Bukit Jalil, 7 Oktober – Satu Mesyuarat Ketua Kontinjen (CDM) bersama Pengurus Pasukan bagi persediaan kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Asia Bahrain 2025 telah diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Cik Farah Ann Abdul Hadi, selaku Ketua Kontinjen (CDM), bertujuan menyelaras persiapan menyeluruh kontinjen negara meliputi aspek pengurusan, logistik, kejurulatihan serta kebajikan atlet muda yang bakal membawa cabaran Malaysia ke temasya tersebut.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah taklimat rasmi CDM serta pembentangan teknikal daripada Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
Mesyuarat ini juga menjadi platform penting bagi memastikan semua pihak berkepentingan berada pada landasan yang sama dalam memperkukuh persediaan kontinjen negara ke temasya sukan remaja berprestij di peringkat Asia yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober 2025 di Bahrain.




