Majlis Sukan Negara Malaysia
Stadium MBPJ pentas final bola sepak lelaki, penutup temasya Sukma 2026

Shah Alam: Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjadi gelanggang final bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 berikutan Stadium Shah Alam masih dalam pembinaan semula dan hanya siap pada 2030.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, stadium berkenaan turut dipilih sebagai lokasi majlis penutup temasya berkenaan yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan, manakala majlis pembukaan buat julung kali akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Stadium ini adalah gelanggang rasmi skuad bola sepak Selangor Red Giants.

“Kita akan berbincang dengan pengurusan kelab, tetapi saya tidak nampak ia menjadi masalah.

“Acara olahraga dipindahkan ke Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang bagi memastikan padang Stadium MBPJ kekal dalam keadaan terbaik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola (induk) penganjur, hari ini.

Amirudin berkata, final bola sepak wanita pula akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selain itu, beberapa venue lain seperti Stadium Salak Tinggi dan kemudahan universiti tempatan akan digunakan untuk saingan peringkat kumpulan.

Beliau turut mengesahkan 28 sukan teras dan lima sukan pilihan bakal dipertandingkan dengan semua sembilan daerah di Selangor menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, acara berbasikal trek menjadi satu-satunya sukan dianjurkan di luar negeri Selangor iaitu di Velodrom Nasional, Nilai.

ISTAF bakal mansuh peraturan servis tekong kaki tak jejak lantai

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) membuat pusingan U apabila bakal memansuhkan peraturan ‘servis terbang’ dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco), Sabtu ini.

Mesyuarat itu diadakan sempena Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai Ke-38 yang sedang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai 2025.

Setiausaha Agung ISTAF merangkap Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, perbincangan itu berasaskan prinsip keterbukaan, keadilan dan ketelusan ekoran pelbagai maklum balas negara ahli gabungan yang mendesak agar isu pembatalan servis akibat ‘melompat’ dikaji semula.

“Cadangan ini bertujuan menamatkan kekeliruan dan ketegangan yang kerap timbul dalam perlawanan apabila servis tekong sering dibatalkan hanya kerana kakinya yang tidak menyepak itu terangkat atau tergelincir dari bulatan.

“Sedangkan kesalahan itu kadang kala berpunca daripada lontaran yang tidak tepat oleh apit kanan atau apit kiri,” katanya.

Untuk rekod, ISTAF mengemukakan cadangan baharu mengenai peraturan bulatan servis untuk membenarkan tekong ‘mengangkat kaki tidak menyepak’ bagi meningkatkan kuasa dan pelaksanaan servis pada September tahun lalu.

Selain itu, beliau melihat pemansuhan itu mampu memberi keadilan kepada pemain dan mengangkat kembali martabat pengadil yang sering menjadi sasaran kecaman walaupun keputusan sentiasa dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada.

Penekanan utama diberikan kepada Fasal 11.1.4 Undang-undang Permainan Sepaktakraw ISTAF yang selama ini membatalkan servis tekong bagi acara regu jika kaki yang tidak menyepak tidak kekal dalam bulatan.

Manakala cadangan baharu akan menjadikan bulatan hanya sebagai zon rujukan untuk permulaan servis, bukan lagi sebagai kawasan ‘penjara’ pergerakan kaki.

Sistem Semakan Video yang dibentangkan dalam Bengkel Pengadil di Hatyai pada 21 Julai 2025 oleh Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorphiphat turut menekankan keperluan semakan semula terhadap situasi servis, jaring dan bola keluar garisan agar keputusan pengadil disokong bukti visual dan bukan sekadar persepsi.

“Sudah lebih 60 tahun sepak takraw berdepan dilema ini. Sampai bila kita harus membiarkannya tanpa penyelesaian yang tuntas?

“Pengadil dipersalahkan, pemain tertekan, pasukan hilang keyakinan. Inilah masanya untuk perubahan berani dilakukan demi masa depan sukan ini,” katanya.

Jika dipersetujui secara sebulat suara, keputusan itu akan menjadi satu anjakan paradigma dalam evolusi sepak takraw moden sambil meletakkan pemain, pengadil dan penonton pada landasan lebih adil, profesional dan sejagat.

Pelumba basikal trek kena tunggu sehingga 1 September

Kuala Lumpur: Pelumba basikal trek negara perlu menunggu hingga 1 September untuk mengetahui sama ada tiga acara kegemaran iaitu keirin lelaki, pecut berpasukan dan kejar mengejar berpasukan dipertandingkan di Sukan SEA Thailand, 9-20 Disember ini.

Setiausaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Arif Astaman mengakui debaran semakin terasa kerana sesuatu acara hanya akan dipertandingkan jika disertai sekurang-kurangnya empat negara.

“Buat masa ini, nasib acara ini masih belum pasti. Walaupun ia dimasukkan dalam buku panduan teknikal, sama ada dipertandingkan atau tidak bergantung pada jumlah pendaftaran,” kata Arif.

Ujarnya, PKBM sudah menghubungi beberapa rakan serantau untuk menggalakkan penyertaan.

“Maklum balas mereka positif (secara lisan) tetapi tiada jaminan mereka akan benar-benar mendaftar pelumba.

“Kami yakin peluang memenangi emas sangat cerah jika acara ini berlangsung, jadi 1 September adalah tarikh yang mendebarkan buat kami,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill turut mendedahkan tiga acara itu berisiko digugurkan kerana kurang minat dari negara lain.

Walaupun acara lebuh raya menjadi ‘wajib ada’ di Sukan SEA, disiplin trek sering menjadi mangsa kerana kebanyakan negara Asia Tenggara tidak memiliki velodrom bertaraf antarabangsa.

Malaysia mempunyai pelumba pecut bertaraf dunia sama ada lelaki mahupun wanita, dengan acara seperti keirin, pecut individu dan pecut berpasukan dianggap ‘lubuk emas’ apabila dipertandingkan.

Azeem, Umar mara ke separuh akhir WUG

Bochum, Jerman: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion di sini, awal pagi tadi.

Pada aksi saringan tujuh pusingan pertama yang berlangsung dalam keadaan hujan dan berangin, Muhammad Azeem tenang mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 10.57 saat (s), menewaskan Joeljin Nwamadi dari Korea Selatan (10.61s) dan Nikolaos Dowhos dari Kanada (10.72s).

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menjadi wakil tunggal negara yang mara apabila rakan sepasukan Aliff Iman Mohd Fahmi mengakhiri saringan lima di tempat kelima dengan masa 11.09s.

Penuntut Universiti Auburn, Amerika Syarikat itu yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan masa 10.09s akan turun beraksi di peringkat separuh akhir malam esok waktu Malaysia.

“Sebenarnya banyak lagi tenaga yang saya simpan sebab saya tahu esok ada dua pertandingan (separuh akhir dan akhir). Hari ini rancangan saya adalah menghabiskan larian dengan baik, tanpa kecederaan.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar, fokus sekarang kekalkan kecergasan dan semangat yang ada, tadi sedikit terganggu dengan pertandingan ditangguhkan, hujan dan angin yang kuat tetapi ia bukan alasan,” kata atlet berusia 22 tahun itu ketika ditemui selepas perlumbaan di sini.

Jaguh pecut Thailand Puripol Boonson muncul pelari terpantas pusingan pertama dengan catatan 10.23s, diikuti dua atlet dari Afrika Selatan Bayanda Joy Walaza (10.27s) dan Kyle Brian Zinn (10.33s).

Pada masa sama, raja pecut 400m Asia Tenggara Umar Osman turut menceriakan kem olahraga negara apabila layak ke separuh akhir selepas menjadi tiga pelari terpantas dalam kalangan bukan tiga pelumba pertama setiap saringan yang layak secara automatik.

Turun beraksi dalam pusingan pertama saringan empat, pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 46.97s.

Tempat pertama milik atlet Ireland Jack Raftery dengan masa 46.39s, diikuti Matej Krsek dari Republik Czech (46.48s) dan wakil Malta Matthew Galea Soler (46.82s).

“Catatan masa hari ini bagi saya agak teruk tapi saya bersyukur sebab layak dan sudah buat yang terbaik, di separuh akhir (malam esok) nanti saya akan buat lebih baik. Cuaca hari ini baik tetapi mungkin angin agak kuat namun saya tak jadikan itu sebagai alasan, lawan tetap lawan.

“Untuk memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi dengan masa ini agak jauh, hampir satu saat, jadi saya perlu fokus untuk capai misi itu,” kata pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09s itu.

Catatan terbaik Umar musim ini adalah 46.25s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.

