Satu sesi libat urus telah diadakan bersama spokesperson yang bakal dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memacu pelaksanaan perkhidmatan sokongan atlet secara holistik.
Sesi yang melibatkan seramai 13 orang bekas atlet kebangsaan, jelas menzahirkan keterujaan untuk kembali menabur bakti bersama MSN, khususnya dalam usaha memberikan sokongan dan bimbingan kepada barisan atlet generasi masa kini.
Antara yang hadir termasuk ikon-ikon sukan Farah Ann (Gimnastik) , Syaidatul Afifah (Tenpin Boling), Ang Li Peng (Badminton), Koi Sie Yan (Gimrama), S. Sharmendran (Karate), Muhd Zubair Mohamad (Menembak), Farihaa Razak (Bola Jaring), An Najwa (Bola Jaring), Zaidatul Husna (Olahraga), Noor Shahidatun (Olahraga), Elaine Teo (Taekwondo), Ameer Zainuddin (Badminton) dan Hakimie Ismail (Olahraga).
Transformasi terbaru perkhidmatan sokongan atlet ini mendokong hasrat Ketua Pengarah MSN YBrs. En Jefri Ngadirin serta mendapat sentuhan mentoring daripada legenda sukan olahraga negara YBhg. Datuk Marina Chin.




