Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 PERINGKAT NEGERI JOHOR

Johor Bahru, 23 Mei 2025 – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat negeri Johor secara rasmi bermula hari ini dan berlangsung selama tiga hari sehingga 25 Mei 2025 di Pusat Beli Belah Toppen, Johor Bahru.

Program yang mengangkat tema “Belia MADANI, Yakin Boleh” tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, serta Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi negeri Johor dan Negaraku, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh atlet berbasikal kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, turut disertai barisan atlet negara kelahiran Johor dan atlet pembangunan negeri.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian insentif Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK), serta Geran SejaTi MADANI sebagai langkah menyokong pembangunan sukan, komuniti dan kepimpinan belia di peringkat akar umbi di Johor.