Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akhirnya menarik nafas lega apabila memperoleh kelulusan menghantar 28 pelumba negara dengan kategori A untuk beraksi di Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, keputusan itu dicapai selepas melalui proses Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang berlangsung hari ini.
Keputusan terbabit menyaksikan pasukan berbasikal negara akan memperoleh dana tambahan terutama membabitkan pelumba lebuh raya untuk bertanding di Sukan SEA Thailand.
Menurutnya, proses berkenaan adalah fasa kedua selepas sesi pertama berlangsung kira-kira dua minggu lalu bersama sekretariat.
“Pada fasa pertama, kami mempertahankan justifikasi untuk menghantar atlet basikal negara dalam empat disiplin iaitu lebuh raya, trek, BMX dan basikal bukit,” katanya.
Ahmad Arif berkata, pihaknya bersyukur apabila justifikasi yang dikemukakan diterima sepenuhnya oleh jawatankuasa pemilihan.
“Alhamdulillah, kita berjaya mendapatkan klasifikasi A untuk 28 atlet dan hanya tiga atlet menerima kategori B.
“Terima kasih pihak sekretariat, khususnya Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM atas sokongan padu terhadap cadangan dibentangkan.
“Kejayaan ini bukan sahaja hasil kerja PKBM, tetapi kerjasama rapat dengan MSN dan MOM yang memahami keperluan kita di Sukan SEA nanti,” katanya.
Sukan SEA 2025 di Thailand akan menyaksikan acara berbasikal dipertandingkan dalam empat disiplin dengan kontinjen negara meletakkan sasaran untuk menambah koleksi pingat emas.
PKBM percaya kelulusan kategori A ini akan memberi keyakinan kepada atlet untuk memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama negara di pentas serantau.