Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 12, 2025

Zii Jia dijangka kembali beraksi di Kejohanan Dunia Paris

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak beraksi di pentas antarabangsa, peminat badminton negara kini mungkin boleh melihat dia kembali menghangatkan gelanggang.

Ia berikutan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan tiada permohonan penarikan diri diterima daripada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu, bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, setakat jam 5 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

“Setakat jam lima petang, tiada permohonan penarikan diri dari pasukan Zii Jia,” katanya.

Bagaimanapun, sebarang keputusan mungkin berubah kerana tarikh akhir untuk menghantar permohonan penarikan diri adalah pada jam 11.59 malam ini.

Untuk makluman, semua pendaftaran pemain bagi kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu melalui badan induk kebangsaan itu.

Untuk rekod, Zii Jia mempunyai perlindungan ranking di kedudukan kesembilan, kini berada di kedudukan ke-52 dunia dan tidak beraksi sejak Mac lalu kerana kecederaan buku lali yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu.

Kali terakhir dia beraksi adalah di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac lalu, namun dia dihantui kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada beberapa kejohanan iaitu Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Namun, disebabkan dia mendapat perlindungan rankingnya, BWF menawarkan slot ke Paris dan Zii Jia sudah pun menerima jemputan untuk beraksi di kejohanan itu.

Kontinjen terkuat beraksi di Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Malaysia akan menurunkan barisan atlet terkuat ke Sukan SEA 2025 di Thailand, sekali gus menandakan perbezaan ketara berbanding edisi Kemboja dua tahun lalu yang memberi ruang kepada atlet muda.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, temasya dwitahunan itu juga menjadi medan penting untuk membina momentum sebelum Malaysia bergelar tuan rumah pada 2027.

“Ingat tak dulu di Kemboja saya kata kita beri peluang kepada atlet muda? Kali ini, mereka sudah sampai tahap sepatutnya.

“Fokus kita sekarang adalah prestasi. Harapan saya, prestasi meningkat menjelang Sukan SEA 2027,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Temasya Sukan SEA ke-33, semalam.

Menurut Norza, hanya satu atau dua sukan berpotensi dihantar untuk pendedahan pertama di temasya yang berlangsung di tiga wilayah Thailand itu, sebagai usaha membantu persatuan sukan berkenaan.

“Kalau ada pun sedikit sahaja. Mungkin untuk beri semangat dan pengalaman pertama kepada atlet mereka. Tetapi konsep utama kali ini adalah memastikan kehadiran kita dirasai melalui prestasi, sekali gus membina momentum ke arah menjadi tuan rumah nanti,” katanya.

Mengulas sasaran pingat, Norza berkata ia diserahkan kepada pihak berkaitan memandangkan fokus MOM ketika ini adalah memastikan persiapan atlet berjalan lancar.

“Isu sasaran ada dibincangkan, tetapi kita serah kepada pihak yang sepatutnya. Senarai akhir atlet akan dimuktamadkan pada 1 September. Buat masa ini mereka sedang menjalani persiapan dan ada kejohanan penting pada Ogos dan September,” katanya.

Kemelut tuntutan dana MPC, TSG terjawab minggu ini

Kuala Lumpur: Isu tuntutan dana oleh dua pasukan berbasikal profesional negara, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) dijangka dimuktamadkan Majlis Sukan Negara (MSN) minggu ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah MSN, Jeffri Ngadirin dengan mengumumkan bahawa MSN akan menghulurkan bantuan kepada dua pasukan berkenaan namun menegaskan jumlah yang dituntut iaitu RM250,000 itu terlalu banyak justeru ia perlu dibincangkan semula dengan lebih terperinci.

“Kita akan beri bantuan, cuma jumlahnya bergantung kepada perbincangan nanti sebab RM250,000 itu terlalu besar.

“Jangan lupa, kali ini kita hantar hampir 50 jenis sukan membabitkan 800 hingga 900 atlet, jumlah yang sangat besar untuk ditanggung kerajaan.

“Tapi insya-Allah isu ini akan selesai minggu ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA, Thailand.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan bahawa kesemua atlet berbasikal lebuh raya negara mendapat kelulusan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di bawah kategori A.

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman memaklumkan pecahan awal skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA adalah 4-4-1 membabitkan empat pelumba TSG, empat pelumba MPC dan seorang lagi dari skuad kebangsaan.

Bagaimanapun senarai akhir pelumba akan diputuskan pada 1 September ini bagi memberi ruang rundingan bersama MSN berhubung permohonan tambahan atlet.

“Ini misi mempertahankan dua pingat emas lebuh raya yang dimenangi dua edisi berturut-turut. Kita mahu berikan peluang penuh kepada MSN membuat pertimbangan, sementara PKBM akan berbincang dengan pasukan terbabit,” katanya.

Terdahulu, TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi, maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA.

Namun MSN sebelum ini menegaskan bahawa tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa.

Nama Azeem tetap tersenarai ke Sukan SEA

Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) masih mengharapkan ada khabar gembira daripada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berhubung penyertaannya ke Sukan SEA, Thailand hujung tahun ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Manshahar Abd Jalil yang ditemui pada mesyuarat Pemilihan Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini berkata, setakat ini Azeem tetap disenaraikan dalam skuad negara dan dijadualkan beraksi dalam tiga acara, 100 meter (m), 200m dan 4x100m.

Begitupun, keputusan hanya akan dibuat selepas Azeem pulang ke Amerika Syarikat (AS) dan melakukan perbincangan bersama jurulatihnya, Ken Harnden.

“Azeem sekarang terikat dengan kontrak bersama NCAA dan Universiti Auburn, jadi dia perlu dapatkan pelepasan dari sana.

“Memang Azeem menyuarakan hasratnya untuk mewakili negara ke Sukan SEA dan dia juga adalah aset serta menjadi harapan untuk pingat,” katanya.

Azeem yang sebelum ini meraih pingat emas acara 100 meter (m) di Jelajah Benua Gangsa Olahraga Dunia dekat India dengan catatan masa 10.35 saat (s) dijangka akan kembali ke AS minggu ini dan satu perbincangan akan berlangsung dalam masa terdekat berhubung keputusannya ke Sukan SEA.

Begitupun, tegas Manshahar, sekiranya tiada kelibat Azeem di temasya dwitahunan itu, kontinjen negara boleh mengharapkan seorang lagi pelari yang mempunyai potensi besar, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

Danish membuktikan dia mampu melakar sesuatu apabila meraih gangsa di kejohanan yang sama dengan Azeem di India biarpun kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, persaingan dalam acara utama itu masih terbuka dengan Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini bakal menjadi medan terakhir untuk menilai keupayaan atlet.

Secara keseluruhan, beliau memaklumkan bahawa kategori A melibatkan 35 atlet manakala kategori B terdiri daripada 17 atlet, yang kesemuanya telah diluluskan oleh ahli jawatankuasa untuk ke Sukan SEA.

Dua pemain dalam radar PSM

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) nekad memastikan dua bintang utama, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari, kembali menyarung jersi negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui beliau sentiasa memantau prestasi kedua-dua pemain itu yang kini berada di tahap terbaik bersama Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

“Saya tengah berusaha untuk dapatkan dua pemain ini. John (Hafizul) sebagai apit kanan dan Pak Long (Zuleffendi) apit kiri. Saya tahu prestasi mereka, jarang saya terlepas tengok perlawanan STL walaupun di TV atau telefon.

“Saya juga sudah bercakap dengan jurulatih untuk bawa mereka masuk ke skuad kebangsaan. Kami memerlukan dua pemain ini. Sebelum ini pun mereka memang ada dalam skuad, cuma semua tahu ada masalah,” katanya.

Difahamkan, nama Hafizul dan Zuleffendi sebelum ini diketepikan kerana tidak mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing memandangkan penyertaan ke kem latihan pusat memerlukan cuti panjang.

Bagaimanapun, Sumali berjanji akan bertemu majikan kedua-dua pemain itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan pelepasan, demi memastikan regu emas negara terbentuk di pentas dwi-tahunan berprestij itu.

Hafizul dan Zuleffendi yang bergandingan bersama tekong, Haziq Hairul Nizam, membuktikan dominasi mereka musim ini dengan menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam STL.

Mengulas sasaran di Sukan SEA, Sumali berkata PSM realistik dengan memburu dua emas dalam acara regu lelaki dan kuadran lelaki, selain dua perak menerusi kuadran campuran serta regu berpasukan lelaki.

Jun Hao azam cipta kejutan di Paris

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao bertekad untuk menjadikan penampilan sulungnya di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuan diri.

Meletakkan sasaran untuk mara lebih jauh, pemain di ranking ke-25 itu mengakui tidak merasa tekanan sebaliknya selesa apabila turun berdepan pemain di ranking lebih baik.

Malah, dia turut mengakui teruja apabila tampil buat kali pertama di pentas berprestij itu dan pastinya mahu melakarkan sesuatu dalam kerjaya badmintonnya.

Tegas Jun Hao, kejohanan dunia membuka peluang sama rata kepada semua pemain tanpa mengira status.

“Sasaran saya adalah ambil satu demi satu perlawanan dan buat yang terbaik setiap kali turun gelanggang.

“Jika diikutkan semua ada peluang. Saya harap dapat mencipta kejutan demi kejutan dalam satu kejohanan, bukan sekadar sekali-sekala,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Meskipun musimnya agak tidak menentu dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir Terbuka Singapura, Jun Hao sudah membuktikan kemampuan menumbangkan nama besar seperti Jonatan Christie (ranking kelima dunia) di Terbuka Singapura; Kodai Naraoka (kelapan) di Piala Sudirman dan Kenta Nishimoto (ke-14) di Terbuka China.

Jun Hao dijadual berlepas ke Denmark, Sabtu ini, bagi menjalani latihan selama lima hari sebelum terbang ke Paris, dalam usaha jurulatih untuk membiasakan diri dengan cuaca selain mendapatkan rakan sepelatih yang berkualiti bersama pemain kebangsaan Denmark.

“Ini kali pertama kami buat persediaan seperti ini. Jurulatih kami dari Denmark dan ada hubungan baik di sana, jadi ia inisiatif yang bagus.

“Walaupun saya tidak pasti siapa yang akan ada, berlatih bersama pasukan Denmark pasti beri pengalaman berbeza,” jelasnya.

Selain Jun Hao, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat dalam acara ini adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei yang meraih perak pada edisi 2015 di Jakarta, Indonesia.

Nova tuntut Tang Jie-Ee Wei ubah mentaliti

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menuntut gandingan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei supaya mengubah mentaliti apabila beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Beberapa masalah sudah dapat dikesan ke atas beregu negara itu terutama apabila mereka gagal meraih sebarang gelaran biarpun mara ke separuh akhir sebanyak lima kali.

Bagi mengatasi masalah itu, Nova bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky merangka latihan simulasi untuk berdepan tekanan dalam gelanggang.

Tambahnya, Tang Jie–Ee Wei kerap hilang rentak apabila lawan mengejar mata atau apabila salah seorang daripada mereka bergelut di gelanggang.

“Kita tidak boleh tunggu kejohanan untuk uji perkara ini. Kalau sudah biasa atasi tekanan di latihan, peluang untuk melakukannya di pertandingan akan lebih tinggi.

“Mereka boleh bermain baik ketika mendahului, tetapi apabila kedudukan menjadi rapat, permainan jadi sedikit kucar-kacir.

“Mereka ada teknik, tapi jadi masalah bila permainan tidak memihak kepada mereka.

“Jadi inilah yang mereka kena ubah dan cari jalan untuk menang walaupun tidak bermain pada tahap terbaik,” jelasnya.

Nova menyasarkan untuk beregu di ranking keempat dunia itu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir di Paris, sekali gus membawa pulang pingat memandangkan kedudukan mereka selaku beregu pilihan.

Jika menjejakkan kaki ke podium, Tang Jie–Ee Wei akan menjadi pasangan kedua negara meraih pingat dalam beregu campuran di Kejohanan Dunia selepas Koo Kien Keat–Wong Pei Tty pada 2006.

Rexy perlu seminggu lagi sebelum umum skuad ke Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memerlukan tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi sebelum memuktamadkan senarai akhir skuad badminton negara ke Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Beliau menjelaskan, perbincangan masih berjalan bersama ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi serta barisan jurulatih lain bagi menentukan barisan terbaik yang mampu memberi cabaran kepada dua kuasa besar serantau, Indonesia dan Thailand.

Katanya, tempoh masa itu diperlukan untuk melihat barisan pemain akan dihantar oleh dua musuh utama negara iaitu Thailand dan Indonesia.

“Untuk senarai setakat ini kita sudah ada cadangan, tapi saya perlukan beberapa hari lagi, mungkin seminggu.

“Keputusan mungkin akan dibuat sebelum kita berangkat ke Kejohanan Dunia,” katanya ketika ditemui Mesyuarat Pemilihan ke Sukan SEA Thailand.

Terdahulu, BAM mengesahkan akan menghantar barisan terkuat untuk ke temasya dwi tahunan itu dengan beberapa pemain terkemuka negara seperti beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersenarai dalam skuad.

Ia susulan tiada pertindihan jadual antara Sukan SEA dan Jelajah Dunia Akhir seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Malah Thailand sudah mengubah tarikh kejohanan bagi membolehkan mereka menurunkan skuad terkuat.

“Kalau Indonesia hantar skuad penuh, Thailand pun penuh, kita perlu pastikan letak barisan boleh mencabar mereka untuk rebut pingat emas,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan beregu lelaki utama negara, Aaron-Wooi Yik yang mahu memberi peluang kepada rakan sepelatih lain, Rexy berkata, pandangan itu akan dibincangkan bersama jurulatih.

“Kita perlu menghargai pandangan pemain, tapi ini akan dibincangkan bersama jurulatih.

“Kita ada ramai pilihan di beregu seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Haikal Nazri dan lain-lain yang berada pada tahap setanding lawan dari Thailand atau Indonesia,” jelasnya.

Rexy turut mengesahkan pasangan utama seperti Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih berada dalam senarai, namun menegaskan ia belum dimuktamadkan.

“Jangan terlalu awal menunjukkan kita akan turunkan siapa, sebab ini belum keputusan akhir.

“Kita mahu melihat senarai akhir pihak lawan. Tapi yang pasti, Thailand akan turunkan skuad penuh,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia