Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives June 2, 2025

Sivasangari mara ke pusingan ketiga Terbuka British

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy wanita negara S. Sivasangari melangkah ke pusingan ketiga kejohanan Terbuka British 2025 di Birmingham hari ini.

Dalam aksi pusingan kedua di Birmingham Repertory Theatre pemain ranking kelapan dunia itu memerlukan 45 minit untuk mencatat kemenangan 12-10, 9-11, 11-8, 11-7 ke atas wakil India Ahanat Singh.

Menanti Sivasangari di pusingan ketiga, pemain pilihan ketujuh kejohanan dari Jepun Satomi Watanabe yang turut mara selepas menewaskan pemain Perancis Melissa Alves 11-8, 11-5, 11-1.

Terdahulu, Sivasangari bergelar satu-satunya wakil wanita Malaysia yang masih meneruskan cabaran dalam kejohanan tersebut selepas Aira Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi tersingkir awal.

Jaguh skuasy lelaki negara Ng Eain Yow juga kalah kepada lawan bukan pilihan pada pusingan kedua awal pagi tadi. – BERNAMA

Bolehkah Aaron-Wooi Yik jadi macam robot?

KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu yang luar biasa, adakah Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu terus mengaum di Jakarta dan mengekalkan momentum kejuaraan mereka dalam aksi Terbuka Indonesia yang bermula esok?

Tiada siapa dapat menafikan ketangkasan dan konsistensi beregu utama negara itu yang berjaya mara ke final tiga kali berturut-turut, bermula dengan Terbuka Thailand, Masters Malaysia, dan paling manis, menamatkan kemarau 17 tahun negara di Terbuka Singapura, semalam.

Namun, dengan rekod 14 kemenangan daripada 15 perlawanan dan menghabiskan 727 minit di gelanggang hanya dalam tempoh tiga minggu, isu ketahanan fizikal dan mental kini menjadi topik utama menjelang kejohanan keempat berturut-turut yang bakal mereka tempuhi dan kali ini di pentas Super 1000 yang penuh ranjau.

Sebagai manusia biasa, Aaron-Wooi Yik pastinya terdedah kepada keletihan, baik dari aspek tubuh mahupun mental.

Walaupun berstatus bekas juara dunia dan kini kembali menemui rentak kemenangan, tubuh atlet bukan robot yang boleh beroperasi tanpa had.

Lebih mencabar, Terbuka Indonesia menghimpunkan hampir semua pasangan terbaik dunia termasuk daripada kelompok 10 terbaik.

Justeru, sentuhan magis Herry Iman Pierngadi – jurulatih yang digelar ‘Naga Api’ pastinya ditagih bagi memastikan anak didiknya kekal tajam dan bersemangat tinggi.

Sejak dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki negara pada Februari lalu, sentuhan Herry nyata membawa nafas baharu dalam permainan Aaron-Wooi Yik, terutama dari aspek taktikal, komunikasi serta ketahanan mental ketika berdepan tekanan.

Kini, buat pertama kali, Herry akan kembali ke tanah airnya sebagai ‘musuh’ di gelanggang, dalam misi membantu Malaysia menakluk Istora Senayan yang penuh aura.

Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen di Jakarta menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, pada pusingan pertama.

Persoalannya kini bukan sekadar kemampuan mereka menambah koleksi kejuaraan dan memburu hadiah juara AS$107,300 (RM456,593), tetapi bagaimana untuk terus konsisten dalam menghadapi batas tubuh badan sendiri, ketika tekanan dan harapan semakin meninggi.

Aaron-Wooi Yik sudah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar harapan badminton Malaysia, tetapi juga simbol ketekunan dan keberanian.

Jika sekali lagi mampu menembusi ke final minggu ini, mereka bukan sahaja mencipta sejarah, malah boleh dilabel beregu lelaki terbaik di atas ‘planet bumi’ ketika ini.

Namun, segalanya bergantung kepada bagaimana mereka mengurus keletihan dan menyalakan semula api perjuangan di tengah ribuan penyokong fanatik badminton Indonesia yang terkenal dengan sorakan membakar semangat atau provokasi yang melunturkan semangat.

Syazwani sasar Boling Terbuka Singapura

Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Nur Syazwani Sahar optimis mampu mencapai prestasi cemerlang sekali gus berada dalam kelompok 10 terbaik pada Kejohanan Boling Terbuka Singapura yang akan bermula 10 hingga 13 Jun ini.

Jelas Syazwani, segala persiapan akan dilakukan dengan lebih rapi dan akan memberi penekanan kepada beberapa aspek bagi memastikan setiap balingannya itu dapat menjatuhkan kesemua pin.

“Dengan masa yang ada sebelum kejohanan itu bermula, saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk menajamkan semula kemahiran dan menyasarkan diri untuk berada di kelompok 10 terbaik di Terbuka Singapura,” katanya.

