Diana Ricky mahu terus melibas, kibar cabaran takraw Sarawak SUKMA 2024

SIBU, 16 Jan: Mula mewakili Sarawak dalam acara sepak takraw pada usia 14 tahun, atlet berasal dari Lawas, Diana Ricky masih menyimpan hasrat untuk mengibarkan bendera Ibu Pertiwi di pentas sukan.

Tahun ini, Diana yang berusia 20 tahun berkata, dia mengimpikan untuk mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di tempat sendiri.

“Berdasarkan pengalaman mewakili Sarawak pada SUKMA 2018 di Perak dahulu, saya lebih yakin untuk terus beraksi di gelanggang sepak takraw,” katanya.

Diana ditemui TVS di Dewan Sepak Takraw Kampung Bandong di sini pada hari kedua Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023.

Sementara itu Diana yang juga kapten pasukan wanita Zon Utara memberitahu, dia dan pasukannya akan turun bertanding esok bagi memastikan Zon Utara dapat mara sejauh mungkin dan seterusnya meraih pingat emas.

“Ketika ini semangat berpasukan kami berada pada tahap terbaik.

“Kami saling memberi sokongan dan disebabkan saya sudah berpengalaman sertai SUKMA, saya turut berkongsi tips dengan atlet Zon Utara yang kali pertama bertanding pada temasya besar seperti SUKSAR ini,” katanya.

Pada masa sama Diana bersyukur kerana menikmati kemudahan yang lengkap semasa latihan sebelum datang ke Sibu.

“Alhamdulillah, kemudahan di sekolah seperti gelanggang dan bola takraw tersedia dan membolehkan kami berlatih,” katanya.

Ditanya mengenai persepsi masyarakat bahawa sukan sepak takraw lebih sinonim dengan lelaki, Diana berkata pendapat berkenaan perlu diubah kerana sukan untuk semua tanpa mengira gender.

“Malah saya mahu buktikan pasukan wanita Zon Utara mampu meraih emas pada SUKSAR,” katanya. -TVS