Dalam pada itu, atlet yang terkandas di pusingan awal ialah Muhammad Fakrul Afizul Nasir dalam acara 400m lari berpagar yang mengalami kecederaan hamstring ketika menamatkan saringan dua dengan masa 1 minit 11.87s dan Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam yang disingkirkan kerana kesalahan pelanggaran lorong dalam saringan dua 400m.

Dalam saingan wanita pula, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m), Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (100m), Azreen Nabila Alias (100m) dan atlet lontar peluru Nani Sahirah Maryata terkandas seawal pusingan kelayakan.

Saingan olahraga akan berlangsung hingga hari penutup temasya, Ahad ini.

MSN minta PKBM pilih TSG atau MPC

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memilih satu daripada dua pasukan berbasikal profesional negara bagi mewakili Malaysia ke Sukan SEA Thailand bermula 9 sehingga 20 Disember depan.

MSN mahu PKBM memilih sama ada menghantar pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) atau Malaysia Pro Cycling (MPC) iaitu kedua-duanya adalah pasukan benua UCI, ke temasaya dwitahun itu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dan sebahagiannya sudah pun disalurkan kepada PKBM bagi tujuan persediaan ke temasya dwitahunan itu.

Menurut beliau, sebarang dakwaan kononnya MSN tidak membantu dari sudut keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab memilih pasukan terletak sepenuhnya di bahu PKBM.

“Untuk makluman, kita dengan PKBM telah pun mengadakan perbincangan pada bengkel penyenaraian atlet ke arah temasya Sukan SEA pada 16 Januari yang lalu.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan negara bagi acara lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional. Namun, terpulang kepada PKBM untuk pilih sama ada TSG atau MPC untuk ke temasya nanti.

“MSN sudah menyalurkan sebahagian daripada peruntukan RM300,000 bagi persiapan ke Sukan SEA kepada PKBM dan oleh itu, saya rasa tidak sepatutnya timbul isu berkaitan persiapan pasukan yang tidak dilakukan dengan baik,” katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM), hari ini.

Sementara itu, Jefri berkata, PKBM ada memohon pembelian basikal, namun jika Terengganu Cycling Team (TSG) dipilih, keperluan itu tidak timbul kerana pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya seru pihak PKBM datang kembali ke meja perbincangan dan kita boleh teliti apa lagi keperluan mereka ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Malaysia berisiko kehilangan kilauan emas dalam acara berbasikal lebuh raya di Thailand sekiranya pelumba profesional daripada pasukan TSG dan MPC menarik diri susulan isu kekangan bajet.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM, Azman Abu Samah yang memaklumkan, kedua-dua pasukan sudah memberi bayangan untuk tidak menyertai temasya itu sekiranya PKBM gagal memenuhi permintaan kewangan yang dikemukakan.

MSN nafi persiapan skuad berbasikal lebuh raya lemah

Petaling Jaya: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan berlaku kelemahan dalam persiapan skuad berbasikal lebuh raya negara ke Sukan Sea 2025 di Thailand, sambil menegaskan dana disalurkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dengan sebahagian daripadanya sudah disalurkan dalam membiayai persiapan pasukan ke temasya dwitahunan itu.

“Kita mengadakan bengkel penyenaraian atlet ke Sukan Sea bersama PKBM pada 16 Januari lepas dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional.

“Namun, keputusan untuk memilih sama ada Terengganu Cycling Team (TSG) atau Malaysian Pro Cycling (MPC) adalah di bawah bidang kuasa PKBM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang dakwaan bahawa MSN tidak membantu dari segi keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab pemilihan skuad adalah di bawah PKBM.

Mengulas mengenai permohonan pembelian basikal oleh PKBM, beliau berkata jika TSG dipilih menyertai temasya itu, perkara berkenaan tidak timbul berikutan pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya menyeru PKBM datang berbincang dengan kita untuk diteliti bersama,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata isu penarikan diri oleh kelab tidak seharusnya berbangkit memandangkan terdapat persefahaman awal antara MSN dan PKBM.

Terdahulu, Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata skuad lebuh raya negara tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2025 serta akan mempertahankan pingat dimenangi pada edisi lepas.

Beliau turut menafikan sebarang masalah dengan MSN dan menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan, termasuk dari aspek kewangan dan logistik.

