Majlis Sukan Negara Malaysia
TSG, MPC kemuka permintaan dimahukan kepada PKBM – Norazman

Kuala Lumpur: Dua pasukan berstatus benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) hari ini mengemukakan permintaan rasmi kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengenai apa yang mereka mahukan jika ingin menghantar pelumba dan menerajui skuad berbasikal lebuh raya ke Sukan SEA Thailand 2025.

Ketika dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Lebuh Raya PKBM, Norazman Abu Samah mengesahkan pihaknya sudah menerima dokumen berkaitan daripada kedua-dua pasukan terbabit dan akan menyerahkan permintaan itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN), seawal esok.

“Ya, kedua-dua pasukan iaitu TSG dan MPC menyerahkan permintaan masing-masing kepada PKBM hari ini.

“Kami akan menghantar dokumen itu kepada pihak MSN esok untuk tindakan lanjut.

“Tidak ada mesyuarat khas, hanya penyerahan rasmi dan selebihnya terpulang kepada MSN untuk menilai permintaan itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Difahamkan, permintaan itu turut merangkumi cadangan pelantikan jurulatih lebuh raya dan keperluan bajet tambahan sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Norazman enggan mengulas lanjut mengenai kandungan permintaan yang dihantar dua pasukan berkenaan.

“Kita hanya bertindak sebagai penyelaras dan menyerahkan kepada MSN untuk membuat keputusan berdasarkan cadangan yang diterima,” katanya.

Minggu lalu, Pengurus MPC, Sayuti Zahid menegaskan beliau tidak akan menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih skuad lebuh raya ke Sukan SEA 2025 di Thailand sekiranya syarat dan perancangan yang diberikan tidak meyakinkan.

Sayuti mengakui terbuka untuk membantu negara, namun menyifatkan tawaran tanpa hala tuju atau bajet persiapan jangka panjang hanya akan mensia-siakan masa dan komitmen semua pihak, termasuk pasukan profesional seperti TSG dan MPC.

Tour Gateh D’Tranung tarik 26 pasukan dalam dan luar negara

Kuala Terengganu: Biarpun berbaki tiga bulan lagi sebelum saingan Tour Gateh D’Tranung membuka tirainya pada Oktober ini, kehangatannya sudah mula dirasai.

Selain penyertaan pasukan terbaik Asia, Terengganu Cycling Team (TSG), 10 pasukan dari luar negara turut mengesahkan kehadiran untuk menyertai perlumbaan edisi keempat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejohanan yang bakal bermula 25 Oktober hingga 3 November itu turut disertai 12 pasukan tempatan.

“Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM216,000 itu menarik kehadiran 12 pasukan tempatan dan 14 pasukan dari luar negara menjadikan keseluruhan 24 pasukan.

“Indonesia paling banyak menghantar pasukan iaitu Jakarta Pro Cycling Team, ASC Monsters Indonesia dan Pasukan Kebangsaan Indonesia manakala Thailand dan Filipina masing-masing menghantar dua pasukan.

“Selain TSG serta MPC, pasukan negeri serta kelab tempatan akan turut memeriahkan siri jelajah ini,” katanya pada sidang media Tour Gateh D’Tranung di Wisma Darul Iman, petang ini yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, perlumbaan pada edisi ini akan melalui semua daerah di Terengganu yang bakal bermula di Kuala Nerus dan berakhir di Kuala Terengganu.

Pandelela tarik diri selepas dua terjunan akibat cedera bahu kiri

Singapura: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada acara 10 meter (m) platform seirama wanita bersama gandingannya, Lee Yiat Qing pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di sini, hari ini susulan kecederaan pada bahu kirinya.

Pasangan itu sempat melengkapkan dua daripada lima terjunan dengan mengumpul 87 mata sebelum pengumuman rasmi penarikan diri dibuat ketika pusingan kelayakan sedang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC di sini.

Pandelela berkata, kecederaan yang dialaminya awal bulan ini masih boleh dikawal menerusi rawatan fisioterapi, namun ia kembali terasa semasa sesi memanaskan badan.

“Justeru, selepas dua terjunan, kami membuat keputusan untuk menarik diri demi faktor keselamatan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir ke venue untuk memberi sokongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam sesi pagi tadi, pasangan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie gagal mara ke final acara papan anjal seirama 3m lelaki selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ke-21 dengan 302.76 mata daripada 26 pasangan bertanding.

Sementara itu, perenang negara Khiew Hoe Yean gagal melayakkan, diri ke separuh akhir acara 200m gaya bebas lelaki selepas mencatat masa 1 minit 48.10 saat.

Beliau menduduki tempat keempat dalam saringan tiga dan ke-31 keseluruhan daripada 59 peserta.

Dalam perkembangan lain, pemenang pingat emas Sukan SEA, Phee Jinq En tidak memulakan saingan dalam acara 100m kuak dada wanita kerana mengalami masalah pada bahagian pinggul dan pangkal paha.

Ketua jurulatih renang negara, Eric Anderson berkata, keputusan itu diambil bagi membolehkan Jinq En memberi tumpuan kepada acara 50m kuak dada yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini.

“Pasukan baru saja pulang daripada Sukan Universiti Dunia di Berlin dan ia bukanlah persiapan yang ideal.

“Itulah kejohanan utama yang menjadi sasaran kami untuk memuncak prestasi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malaysia gagal capai sasaran, catat rekod terburuk WUG sejak 1985

Essen, Jerman: Kontinjen Malaysia berdepan detik suram di pentas Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 apabila gagal mencapai sasaran tujuh pingat yang ditetapkan, sekali gus mencatat pencapaian paling buruk sejak mula menyertai temasya itu pada 1985 di Kobe, Jepun.

Daripada keseluruhan 64 atlet yang bertanding, Malaysia hanya membawa pulang satu pingat perak menerusi perenang negara Khiew Hoe Yean dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki dan satu gangsa menerusi pemain badminton perseorangan wanita Wong Ling Ching.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Datuk Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusoff menyifatkan keputusan itu sebagai kurang bernasib baik, apabila beberapa acara yang disasarkan menyumbang pingat gagal diterjemahkan, antaranya badminton beregu campuran dan pasukan recurve wanita.

“Namun saya berpandangan aspek teknikal, taktikal dan mentaliti atlet perlu diperkasa bagi menghadapi kejohanan bertaraf dunia seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Mohd Hafiz turut mengakui kehadiran ramai atlet bertaraf Olimpik, terutama dalam acara olahraga, menjadi cabaran besar buat kontinjen negara.

Sebagai langkah ke hadapan, beliau berkata satu sesi pascanilai akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti kelemahan serta menambah baik persediaan menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Malaysia sebelum ini mula meraih pingat di WUG pada edisi 2017 di Taiwan dengan kutipan tiga perak dan empat gangsa, sebelum mencatat pencapaian terbaik di Chengdu, China pada 2023 dengan satu emas, satu perak dan lima gangsa.

WUG 2025 yang menampilkan lebih 8,500 atlet dari 150 negara melabuhkan tirainya awal pagi tadi waktu Malaysia, menerusi majlis penutup gilang-gemilang di Landschaftspark Duisburg-Nord, Duisburg.

Jepun muncul juara keseluruhan dengan 34 pingat emas, 21 perak dan 24 gangsa, diikuti China (30-27-17), dan Amerika Syarikat (28-27-29). Sementara itu, negara jiran Thailand mengutip dua emas, empat perak dan empat gangsa.

Edisi seterusnya WUG akan dianjurkan di Chungcheong, Korea Selatan pada 2027.

Misi Sukan SEA bermula dengan kilauan emas

Kuala Lumpur: Kapten pasukan Khairulnizam Mohd Afendy boleh menarik nafas lega apabila barisan pelayar negara menunjukkan prestasi meyakinkan menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Disember ini.

Pasukan SSL Team Malaysia yang dibarisi oleh Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof (Skipper), Nur Amirah Hamid (Main Trimmer), Abdul Latif Mansor (Pitman), Ahmad Syukri Abdul Aziz (Trimmer) dan Asri Azman (Bowman) menjuarai Kejohanan The PWE Cup – Match Racing selepas menewaskan River Rat dari Selangor 2-0 pada aksi final, semalam.

Lebih manis, kejayaan itu turut menjadi medan pemanas badan buat pasukan negara yang akan bersaing dalam acara Keelboat SSL 47 di temasya dwitahunan itu nanti.

