Majlis Sukan Negara Malaysia
SRG.OG raih kejuaraan hatrik

Kuala Lumpur: Selangor Red Giants (SRG.OG) mencipta sejarah baharu apabila merangkul kejuaraan hatrik Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia untuk Musim ke-15 (MPL MY 15) selepas menewaskan Homebois 4-0 pada Grand Final, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, ramai menjangkakan SRG.OG bakal menerima tentangan sengit daripada lawan mereka seperti mana pertemuan sebelum ini di Upper Bracket final, sebaliknya terjadi apabila juara bertahan itu menunjukkan jurang prestasi yang ketara antara kedua-dua pasukan.

SRG.OG ternyata berada di kelas tersendiri apabila hero yang dipilih dalam setiap permainan itu begitu sukar ditentang oleh Homebois dan mereka begitu mendominasi keseluruhan empat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih mereka, Michael Angelo Bocado atau Arcadia tetap berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya kerana mereka beraksi seperti dirancang dan mempamerkan permainan penuh meyakinkan.

“Saya tetap bangga dengan setiap pemain kerana mereka meneruskan momentum cemerlang sebelum ini untuk kita menang perlawanan hari ini selepas kita berusaha keras sepanjang musim ke-15,” katanya.

Selepas ini, SRG.OG dan Homebois akan mempersiapkan pasukan untuk memastikan mereka dapat memberi saingan terbaik pada Piala Pertengahan Musim (MSC) dalam Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi bulan hadapan.

Anak didik Arcadia sudah pasti mempunyai misi tersendiri iaitu mempertahankan kejuaraan selepas mencipta sejarah pasukan pertama muncul juara pada kejohanan berkenaan tahun lalu untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta).

Shahmalarani idam tamatkan kemarau emas

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani berazam untuk menampilkan prestasi cemerlang sekali gus menamatkan kemarau emas di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang bakal berlangsung di Brunei dari Selasa sehingga 19 Jun ini.

Jelasnya, dia kini berada pada tahap motivasi terbaik selepas memenangi pingat perak di Kejohanan Karate Asia (AKF) di Uzbekistan bulan lalu dan melihat SEAKF sebagai medan terbaik untuk dirinya meneruskan momentum itu, sambil menilai persiapan serta kekuatan pasukan lawan yang akan menyertai Sukan Sea Thailand nanti.

“Saya belum pernah menang emas di SEAKF, jadi kali ini saya benar-benar mahu menamatkan kemarau itu.

“Selain itu, SEAKF adalah kejohanan penting sama seperti Sukan Sea yang bakal berlangsung hujung tahun ini. Ini adalah peluang terbaik untuk kami mengkaji kekuatan lawan lebih awal.

“Ada negara yang akan menghantar atlet pelapis, ada juga yang membawa atlet berpengalaman. Jadi, ia penting untuk kami mengumpul maklumat dan pengalaman bersaing dengan atlet serantau,” katanya.

Atlet kelahiran Selangor itu sebelum ini pernah memenangi pingat perak acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada edisi 2023 di Manila, manakala tahun lalu pula membawa pulang gangsa di Bangkok.

Justeru, Shahmalarani menyedari dirinya turut berada dalam senarai lawan yang mahu ditewaskan, namun dia sudah bersedia untuk berdepan situasi sedemikian.

“Saya tahu ramai yang akan cuba tewaskan saya, itu perkara biasa dalam mana-mana sukan. Jadi, saya perlu lakukan yang terbaik. Memang ada tekanan, tetapi itu juga biasa dalam sukan, terutama dalam seni mempertahankan diri,” katanya.

BAM cari formula buat perseorangan lelaki kembali menyengat

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan merangka beberapa langkah gerak kerja untuk memastikan pemain perseorangan lelaki negara kembali menyengat di kejohanan kompetitif dan bukan sekadar menjadi pelengkap pertandingan sahaja.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan setiap atlet malah akan mengadakan sesi pertukaran pendapat bersama barisan jurulatih bagi mencari solusi terbaik agar pemain negara mampu tampil selaku pencabar utama.

“Bagi saya, masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan kita tahu terutamanya dalam acara perseorangan, masih banyak yang perlu diperbaiki dan kita mahu lihat perkara itu dilaksanakan,” katanya.

Untuk makluman, ketika ini, di bawah BAM, negara mempunyai beberapa pemain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh namun dua pemain ini dilihat masih belum berada di tahap terbaik untuk mencabar kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.

Sementara itu, Ng Tze Yong pula dilihat bakal menjadi sandaran utama selepas kembali daripada kecederaan belakang. Tetapi, nasib dia tidak begitu baik apabila perlu berehat sekali lagi ekoran mengalami kecederaan serius pada ligamen lutut (ACL) dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut gembira melihat pencapaian pemain negara dalam beberapa kejohanan terakhir terutama beregu lelaki dan wanita negara kerana berjaya meraih kejuaraan. Beliau berharap pemain dapat mengekalkan prestasi itu untuk kejohanan akan datang.

“Apa yang berlaku ini menunjukkan hasil kerja jurulatih, terutamanya bahagian beregu. Secara adilnya, memang nampak hasilnya (kejuaraan). Satu lagi ialah soal mengekalkan prestasi ini.

“Sebab kita ada empat kejohanan dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu Terbuka Kanada, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Macau,” katanya.

Antara pencapaian terbaik skuad badminton negara pada bulan lalu adalah muncul juara di Terbuka Thailand (Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah), Masters Malaysia (Tee Kai Wun-Man Wei Chong), dan Terbuka Singapura (Aaron-Wooi Yik).

KSB jumpa PSM bincang hala tuju Akademi Sepaktakraw

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menetapkan hala tuju Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak membina stadium baharu sebaliknya PSM akan menaik taraf kemudahan yang sedia ada untuk dijadikan tempat pembangunan atlet sepak takraw pada masa akan datang.

Jelasnya, prestasi skuad sepak takraw Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa juga menjadi faktor utama peruntukan itu diluluskan sekali gus bakal membuka dimensi baharu buat sukan berkenaan.

“Tanah berkenaan adalah milik Institut Sukan Negara (ISN) dan kita memberikan pajakan kepada PSM untuk mereka buat akademi dan tempat khas yang mereka namakan stadium untuk sepak takraw.

“Ini adalah satu kerjasama yang baik kerana KBS kini tidak mahu membina kemudahan baharu dan kita tidak akan membina akademi atau stadium untuk semua jenis sukan. Kita ada 103 jenis sukan, tak mampu buat semuanya.

“Tetapi kita tahu sepak takraw adalah sukan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah sukan tradisi. Maka kita melihat kepada populariti sepak takraw serta kejayaan mereka dalam Piala Dunia (2024) dan Piala Asia (2025) baru-baru ini,” katanya.

Tambah Hannah, perbincangan antara KBS bersama PSM juga akan diadakan bagi memastikan projek itu dapat dijalankan mengikutkan perancangan seperti ditetapkan agar peruntukan yang diberikan itu boleh digunakan sebaik mungkin.

“Kerana saya sendiri tidak menyangka beliau akan meluluskan RM6 juta. Tetapi ada syarat-syarat tertentu dan saya akan mengadakan perbincangan dengan PSM secepat mungkin. Hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) ialah supaya akademi ini direalisasikan secepat mungkin sebelum pembentangan bajet (hujung tahun nanti),” katanya.

MSN minta laporan rasmi daripada Irfan isu ugutan

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin membuat laporan rasmi kepada pihaknya mengenai dakwaan diugut oleh Olahraga Malaysia (MA) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, setakat semalam, pihaknya masih belum menerima aduan mengenai perkara itu dan disebabkan isu berkenaan mendapat perhatian ramai, beliau berharap mereka yang terlibat akan tampil ke depan untuk mengemukakan laporan secara terus kepada MSN.

“Saya pun masih belum menerima sebarang laporan berkenaan perkara ini. Saya tunggu laporan penuh daripada pihak MA dan juga daripada pengurus pasukan (Irfan) sebelum saya membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, atlet berusia 30 tahun itu mendakwa dirinya menerima ugutan berbaur ancaman daripada pengurusan MA susulan kenyataan terbukanya kepada media selepas kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan, baru-baru ini.

Katanya, beberapa pegawai tertinggi MA didakwa cuba menekan dan mengugutnya supaya mematuhi arahan tertentu, termasuk sepatutnya tidak menyebut individu tertentu dalam ucapan penghargaan di depan media.

Namun, Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim pula segera tampil dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Irfan bahawa beliau pernah mengeluarkan ugutan terhadap atlet berkenaan.

Bagi Shahidan, beliau melihat perkara itu kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan memandangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MA ke-22 yang akan berlangsung hari ini dan tumpuan kini terarah kepada pemilihan jawatan presiden selepas mendapat persaingan empat penjuru.

Azrai mahu ulang hatrik apabila layan New Zealand

Kuala Lumpur: Penyerang utama pasukan hoki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal optimis mampu mengulangi prestasi cemerlang menentang New Zealand pada saingan Piala Negara-Negara, sekali gus memberi tiga mata penting buat Speedy Tigers.

Azrai mempunyai memori sangat baik ketika berdepan pasukan ke-12 dunia itu di Piala Sultan Azlan Shah 2024 dan disebabkan itu, dia mahu meneruskan momentum merobek gawang pasukan New Zealand.

“Saya teruja bertemu New Zealand, pasukan yang mempunyai ranking tinggi, sekali gus memberi saya peluang untuk belajar banyak perkara.

“Kalau boleh, saya mahu menjaringkan gol lagi seperti mana saya melakukan jaringan hatrik ketika berdepan mereka tahun lalu,” katanya.

Ketika ini, barisan jurulatih lebih banyak memberi tumpuan kepada bahagian serangan untuk memastikan pemain negara tidak melepaskan peluang penting kerana itu boleh menjadi penentu kemenangan buat Malaysia.

Oleh itu, bagu aksi pembukaan menentang Pakistan pada Ahad ini, mereka tiada pilihan lain selain meraih tiga mata penting untuk membuka laluan lebih cerah ke pusingan seterusnya.

“Kami banyak melakukan latihan khusus untuk bahagian serangan dan saya nampak hasilnya semakin positif. Serangan kami lebih tajam dan tersusun, jadi kita akan lihat pada kejohanan nanti.

“Sasaran pasukan adalah layak ke separuh akhir, jadi perlawanan pertama wajib menang. Tak kira bagaimana caranya, kita mesti menang,” katanya.

Skuad bimbingan Sarjit Singh diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan aksi menentang Pakistan, diikuti Jepun pada 16 Jun dan New Zealand pada 18 Jun, sementara Kumpulan A pula menyaksikan pertemuan antara Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.

Kejohanan Piala Negara-Negara di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil akan bermula Ahad ini hingga 21 Jun.

Kehadiran Herry Iman bawa ong buat badminton negara – Chong Wei

Kuala Lumpur: Kehadiran jurulatih beregu lelaki dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi ke dalam skuad badminton Malaysia ternyata membawa ‘ong’ sangat besar selepas pemain negara meraih kejuaraan demi kejuaraan dalam tempoh singkat.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, Herry atau lebih dikenali dengan gelaran Naga Api membuktikan dirinya mempunyai sentuhan sangat bernilai apabila tidak perlu mengambil masa lama untuk melatih beregu lelaki negara dan membawa mereka berada di atas podium.

Tambahnya, permainan pasangan negara sudah berubah sejak berada di bawah kepimpinan Herry apabila mereka beraksi dengan lebih agresif dan mempunyai mood menyerang yang tinggi berbanding bertahan.

“Awak sendiri boleh nampak pemain kita terutama Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Mereka lebih konsisten dan lebih yakin, seolah-olah bukan Aaron-Wooi Yik yang kita kenal sebelum ini. Saya rasa kunci utamanya adalah komunikasi.

“Bagaimana berkesannya komunikasi antara seorang jurulatih dengan pemain boleh menerbitkan keyakinan dalam permainan.