Semalam, beberapa media melaporkan TSG dan MPC merasakan segala jasa dicurahkan mereka tidak dipandang selepas permohonan RM250,000 bagi tujuan persiapan ke temasya itu ditolak MSN pada mesyuarat persiapan yang berlangsung minggu lalu.

KBS mahu papar senarai jurulatih bertauliah demi keselamatan atlet

Petaling Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkemas proses pensijilan jurulatih sukan di seluruh negara, termasuk usaha memaparkan senarai jurulatih bertauliah kepada umum.

Menterinya Hannah Yeoh berkata perbincangan sedang dijalankan bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk memastikan setiap jurulatih memiliki sijil tauliah yang sah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta keselamatan dalam bidang kejurulatihan sukan.

“KBS sedang berbincang dengan ISN untuk menentukan kaedah terbaik setiap jurulatih mendapatkan sijil tauliah. Kita juga merancang untuk memaparkan nama-nama jurulatih yang berjaya mendapat pengiktirafan rasmi.

“Ini penting kerana kita kini mempunyai kemudahan pelepasan cukai bagi latihan sukan dan ibu bapa semakin cenderung memilih jurulatih untuk anak mereka. Maka, kita mahu pastikan persekitaran latihan yang selamat untuk semua, termasuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 di sini, hari ini.

Hannah berkata maklumat lanjut mengenai mekanisme pensijilan itu akan diumumkan oleh ISN dalam masa terdekat.

Wajib deklarasi kesihatan sebelum sertai kejohanan – Hannah

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa semua kejohanan yang membabitkan warga emas perlu mematuhi prosedur keselamatan ketat termasuk mewajibkan deklarasi kesihatan peserta sebelum dibenarkan beraksi.

Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan tahap kesihatan peserta berada dalam keadaan baik serta sebarang risiko kecemasan dapat dielakkan lebih awal.

“Untuk sukan-sukan yang membabitkan veteran ataupun warga emas, saya rasa perlu ada beberapa lagi proses keselamatan yang perlu diambil oleh pihak penganjur.

“Termasuk seperti Majlis Sukan Negara dalam kejohanan Masters yang kita anjurkan, kita pastikan semua ada health declaration ya, deklarasi kesihatan sebelum mereka bertanding supaya semua aspek keselamatan dan kesihatan itu telah diambil kiralah oleh penganjur.

“Juga untuk pasukan keselamatan, kesihatan, ambulans semua kena ada, pakar-pakar doktor ada di tapak semasa pertandingan dan untuk insurans. Insurans itu penting oleh penganjur, terutamanya dalam kes-kes yang membabitkan warga emas, sukan,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Anugerah SAM-100Plus 2024, di sini, sebentar tadi.

Sebelum itu, Arena Metro menerusi laporan bersiri. Allahyarham Firos Mohamed disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi dalam Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Legend All Star, baru-baru ini.

Insiden Allahyarham Firos membuka semula perdebatan mengenai tahap kesiapsiagaan perubatan di acara sukan.

Difahamkan, ada dakwaan tidak rasmi mengatakan wujud kelewatan dalam pemberian bantuan perubatan kecemasan kepada Allahyarham, mencetus persoalan sejauh mana penganjur benar-benar bersedia apabila nyawa menjadi pertaruhan.

Walaupun Allahyarham Firos dikenal pasti sebagai individu aktif dan cergas, kejadian itu jelas menunjukkan bahawa pemeriksaan kesihatan dan saringan awal adalah satu keperluan kritikal dalam penganjuran sukan membabitkan golongan veteran.

Hannah berkata, kehadiran pasukan perubatan termasuk doktor pakar, ambulans dan paramedik juga perlu menjadi syarat wajib bagi semua kejohanan bagi mengelakkan kelewatan rawatan jika berlaku kecemasan di gelanggang.

Katanya, penyediaan insurans juga tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi perlindungan bukan sahaja kepada peserta, malah kepada penganjur dalam menangani implikasi perubatan atau kecederaan.

“Insurans adalah bentuk tanggungjawab. Kita mahu semua pihak bersedia dan tidak bertindak selepas sesuatu berlaku. Ini tentang nyawa,” katanya.

Menurutnya lagi, KBS melalui Majlis Sukan Negara akan memperketatkan lagi garis panduan dan mungkin mewajibkan dokumen deklarasi kesihatan sebagai sebahagian syarat kelulusan kejohanan mulai tahun hadapan.

