Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 8, 2025

KURSUS PENGURUSAN SUKAN KEBANGSAAN (KPSK) TAHAP 1 BERSAMA SEKRETARIAT WANITA DALAM SUKAN SIRI 2/2025

Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Sekretariat Wanita Dalam Sukan telah menganjurkan Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 Siri 2/2025 pada 6 hingga 8 Ogos 2025 bertempat di Hotel Berjaya Penang, Pulau Pinang.

Seramai 30 peserta telah menyertai kursus ini, terdiri daripada wakil Persatuan Sukan Negeri, Persatuan Para Kebangsaan, kelab, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), serta pentadbir sukan dari pelbagai peringkat.

Penganjuran kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas pengurusan sukan dalam kalangan wanita serta pentadbir sukan dari pelbagai organisasi ke arah melahirkan pengurus sukan yang lebih berdaya saing dan berwibawa.

PARA ASEAN 2025, ZARRAWI RAVI ABDULLAH DILANTIK KETUA KONTINJEN

BUKIT JALIL, 7 Ogos – Persiapan negara ke Temasya Para ASEAN Thailand terus diperkukuh menerusi Mesyuarat Bersama Persatuan Sukan Para Kebangsaan (PSK) yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Mesyuarat kali pertama yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, En. Mohd Sofian Hamzah turut menyaksikan pelantikan rasmi Encik Zarrawi Ravi Abdullah sebagai Ketua Kontinjen Negara.

Antara fokus utama ialah pembentangan kriteria pemilihan atlet oleh Majlis Paralimpik Malaysia, melibatkan pemenang pingat, pemegang rekod serta atlet pembangunan yang layak secara klasifikasi dan kesihatan.

Temasya Edisi ke-13 kali ini mempertandingkan 19 jenis sukan di sekitar daerah Nakhon Ratchasima (Korat) bermula 20 hingga 26 Januari 2026.

Majlis Sukan Negara Malaysia