Malaysia tuan rumah Sukan Komanwel 2026 cadangan melulu – KJ

SESEBUAH tuan rumah memerlukan masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk melakukan persiapan seperti menaiktaraf venue pertandingan, mendapatkan penajaan dan menyediakan infrastruktur menganjurkan Sukan Komanwel.

Itu reaksi bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan cadangan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026 sambil menyifatkannya satu tindakan melulu berikutan penganjuran temasya tersebut berbaki dua tahun lagi.

“Sukan Komanwel bukanlah acara sukan yang penting dan utama.

“Jika dibandingkan dengan temasya sukan lain, ia jauh lebih ketinggalan berbanding Sukan Olimpik atau pun Sukan Asia daripada segi penyertaan, pendedahan dan pulangan.

“Oleh itu, potensi untuk memperoleh keuntungan daripadanya dan mendapat manfaat sampingan bagi negara penganjur akan menjadi minimum,” katanya kepada AFP.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum itu mengumumkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia untuk menggantikan Victoria sebagai penganjur edisi 2026 selepas penarikan diri negeri dalam Australia berkenaan dengan alasan peningkatan kos penganjuran.

Peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AU$2.6 bilion (anggaran RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (anggaran RM21.78 bilion).

CGF turut memberikan peruntukan sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia sekiranya bersetuju menganjurkan temasya berkenaan.

Sukan Komanwel 2026 sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 29 Mac 2026.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel edisi Kuala Lumpur 1998 dengan tema ‘Bersama-sama Gemilangkannya’ melibatkan penyertaan 70 negara menamatkan kempen di kedudukan keempat – 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Gergasi Australia muncul juara keseluruhan dengan 80 emas, 61 perak dan 57 gangsa diikuti England kedua, 36 emas, 47 perak dan 53 gangsa manakala Kanada ketiga dengan 30 emas, 31 perak dan 38 gangsa.-Sinar Harian