Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Lapan pemain muda tarik perhatian Sarjit

Kuala Lumpur: Saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 yang melabuhkan tirai pada 11 Oktober lalu membawa khabar gembira buat lapan pemain muda apabila berjaya memikat perhatian ketua jurulatih, Sarjit Singh.

Enam daripada pemain terbabit berusia sekitar 20 tahun, manakala dua lagi masing-masing berumur 23 dan 26 tahun, dengan kesemuanya bakal diuji dari segi kecergasan, disiplin dan penyesuaian terhadap tempo latihan intensif skuad negara dalam kem latihan kebangsaan bermula Isnin ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Empat pemain dari Pahang mendominasi senarai itu Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Airil Abdul Razak Rahman, Aiman Safwan Hisham dan Muhammad Nor Syakir Hafiz selain dua wakil Terengganu, Darwisy Hamdan dan Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin.

Dua lagi pemain, Zufar Saiful Marsita dan Muhammad Nur Asyraf Ishak dari Melaka, turut diberikan peluang keemasan merasai suasana latihan bersama skuad utama kebangsaan.

Menurut Sarjit, barisan kejurulatihannya berpuas hati dengan mutu saingan Piala Tun Abdul Razak kali ini yang menyaksikan ramai pemain muda tampil dengan prestasi konsisten, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa.

“Secara keseluruhan, kami gembira melihat ramai pemain muda menyerlah sepanjang kejohanan. Ini petanda positif semakin ramai bakat baharu sedia mencabar tempat di peringkat lebih tinggi.

“Lapan pemain yang dipanggil ini menunjukkan kemahiran teknikal, kecergasan dan disiplin yang baik malah ada antara mereka berpotensi mengisi slot skuad utama,” katanya.

Tambah Sarjit, latihan pusat kali ini memberi fokus kepada penyesuaian pemain muda terhadap tempo latihan intensif dan sistem permainan di peringkat antarabangsa.

“Kami mahu lihat sejauh mana mereka mampu menyesuaikan diri dengan tempo dan tekanan latihan di peringkat antarabangsa.

“Jika mereka menunjukkan kualiti dan sikap profesional yang baik, peluang disenaraikan ke Piala Sultan Azlan Shah nanti amat cerah,” jelasnya.

Latihan pusat berkenaan turut menjadi sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan menghadapi dua kejohanan utama Piala Sultan Azlan Shah (23-30 November) serta Sukan Sea Thailand (9-20 Disember) yang bakal menjadi pentas penting buat Malaysia menguji kekuatan sebenar.

PEMBELIAN BAJU PETUGAS DAN KONTINJEN TEMASYA SUKAN SEA THAILAND 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030101 – PAKAIAN SUKAN DAN AKSESORI

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/039/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN BAJU PETUGAS DAN KONTINJEN TEMASYA SUKAN SEA THAILAND 2025
TARIKH BUKA : 22 OKTOBER 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 28 OKTOBER 2025 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin (Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Akmal Ahmad Zainudin (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929941

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Design Baju Kontinjen

PENYEDIAAN SAJIAN MAKAN PETUGAS DAN PASUKAN PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (NFDP) BAGI KARNIVAL KEBANGSAAN NFDP 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

040301 – MAKANAN BERMASAK (ISLAM)

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/035/2025 (SP)
TAJUK SEBUTHARGA : PENYEDIAAN SAJIAN MAKAN PETUGAS DAN PASUKAN PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (NFDP) BAGI KARNIVAL KEBANGSAAN NFDP 2025
TARIKH BUKA : 22 OKTOBER 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 28 OKTOBER 2025 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Muhammad Fitri Mohd Radzi (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929078

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Jadual Acara Sajian

Jadual Menu Sajian

Jadual Spesifikasi Sajian

Dua beregu lelaki berdepan nasib berbeza di Terbuka Perancis

Kuala Lumpur: Dua beregu lelaki negara berdepan nasib berbeza pada aksi pusingan pertama Terbuka Perancis 2025 yang berlangsung di Glaz Arena, Rennes, Perancis, manakala satu lagi pasangan profesional beregu campuran turut terkandas awal dalam kejohanan berstatus Super 750.

Pasangan negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, terpaksa akur apabila tumbang 14-21, 13-21 di tangan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy, dalam pertembungan yang mengambil masa 32 minit.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan kempen mereka di pusingan pertama yang juga pertemuan sulung menentang gandingan ranking ke-24 dunia itu.

Bagaimanapun, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas mudah menundukkan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju, 21-9, 21-13 dalam masa hanya 27 minit.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan yang baru melonjak ke tangga kelima dunia itu, mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas gandingan Korea Selatan berkenaan.

Sementara itu, dalam acara beregu campuran, pasangan profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terpaksa berpuas hati selepas tewas kepada beregu handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 17-21, 17-21 dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Tien Ci-Chiew Sien kini ketinggalan 0-3 dalam rekod pertemuan menentang gandingan ranking ketiga dunia berkenaan.

Sistem bantahan akan diwajibkan pada Sukan Sea 2025 – ASTAF

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) hari ini mengumumkan bahawa sistem ‘challenge’ atau bantahan akan diwajibkan dalam semua acara sepak takraw pada Sukan Sea 2025 di Thailand, sekali gus memperkukuh komitmen persekutuan itu terhadap aspek keadilan, ketepatan dan integriti sukan berkenaan.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata, pengenalan sistem bantahan pada temasya dwitahunan itu menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha memodenkan sukan sepak takraw di bawah kepimpinan progresif ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

“Dengan menggabungkan sistem kamera berbilang sudut dan kadar bingkai tinggi, sistem bantahan ini akan merapatkan jurang antara pertimbangan manusia dan ketepatan digital. Ia memberikan bukti gerak perlahan yang konklusif bagi mengesahkan sesuatu keputusan, menggalakkan ketelusan dan mengekalkan integriti sukan itu.

“Ia juga meningkatkan kredibiliti keputusan pengadil, mengurangkan pertikaian selepas perlawanan dan mengekalkan semangat kesukanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Abdul Halim berkata, ASTAF terus komited dalam memastikan sukan berkenaan berkembang seiring dengan standard antarabangsa dengan gabungan kepakaran manusia dan ketepatan digital bagi mempertahankan nilai integriti, keadilan dan profesionalisme.

ASTAF pertama kali memperkenalkan sistem bantahan itu pada kejohanan Piala Raja Thai edisi 2022.

Sukan Sea 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di tiga wilayah iaitu, Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Peluang cerah raih emas compound lelaki, campuran – Suhardi

Kuala Lumpur: Skuad memanah negara optimis mampu meraih pingat emas dalam acara compound dan campuran di Sukan Sea Thailand 2025, Disember depan.

Pengurus pasukan memanah negara, Suhardi Abdullah berkata, dengan barisan atlet dipilih serta melihat persaingan di Thailand, beliau yakin peluang Malaysia lebih terbuka dalam acara berkenaan.

“Kalau kita tengok peluang lebih besar untuk dapat pingat emas yang kita sasarkan adalah melalui acara compound pasukan lelaki dan pasukan campuran.

“Kemudian kita cuba tengok untuk individu sama ada lelaki atau wanita.

“Sebab bagi acara individu, kita ada Juwaidi (Mazuki) dan Fatin (Nurfatehah Mat Salleh). Jadi kita harapkan mereka dapat tunjukkan sesuatulah dekat Bangkok nanti,” katanya.

Mengenai peluang negara dalam acara recurve, Suhardi tetap percaya kemampuan atlet negara apatah lagi bakal diperkuatkan dua pemanah Olimpian negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Syaqiera Mashayikh.

“Untuk acara recurve, peluang tetap ada. Pasukan wanita kini diperkuat Syaqiera dan Ariana serta dua muka baharu yang diharap mampu bergabung sebagai satu pasukan mantap di Sukan Sea.

“Bagi kategori lelaki, peluang tetap terbuka biarpun saingan sengit dijangka daripada Indonesia dan tuan rumah, Thailand.

“Apapun, tiada yang mustahil untuk meraih pingat dan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Sureeya buru emas hatrik karate di Sukan Sea

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, Sureeya Shankar Hari Shankar ingin memburu kejuaraan hatrik di Sukan Sea Thailand selepas cemerlang dalam dua edisi sebelum ini.

Jelasnya, persiapan kini sudah berada dalam keadaan serius untuk terus mempertingkatkan prestasi agar benar-benar bersedia bagi aksi Disember depan.

“Persediaan itu agak intensif sekarang dan saya berlatih bersungguh-sungguh sebab sudah menang dua kali (2021 dan 2023).

“Jadi, ini adalah yang ketiga dan perlu menang untuk buktikan diri saya adalah yang terbaik.

“Bukan untuk orang lain, untuk diri saya sendiri dan sebab itu saya kena buktikan perkara itu boleh dilakukan,” katanya.

Atlet berusia 23 tahun itu mempunyai motivasi terbaik dan dilihat mampu memberi saingan sengit di Thailand serta menjelmakan kilauan pingat buat kem negara.

Malah, Sureeya meraih emas melalui acara kumite lelaki bawah 60 kilogram (kg) pada Kejohanan Karate Asia Tenggara, Jun lalu.

Sukan karate antara penyumbang utama buat kontinjen negara dan sentiasa menjadi lubuk pingat kerana sekurang-kurangnya empat pingat emas setiap edisi akan disumbangkan oleh atlet negara.

Pada Sukan Sea Kemboja 2023, Malaysia membawa pulang empat pingat emas dan enam perak.

Undian seimbang, skuad sepak takraw negara sasar final di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menganggap undian bagi skuad lelaki pada Sukan Sea 2025 di Thailand cukup seimbang, namun tetap mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka dan kekal fokus memburu tiket ke final.

Beliau menegaskan, biarpun laluan awal dilihat memihak kepada Malaysia, setiap pasukan lawan kini semakin meningkat dan mampu memberi kejutan jika dipandang ringan.

“Undian kali ini memang seimbang dan tidak terlalu sukar. Tetapi dalam sukan seperti sepak takraw, kami tidak boleh terlalu selesa.

“Fokus utama adalah memastikan kami melepasi peringkat kumpulan dan seterusnya ke final.

“Apa yang penting sekarang ialah terus memperkemaskan prestasi dan tidak memandang rendah kemampuan lawan. Semua pasukan datang dengan semangat tinggi,” katanya.

Pada majlis undian yang diadakan di Bangkok, semalam, regu berpasukan lelaki Malaysia mendapat undian baik apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Filipina dan Singapura, sekali gus membuka ruang besar untuk mara ke separuh akhir.

Dalam acara regu, Malaysia turut berada dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam, manakala bagi acara kuadran, skuad negara menghuni Kumpulan B yang turut disertai Laos, Kemboja, Singapura, Brunei dan Vietnam.

Ahmad Jais menjelaskan, tumpuan kini beralih kepada memperkukuh persefahaman antara pemain selain menajamkan serangan dan kawalan di jaring bagi memastikan skuad negara benar-benar bersedia menjelang aksi pembukaan.

“Kami sedang menilai kombinasi terbaik. Semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan dan kini tinggal untuk mantapkan strategi menghadapi lawan yang berbeza corak permainan,” katanya.

Bagi skuad wanita, beliau tidak menafikan laluan lebih mencabar apabila Malaysia diundi bersama Thailand dalam acara regu berpasukan dan kuadran.

“Kami tahu Thailand adalah lawan yang kuat, tetapi saya yakin dengan semangat juang pemain kita.

“Sasaran realistik adalah sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa dan saya percaya mereka mampu mencapainya,” katanya.

Pada edisi terdahulu, skuad sepak takraw negara menamatkan kempen dengan empat pingat perak dan empat gangsa iaitu pencapaian yang memberi motivasi tambahan untuk kali ini.

Tugas berat Jun Hao bertemu Axelsen

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berdepan cabaran sukar apabila dijadualkan menentang juara dua kali Sukan Olimpik, Viktor Axelsen di pusingan pertama Terbuka Perancis di Cesson-Sevigne, bermula esok.

Pertemuan itu bakal menjadi ujian getir buat Jun Hao yang tewas kepada pemain Denmark itu dalam pertemuan tunggal mereka di Terbuka Singapura, tahun lalu.

Bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, Jun Hao perlu menampilkan aksi terbaik dan lebih bertenaga terutama selepas prestasinya dalam beberapa kejohanan utama musim ini masih belum konsisten.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, pihaknya sudah meneliti aspek taktikal dan teknikal bagi membantu anak buahnya itu memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Untuk aksi Terbuka Perancis, kami memberi tumpuan untuk memperbaiki beberapa perkara yang sudah dikenal pasti hasil daripada perlawanan di Terbuka Denmark.

“Berdepan Viktor (Axelsen) adalah satu tugas besar. Oleh itu, Jun Hao perlu konsisten dan beri tumpuan sepenuhnya jika mahu melangkah pusingan seterusnya,” katanya.

Tambah Jonassen, kekalahan Jun Hao kepada Li Shi Feng di Terbuka Denmark, minggu lalu menjadi pengajaran penting dalam usaha memperkemas strategi permainan.

“Kami tidak benar-benar berjaya memberikan tekanan kepada Shi Feng sebelum ini sehingga dia mengawal sepenuhnya tempo dan permainan.

“Kesilapan sendiri turut menamatkan peluang Jun Hao,” ujarnya.

Di Terbuka Denmark, bekas juara remaja Asia itu terkandas di pusingan pertama selepas tewas 13-21, 16-21 dalam tempoh 45 minit kepada Shi Feng yang kini berada dalam prestasi terbaik.

Bagaimanapun, peluang tetap ada buat Jun Hao untuk mencipta kejutan, lebih-lebih lagi Axelsen baru sahaja pulih daripada pembedahan belakang yang dijalaninya pada April lalu dan mungkin masih mencari rentak permainan terbaiknya.

Secara keseluruhan, musim ini menyaksikan Jun Hao hanya dua kali mara ke suku akhir di Terbuka Singapura pada Jun lalu dan Terbuka Hong Kong bulan lalu.

Namun, kejohanan di Perancis ini boleh menjadi pentas kebangkitan buat pemain berusia 24 tahun itu.

Empat atlet wanita galas cabaran ekuestrian di Sukan Remaja Asia

Kuala Lumpur: Empat penunggang muda wanita negara bakal menggalas cabaran dalam acara ekuestrian di Sukan Remaja Asia 2025 yang dijadual berlangsung di Manama, Bahrain, bermula 23 Oktober ini.

Mereka terdiri daripada Sharifah Ariel Budriah Jamalullail, Arissa Audreyna Edzwan, Sonia Aisyah Abdullah dan Elly Poh Jia Yi yang masing-masing akan beraksi dalam kategori Lompatan Persembahan (Show Jumping) di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, Shaiful Azwan.

Temasya Sukan Remaja Asia 2025 menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia membabitkan 21 jenis sukan termasuk ekuestrian.

Edisi kali ini adalah penganjuran ketiga selepas Singapura (2009) dan Nanjing, China (2013) anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA).

Menurut Sharifah Ariel Budriah, latihan intensif turut dijalankan di Arab Saudi bersama kuda yang bakal digunakan di Bahrain bagi memastikan keserasian dan prestasi optimum ketika pertandingan.

“Saya telah menjalani latihan intensif di Belanda sebagai persediaan sebelum ke temasya dan mendapat banyak ilmu serta pendedahan menunggang pelbagai jenis kuda yang berkualiti.

“Selepas di Belanda, saya berlatih di Arab Saudi sebagai persiapan pemanas badan terakhir dan membawa kuda ke Bahrain. Saya berharap dapat memberikan yang terbaik bersama pasukan Malaysia,” katanya.

Arissa Audreyna yang pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa berkata, peluang kali ini menjadi medan untuk membuktikan hasil latihan intensif yang dijalani di Belgium selama sebulan.

“Saya sangat teruja untuk mewakili Malaysia buat kali kedua dan latihan di Belgium sangat mencabar kerana setiap kuda ada karakter tersendiri.

“Saya perlu mencari keserasian dengan mereka dan sentiasa yakin pada diri serta kuda yang ditunggang,” katanya.

Tambahnya, aspek mental memainkan peranan besar dalam menentukan prestasi, sekali gus mampu meraih kejayaan positif di kejohanan terbabit.

“Musuh terbesar sebenarnya adalah diri sendiri terutama apabila pertandingan semakin hampir. Jika kita takut, kuda akan rasa takut. Jadi saya perlu terus percaya pada latihan dan naluri saya,” jelasnya.

Sementara itu, Shaiful pula yakin anak didiknya bersedia sepenuhnya selepas melalui siri latihan intensif di dalam dan luar negara.

“Mereka menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan. Fokus kami ialah penyesuaian pantas terhadap kuda baharu dan kawalan emosi ketika bertanding. Sekarang kita doa yang terbaik buat mereka,” katanya.

Penyertaan empat remaja ini dilihat sebagai langkah besar buat sukan ekuestrian tanah air yang semakin berkembang terutama dalam kalangan atlet muda wanita yang berani mencabar diri di pentas antarabangsa dan membawa aspirasi tinggi untuk masa depan sukan berkuda negara.