Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 7, 2025

Azmi tanding kerusi Timbalan Presiden MOM

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad, mengesahkan bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan badan induk sukan negara itu.

Nur Azmi yang juga bekas Ketua Kontinjen (CDM) negara ke temasya Sukan Sea 2021 di Vietnam serta pemilik kelab bola sepak tempatan, Melaka FC, dilihat sebagai antara calon paling berpengaruh dan berpengalaman untuk menjawat jawatan itu.

Beliau bukan sahaja aktif dalam pembangunan sukan tempatan, malah pernah menyandang beberapa jawatan utama dalam badan sukan lain seperti Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), sekali gus membuktikan kelayakannya untuk memegang jawatan nombor dua tertinggi dalam MOM.

Nur Azmi ketika dihubungi memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyandang jawatan terdahulu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang tidak akan mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan kali ini.

“Saya bersedia menggalas tanggungjawab itu sekiranya diberikan kepercayaan.

“Saya sudah berhubung dengan Hamidin untuk mendapatkan restu dan bekas Presiden FAM itu juga menyokong hasrat saya untuk bertanding jawatan yang bakal ditinggalkan itu.

“Saya berpegang pada prinsip untuk berkhidmat demi pembangunan sukan negara. Jika diberi peluang, saya akan teruskan usaha memartabatkan sukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang kini memegang jawatan Naib Presiden MOM.

Difahamkan, selain Nur Azmi, beberapa tokoh lain turut menunjukkan minat terhadap jawatan tersebut, namun belum ada pengesahan rasmi dibuat setakat ini.

Pemilihan jawatankuasa baharu MOM dijangka berlangsung di Wisma MOM pada 19 April ini dan pertandingan kali ini dijangka sengit dengan beberapa nama besar turut disebut-sebut bakal mencabar beberapa jawatan utama.

Jawatan Timbalan Presiden MOM dianggap antara kedudukan paling penting kerana peranannya sebagai penyambung tugas presiden selain terlibat secara langsung dalam perancangan jangka panjang, terutamanya dalam persiapan menghadapi temasya besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Sea.

Untuk rekod, Nur Azmi memainkan peranan penting ketika mengetuai kontinjen negara di Sukan Sea 2021 di Vietnam, di mana Malaysia berjaya mencapai kejayaan cemerlang dengan meraih 39 pingat emas, 45 pingat perak, dan 89 pingat gangsa. Kejayaan itu meletakkan Malaysia di kedudukan keenam dalam senarai kedudukan carta pingat.

Pemerhati sukan menyifatkan pencalonan Nur Azmi sebagai satu langkah positif ke arah pemantapan kepimpinan MOM yang lebih progresif, inklusif dan mendukung agenda pembangunan sukan negara.

Ken Nee puas hati terjunan Enrique

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Program Terjun Kebangsaan Yeoh Ken Nee berpuas hati dengan persembahan ditampilkan penerjun muda negara Enrique Maccartney Harold pada Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico, Sabtu lepas.

Menurut Ken Nee, Enrique berasal dari Sarawak dan berusia 19 tahun berjaya mencapai markah kelayakan minimum ditetapkan, namun masih perlu memperkemaskan aspek teknikal dalam terjunan.

“Enrique setakat ini menunjukkan prestasi yang sepadan dan berjaya mencapai skor kelayakan minimum. Bagaimanapun, dia kurang bernasib baik untuk mara ke final kerana saingan yang sangat sengit, terutama sekali daripada penerjun tuan rumah yang menunjukkan peningkatan ketara.

“Namun, ini berita baik buat acara platform lelaki negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam aksi kelayakan di Mexico, Enrique menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan kutipan keseluruhan 372.05 mata.

Sementara itu, ketika diminta mengulas prestasi ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong, Ken Nee mengakui atlet Olimpian itu gagal mencapai markah kelayakan minimum iaitu 290 mata.

Namun begitu, beliau memuji peningkatan prestasi Pandelela berbanding penampilan terakhirnya pada kejohanan tahun lepas.

“Prestasi Pandelela menunjukkan perkembangan positif. Tahun lalu, dia meraih 258.80 mata di Terbuka Malaysia dan kali ini berjaya mencatat 267.85 mata.

“Saya berharap markah itu akan terus meningkat apabila beliau beraksi di Piala Dunia Terjun di Windsor, Kanada hujung minggu ini,” katanya.

Untuk rekod, Pandelela turut terlepas slot final 10m platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan mengumpul 267.85 mata pada pusingan kelayakan.

Alia sasar emas Sukan Sea 2025

Kuala Lumpur: Penembak berpengalaman negara Alia Sazana Azahari tidak terkilan selepas rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita yang diciptanya pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, Februari lepas tidak diiktiraf sebagai rekod dunia.

Atlet berusia 33 tahun itu berkata, keputusan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) tidak mengiktiraf rekod tersebut, diterima dengan hati terbuka memandangkan kejohanan tersebut tidak disertai penembak profesional dari seluruh dunia.

“Ia dijustifikasikan kerana kita di Piala Asia yang hanya atlet Asia bertanding, jadi sebagai rekod dunia tidak sah kerana kita tidak bertanding dengan wakil negara lain di dunia.

“Saya terimanya dan faham akan perkara itu dengan baik, tetapi Alhamdulillah negara Asia memperakui rekod itu,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar (B) Jasni Shaari berkata, persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada ISSF, untuk mengiktiraf rekod berkenaan sebagai rekod dunia.

Alia Sazana memecahkan rekod Asia sekali gus membawa pulang pingat emas dalam acara 25m pistol wanita pada kejohanan tersebut Lapang Sasar Menembak SAT.

Dia membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target, sekali gus memadamkan rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Alia Sazana dalam masa sama menyifatkan pengalaman diraihnya pada kejohanan tersebut merupakan kenangan cukup bermakna sejak mewakili skuad kebangsaan 13 tahun lepas dan kini mengalihkan fokus bagi membidik emas Sukan Sea 2025 di Bangkok, Disember tahun ini.

“Ia bukan mengenai pingat atau rekod, tentunya ia pencapaian terbaik yang saya pernah capai dalam hidup saya, dan ia mengenai keadaan saya di sana ketika final iaitu sesuatu saya tidak pernah jangka untuk berlaku,” katanya.

Azeem mampu catat rekod baharu 200m, 100m

Kuala Terengganu: Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yakin pelari berpotensi negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu memecah rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m).

Jelas bekas atlet kebangsaan yang pernah beraksi di temasya Sukan Olimpik Athens 2004 itu, prestasi mantap dipamerkan atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu membuktikan lariannya semakin meningkat.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu, tidak mustahil untuk Azeem mencipta sejarah melakukan catatan masa bawah 10 saat (s) dalam acara 100m.

Terdahulu pelari berusia 21 tahun itu membuktikan keupayaan apabila menamatkan larian di kedudukan pertama saringan keenam pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.

Pada kejohanan itu, Azeem merekod catatan masa 20.79 s iaitu ketinggalan hanya 0.02s dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib yang merekod 20.77s yang dilakukan pada 2019.

“Selepas tiga tahun tidak beraksi dalam acara 200m, Azeem mengejutkan dunia olahraga negara apabila mencatat masa 20.79 s di bumi Amerika Syarikat sekali gus mencatat rekod peribadi baharunya.

“Lebih menarik, prestasi luar biasa itu hadir bukan daripada acara utamanya, 100 meter, sebaliknya daripada acara yang telah lama ditinggalkan sejak 2021.

“Ini menandakan sesuatu yang besar sedang dibina bukan sahaja dalam acara 200m, tetapi sebagai persediaan besar untuk misi utama menjadi pelari Malaysia pertama berlari bawah 10s,” kata pelari kelahiran Terengganu itu ketika dihubungi.T

Tambah Nazmizan, dengan rekod kebangsaan 10.09s dalam acara 100m, Azeem kini hanya dipisahkan 0.09s daripada tembok psikologi yang selama ini belum berjaya ditembusi mana-mana atlet Malaysia berlari bawah 10s.

Majlis Sukan Negara Malaysia