Beliau turut meminta semua pihak baik badan sukan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun penganjur swasta melihat keselamatan sebagai keutamaan dan bukannya sekadar formaliti semata-mata.

“Bila kita jaga keselamatan mereka, kita bukan saja galakkan gaya hidup sihat, tapi kita juga jaga nyawa mereka,” katanya.

Farah Ain, Bonnie dinobat Atlet Terbaik SAM

Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah dan jaguh angkat berat para, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan selaku Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus yang berlangsung hari ini.

Farah Ain mengetepikan cabaran hebat daripada ratu tenpin boling, Sin Li Jane dan juara dunia wushu, Tan Cheong Min, selain dua calon lelaki iaitu pelari menara, Soh Wai Chin dan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Atlet berusia 24 tahun itu mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Kejayaan Farah Ain sekali gus meneruskan dominasi boling padang negara selepas pasangan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi merangkul gelaran sama tahun lalu.

Pada Mei lalu, Farah Ain dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 sekali gus muncul atlet boling padang wanita negara pertama meraih gelaran berkenaan.

“Saya sangat bersyukur, sekali lagi saya dapat mengangkat nama boling padang dan membuktikan bahawa sukan ini bukan calang-calang,” kata Farah Ain ketika ditemui selepas majlis penganugerahan yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Bonnie akhirnya meraih gelaran Atlet Para Terbaik selepas dua kali tewas kepada jaguh badminton para, Cheah Liek Hou, hasil kejayaannya mempertahankan emas Paralimpik di Paris serta memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg dalam kategori 72kg.

Bonnie menewaskan barisan calon lain iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli; pemegang rekod lompat jauh, Datuk Abdul Latif Romly dan pelari pecut, Eddy Bernard.

Bonnie bagaimanapun tidak dapat hadir dan dirinya diwakili oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Selaku pemenang utama, Nor Farah dan Bonnie membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi eksklusif sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada arena sukan tanah air.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Pertandingan bagi setiap kategori tahun ini cukup sengit dan saya yakin semua keputusan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya oleh jawatankuasa SAM. Saya juga gembira melihat ramai pemenang wanita tahun ini iaitu satu perkembangan yang cukup membanggakan,” kata Hannah.

Azeem turut tumpu acara 200m tahun depan

Kuala Lumpur: Sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mendedahkan selain acara 100 meter (m), dia akan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara 200m pada tahun depan.

Justeru itu, pelari berusia 21 tahun itu mahu menjadikan Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Rhine-Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini sebagai medan untuknya mengasah kembali teknik lariannya dalam acara 200m.

Penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) itu hampir mencetus sensasi pada April lalu di Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di AS apabila merekod catatan masa 20.79s ketika meraih kedudukan pertama dalam saringan keenam.

Catatan itu hanya 0.02 dipisahkan dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib iaitu 20.77s yang dilakukan pada 2019.

“Saya kurang bersaing dalam acara 200m, tetapi awal musim ini saya berjaya lakukan 20.79s, hanya kurang 0.02s di belakang rekod kebangsaan milik Russel. Jadi saya tahu kemampuan saya.

“Saya hanya perlu bersabar dan tak perlu tergesa-gesa mengejar sesuatu sebab tahu kemampuan diri sendiri. Untuk acara 200m (di WUG), ia umpama ‘preview’ pada tahun depan.

“Sebab saya sudah berbincang dengan jurulatih iaitu pada tahun 2026, saya akan ‘all out’ beraksi dalam acara 100m dan 200m seperti ketika zaman di sekolah menengah apabila saya sentiasa berlari dalam kedua-dua acara itu.

“Jadi di WUG nanti adalah titik perubahan untuk saya selesa semula bertanding dalam 100m dan 200m di kejohanan sama,” kata pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s itu.

Pada saingan di WUG, selain kedua-dua acara riben biru itu, Azeem akan beraksi dalam acara 4x100m.

“Untuk acara lari berganti-ganti sangat menarik kerana kita mempunyai barisan pelari yang berada pada tahap terbaik ketika ini seperti Danish Iftikhar (Muhammad Roslee).

“Saya yakin dengan pasukan dan kami mungkin mampu melakukan sesuatu di WUG.

“Pada akhirnya, ia adalah acara berpasukan, jadi kami perlu saling percaya antara satu sama lain,” katanya.