Selain itu, dirinya turut mendapat motivasi selepas muncul pemain wanita terbaik dalam kategori Divisyen Terbuka Masters pada Kejohanan Boling Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIO) 2025, semalam.

Mengulas mengenai prestasi di KLIO 2025, dia mengakui kekurangan masa berehat selepas sampai daripada Amerika Syarikat (AS) sedikit sebanyak memberi kesan kepada momentumnya pada hari kejadian.

Di samping itu, Syazwani yang menyertai pertandingan Jelajah Profesional Boling Wanita (PWBA) Queens berjaya meraih kedudukan 16 terbaik daripada hampir 200 peserta antarabangsa.

Misi Irfan belum selesai, Petrovic cabar pecah rekod Sukan Sea

Kuala Lumpur: Jurulatih lempar cakera negara, Frank Petrovic meletakkan sasaran utama buat anak didiknya, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk memecah rekod kejohanan di Sukan Sea Thailand pada Disember nanti.

Jelasnya, beliau yakin Irfan mempunyai kekuatan dan mampu merealisasikan perkara itu berdasarkan prestasi semasa ketika ini.

Katanya, jika dilihat pada prestasi, atlet berusia 30 tahun itu dijangka sekali lagi tidak berdepan masalah besar untuk menyumbang emas buat kem olahraga negara namun kali ini bukan sekadar emas sebaliknya mengejar yang lebih besar.

“Sudah tentu kami ada dua sasaran utama tahun ini. Yang pertama ini sudah selesai (di Korea Selatan), sekarang kami melalui musim pertandingan dan kemudian kami perlu berada di tahap kemuncak sekali lagi pada hujung tahun ini untuk menyertai Sukan Sea di Bangkok, Thailand.

“Jadi, pada edisi kali ini, sasaran untuk Irfan bukan sekadar pingat emas tetapi adalah untuk dia pecah rekod kejohanan,” katanya.

Selain itu, Petrovic menyatakan segala persiapan yang diperlukan sudah dilakukan dengan begitu teliti dan mereka akan memastikan perancangan yang diatur itu berjalan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan dapat diraih.

Aaron-Wooi Yik puji sentuhan ‘pawang’ Herry IP, tamat penantian 17 Tahun rangkul juara Terbuka Singapura

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui kehadiran jurulatih dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi umpama ‘pawang’ yang mempunyai mantra sakti sehingga berjaya membawa mereka ke puncak prestasi ketika ini.

Jelas Wooi Yik, sentuhan magis daripada Herry memberi impak yang sangat besar dalam permainan sehingga menjadikan mereka antara gandingan terbaik setakat ini dengan pelbagai corak permainan agresif, termasuk mara ke final sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Saya rasa sangat istimewa. Sejak dia (Herry) datang, dia banyak membuka gaya permainan kami. Namun, saya dan Aaron sudah mempunyai asas serta pengalaman di dalam gelanggang. Dia menambah idea serta teknik yang diperlukan untuk meningkatkan permainan kami.

“Bagi saya, itu sangat ‘world class’. Namun, kami masih ada banyak lagi yang perlu ditingkatkan dan dipelajari bagi menghadapi kejohanan akan datang. Saya harap semuanya akan berjalan lancar,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya mengenai aksi menentang pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, di final semalam, Wooi Yik menyatakan mereka cuba menyesuaikan diri dengan pergerakan angin selain cuba menguasai bahagian depan gelanggang.

“Saya rasa angin di sini agak kuat dan kami banyak mendominasi di bahagian depan terutama tiga pukulan utama. Siapa yang lebih baik bermain bahagian depan, dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan mata.

“Jadi, dari situ kami kurangkan segala kesilapan untuk mengatasi mereka dan perkara itu berjaya kami lakukan dengan sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Aaron melihat mereka sangat yakin dalam perlawanan akhir itu dan berjaya mendapatkan momentum sebelum mengekalkan rentak sehingga ke set penentuan.

“Pada set pertama itu, walaupun kami kalah dengan mata yang sengit, kami tetap ada keyakinan kerana kami tahu permainan yang kami tunjukkan masih bagus dan tepat. Jadi, pada set kedua dan ketiga, kami kekal dengan strategi yang sama sehingga meraih kemenangan,” katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik meneruskan mimpi indah mereka apabila muncul juara Terbuka Singapura selepas menewaskan Won Ho-Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan selama 65 minit untuk merangkul gelaran kedua dalam tempoh tiga minggu.

Meskipun berdepan gandingan Korea yang sangat konsisten musim ini, namun corak permainan agresif dan pantas dengan serangan laju ternyata menyukarkan lawan bagi membalas setiap pukulan wakil negara itu sekali gus menamatkan penantian selama 17 tahun untuk muncul juara di kejohanan berkenaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia