Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives October 24, 2025

Wei Chong–Kai Wun mara ke suku akhir Terbuka Perancis

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, melangkah ke suku akhir Terbuka Perancis 2025 selepas menewaskan pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy, dalam aksi tiga set yang sengit sebentar tadi.

Pasangan pilihan ketujuh itu bermula perlahan apabila tewas 13-21 di set pertama, namun bangkit dengan corak permainan lebih agresif untuk memenangi dua set berikutnya 21-19, 21-14 bagi menamatkan pertarungan hampir sejam di Glaz Arena.

Kemenangan itu sekali gus memastikan kemaraan wakil negara ke kelompok lapan terbaik dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu.

Wei Chong–Kai Wun akan berdepan sama ada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae atau beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh–Wang Chi Lin.

Nurul Izzah akur kepada juara Olimpik

Kuala Lumpur: Perjuangan wakil tunggal negara, Nurul Izzah Izzati Asri, dalam acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 berakhir selepas tewas di pusingan pertama kepada jaguh New Zealand, Ellesse Andrews, di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Izzah mengulangi pencapaian tahun lalu apabila turut terkandas di peringkat sama selepas tumpas kepada wakil Jerman, Alessa Catriona Propster, meskipun berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Terdahulu, pelumba kelahiran Kedah berusia 22 tahun itu mencatat masa 11.019 saat (s) untuk menduduki tangga ke-26 daripada 34 pelumba pada pusingan kelayakan, sekali gus melayakkan diri ke pusingan pertama.

Namun catatan itu jauh daripada rekod kebangsaan 10.578s miliknya yang dilakukan di Kejohanan Piala Negara-Negara di Turkiye, Mac lalu.

Menentang Ellesse sememangnya satu ujian getir buat wakil negara, apatah lagi lawannya itu merupakan juara dunia pecut 2023 dan pemenang pingat emas berganda dalam acara pecut serta keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tumpuan kini beralih kepada acara keirin yang bakal berlangsung Ahad ini, dengan Izzah berazam untuk menebus kekecewaan dan memperbaiki kedudukannya.

Tahun lalu, dia berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan.