Majlis Sukan Negara Malaysia
Masa depan kem terjun negara cerah

KUALA LUMPUR – Skuad terjun remaja negara dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Akuatik Remaja Asia ke-47 2025 di Singapura selepas meraih 13 pingat emas, lapan perak dan empat gangsa iaitu pencapaian terbaik sejak menghantar penyertaan penuh ke kejohanan tersebut.

Pengarah teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee menyifatkan keputusan itu sebagai hasil perancangan rapi dan tindakan menghantar pasukan penuh, berbeza daripada edisi-edisi terdahulu.

“Kali ini kita hantar pasukan penuh, memang kita sasarkan untuk menjadi juara keseluruhan. Sebelum ini kita hantar sebahagian sahaja,” katanya selepas dihubungi Kosmo! hari ini.

Bagaimanapun, Ken Nee mengingatkan agar kejayaan juara keseluruhan tidak dinilai secara luaran semata-mata kerana masih banyak aspek teknikal perlu diperhalusi sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar menjelang Sukan SEA 2027.

Menurutnya, objektif sebenar skuad negara adalah persiapan ke arah Sukan SEA 2027 dan ini menjadi penanda aras berbanding pesaing serantau seperti Vietnam, Singapura dan Thailand.

Bekas penerjun negara itu turut menegaskan kekuatan utama skuad terjun negara ketika ini ialah konsistensi, namun penerjun-penerjun kebangsaan perlu terus menambah baik aspek tahap kesukaran terjunan untuk mengatasi saingan rapat.

“Saya kira atlet kita mempunyai konsistensi. Tapi kita boleh tewas kepada negara jiran jika mereka capai tahap konsistensi pada hari pertandingan, ditambah dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi,” katanya.

Ken Nee berkata, pasukan kejurulatihan akan menilai prestasi semua atlet remaja sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke kejohanan antarabangsa lain termasuk Kejohanan Remaja Dunia. – KOSMO! ONLINE

ISTAF syor Malaysia tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengesyorkan Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 (Lelaki dan Wanita), tanpa perlu melalui proses pembidaan seperti kebiasaannya.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata, syor berkenaan dibuat sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, cadangan itu pertama kali diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semasa Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Mei dan sejak itu mendapat sokongan padu daripada ISTAF.

“PSM menunjukkan kemampuannya dengan berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan Piala Asia 2025 dengan sokongan 70 pegawai teknikal dari 16 negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengumuman berkenaan dibuat susulan pemilihan semula Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Presiden PSM bagi penggal 2025-2028 pada Mesyuarat Agung Tahunan PSM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.

Abdul Halim berkata, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Sumali atas pelantikan semula itu dan menyifatkannya sebagai penggerak utama dalam usaha meremajakan arena sepak takraw di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

“Kepimpinan yang diperbaharui ini mencerminkan kestabilan, perpaduan serta visi yang jelas terhadap masa depan sepak takraw di Malaysia dan di peringkat global,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan akar umbi menerusi Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan lebih 500 atlet muda dari 25 institusi di seluruh negara.

Aaliyah raih empat emas, pecah rekod Asia tiga kali

Kuala Lumpur: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah mencipta sejarah dengan memenangi empat pingat emas dan memecahkan rekod Asia bagi acara jump sebanyak tiga kali pada Kejohanan Ski Air Asia IWWF 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Atlet berusia 21 tahun itu mengungguli kategori terbuka wanita dengan menyapu bersih keempat-empat acara, slalom, jump, tricks dan keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut selepas kejayaan sama pada edisi 2019 (Thailand) dan 2022 (Korea Selatan).

Persembahan cemerlang Aaliyah turut membantu Malaysia merangkul gelaran juara keseluruhan berpasukan buat julung kalinya apabila mengumpul 7,262.44 mata, mengatasi Jepun (6,664.52 mata) dan Korea Selatan (5,059.65 mata) berdasarkan jumlah markah gabungan acara slalom, tricks dan jump.

“Kami sangat berbangga dengan pasukan ini. Aaliyah kini berada di kemuncak prestasi dan turut membimbing adik-adiknya sehingga mampu menewaskan peluncur air lelaki terbaik Asia,” kata ketua jurulatih kebangsaan Hanifah Yoong.

Adik Aaliyah, Aiden turut menyerlah apabila memenangi dua pingat emas dalam acara tricks dan keseluruhan lelaki, selain mencipta rekod kebangsaan baharu dengan 5,700 mata dalam acara tricks.

Beliau juga menyumbang dua pingat gangsa dalam acara slalom dan jump.

Sementara itu, seorang lagi adiknya, Adam turut menyumbang satu pingat gangsa dalam acara tricks lelaki.

Secara keseluruhan, Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas daripada kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 29 Jun.

Jonah unggul perbaharui rekod kejohanan

Kuala Terengganu: Atlet lontar peluru Universiti Malaya (UM), Jonah Chang membuktikan kehebatannya yang tersendiri apabila berjaya mencipta rekod baharu pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), petang tadi.

Atlet kebangsaan kelahiran Sarawak itu mencatat lontaran sejauh 18.39 meter (m) untuk memadam rekod lama kejohanan miliknya sendiri yang dicipta tahun lalu dengan lontaran 18.35m.

Atlet berusia 22 tahun itu merangkul pingat emas selepas meninggalkan jauh atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nathaniel Najib yang hanya mencatat lontaran sejauh 13.88m.

Manakala atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Shahrul Mohamad Tarmizi terpaksa akur selepas hanya meraih pingat gangsa dengan lontaran 12.95m.

Bagaimanapun lontaran pemenang pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Queensland di Brisbane, Australia Mac lalu kurang hanya 0.50m untuk mengatasi rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 18.89m.

“Impian saya sudah tentu untuk memecah rekod kebangsaan milik saya sendiri, tapi dapat memperbaharui rekod kejohanan juga milik saya ianya sudah begitu menggembirakan.

“Bagaimanapun saya masih berpeluang untuk memecah rekod kebangsaan pada grand final di UPM pada November ini.

“Namun yang penting saya perlu perbaiki lagi teknik dan prestasi dengan bimbingan jurulatih” katanya.

PSM dapat sokongan penuh tukar nama kepada persekutuan

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mendapat sokongan penuh daripada jawatankuasa untuk menukar nama badan induk yang sedia ada kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia selepas pindaan perlembagaan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dipersetujui, hari ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, tujuan utama pertukaran nama itu adalah kerana ingin kelihatan lebih seragam dengan beberapa badan induk yang ada di Malaysia dan pihaknya akan menghantar permohonan itu kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) bagi mendapatkan kelulusan.

Katanya, ketika ini, mereka masih menggunakan nama PSM dan hanya akan bertukar secara rasmi selepas mendapat persetujuan rasmi daripada PJS mengenai perkara berkenaan.

“Semua pindaan perlembagaan akan berkuat kuasa selepas dapat kelulusan daripada PJS dan selagi tak dapat kelulusan mereka, kita tak boleh lagi menggunakan pindaan ini.

“Kita tukar sebab badan induk sukan yang lain pun banyak sudah menggunakan persekutuan. Perkara ini juga kita ada bincangkan sebelum ini juga supaya jelas perbezaan antara kita selaku badan induk PSM dengan ahli gabungan negeri-negeri yang lain.

“Mereka memang sudah menggunakan persatuan. Kita di peringkat kebangsaan, kita gunakan persekutuan,” katanya selepas AGM PSM di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Terdahulu, pada AGM yang berlangsung hari ini, tiada kejutan apabila kepimpinan terdahulu terus mendapat kepercayaan perwakilan untuk memimpin PSM bagi penggal 2025–2028.

Sumali yang menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden akan dibantu oleh timbalan presiden iaitu Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang mendapat 49 undian dan Datuk Abdul Halim (47 undian).

Sementara untuk Naib Presiden, Datuk Abu Jimi Samat (51 undian), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48 undian) dan Wan Mohd Husni Abdullah melengkapkan kuota dengan 44 undian.

MSN sambut baik guna perenang warisan

Kuala Lumpur: Hasrat Akuatik Malaysia (MAS) untuk mencari perenang warisan mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkuatkan skuad negara pada kejohanan akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana negara lain turut mengambil langkah yang sama seperti Singapura dan Filipina.

“Kita rasa ini satu langkah yang baik memandangkan banyak negara sudah pun mula mencari atlet-atlet warisan mereka di negara lain.

“Negara Filipina sendiri pun memulakan program berkenaan semasa mereka menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2019,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Tambahnya, MSN masih menunggu laporan serta maklumat rasmi daripada MAS mengenai perenang yang dikenal pasti untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh MAS tidak akan menjejaskan kewangan serta peruntukan daripada MSN kepada badan induk itu.

“Sebelum ini pun, ada atlet kita yang bermastautin ataupun berpusat di luar negara. Mereka hanya diberi bantuan sekiranya layak memasuki program Podium atau program-program lain. Tidak ada sebarang implikasi kewangan tambahan. Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka perlu melepasi kriteria yang ditetapkan oleh MSN untuk memasuki program, mahupun oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk mewakili negara,” katanya.

