Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives June 3, 2025

Tak mustahil rampas status No.1 dunia

AARON Chia-Soh Wooi Yik kini berada di landasan terbaik untuk merampas kedudukan nombor satu dunia susulan prestasi konsisten yang dipamerkan dalam siri kejohanan antarabangsa sejak April lalu.

Pemerhati badminton negara, Roslin Hashim yakin pasangan yang kini menghuni ranking ketiga dunia itu memiliki keupayaan untuk menamatkan penantian sebagai beregu nombor satu dunia buat kali pertama dalam karier mereka.

“Melihat kepada prestasi semasa, saya percaya mereka mampu naik ke ranking tertinggi dunia. Apa yang penting mereka kena konsisten.

“Mereka bukan sahaja meraih kejuaraan demi kejuaraan, tetapi juga membuktikan kebangkitan hebat selepas pulih daripada kecederaan,” katanya.

Gandingan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu mencipta sensasi apabila merangkul tiga kejuaraan berturut-turut dalam tempoh dua bulan bermula dengan Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China (April), diikuti Terbuka Thailand (Mei) dan terbaru, Terbuka Singapura minggu lalu.

Pasangan nombor satu dunia ketika ini, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengumpul 91,090 mata, manakala pasangan Denmark di ranking kedua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen mengumpul 90,411 mata.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini hanya ketinggalan sekitar 1,200 mata di belakang Sze Fei-Izzuddin dan satu lagi persembahan cemerlang di Terbuka Indonesia yang bermula hari ini, berpotensi meletakkan mereka sebagai pasangan nombor satu dunia yang baharu.

Dengan status kejohanan bertaraf Super 1000, Terbuka Indonesia menawarkan kutipan maksimum 12,000 mata kepada juara, sekali gus membuka laluan realistik buat Aaron-Wooi Yik untuk merampas kedudukan teratas dunia, sekiranya mereka melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.

Ranking terbaik sepanjang karier Aaron-Wooi Yik setakat ini ialah tempat kedua dunia yang dicapai pada Januari 2023.

Dalam pada itu, Roslin yang juga bekas pemain negara melihat kehadiran jurulatih Herry Iman Pierngadi menjadi pelengkap sempurna kepada Aaron-Wooi Yik.

Menurutnya, kehadiran Herry atau lebih dikenali dengan gelaran Naga Api ternyata berjaya menggilap potensi sebenar gandingan utama negara itu.

“Memang sekarang ini menjadi sentuhan Herry. Kita memang tahu Aaron-Wooi Yik ada kualiti, cuma sebelum ini mereka perlu digilap dan diperbaiki dari beberapa aspek.

“Daripada segi arahan dan taktikal, Herry berjaya bawa perubahan besar kepada mereka. Tambahan pula, Aaron dan Wooi Yik cepat memahami apa yang dimahukan Herry,” katanya.

Naga Api bersahaja tapi tetap berbisa

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui pendekatan santai Herry Iman Pierngadi memberi impak besar dalam kebangkitan mereka sehingga bergelar juara Terbuka Singapura.

Menurut gandingan nombor tiga dunia itu, Herry mahir mengeksploitasi psikologi pemain dengan tidak memberikan tekanan melampau sebaliknya lebih banyak melakukan dorongan selain mampu mencetuskan suasana positif di dalam dan luar gelanggang.

Bagi Aaron, kaedah jurulatih dari Indonesia yang digelar Naga Api itu telah mengubah corak permainannya dan Wooi Yik menjadi lebih konsisten serta mantap.

“Walaupun Herry baru beberapa bulan bersama kami, peningkatan prestasi sudah mula kelihatan. Dia banyak memberikan keyakinan kepada pemain tanpa meletakkan tekanan berlebihan.

“Pendekatan latihannya mungkin sedikit berbeza dan memerlukan masa untuk disesuaikan, namun impaknya jelas terhadap keseluruhan corak permainan kami,” kata Aaron.

Senada dengan Aaron, Wooi Yik turut menghargai sumbangan besar Herry yang pernah melahirkan pasangan legenda Indonesia seperti Candra Wijaya-Tony Gunawan (juara Olimpik Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (juara Olimpik Beijing 2008).

“Dia membantu menyusun semula struktur permainan kami dengan lebih tersusun, menjadikan corak permainan yang sebelum ini tidak konsisten kini lebih seimbang dan berkesan,” ujarnya.

Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian 17 tahun negara untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura selepas mereka menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae 15-21, 21-18, 21-19.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik sudah beraksi di empat pentas akhir dalam tempoh kira-kira tujuh minggu sejak pertengahan April lalu selepas mendapat sentuhan Herry pada Februari.

Antara pencapaian mereka dalam tempoh tersebut termasuk menjuarai Kejohanan Badminton Asia di China, juara Terbuka Thailand dan naib juara Malaysia Masters.

Selepas ini, Aaron-wooik Yik mengalihkan fokus mereka kepada Terbuka Indonesia yang bermula hari ini hingga Ahad di Istora Senayan, Jakarta.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Fradeik Soogard iaitu lawan yang dikalahkan mereka pada pusingan pertama di Terbuka Singapura.

Majlis Sukan Negara Malaysia