Zon Selatan pintas Zon Utara untuk pungutan pingat

SIBU, 17 Jan: Saingan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) di sini semakin hangat apabila Zon Selatan memintas Zon Utara untuk menduduki tangga teratas setelah berjaya mengumpul 58 pingat emas di akhir cabaran hari ketiga hari ini.

Zon Selatan yang diwakili atlet dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian yang mengekori Zon Utara (Miri, Limbang dan Bintulu) di kedudukan kedua sejak kejohanan itu bermula Isnin lepas mulai menunjukkan belang dengan memperoleh 42 pingat emas lagi hari ini.

Sembilan daripada pingat emas itu masing-masing diperoleh daripada acara tinju dan wushu manakala taekwondo menyumbang tujuh pingat, pencak silat (enam), judo dan angkat berat masing-masing menyumbang empat, futsal (dua) dan berbasikal (satu).

Zon itu turut memperoleh 33 perak dan 31 gangsa setakat ini.

Zon Utara yang bermula gah pada dua hari pertama temasya itu berjaya menuai 20 lagi emas hari ini namun gagal menahan kemaraan Zon Selatan apabila sekadar mengumpul keseluruhan 40 emas, 48 perak dan 52 gangsa.

Zon Tengah (Sibu, Mukah dan Kapit) menduduki tempat ketiga dengan pungutan pingat keseluruhan 40 emas, 43 perak dan 52 gangsa manakala Zon Barat (Betong, Sri Aman dan Sarikei) di tempat keempat dengan tujuh emas, 20 perak dan 40 gangsa.

Temasya sukan yang bakal melabuhkan tirainya esok menjadi persiapan Sarawak menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal dihoskan negeri ini dari 17 hingga 24 Ogos. -TVS