Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 2025

CADANGAN KERJA BAGI MENAIKTARAF RUANG  DAPUR KAFETARIA ATLET SERTA KERJA BERKAITAN DENGANNYA DI KOMPLEKS SUKAN MSN NILAI, NEGERI SEMBILAN UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi Negeri Sembilan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Gred G1, Kategori B Pembinaan Bangunan Kod B04 – (Kerja Am Bangunan) dan Kategori – CE Pembinaan Kejuruteraan Awam Kod CE21 – (Kerja-Kerja Kejuruteraan Awam) dan pendaftarannya masih berkuatkuasa.

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/024/2025 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : CADANGAN KERJA BAGI MENAIKTARAF RUANG DAPUR KAFETARIA ATLET SERTA KERJA BERKAITAN DENGANNYA DI KOMPLEKS SUKAN MSN NILAI, NEGERI SEMBILAN UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 13 OGOS 2025 (RABU)
TAKLIMAT : 14 OGOS 2025 (KHAMIS/10.30 PAGI)
& LAWATAN TAPAK KOMPLEKS SUKAN MSN NILAI, NEGERI SEMBILAN
TARIKH TUTUP : 19 OGOS 2025 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Akuan Pembida dan Borang Maklumat Penyebutharga dan dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Rifdean, Aliff antara bintang muay thai negara ke Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Skuad muay thai negara bakal mempertaruhkan barisan bintang termasuk dua nama besar ONE Championship, Rifdean Masdor dan Aliff Rakib bagi memburu pingat di Sukan SEA 2025 di Thailand.

Kedua-dua jaguh itu disenaraikan dalam Kategori A, sekali gus menjadi sandaran utama Malaysia pada temasya di bumi Gajah Putih itu.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, pemilihan mereka berdasarkan pencapaian cemerlang di Kejuaraan Dunia IFMA serta reputasi di pentas profesional ONE Championship.

“Ia terpulang kepada pengurusan ONE Championship. Kami akan menghantar permohonan untuk membenarkan mereka bertanding.

“Namun, jika jadual bertindih, kemungkinan mereka tidak dapat beraksi di Sukan SEA,” katanya.

Selain Rifdean dan Aliff, adik kepada bintang ONE Championship Johan Ghazali iaitu Muhammad Mikail Ghazali atau Miki serta bintang BYON, Ammarul Shafiq turut disenaraikan dalam Kategori B.

Muhammad Shahnaz berkata, penyertaan mereka di Thailand adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang menuju Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.

“Sasaran utama kami adalah memastikan persiapan rapi untuk membawa pulang pingat emas.

“Bertanding di Sukan SEA Thailand akan memberi pengalaman berharga kepada mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, peluang beraksi di temasya dwitahunan itu akan membantu atlet memahami tekanan kejohanan besar serta menyesuaikan diri dengan format pertandingan peringkat tertinggi.

Menurutnya, pengalaman itu akan menjadi bekalan penting untuk mencapai sasaran utama di Kuala Lumpur nanti.

Skuad muay thai negara kini giat menjalani latihan intensif bagi memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik sebelum berangkat ke Thailand.

28 pelumba basikal negara ke Sukan SEA Thailand dalam kategori A

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akhirnya menarik nafas lega apabila memperoleh kelulusan menghantar 28 pelumba negara dengan kategori A untuk beraksi di Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, keputusan itu dicapai selepas melalui proses Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang berlangsung hari ini.

Keputusan terbabit menyaksikan pasukan berbasikal negara akan memperoleh dana tambahan terutama membabitkan pelumba lebuh raya untuk bertanding di Sukan SEA Thailand.

Menurutnya, proses berkenaan adalah fasa kedua selepas sesi pertama berlangsung kira-kira dua minggu lalu bersama sekretariat.

“Pada fasa pertama, kami mempertahankan justifikasi untuk menghantar atlet basikal negara dalam empat disiplin iaitu lebuh raya, trek, BMX dan basikal bukit,” katanya.

