Dahulu jaguh olahraga PARA SUKMA, kini cemerlang di kolam renang

MIRI, 28 April: Selama 18 tahun mewakili Sarawak dalam sukan olahraga pada Para SUKMA, Donny Jaranding sering membutirkan kilauan pingat kepada kontinjen Bumi Kenyalang.

Sejak 1998 hingga 2016, Donny berkata, dia merupakan atlet pecut yang sering bertanding acara 100 meter, 200 meter selain turut beraksi dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.

“Masa itu (dalam) olahraga (Para SUKMA) saya sapu habis kerana sering menyumbang empat pingat untuk Sarawak,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Dataran Kipas Miri di sini hari ini.

Atlet berusia 44 tahun berasal dari Kapit itu yang bertanding kategori masalah penglihatan berkata, sejak 2017 pula dia mula beralih kepada sukan renang.

Bakal bertanding kali terakhir di pentas Para SUKMA berikutan had umur 45 ditetapkan penganjur, Donny berkata dia akan melakukan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri untuk meraih pingat.

“Saya sebenarnya masih mampu bertanding tetapi mereka sudah hadkan umur, jadi untuk edisi akan datang, tiada lagi kelibat saya,” katanya yang pernah meraih pingat perak dan gangsa acara renang sebelum ini.

Sementara itu, bagi Sheena Ong yang bertanding kategori kurang upaya intelektual (ID) turut yakin akan kemampuannya untuk meraih kejayaan di tempat sendiri.

“Saya mula terlibat sukan renang pada 2018 dan pada satu pertandingan empat tahun lepas di Kuala Lumpur, saya memenangi pingat perak dan gangsa,” katanya.

Berbeza pula bagi Raymalos Andrew (atlet kategori cacat fizikal) yang akan bertanding kali pertama pada pentas Para SUKMA.

“Baru – baru ini saya sertai pertandingan di Johor dan Kuala Lumpur sebagai persiapan dan mendapat pingat gangsa.

“Harapan saya pada Para SUKMA tidak besar kerana masih cetek pengalaman namun akan buat yang terbaiklah,” ujarnya.

Sementara itu jurulatih renang Para SUKMA Sarawak Bahagian Miri, Mandu Nyungkan yakin kemampuan anak buahnya untuk menyumbang pingat.

Katanya, atlet di bawah jagaannya sudah menjalani latihan secara konsisten.

“Bagi aspek pendedahan sebelum Para SUKMA, tahun lepas kami sertai kejohanan di luar Sarawak dan Donny menang pingat perak dan gangsa.

“Kami juga berharap kepada Rusdianto Rusmadi yang merupakan perenang kebangsaan malah memegang rekod Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mandu juga memohon agar pihak berkaitan menyediakan fasiliti untuk atletnya menjalani latihan.

Katanya, selama ini mereka menumpang kolam renang di beberapa tempat dan perkara tersebut sedikit sebanyak menganggu fokus.

“Pada Julai tahun lepas, kolam awam ditutup jadi terpaksa kami pinjam kolam di Sekolah Antarabangsa Knewton Miri.

“Tahun ini kami memohon untuk berlatih di kolam Eastwood Valley Golf and Country Club,” tambahnya.

Para SUKMA Sarawak 2024 pada 20 hingga 28 September ini. – TVS.