Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives October 7, 2025

MESYUARAT CDM BERSAMA PENGURUS PASUKAN KE TEMASYA SUKAN REMAJA ASIA BAHRAIN 2025

Bukit Jalil, 7 Oktober – Satu Mesyuarat Ketua Kontinjen (CDM) bersama Pengurus Pasukan bagi persediaan kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Asia Bahrain 2025 telah diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Cik Farah Ann Abdul Hadi, selaku Ketua Kontinjen (CDM), bertujuan menyelaras persiapan menyeluruh kontinjen negara meliputi aspek pengurusan, logistik, kejurulatihan serta kebajikan atlet muda yang bakal membawa cabaran Malaysia ke temasya tersebut.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah taklimat rasmi CDM serta pembentangan teknikal daripada Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Mesyuarat ini juga menjadi platform penting bagi memastikan semua pihak berkepentingan berada pada landasan yang sama dalam memperkukuh persediaan kontinjen negara ke temasya sukan remaja berprestij di peringkat Asia yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober 2025 di Bahrain.

LAWATAN CDM KE PUSAT LATIHAN TENPIN BOLING TEMASYA SUKAN SEA 2025, THAILAND

Lawatan rasmi Ketua Kontinjen (CDM) ke pusat latihan pasukan Tenpin Boling negara telah diadakan pada 7 Oktober 2025 (Khamis) bertempat di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Subang Jaya.

Sesi lawatan diketuai YBrs. Puan Nurul Huda Abdullah selaku CDM Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan SEA 2025, Thailand, bertujuan meninjau persiapan akhir pasukan menjelang temasya dwitahunan tersebut.

Turut hadir, Pengurus Pasukan En. Mazlan Mohd Said, Ketua Jurulatih En. Heng Boon Hian, bersama-sama barisan jurulatih En. Gerald Augustin dan Pn. Wendy Chai De Choo.

Sesi lawatan turut melibatkan pertemuan bersama barisan atlet tenpin boling negara bagi menilai kemajuan latihan serta memberikan suntikan semangat untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA 2025.

MAJLIS SAMBUTAN KETIBAAN PASUKAN PARA OLAHRAGA DARI KEJOHANAN DUNIA DELHI 2025

Satu majlis sambutan telah diadakan di KLIA pagi tadi bagi meraikan kepulangan pasukan Para Olahraga Negara dari Kejohanan Dunia 2025 yang berlangsung di India dari 27 September hingga 5 Oktober 2025.

Majlis yang sempurnakan oleh Yang Berhormat Hannah Yeoh Menteri Belia dan Sukan, turut dihadiri YBhg. Laksamana Pertama (B) Dato’ Subra Maniam Raman Nair, Ahli Lembaga Pengurusan MSN dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara.

Untuk kejohanan dunia kali ini, jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly mencipta sejarah dengan meraih pingat emas menerusi acara lompat jauh lelaki T20, dengan catatan 7.67 meter sekaligus memecahkan rekod dunia.

Turut mencipta kejutan, Muhammad Nazmi Nasri yang berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara lompat jauh lelaki T37 dengan catatan peribadi terbaik 6.35 meter.

Sementara jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli turut menyumbang satu lagi pingat gangsa menerusi acara F20 dengan lontaran sejauh 17.26 meter.