Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 11, 2024

Badminton Terbuka Malaysia : Jin Wei mara ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 11 Januari – Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei kini berada di landasan terbaik memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berupaya melepasi pusingan pertama kejohanan  Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

Pemain profesional negara berusia 23 tahun itu melangkah ke pusingan kedua kejohanan selepas menewaskan pemain Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18, 21-11, pada Rabu.

Bagaimanapun, Jin Wei bakal berdepan tugas berat pada aksi hari ini apabila dijadual menentang pilihan ketujuh Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.

Ketika ini Juara dunia remaja wanita pada 2015 dan 2018 itu mempunyai peluang cerah untuk layak ke Paris 2024, menduduki tempat ke-28 dalam kelayakan Olimpik.

Jika Jin Wei meneruskan prestasi cemerlangnya di Axiata Arena, beliau akan memperoleh lebih banyak mata berharga untuk menaiki anak tangga dengan mengambil kira status Super 1000 Terbuka Malaysia.-RTM

Tujuh wakil negara mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh wakil negara berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024, yang bakal berlangsung hari ini (11 Jan) di Axiata Arena, selepas masing-masing berjaya memenangi perlawanan pusingan pertama pada semalam dan Selasa.
Pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See menjadi wakil terakhir negara untuk mara ke pusingan 16, selepas bangkit menewaskan wakil Taiwan Chang Ko-Chi-Lee Chih Chen 11-21, 26-24, 21-8, selepas pertarungan selama 63 minit, malam tadi.
Peng Soon berkata walaupun mereka bermula goyah, namun laungan semangat daripada penyokong terbukti meningkatkan motivasi mereka untuk catat kemenangan.
Beregu professional itu, seterusnya akan berdepan saingan sengit daripada pilihan kelima dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, yang menyingkirkan rakan senegara Cheng Xing-Zhang Chi, 21-18, 21-16.
Terdahulu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut mengesahkan tempat mereka ke pusingan kedua selepas bangkit menyingkirkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari 20-22, 21-13, 21-13.
Juara dunia 2022 itu, akan membuat perhitungan ke suku akhir menentang rakan sepasukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang terdahulu menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-17, 22-20.
Bagi kategori beregu campuran Chen Tan Jie-Toh Ee Wei, mara selepas mudah membenam wakil Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-17, 21-18 untuk bertemu Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun, manakala bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei, menewaskan pemain Taiwan Sung Shuo Yun 21-18, 21-11, untuk mencabar pilihan ketujuh Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.
Dua lagi wakil negara, iaitu beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, telah mengesahkan tempat slot pusingan kedua, pada Selasa.
Sementara itu, cabaran tuan rumah dalam kategori beregu wanita berakhir selepas ketiga-tiga wakil yang turun beraksi semalam tersingkir, termasuk Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang tewas kepada beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee, dari Korea Selatan 14-21, 13-21.
Go Pei Kee-Low Yeen Yuan pula kecundang 13-21, 13-21 kepada pilihan kelima dari China Zhang Shu Xian-Zheng Yu, manakala Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kalah 15-21, 16-21 kepada satu lagi wakil negara tembok besar Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan.
Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki turut berakhir, apabila Ng Tze Yong terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan belakang ketika ketinggalan 8-12 menentang Koki Watanabe dari Jepun, pada aksi semalam, manakala Lee Zii Jia tewas kepada Lu Guang Zu dari China, pada Selasa.
— BERNAMA

Latihan berimpak tinggi kem berbasikal lebuh raya Sukma Terengganu

Kuala Terengganu: Skuad berbasikal lebuh raya Terengganu membuka kalendar musim baharu dengan perancangan program latihan yang lebih intensif dan berimpak tinggi.

Jurulatihnya, Anuar Manan menegaskan, beberapa pendekatan baharu dalam program latihan ditambah baik termasuk memanfaatkan sepenuhnya elemen sains sukan dengan penggunaan teknologi mahupun aspek pemakanan berbanding kaedah konvensional yang menekankan aspek kudrat.

Anuar berkata, walaupun tempoh berbaki kurang lapan bulan lagi sebelum Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 membuka tirainya, pelumba juga akan turut didedahkan dengan penyertaan perlumbaan berprestij dalam dan luar negara.

Tambah bekas pelumba kebangsaan itu, beliau memberi gambaran pasukannya akan menjalani program latihan beraltitud tinggi di luar negara sebelum Sukma membuka tirainya.

“Kualiti perlumbaan di Sukma pada masa ini khususnya saingan pasukan lawan dari negeri lain semakin meningkat berbanding dahulu dengan rata-rata kelajuan masing-masing boleh mencecah dengan pelumba-pelumba yang lebih profesional.

“Oleh itu saya bersama barisan kejurulatihan membuat perancangan lebih intensif berbanding musim lalu, dengan memanfaatkan segala elemen yang menjadi tambah nilai seperti sains sukan.-Harian Metro

Hannah tunaikan janji

KUALA LUMPUR: Seramai 393 atlet termasuk atlet para berada di bawah Program Podium akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata perkara itu akan memberi impak kewangan sebanyak RM16 juta setahun kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, bayaran elaun bulanan atlet juga yang kini ditukar kepada gaji akan dinaikkan dengan minimum gaji asas sebanyak RM1,500 sebulan.

“Carumannya adalah 11 peratus daripada atlet dan MSN akan menyumbang 13 peratus.

Atlet kita mahukan jaminan untuk mereka, jadi kita telah tunaikan hasrat mereka.

“Namun, saya juga mahukan mereka tunaikan hasrat rakyat Malaysia bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik,” kata Hannah ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN, di sini, hari ini.

Jelas Hannah, buat masa ini caruman KWSP hanya dibayar kepada atlet di bawah Program Podium dan tidak membabitkan atlet pelapis.

“Saya tahu ada hasrat untuk golongan pelapis juga terima tetapi buat masa ini yang kita mampu adalah untuk atlet podium dulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hannah, berkata pihaknya juga tidak melupakan sumbangan para jurulatih yang menjadi tulang belakang peningkatan prestasi atlet negara apabila sudah meminta MSN mengadakan kajian semula elaun menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mengadakan temasya sukan yang terbuka kepada atlet veteran dan orang ramai pada tahun ini.

“Kalau kita mahu Malaysia menjadi negara bersukan, kita kena adakan acara seperti ini untuk teruskan minat mereka dalam sukan, kalau tidak hanya golongan muda sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai isu doping membabitkan seorang atlet olahraga yang digantung dua tahun, kelmarin, Hannah mengingatkan atlet supaya lebih peka dengan diet pemakanan yang diamalkan mereka.

“Mereka membeli secara di atas talian. Jadi kesedaran oleh MSN akan diteruskan tapi tahun ini juga kita pastikan kursus pendidikan juga diberikan kepada atlet kita.

“Bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi cara mereka kendalikan media sosial. Cara mereka jawab soalan bersama media,” katanya. – Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia