Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengadakan sesi meja bulat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) untuk menyelaras pelaksanaan 20 jenis sukan teras prestasi tinggi yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan 14 April lalu.
Inisiatif ini adalah bagi memastikan program pembangunan atlet ini lebih sistematik dan terancang selain memastikan KPM dan KPT melaksanakan program pembangunan untuk 20 sukan teras prestasi tinggi yang sama.
Sesi meja bulat ini dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, En. Jefri Ngadirin yang turut dihadiri wakil KPM Pn. Norhamimi Othman ; Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sukan, Bahagian Sukan, Ko-Kurikulum dan Kesenian dan KPT serta Dr. Hanafiah Ayub; Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik.
Turut berlangsung, taklimat permohonan dana sukan bersama 58 PSK dibawah Majlis Olimpik Malaysia serta 25 sukan Para dibawah Majlis Paralimpik Malaysia bersama Kementerian Belia dan Sukan.
Perbincangan ini menjelaskan tatacara dan proses dalam memohon bantuan-bantuan dibawah Kementerian Belia dan Sukan terutamanya Geran Padanan Sukan, Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara dan Dana Komuniti Sukan.
