“Bagi saya, apabila jurulatih itu dapat berkomunikasi dengan baik, pesanan mudah disampaikan dan ia mampu meningkatkan keyakinan di gelanggang.

“Jika dia jurulatih yang biasa, mungkin hanya berkongsi ilmu yang ada dalam buku sahaja,” katanya.

Sejak Herry mula bertugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu, beliau membawa perubahan yang sangat ketara antaranya membantu beregu lelaki negara meraih empat kejuaraan dalam tempoh empat bulan.

Antaranya Aaron-Wooi Yik yang meraih gelaran sulung tahun ini di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 pada April, diikuti dua kejuaraan dalam tempoh kurang sebulan iaitu Terbuka Thailand (Mei) dan Terbuka Singapura (Jun) manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula meraih kemenangan di Masters Malaysia (Mei).

Malah, perubahan dalam ranking dunia menunjukkan peningkatan ketara berbanding pada awal ketibaannya sebelum ini, seperti Aaron-Wooi Yik yang mendaki daripada kedudukan nombor lima dunia ke tempat kedua dunia dan Kai Wun-Wei Chong, daripada nombor 12 dunia kepada kedudukan ketujuh dunia.

Di samping itu, beliau turut melihat kehadiran beberapa jurulatih lain seperti Kenneth Jonassen (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan), Rosman Razak (beregu wanita) dan Nova Widianto (beregu campuran) sebagai antara gandingan yang mampu menghasilkan lebih banyak kejayaan kepada Malaysia.

Oleh itu, Chong Wei melihat kemungkinan besar menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028, lebih ramai pasangan negara akan berada dalam kelompok terbaik dunia untuk layak ke temasya empat tahun sekali itu, sekali gus mewujudkan persaingan lebih sihat buat mereka.

MGA sandarkan harapan kepada Mirabel, Jeneath di Sukan SEA Bangkok

Seremban: Persatuan Golf Malaysia (MGA) bakal menyandarkan harapan tinggi kepada dua pemain remaja wanita negara, Mirabel Ting dan Jeneath Wong untuk menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025, yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, Disember depan.

Presiden MGA, Tan Sri Anwar Mohd Nor berkata, kedua-dua pemain terbabit dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat emas pada temasya terbesar rantau ini itu mengambil kira reputasi mereka yang menduduki ranking terbaik dunia.

“Ketika ini, Mirabel berada di kedudukan kedua dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR) manakala Jeneath buat julung kalinya mencipta sejarah memenangi Golf Amatur Wanita Asia Pasifik 2025, Mac lalu.

“Mereka dilihat berpotensi untuk memberikan sumbangan terbaik dan merangkul pingat emas di Bangkok nanti.

“Kita berharap kedua-dua pemain ini dapat bersama dalam kontinjen negara ke Sukan SEA bagi membolehkan kita memberikan saingan sengit kepada pasukan lain terutama Thailand,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Negeri Sembilan 2025, di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) di sini, petang ini.

Anwar berkata, MGA akan menyenaraikan seramai empat pemain lelaki dan tiga wanita pada temasya sukan dwitahunan itu.

Menurutnya, setakat ini senarai pemain berkenaan belum dimuktamadkan dan pihaknya masih lagi menilai pemain yang berkelayakan untuk dipertaruhkan pada kejohanan itu nanti.

Mengulas mengenai sasaran baharu kutipan pingat yang akan disasarkan MGA pada temasya kali ini, beliau berkata, ianya belum ditetapkan.

“Sasaran baharu kita hanya akan ditetapkan selepas perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pihak yang berkaitan,” katanya.

Ujar Anwar, fokus utama MGA sekarang adalah mempersiapkan pemain termasuk membantu mereka mendapatkan pendedahan latihan secukupnya termasuk di luar negara selain mendapatkan bantuan jurulatih jangka pendek dari luar, bagi membantu meningkatkan prestasi pemain.

“Buat sementara ini sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya dapat kekalkan prestasi terbaik yang dicatatkan dalam dua Sukan SEA sebelum ini iaitu di Hanoi, Vietnam (2022) dan Kemboja 2023,” katanya.

Untuk rekod, pasukan golf negara berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan SEA Vietnam dan satu emas di Sukan SEA Kemboja.

MA sasar lebih 5 pingat emas di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) mengambil pendekatan tidak meletakkan sasaran secara spesifik di Sukan Sea Thailand 2025, sebaliknya ingin mengatasi pencapaian lima pingat emas pada edisi Sea Kemboja 2023.

Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak pengurusan dan barisan jurulatih begitu komited melakukan persiapan bagi memastikan setiap atlet yang tampil di temasya dwitahunan itu dapat memberikan persembahan cemerlang untuk meraih lebih banyak kilauan pingat emas.

Justeru, katanya, setiap atlet yang terpilih perlu berusaha lebih gigih agar pencapaian di Thailand nanti tidak merudum dan dapat mengatasi pencapaian edisi lalu.

“Menteri akan bercakap bagi pihak semua sukan di Malaysia termasuk daripada MA dan dalam mesyuarat kita sudah membincangkan tentang sasaran (Sea Thailand 2025).

“Sudah pasti di pihak kami, kami mahu lebih (berbanding edisi 2023). Kalau sekiranya kita dapat kurang, ini adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya pada sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Selain itu, Shahidan memaklumkan beberapa nama atlet yang akan bertanding di Thailand nanti.

Untuk kategori A lelaki, Muhammad Azeem Fahmi akan berlari dalam acara 100 meter (m), Umar Osman (400m), Wan Muhammad Fazri Wan Zahri (800m), Andre Anura (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Jonah Chang Rigan (lontar peluru).

Sementara itu, bagi kategori A wanita pula, Shereen Samson Vallabouy (400m), Queenie Ting Ku Ni (lempar cakera), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru) dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi).

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan enam jurulatih baharu sudah mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membimbing barisan atlet negara.

Mereka adalah Andrew Lulham, Jorge Luis Alfaro Quinones, Yunaika Crawford Rojer, Muhammad Hakimi Ismail, Mohd Robani Hassan dan Lo Choon Sieng.

Aniq optimis cemerlang di Kejohanan Komanwel

Kuala Lumpur: Meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, badang negara, Mohd Aniq Kasdan tetap optimis untuk beraksi cemerlang dalam Kejohanan Komanwel 2025 yang dijadual berlangsung di India hujung Ogos nanti.

Jaguh muda itu mengakui tahap kecergasannya kini hanya sekitar 70 peratus selepas mengalami kecederaan namun tetap meneruskan sesi latihan secara berperingkat bagi memastikan dirinya berada pada prestasi terbaik menjelang kejohanan penting itu.

“Saya cedera pada bahagian bahu, ligamen. Sekarang ini saya masih menjalani rawatan dan dah mula latihan semula tiga minggu lalu.

“Walaupun belum pulih sepenuhnya, saya tetap teruskan latihan dengan beban yang ringan untuk kekalkan momentum,” katanya.

Atlet berusia 23 tahun itu menegaskan kecederaan yang dialami tidak mematahkan semangatnya malah menjadi motivasi untuk membuktikan kemampuan diri.

“Saya harap boleh buat yang terbaik di India nanti. Memang berat, tapi saya percaya dengan sokongan dan servis terbaik, saya mampu cipta kejutan,” katanya.

Mengikut format baharu kelayakan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), hanya pemenang tempat pertama kejohanan layak secara automatik ke kejohanan utama, manakala atlet lain perlu melalui satu lagi pusingan kelayakan.

“Jika sebelum ini atlet diberikan tempat menerusi sistem kuota, kini proses kelayakan diubah mengikut format seperti Sukan Olimpik iaitu perlu melalui pusingan kelayakan terlebih dahulu.

“Jadi saya perlu memastikan diri benar-benar bersedia, meskipun ketika ini masih berada dalam fasa pemulihan daripada kecederaan,” katanya.

Aniq turut berharap agar terus diberikan sokongan penuh daripada semua pihak bagi merealisasikan impiannya untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.