Ahmad Arif berkata, pihaknya bersyukur apabila justifikasi yang dikemukakan diterima sepenuhnya oleh jawatankuasa pemilihan.

“Alhamdulillah, kita berjaya mendapatkan klasifikasi A untuk 28 atlet dan hanya tiga atlet menerima kategori B.

“Terima kasih pihak sekretariat, khususnya Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM atas sokongan padu terhadap cadangan dibentangkan.

“Kejayaan ini bukan sahaja hasil kerja PKBM, tetapi kerjasama rapat dengan MSN dan MOM yang memahami keperluan kita di Sukan SEA nanti,” katanya.

Sukan SEA 2025 di Thailand akan menyaksikan acara berbasikal dipertandingkan dalam empat disiplin dengan kontinjen negara meletakkan sasaran untuk menambah koleksi pingat emas.

PKBM percaya kelulusan kategori A ini akan memberi keyakinan kepada atlet untuk memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama negara di pentas serantau.

KERJA-KERJA MEMBEKAL, MEMBAIKPULIH DAN MENYELENGGARA ‘TARGET FRAME’ DI LAPANG SASAR MENEMBAK GIMNASIUM 3, MSN BUKIT JALIL UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Gred G1- G7, Kategori – ME Pembinaan Kejuruteraan Awam di bawah Pengkhususan M24 dan pendaftarannya masih berkuatkuasa.

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/023/2025 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : KERJA-KERJA MEMBEKAL, MEMBAIKPULIH DAN MENYELENGGARA ‘TARGET FRAME’ DI LAPANG SASAR MENEMBAK GIMNASIUM 3, MSN BUKIT JALIL UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 13 OGOS 2025 (RABU)
TAKLIMAT : 15 OGOS 2025 (JUMAAT/10.30 PAGI)
& LAWATAN TAPAK LAPANG SASAR MENEMBAK, GIM 3, MSN BUKIT JALIL
TARIKH TUTUP : 22 OGOS 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Akuan Pembida dan Borang Maklumat Penyebutharga dan dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Mohd Nur Aliff Muhammad ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929606

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN SECARA BERKALA BAGI PERALATAN DAN SISTEM ELEKTRONIK DI PUSAT LATIHAN SUKAN MENEMBAK GIMNASIUM 3, MSN BUKIT JALIL UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Gred G2- G7, Kategori – ME Pembinaan Kejuruteraan Awam di bawah Pengkhususan M24 dan pendaftarannya masih berkuatkuasa.

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/046/2025 (SPK)
TAJUK SEBUT HARGA : KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN SECARA BERKALA BAGI PERALATAN DAN SISTEM ELEKTRONIK DI PUSAT LATIHAN SUKAN MENEMBAK GIMNASIUM 3, MSN BUKIT JALIL UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 14 OGOS 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 21 OGOS 2025 (KHAMIS)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Akuan Pembida dan Borang Maklumat Penyebutharga dan dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Mohd Nur Aliff Muhammad ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929606

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Zii Jia dijangka kembali beraksi di Kejohanan Dunia Paris

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak beraksi di pentas antarabangsa, peminat badminton negara kini mungkin boleh melihat dia kembali menghangatkan gelanggang.

Ia berikutan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan tiada permohonan penarikan diri diterima daripada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu, bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, setakat jam 5 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

“Setakat jam lima petang, tiada permohonan penarikan diri dari pasukan Zii Jia,” katanya.

Bagaimanapun, sebarang keputusan mungkin berubah kerana tarikh akhir untuk menghantar permohonan penarikan diri adalah pada jam 11.59 malam ini.

Untuk makluman, semua pendaftaran pemain bagi kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu melalui badan induk kebangsaan itu.

Untuk rekod, Zii Jia mempunyai perlindungan ranking di kedudukan kesembilan, kini berada di kedudukan ke-52 dunia dan tidak beraksi sejak Mac lalu kerana kecederaan buku lali yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu.

Kali terakhir dia beraksi adalah di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac lalu, namun dia dihantui kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada beberapa kejohanan iaitu Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Namun, disebabkan dia mendapat perlindungan rankingnya, BWF menawarkan slot ke Paris dan Zii Jia sudah pun menerima jemputan untuk beraksi di kejohanan itu.

Kontinjen terkuat beraksi di Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Malaysia akan menurunkan barisan atlet terkuat ke Sukan SEA 2025 di Thailand, sekali gus menandakan perbezaan ketara berbanding edisi Kemboja dua tahun lalu yang memberi ruang kepada atlet muda.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, temasya dwitahunan itu juga menjadi medan penting untuk membina momentum sebelum Malaysia bergelar tuan rumah pada 2027.

“Ingat tak dulu di Kemboja saya kata kita beri peluang kepada atlet muda? Kali ini, mereka sudah sampai tahap sepatutnya.

“Fokus kita sekarang adalah prestasi. Harapan saya, prestasi meningkat menjelang Sukan SEA 2027,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Temasya Sukan SEA ke-33, semalam.

Menurut Norza, hanya satu atau dua sukan berpotensi dihantar untuk pendedahan pertama di temasya yang berlangsung di tiga wilayah Thailand itu, sebagai usaha membantu persatuan sukan berkenaan.

“Kalau ada pun sedikit sahaja. Mungkin untuk beri semangat dan pengalaman pertama kepada atlet mereka. Tetapi konsep utama kali ini adalah memastikan kehadiran kita dirasai melalui prestasi, sekali gus membina momentum ke arah menjadi tuan rumah nanti,” katanya.

Mengulas sasaran pingat, Norza berkata ia diserahkan kepada pihak berkaitan memandangkan fokus MOM ketika ini adalah memastikan persiapan atlet berjalan lancar.

“Isu sasaran ada dibincangkan, tetapi kita serah kepada pihak yang sepatutnya. Senarai akhir atlet akan dimuktamadkan pada 1 September. Buat masa ini mereka sedang menjalani persiapan dan ada kejohanan penting pada Ogos dan September,” katanya.

Kemelut tuntutan dana MPC, TSG terjawab minggu ini

Kuala Lumpur: Isu tuntutan dana oleh dua pasukan berbasikal profesional negara, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) dijangka dimuktamadkan Majlis Sukan Negara (MSN) minggu ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah MSN, Jeffri Ngadirin dengan mengumumkan bahawa MSN akan menghulurkan bantuan kepada dua pasukan berkenaan namun menegaskan jumlah yang dituntut iaitu RM250,000 itu terlalu banyak justeru ia perlu dibincangkan semula dengan lebih terperinci.

“Kita akan beri bantuan, cuma jumlahnya bergantung kepada perbincangan nanti sebab RM250,000 itu terlalu besar.

“Jangan lupa, kali ini kita hantar hampir 50 jenis sukan membabitkan 800 hingga 900 atlet, jumlah yang sangat besar untuk ditanggung kerajaan.

“Tapi insya-Allah isu ini akan selesai minggu ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA, Thailand.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan bahawa kesemua atlet berbasikal lebuh raya negara mendapat kelulusan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di bawah kategori A.

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman memaklumkan pecahan awal skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA adalah 4-4-1 membabitkan empat pelumba TSG, empat pelumba MPC dan seorang lagi dari skuad kebangsaan.

Bagaimanapun senarai akhir pelumba akan diputuskan pada 1 September ini bagi memberi ruang rundingan bersama MSN berhubung permohonan tambahan atlet.

“Ini misi mempertahankan dua pingat emas lebuh raya yang dimenangi dua edisi berturut-turut. Kita mahu berikan peluang penuh kepada MSN membuat pertimbangan, sementara PKBM akan berbincang dengan pasukan terbabit,” katanya.

Terdahulu, TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi, maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA.

Namun MSN sebelum ini menegaskan bahawa tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa.

Nama Azeem tetap tersenarai ke Sukan SEA

Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) masih mengharapkan ada khabar gembira daripada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berhubung penyertaannya ke Sukan SEA, Thailand hujung tahun ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Manshahar Abd Jalil yang ditemui pada mesyuarat Pemilihan Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini berkata, setakat ini Azeem tetap disenaraikan dalam skuad negara dan dijadualkan beraksi dalam tiga acara, 100 meter (m), 200m dan 4x100m.

Begitupun, keputusan hanya akan dibuat selepas Azeem pulang ke Amerika Syarikat (AS) dan melakukan perbincangan bersama jurulatihnya, Ken Harnden.

“Azeem sekarang terikat dengan kontrak bersama NCAA dan Universiti Auburn, jadi dia perlu dapatkan pelepasan dari sana.

“Memang Azeem menyuarakan hasratnya untuk mewakili negara ke Sukan SEA dan dia juga adalah aset serta menjadi harapan untuk pingat,” katanya.

Azeem yang sebelum ini meraih pingat emas acara 100 meter (m) di Jelajah Benua Gangsa Olahraga Dunia dekat India dengan catatan masa 10.35 saat (s) dijangka akan kembali ke AS minggu ini dan satu perbincangan akan berlangsung dalam masa terdekat berhubung keputusannya ke Sukan SEA.

Begitupun, tegas Manshahar, sekiranya tiada kelibat Azeem di temasya dwitahunan itu, kontinjen negara boleh mengharapkan seorang lagi pelari yang mempunyai potensi besar, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

Danish membuktikan dia mampu melakar sesuatu apabila meraih gangsa di kejohanan yang sama dengan Azeem di India biarpun kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, persaingan dalam acara utama itu masih terbuka dengan Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini bakal menjadi medan terakhir untuk menilai keupayaan atlet.

Secara keseluruhan, beliau memaklumkan bahawa kategori A melibatkan 35 atlet manakala kategori B terdiri daripada 17 atlet, yang kesemuanya telah diluluskan oleh ahli jawatankuasa untuk ke Sukan SEA.

Dua pemain dalam radar PSM

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) nekad memastikan dua bintang utama, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari, kembali menyarung jersi negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui beliau sentiasa memantau prestasi kedua-dua pemain itu yang kini berada di tahap terbaik bersama Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

“Saya tengah berusaha untuk dapatkan dua pemain ini. John (Hafizul) sebagai apit kanan dan Pak Long (Zuleffendi) apit kiri. Saya tahu prestasi mereka, jarang saya terlepas tengok perlawanan STL walaupun di TV atau telefon.

“Saya juga sudah bercakap dengan jurulatih untuk bawa mereka masuk ke skuad kebangsaan. Kami memerlukan dua pemain ini. Sebelum ini pun mereka memang ada dalam skuad, cuma semua tahu ada masalah,” katanya.

Difahamkan, nama Hafizul dan Zuleffendi sebelum ini diketepikan kerana tidak mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing memandangkan penyertaan ke kem latihan pusat memerlukan cuti panjang.

Bagaimanapun, Sumali berjanji akan bertemu majikan kedua-dua pemain itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan pelepasan, demi memastikan regu emas negara terbentuk di pentas dwi-tahunan berprestij itu.

Hafizul dan Zuleffendi yang bergandingan bersama tekong, Haziq Hairul Nizam, membuktikan dominasi mereka musim ini dengan menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam STL.

Mengulas sasaran di Sukan SEA, Sumali berkata PSM realistik dengan memburu dua emas dalam acara regu lelaki dan kuadran lelaki, selain dua perak menerusi kuadran campuran serta regu berpasukan lelaki.

Majlis Sukan Negara Malaysia