Scotland, bulan depan.

“Saya letak sasaran untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun ini selepas menang tahun lalu.

“Kalau sekiranya tak dapat kekalkan (kejuaraan), sekurang-kurangnya saya mahu membawa pulang sesuatu untuk Malaysia,” katanya.

Andre disasar raih emas hatrik lompat kijang di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar disasarkan untuk meraih emas hatrik pada temasya Sukan Sea Thailand, Disember depan.

Ini kerana, sekiranya atlet berusia 25 tahun itu mampu merealisasikannya, Malaysia bakal mencipta sejarah mendominasi acara itu buat kali keenam berturut-turut.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim berkata, Andre berpeluang mengikut jejak langkah bekas atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail yang melakar emas hatrik pada edisi di Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.

Andre meneruskan dominasi negara menerusi acara itu selepas merangkul emas di Hanoi 2021 serta Kemboja 2023.

“Untuk Andre sasaran kami mudah saja iaitu mahu dia kekalkan kejuaraan acara lompat kijang yang sudah kita menang selama lima edisi lalu.

“Jadi kami akan berusaha memastikan Andre menang buat kali keenam dan jika dia dapat melakukannya, Malaysia sudah dua kali meraih kemenangan hatrik, iaitu tiga menerusi Hakimi dan tiga kali daripada Andre,” katanya menerusi video dikongsikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Jelas Ahmad Firdaus, beliau mahu melihat Andre terus menguasai pentas di Asia Tenggara serta peringkat lebih tinggi selepas ini.

“Walaupun atlet seperti Andre bertubuh kecil, dia sudah buktikan yang dia mampu menjuarai saingan di peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Andre memenangi emas kali kedua berturut-turut dalam acara lompat kijang dua tahun lalu di Kemboja dengan catatan 16.06 meter (m).

Hakimi masih lagi pemegang rekod Sukan Sea kebangsaan dengan catatan 16.77m yang dilakukan ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Andre pula adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara lompat jauh dengan catatan 8.02m yang dilakukannya ketika Sukan Sea Filipina 2019.

Nor Farah kini pemain boling padang nombor satu dunia

Kuala Lumpur: Jaguh boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah terus mengharumkan nama Malaysia apabila mencipta sejarah dengan bergelar pemain nombor satu dunia hari ini.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, Nor Farah kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest, berada di posisi kedua selepas mengumpul 683 mata, manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas dia berjaya melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Pemain berusia 24 tahun ini turut memberi sumbangan besar kepada skuad negara apabila membantu meraih pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.

Izzat Shameer turut menyumbang pingat perak dalam acara individu lelaki.

BAM enggan terburu-buru cari pengganti Jeffer

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan tergesa-gesa untuk mencari pengganti Jeffer Rosobin bagi menggalas tugas selaku jurulatih perseorangan wanita negara.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, apa yang penting adalah calon jurulatih itu perlu mempunyai semangat juang tinggi serta mampu bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Bagi saya, ia lebih kepada seorang jurulatih yang memahami kami adalah satu pasukan. Bukan mengenai jurulatih yang datang dan kemudian membawa haluannya sendiri. Saya ada beberapa perkara yang ingin saya pastikan iaitu barisan pemain (wanita) kami dapat tingkatkan corak permainan mereka.

“Saya lebih gemar melihat semua jurulatih berkumpul dan berbincang bersama-sama. Kemudian kita bersama-sama mencari formula terbaik untuk terus maju ke depan,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan, hari ini.

Jonassen berkata, beliau bersikap terbuka mengenai jurulatih yang akan menggantikan tempat Jeffer dan ia tidak semestinya datang dari negara asalnya, Denmark.

“Saya agak terbuka, tetapi ia perlu seseorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan di peringkat lebih tinggi dan mempunyai rekod pencapaian membanggakan.

“Tetapi bagi saya, perkara paling penting adalah seperti saya sebutkan tadi, iaitu seorang yang boleh bekerjasama dalam pasukan,” katanya.

BAM pada Jumaat lalu mengesahkan Jeffer membuat keputusan sukar untuk meninggalkan BAM selepas 16 bulan bersama badan induk itu kerana komitmen keluarganya di Jakarta, Indonesia.

Jeffer menyertai BAM pada Oktober 2023 sebagai ketua jurulatih remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum dipindahkan ke bahagian perseorangan wanita senior pada Oktober tahun lalu.

Sepanjang tempohnya sebagai ketua rurulatih remaja, Aaron Tai-Kang Khai Xing meraih pingat emas beregu lelaki di Kejohanan Remaja Dunia Oktober lalu, manakala Dania Sofea-Low Zi Yu membawa pulang perak dalam acara beregu wanita.

Ken Nee sasar pingat Olimpik untuk penerjun negara

Kuala Lumpur: Bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee yang dilantik sebagai pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan berkuat kuasa kelmarin sudah mempunyai perancangan tersendiri dengan sasaran utama untuk meraih pingat di temasya Olimpik.

Olimpian negara yang pernah beraksi di Olimpik Sydney 2000 dan London 2012 itu berkata, dia sedia menyambut cabaran berkenaan dan bertekad akan memberikan yang terbaik buat skuad terjun negara.

Katanya, beliau sangat gembira dan bersyukur kerana diberikan kepercayaan bagi memikul tanggungjawab berkenaan dan berpeluang kembali menabur bakti bersama pasukan kebangsaan.

“Saya sangat bersyukur dan gembira diberikan tanggungjawab ini. Ini peluang saya menabur berbakti kepada negara jadi saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan terjun.

“Sasaran sudah pasti untuk menang pingat di Olimpik selain berusaha membangunkan sukan ini di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengulas mengenai perancangannya bersama skuad terjun, Ken Nee yang sebelum ini bergelar jurulatih Wilayah Persekutuan berkata, buat ketika ini beliau akan meneruskan program yang ditinggalkan pengarah teknikal sebelum ini iaitu Byran Nikson Lomas yang memilih menjadi jurulatih di luar negara.

“Tiada sebarang perubahan setakat ini, saya akan menggunakan semula apa yang sudah dimulakan oleh Bryan untuk pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, Ken Nee yang diberikan kontrak selama dua tahun pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan terjun Wilayah Persekutuan selain salah seorang pegawai dari Asia yang menjadi juri pada Olimpik Paris 2024.

Izzah tekad pamer kayuhan cemerlang walaupun berpuasa di Turkiye

Kuala Lumpur: Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjanji akan menampilkan aksi cemerlang meskipun beraksi ketika berpuasa di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye pada 14 hingga 16 Mac ini.

Atlet mendapat julukan The Pocket Rocketwomen itu mengakui walaupun berpuasa bakal menjadi cabaran besar, beliau tetap menyasarkan untuk menaiki podium selain berhasrat memperbaiki pencapaian tahun lepas pada kejohanan bertaraf dunia itu.

“Sasaran saya memang hendak melakukan lebih baik daripada edisi sebelum ini dan tahun lepas, saya ke final acara keirin. Saya mahu timba pengalaman baharu dengan beraksi bersama pelumba bertaraf dunia.

“Tahun ini, hendak naik podium kalau diberi rezeki. Kejohanan (berlangsung) waktu siang dan saya berpuasa, jadi ia cabaran juga untuk saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sempena Ramadan, Nurul Izzah berkata jadual latihannya kini ditukar ke lewat petang, hampir waktu berbuka atau jika tidak, dilakukan pada awal pagi, dengan beliau menambah latihan pada waktu itu berjalan lancar.

Selain itu, Nurul Izzah juga mengubah corak pemakanan seperti melebihkan pengambilan karbohidrat bagi memastikan dirinya kekal bertenaga sepanjang latihan.

“Air pula saya minum secukupnya ketika sahur dan berbuka. Memang (perlu) minum banyak untuk mengelakkan dehidrasi selain kami turut mengambil minuman protein sebelum tidur dan juga semasa bersahur,” katanya.

Baru-baru ini, anak jati Sungai Petani, Kedah itu menyinar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 dengan merangkul dua pingat emas menerusi acara keirin dan 1 kilometer (km) ujian masa wanita serta gangsa pecut individu selain membantu Malaysia memenangi perak pecut berpasukan.

Lebih manis, atlet berusia 22 tahun itu juga memecahkan rekod Asia 1km ujian masa sebanyak dua kali dengan catatan 1:06.229 saat (s), selain memperbaharui rekod kebangsaan (48.458s) pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.

Majlis Sukan Negara Malaysia