Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
THAILAND PERTAHAN GELARAN JUARA REGU BERPASUKAN

Harapan Malaysia untuk menamatkan penantian gelaran sebagai juara acara Regu Berpasukan Lelaki di Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia ASTAF 2025 lebur apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Regu pertama negara, yang dibarisi Mohamad Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Muhamad Azlan Alias (apit kanan), tewas tipis 1-2 selepas pertarungan sengit (11-15, 15-12, 15-17).

Perlawanan regu kedua pula, gandingan Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Muhammad Noraizat Nordin, turut akur kepada kekuatan Thailand apabila tewas 1-2 dalam pertarungan tiga set (15-13, 13-15, 4-15).

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan pingat perak manakala India dan Korea Selatan berkongsi pingat gangsa di kedudukan ketiga.