Helang Putih dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026.
Pasangan Helang Putih yang diperkenalkan adalah simbol kekuatan dan semangat belia manakala reka bentuk maskot lelaki dan wanita pula menggambarkan perpaduan, keterangkuman serta sinergi atlet dalam sukan dengan warna ikonik Selangor iaitu merah, kuning dan putih.
Maskot berkenaan pernah menghiasi temasya sama ketika Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.
Tema “Rentak Kita, Aksi Kita” turut diumumkan untuk temasya edisi kali ini.
Pelancaran logo, maskot dan tema SUKMA serta PARA SUKMA 2026 disempurnakan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohammad Norza Zakaria; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. En. Jefri Ngadirin.