“Alhamdulillah, kejayaan ini memberi suntikan semangat buat semua pelayar. Ia bukan saja menguji kemampuan teknikal dan taktikal kami, malah membina keserasian sebelum ke Sukan SEA,” kata Khairulnizam yang juga bekas olimpian negara.

Menurutnya, semua pasukan perlu melengkapkan pusingan round robin sebelum layak ke separuh akhir, dengan SSL Team Malaysia berjaya menewaskan UMT 1 bagi mengesahkan slot ke pentas final.

Kejohanan yang berlangsung di Kelab Pelayaran Diraja Selangor (RSYC) itu menghimpunkan 10 pasukan dari seluruh negara dan dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA).

Ia juga berperanan sebagai platform persediaan terakhir pasukan sebelum menyertai Kelayakan Zon Asia bagi Kejohanan Star Sailors League (SSL) yang bakal berlangsung sejurus selepas tamat Sukan SEA – turut menggunakan kapal layar SSL 47.

Dua kejohanan ragbi Asia medan uji skuad sukan SEA

Kuala Terengganu: Kejohanan Ragbi Asia 7 Sebelah bakal menjadi aksi ‘pemanas badan’ buat pemain kebangsaan sebelum bertarung dalam saingan Sukan SEA di Bangkok pada Disember ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohamad berkata, dua siri kejohanan Asia itu bakal menjadi medan terbaik buat barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan.

“Kita sasarkan pingat emas dalam saingan Sukan SEA di Bangkok pada 14 dan 15 Disember ini.

“Jadi dua kejohanan di peringkat Asia itu bakal menjadi medan terbaik buat barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti kelebihan dan kelemahan pasukan.

“Kita harapkan pemain yang bakal terpilih mewakili negara pada kejohanan Asia di China pada 20 September dan 11 Oktober di Sri Lanka mampu meningkatkan lagi prestasi individu dan berpasukan sekali gus bakal memberikan motivasi berharga buat mereka sebelum bersaing dalam Sukan SEA nanti,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Asia Tenggara berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, petang semalam.

Ketika ditanya sasaran pada kejohanan Asia itu nanti, beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu akui saingan sengit dijangka bakal dilalui pemain.

Aksi kurang konsisten padam impian skuad negara

Kuala Lumpur: Kegagalan untuk terus beraksi secara konsisten sepanjang perlawanan menyebabkan skuad sepak takraw terpaksa berputih mata melihat Thailand terus mendominasi acara regu berpasukan dalam perlawanan akhir Piala Raja Thai, semalam.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau melihat setiap pemain yang diturunkan sudah memberi persembahan yang sangat baik dan memberikan harapan untuk menghasilkan keputusan positif, tetapi sebaliknya terjadi.

“Kalau kita lihat dari segi prestasi semasa pemain, kita bermula agak konsisten daripada segi serangan, pertahanan dan kawalan. Namun apabila memasuki fasa pertengahan dan penghujung saingan, ia memberikan kekurangan kepada pasukan kita untuk terus menyerap tekanan dan juga membuat penyudah yang cemerlang. Secara peribadi, saya lihat kedua-dua regu pasukan kita bermain dengan agak baik dan mampu menyerap tekanan di peringkat awal ke pertengahan.

“Namun apabila pasukan Thailand mula sahaja menyamakan kedudukan, pemain-pemain kita sedikit tertekan dan hilang keyakinan untuk meneruskan tekanan kepada pihak lawan, selain banyak melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi pada penghujung saingan setiap set,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau menyatakan dalam perlawanan akhir seperti itu, tidak boleh memberikan peluang kepada pasukan Thailand untuk bangkit kerana ia akan menjadi sangat berbahaya kepada pemain negara.

“Saya tidak nafikan bahawa pemain-pemain kita cepat hilang rentak dan momentum dalam perlawanan akhir. Walaupun peluang yang diberikan kepada pasukan kita sebenarnya mempunyai potensi untuk mencapai kemenangan sekiranya mereka bermain dengan lebih konsisten daripada permulaan permainan sehingga tamat.

“Tetapi apabila pasukan Thailand mula mengejar mata demi mata, kita seolah-olah hilang fokus, rentak serta keyakinan selain kerap melakukan kesilapan mudah dan itu memberikan kelebihan kepada Thailand untuk terus memperagakan aksi bertenaga dan menghukum pasukan negara,” katanya.

Namun, secara keseluruhan, prestasi pemain di Piala Raja Thai 2025 terutama bagi kuadran lelaki, kuadran campuran serta pasukan wanita boleh diletakkan di tahap sederhana selepas mengambil kira persiapan yang agak singkat khususnya bagi pasukan lelaki.

“Mereka dapat mempamerkan sedikit peningkatan dalam kuadran campuran dan kuadran lelaki. Kecederaan Afifuddin ternyata memberi tekanan kepada pasukan negara ketika menentang Jepun di separuh akhir apabila kita gagal mempamerkan aksi bertenaga berbanding lawan yang berjaya mempamerkan permainan bagus dan hadangan kemas,” katanya.

Terdahulu, Malaysia terus kempunan untuk meraih kejuaraan dalam acara regu berpasukan apabila sekali lagi tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final Piala Raja Thai semalam.

Percaturan taktikal kuartet 4x100m negara tak menjadi

Bochum: Percaturan taktikal skuad 4×100 meter (m) lelaki negara tidak membuahkan hasil apabila mereka menamatkan aksi final di kedudukan terakhir pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion di sini malam ini waktu Malaysia.

Dalam perlumbaan terakhir acara olahraga itu, pasukan negara melakukan rombakan strategi dengan menurunkan Mohamad Raimi Mustaffa Kamal untuk bergandingan bersama Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan pelari utama, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Namun, keputusan membawa masuk Raimi untuk aksi final tidak membawa hasil diharapkan apabila kuartet negara hanya mencatat masa 40.19 saat (s), lebih perlahan berbanding 39.83s yang direkodkan dalam pusingan pertama awal pagi tadi waktu Malaysia.

Untuk rekod, Aliff Iman Mohd Fahimi diberi tanggungjawab beraksi dalam pusingan pertama, manakala tempatnya di final digantikan oleh Raimi sebagai sebahagian strategi memperkukuh persembahan.

“Kami tahu ia satu risiko, tetapi ia adalah sebahagian daripada taktikal yang dirancang – bagaimana untuk memaksimumkan keupayaan setiap pelari termasuk memanfaatkan ruang akhir dalam zon pertukaran baton.

“Rezeki tidak menyebelahi kami, tetapi kami sudah beri yang terbaik. Tiada apa yang perlu disesalkan. Hari ini kami berjaya buktikan yang kami antara yang terbaik di dunia, layak ke final dan saya bangga dengan pasukan ini,” kata Azeem selepas perlumbaan.

Emas acara itu menjadi milik Korea Selatan yang mencatat masa 38.50s, manakala Afrika Selatan meraih perak (38.80s) dan India membawa pulang gangsa (38.89s).

Sementara itu, dalam aksi final 4x400m wanita, kuartet negara yang dibarisi Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Hizillawanty Jamain menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Mereka mencatat masa 3 minit 54.88s, sekali gus memperbaiki rekod musim terbaik 3:55.21s yang dilakukan dalam pusingan saringan pertama, semalam.

Pingat emas menjadi milik kuartet tuan rumah Jerman selepas menjadi terpantas melintasi garisan penamat dengan masa 3:29.68s sementara perak diraih Poland (3:30.21s) dan Kanada gangsa (3:34.16s).

Dalam acara akhir lompat kijang wanita, wakil negara Nurul Ashikin Abas menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan lompatan sejauh 12.70 meter.

WUG 2025 yang bermula pada 16 Julai lalu menutup tirai hari ini dengan upacara penutup berlangsung di Landschaftspark Duisburg-Nord, Duisburg.

Malaysia menamatkan kempen dengan kutipan satu pingat perak menerusi jaguh renang, Khiew Hoe Yean dan satu gangsa menerusi perseorangan wanita badminton Wong Ling Ching.

Jepun muncul juara keseluruhan dengan 34 emas, 21 perak dan 24 gangsa, diikuti China (30-27-17) dan dan Amerika Syarikat di tempat ketiga (28-27- 29).