Untuk rekod, negara jiran seperti Singapura antara yang sangat aktif melaksanakan pendekatan ini dan hasilnya, mereka menjadi kuasa besar dalam acara berkenaan terutama di pentas Sukan SEA.

Justeru, pihak berwajib kini dilihat memberi tumpuan terhadap beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, New Zealand dan Australia yang dipercayai mempunyai perenang berdarah Malaysia, sekali gus mampu membawa negara melangkah lebih jauh.

Terjun lubuk emas di Sukan Sea- Shahidan Kassim

Kuala Lumpur: Skuad terjun akan terus menjadi harapan utama buat Akuatik Malaysia (MAS) dalam mendapatkan lebih banyak pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti.

Menurut Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim, prestasi atlet terjun Malaysia berada di kelas tersendiri dan sukar negara lain menggugat penguasaan dalam acara berkenaan.

Perkara itu secara tidak langsung memberi keyakinan tinggi buat pihak pengurusan pada temasya dwi tahunan itu nanti.

“Matlamat kita adalah untuk mencapai yang terbaik di Sukan SEA nanti. Kita sudah menetapkan matlamat dan atlet yang kita jangka untuk dapatkan emas itu sudah pun dimaklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan menteri (Hannah Yeoh) akan umumkan matlamat yang kita nak capai itu nanti.

“Yang penting, terjun ini dikuasai oleh Malaysia dan semua orang tahu. Dulu pernah dipertandingkan kira-kira 11 pingat emas dan kita dapat semua. Kita terus menguasai dan kita juga menempa kejayaan di peringkat Olimpik dengan meraih perak dan gangsa.

“Jadi terjun ini, kita akan terus berusaha untuk menguasai keadaan. Namun begitu, untuk jumlah pingat itu (untuk akuatik), saya tak boleh sebut, biar menteri yang sebut kerana menteri pun tahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan untuk sukan akuatik ini,” katanya.

Antara atlet yang dijangka akan mewakili negara adalah Enrique Maccartney Harold, kimberly bong dan Lee Yiat Qing selepas cemerlang menyumbang emas pada edisi lalu.

Untuk rekod, pada SEA Kemboja 2023, skuad terjun negara menyapu bersih empat emas yang ditawarkan selain berjaya meraih dua perak serta satu gangsa untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan selepas turut membolot kesemua lapan emas di Vietnam 2021.

Selain itu, Shahidan turut memaklumkan barisan jurulatih renang kini dalam fasa meningkatkan persediaan ke tahap lebih baik bagi membolehkan wakil Malaysia nanti mampu memberi saingan kepada musuh tradisi, Singapura.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan MAS bakal berwajah baharu apabila skuad renang negara akan tampil lebih kuat dengan kehadiran perenang warisan dari luar negara.

Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua berkata, badan induk itu sudah mula gerak kerja bagi mengenal pasti atlet yang mempunyai pertalian darah yang sah untuk direkrut mewakili negara.

Katanya, mereka mengenal pasti beberapa perenang, namun ia bukan tiket automatik untuk terus berada dalam skuad renang negara.

Nik Safuan tak gentar biarpun Filipina guna pemain naturalisasi

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man menegaskan beliau tidak gentar dengan pendekatan Filipina yang dijangka menggunakan khidmat pemain naturalisasi pada temasya Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Sebaliknya, Nik Safuan menegaskan tumpuan utama skuad negara adalah untuk menjejakkan kaki ke pentas final dan cuba membawa pulang pingat emas.

“Saya rasa untuk Sukan SEA nanti, kita tahu hanya satu negara saja yang akan menggunakan pemain naturalisasi iaitu Filipina.

“Jadi saya tak jadikan itu sebagai satu beban atau kita takut kepada pasukan Filipina.

“Kita tahu Filipina memang akan ambil pemain dari luar. Tapi fokus saya sekarang lebih kepada Thailand, pasukan yang sudah menjalani latihan tanpa henti hampir dua tahun,” katanya.

Tambah Nik Safuan, prestasi skuad negara ketika Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2025 di Singapura, baru-baru ini menunjukkan peningkatan positif.

“Kalau kita tengok pada prestasi di Singapura, kita berada di bawah Thailand, tapi kalah pun tak banyak beza.

“Saya percaya kita mampu mara dan perbaiki kesilapan sebelum ini. Saya yakin, kita boleh buat kejutan nanti,” katanya.

Bagi memastikan skuad berada pada tahap terbaik menjelang temasya dwitahunan itu, aspek kecergasan dan kesihatan pemain menjadi keutamaan.

“Apa yang perlu saya jaga sekarang ialah kecederaan. Kalau ada pemain utama yang tercedera, itu boleh jejaskan perancangan.

“Jadi saya bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk pantau pemain.

“Selebihnya kita akan beri tumpuan dalam latihan pusat yang dijadual bermula Ogos nanti,” katanya.

Skuad ragbi 7s negara pernah melakar sejarah memenangi emas buat kali pertama di Sukan Sea ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.

Namun, mereka gagal mempertahankan kejuaraan itu selepas tumpas di tangan tuan rumah Sukan SEA 2019 iaitu Filipina.

Selepas itu, acara ragbi 7s tidak dipertandingkan pada dua edisi Sukan Sea berikutnya iaitu di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023.

Sumali fokus Akademi Sepak Takraw Negara, NSTDP

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi penggal 2025–2028, Datuk Mohd Sumali Reduan menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli gabungan yang terus memberi kepercayaan kepadanya menerajui badan induk sukan itu.

Semalam, Sumali mengesahkan jawatan selaku presiden PSM selepas menang tanpa bertanding apabila mendapat mendapat 21 pencalonan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli gabungan dan ahli persekutuan yang mencalonkan saya sebagai presiden bagi penggal baharu ini. Saya amat hargai kepercayaan yang diberikan.

“Ini kerana kekuatan sebenar terletak pada gandingan kukuh antara pucuk pimpinan dan semua ahli gabungan,” katanya.

Mengulas hala tuju PSM selepas ini, Sumali menjelaskan fokus utama adalah memastikan beberapa agenda utama dapat direalisasikan dalam penggal baharu termasuk penubuhan Akademi Sepak Takraw Negara yang baru sahaja mendapat ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mahu jayakan akademi ini dengan pembangunan kompleks sukan sendiri.

“Proses sudah bermula dan kita sedang menunggu peruntukan dana untuk melaksanakan pembinaan.

“Selain itu, Program Pembangunan Sepak Takraw Kebangsaan (NSTDP) sedang digerakkan. Kita mahu jadikan sepak takraw sebagai antara sukan teras negara,” katanya.

Sementara itu, Sumali turut mengucapkan tahniah kepada barisan calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang turut dicalonkan.

Pemilihan bagi jawatan berkenaan akan diketahui selepas proses pengesahan calon yang berakhir sebelum 25 Jun ini manakala pemilihan akan diadakan pada 29 Jun.

Sofea Aressa juara Muay Thai Antarabangsa

Seremban: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Sofea Aressa Mohamad Hairul membuktikan kehebatannya apabila berjaya menewaskan atlet dari China, Victoria Blicze, pada Cabaran Muay Thai Antarabangsa Negeri Sembilan 2025, yang berlangsung di Sri Sendayan, kelmarin.

Atlet berusia 16 tahun itu mengenepikan cabaran lawan dengan keputusan 3-0, bagi kategori 54/57 kilogram (kg) untuk membawa pulang hadiah trofi, medal dan wang tunai RM400.

“Saya diberikan tentangan sengit oleh Blicze sepanjang pertarungan, namun dapat bertahan dan mengawal keadaan gelanggang dengan baik hingga berjaya menewaskan dia dengan mata 3-0.

“Ini kemenangan peringkat profesional pertama yang saya menangi sejak terbabit dalam sukan muay thai lima tahun lalu.

“Kejayaan ini begitu bermakna kerana permulaan yang baik bagi saya tahun ini. Saya akan terus berlatih dengan gigih bagi menghadapi cabaran lain selepas ini,” kata Sofea Aressa, yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar UDA Utama Johor Bahru.

Atlet kebangsaan itu yang merangkul pingat gangsa pada Sukma yang lalu menjelaskan, fokusnya selepas ini adalah menghadapi kejohanan muay thai kebangsaan, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.

Dia yang akan beraksi bagi kategori 51/54 kg, berazam untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu dan kemenangan di kejohanan kelmarin, memberikan keyakinan yang tinggi untuknya memperagakan aksi terbaik.

“Kejohanan kebangsaan kali ini dijangka lebih mencabar kerana setiap atlet bakal memperagakan aksi terbaik berikutan persatuan akan menilai prestasi bagi memilih mereka yang layak mewakili negara ke Sukan SEA Bangkok, hujung tahun ini.

“Oleh itu, saya perlu mengekalkan prestasi terbaik ini bagi mempertahankan kejuaraan peringkat kebangsaan dan sudah tentu tidak mahu tercicir peluang mewakili negara di Sukan SEA,” katanya yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Negeri Johor.

Terdahulu, Cabaran Muay Thai Antarabangsa Negeri Sembilan 2025 mencuri tumpuan apabila menyaksikan 10 pertarungan bertaraf antarabangsa membabitkan petarung antara profesional tempatan dan luar negara termasuk dari Thailand dan Jordan.