Skuad kuadran negara ‘diamkan’ penyokong Thailand

Kuala Lumpur: Skuad kuadran lelaki negara mencipta kemenangan bersejarah apabila menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada aksi Kumpulan A Piala Raja Thai 2025, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.

Dibarisi Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman Halim selaku killer serta Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Abd Razak di posisi feeder, Malaysia menundukkan kuadran Gajah Putih yang menurunkan Rachan Viphan, Kritsanapong Nontakote, Sankhai Daoreang dan Seksan Tubtong dengan kemenangan straight set 15-13, 17-16 di Hatyai.

Kemenangan ini dianggap satu ‘penebusan’ selepas skuad negara pernah tewas kepada Thailand 16-21, 13-21 pada separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, tatkala ketika itu kita hanya mampu berpuas hati dengan pingat gangsa.

Malah, kejayaan di Hatyai juga menjadi kebangkitan skuad negara selepas gagal mara ke suku akhir Piala Dunia di Bihar, India Mac lalu apabila tumbang di peringkat kumpulan kepada Vietnam.

Namun, skuad negara menunjukkan taring sebenar dengan menjuarai Piala Asia di Kuala Lumpur, Mei lalu selepas menundukkan Jepun di pentas final, ketika Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Kemenangan ke atas Korea Selatan lewat malam ini sudah cukup untuk mengesahkan anak buah Zulkarnain Arif ke separuh akhir dan pertemuan terakhir dengan Singapura esok adalah untuk memastikan kedudukan selaku juara atau naib juara kumpulan.

Azeem lolos ke separuh akhir 200m

Bochum: Hanya kira-kira 15 jam selepas beraksi dalam final 100 meter (m), jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berjaya melangkah ke separuh akhir acara 200m pada Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini, hari ini.

Pada perlumbaan pusingan pertama, Muhammad Azeem bermula dengan baik sebelum dilihat memperlahankan larian kira-kira 30m terakhir untuk menamatkan saingan saringan dua di tempat keempat dengan catatan masa 21.26 (s).

Pemenang emas 100m Bayanda Walaza dari Afrika Selatan mengungguli saingan itu dengan masa 20.93s, diikuti Lukasz Zok (21.06s) dan Zalan Deak dari Hungary di tempat ketiga (21.23s).

Muhammad Azeem mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menjadi tiga pelari terpantas dalam kalangan bukan tiga pelumba pertama setiap saringan yang layak secara automatik.

“Secara keseluruhan memang penat sebab habis perlumbaan (final 100m) hampir 10 malam tadi dan sampai hotel sekitar jam 11, jadi rehat tak cukup. Tapi itu bukan alasan kerana Walaza pun lalui perkara sama. Kami berdua saja yang layak ke final 100m dan turun 200m hari ini.

“Ia (larian hari ini) agak mencabar, terutama saya yang dah lama tak lari 200m, tapi ikut perbincangan dengan jurulatih, ini sebenarnya latihan baik untuk persiapan perlumbaan akan datang,” kata penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat itu ketika ditemui pemberita selepas aksi saringan di sini.

Muhammad Azeem memiliki catatan peribadi terbaik 20.79s yang dilakar pada kejohanan di Florida, April lalu yang juga satu-satunya penampilannya dalam acara 200m sebelum beraksi di sini.

Catatan itu hanya dibezakan 0.02 saat daripada rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan tuah undian untuk mendapatkan lorong di luar bagi peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung malam esok (awal pagi Jumaat waktu Malaysia).

“Saya sangat berharap diletakkan di lorong luar, bukan di lorong dalam sebab dengan keadaan kaki saya yang panjang ia sangat tidak memberi kelebihan untuk saya berlari di lorong dalam tetapi matlamatnya ialah untuk bertahan dan mara dalam pertandingan besar seperti ini,” kata atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet negara, Pengiran Aidil Auf Hajam terkandas di pusingan pertama selepas berada di tempat kelima dalam saringan tujuh dengan masa 21.69s.

Sebagai rekod, Muhammad Azeem terlepas peluang menaiki podium dalam acara 100m selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 10.35s di belakang Walaza selaku juara (10.16s) diikuti jaguh Thailand Puripol Boonson (10.22s) dan atlet Jepun Hiroki Yanagita (10.23s).